CAMDEN, Australia - Sebuah pesawat ringan terhempas di belakang pekarangan kediaman seorang wanita di Kirkham dekat Camden, barat daya Sydney, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.
Pesawat berkenaan yang membawa seorang juruterbang dan pelajarnya berlepas dari Lapangan Terbang Camden sejurus sebelum nahas itu berlaku.
Seorang saksi kejadian, Edna Watson berkata, dia menyidai pakaian di ampaian di rumahnya pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan semalam apabila dia melihat pesawat itu terbang dalam keadaan tidak stabil.
"Ia terhuyung hayang ketika terbang di atas kepala saya sebelum terhempas di laman belakang kediaman kami dan merempuh dua buah pagar," kata Edna.
"Saya masih menggeletar kerana ketakutan," tambahnya.
Juruterbang lelaki berusia 62 tahun itu yang mengendalikan pesawat itu mengalami sakit belakang manakala penumpangnya yang berusia 34 tahun cedera ringan.
Mereka kini dirawat di sebuah hospital berdekatan.
Polis masih menyiasat nahas tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment