Pages

Monday, November 1, 2010

Penerbangan pertama Perancis ke Baghdad sejak sebelum Perang Iraq



PESAWAT Aigle Azur dari Perancis mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di Iraq, semalam. - AP


BAGHDAD 31 Okt.- Sebuah pesawat penumpang dari Perancis mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad hari ini, sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan pertama yang menerbangkan penumpang secara terus dari Eropah barat ke bandar ini sejak sebelum berlakunya Perang Iraq.
Syarikat penerbangan, Aigle Azur itu mendarat di lapangan terbang itu tepat pada pukul 6 pagi tadi (11 pagi waktu Malaysia).
Ia berlepas dari Paris semalam dengan membawa beberapa penumpang yang kebanyakannya adalah ahli perniagaan yang menyertai Karnival Perniagaan Antarabangsa Baghdad.
Jadual penerbangan syarikat itu ke bandar raya ini yang seterusnya hanyalah pada dua hingga tiga bulan dari sekarang, namun, jika berjaya, ia dianggap sebagai satu perkembangan positif kepada ekonomi Iraq.
Aigle Azur merancang untuk melakukan penerbangan sebanyak dua kali seminggu ke Baghdad dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris.
Beberapa syarikat penerbangan dari Eropah barat seperti Austrian Airlines hanya mendarat di sebuah bandar di Kurdish iaitu Irbil dan ia tidak pernah membuat penerbangan ke Baghdad.
Hanya beberapa pesawat penerbangan dari negara jiran sahaja yang membuat penerbangan ke Baghdad seperti syarikat penerbangan dari Abu Dhabi, Etihad Airways, Gulf Air (Bahrain), MEA Airlines (Lebanon) dan Turkish Airlines (Turki).
Pada Januari 2009, sebuah syarikat penerbangan yang beribu pejabat di Stockholm, Nordic Airways, melancarkan sebuah pesawat komersial dari Copenhagen ke Baghdad, namun, lesen operasinya ditarik balik pihak berkuasa.
Sejak itu, tidak ada mana-mana penerbangan secara terus dari Eropah barat ke ibu negara Iraq ini.
Kekurangan penerbangan komersial dari Eropah menyebabkan Iraq tidak mampu menarik lebih ramai pelabur asing untuk memulihkan ekonomi di negara yang sedang bergolak ini. - AP

No comments: