PADANG BESAR 9 Okt. - Ibarat kata pepatah 'Kalau sudah jodoh tidak ke mana' itulah yang terjadi kepada pasangan warga emas yang telah bercerai sejak 44 tahun lalu namun kembali bersatu sebagai suami isteri pada majlis akad nikah yang ringkas, semalam.
Pasangan itu, Man Mahmud, 75 dan Wan Kamaliah Wan Hussin, 74, diijab kabul semula sebagai suami isteri disaksikan anak, cucu-cucu dan cicit mereka di rumah Wan Kamaliah di Kampung Lubuk Machang, Batu Bertangkup, Chuping di sini pada pukul 2.45 petang semalam.
Pengantin lelaki yang berpakaian baju Melayu melafazkan dua kali lafaz akad nikah dengan mas kahwin RM12 dan sebentuk cincin serta hantaran belanja kahwin berjumlah RM1,000.
Menurut Wan Kamaliah, keputusan berkahwin semula dengan bekas suaminya itu dibuat dalam tempoh dua minggu setelah dicadangkan oleh anak-anak mereka.
"Tok Wan anggap semua ini sebagai takdir Allah kerana kami bertemu jodoh kembali dan berharap kami dapat menjalani sisa-sisa usia ini dengan tenang," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Dia berkata, kali pertama diijab kabul dengan suaminya yang juga merupakan sepupunya adalah ketika dia berusia 13 tahun manakala suaminya berusia 14 tahun atas pilihan keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga tanpa dikurniakan cahaya mata, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
"Walaupun telah bercerai kami masih bertegur sapa kerana duduk sekampung selain kami juga mempunyai talian persaudaraan," katanya.
Setelah bercerai, kedua-duanya mendirikan rumah tangga dengan pasangan lain tetapi Wan Kamaliah turut berpisah dengan suami baru manakala Man pula kematian isterinya namun dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 42 tahun.
Selepas itu, Wan Kamaliah terus keseorangan selama 30 tahun manakala Man pula menjadi duda sejak 11 tahun lalu.
Dalam pada itu, menurut Man yang merupakan pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perkahwinan kali ini akan dapat mengubat kesunyiannya sejak kematian isteri.
No comments:
Post a Comment