Pages

Thursday, December 23, 2010

Isteri dakwa suami pura-pura tidak mengenalinya



AMANJYOT KAUR


BILGA, India – Seorang wanita India, Amanjyot Kaur kini hidup menderita selepas ditinggalkan oleh suaminya yang merupakan seorang ekspatriat di Montreal, Kanada.
Seminggu selepas majlis perkahwinan yang meriah berlangsung di kampungnya di Punjab, suaminya berjanji akan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membuat visa kepada isterinya selepas dia pulang ke Montreal.
Malangnya, dokumen yang dijanjikan itu tidak pernah sampai ke tangan wanita tersebut.
Amanjyot akhirnya berjaya menghubungi suaminya.
Namun, suaminya itu seolah-olah tidak mengenalinya semasa dia berjaya menghubunginya.
“Saya telah menulis 120 pucuk surat dan membuat hampir 500 panggilan telefon untuk menghubunginya di Kanada. Saya benci kepada diri sendiri kerana saya menyintai lelaki yang tidak sensitif. Dia menipu saya dan keluarga,” kata Amanjyot yang berusia 22 tahun dan mengalami kemurungan sejak berkahwin dua tahun lalu.
Bapa Amanjyot terpaksa menjual tanah ladang seluas 1.61 hektar untuk membiayai kos perkahwinannya.
Wanita itu merupakan salah seorang daripada beribu-ribu pengantin perempuan yang ditinggalkan oleh suami mereka yang bekerja di luar negara.
Suami-suami itu berkahwin mengikut pilihan keluarga namun mereka kemudian melarikan diri selepas memperoleh mas kahwin.
Amanjyot enggan mendedahkan jumlah mas kahwin tetapi pada kebiasaannya jumlahnya ratusan ribu dolar.
“Bagi lelaki seperti ini, berkahwin merupakan jalan paling mudah untuk mendapatkan wang. Mereka akan keluar dari India sebaik sahaja mendapat mas kahwin,” jelas pengasas Parti Lok Bhalai, B. Ramoowalia. - AFP
-kosmo

No comments: