Pages

Wednesday, November 24, 2010

Menyesal kerana ikut kata hati




INDIVIDU yang terbabit dalam pergaduhan berkumpulan tidak terlepas daripada undang-undang. - Gambar hiasan


MALAM itu seperti biasa, Aiman melepak bersama tujuh rakan baiknya di taman permainan kawasan perumahan di Taman Harta Pertama, Bukit Baru, Melaka. Seperti biasa, beberapa rakannya minum minuman keras sehingga mabuk.
Kepada mereka, aktiviti seumpamanya bukan satu kesalahan. Malangnya, pada malam itu, pengaruh alkohol telah mencetus pergolakan emosi yang luar biasa apabila ketenangan mereka diganggu.
Sekitar pukul 11 malam, tiga orang lelaki masuk ke kawasan taman permainan itu. Ketiga-tiga lelaki itu membuat bising sehingga salah seorang rakan Aiman naik marah dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Berang dengan tindakan melulu rakan Aiman itu, tiga lelaki berkenaan bertindak balas dengan kedua-dua belah pihak bertekak sehingga akhirnya berlaku adegan tolak-menolak sehingga tercetus pergaduhan.
Apabila kedua-dua belah pihak mula naik angin ekoran dilempar dengan kata-kata kesat, salah seorang daripada tiga lelaki itu terkorban. Lelaki itu kecundang selepas dibelasah beramai-ramai.
Kejadian yang berlaku pada 11 Julai 2009 itu menjadi mimpi ngeri kepada Aiman untuk selama-lamanya. Pada tarikh itulah tangan yang sepatutnya digunakan untuk mencari rezeki telah menyebabkan kematian seorang lelaki.
"Saya tumbuk dia tiga kali di muka. Kawan-kawan lain juga ada yang tumbuk dan terajang. Lelaki itu terjatuh dan kepalanya terhentak ke permukaan simen sehingga berdarah. Selepas itu kami tinggalkannya di tepi jalan.
"Dek kerana takut, saya ke balai polis membuat laporan atas alasan mempertahankan diri. Sejurus selepas itu rakan saya menelefon dan memberitahu lelaki itu telah meninggal dunia," katanya mengimbas permulaan detik hitam dalam hidupnya.
Aiman yang ditemui di Penjara Kajang baru-baru ini memberitahu, selepas mendapat berita buruk itu, dia cukup terkejut dan takut. Dia mula membayangkan hukuman gantung sampai mati yang bakal diterimanya jika disabit kesalahan membunuh.
"Keluarga saya cukup marah tetapi mereka terpaksa menerima kenyataan ini kerana perkara telah pun berlaku. Saya juga menyesal kerana terlalu ikutkan kawan sehingga menyebabkan lelaki itu meninggal dunia," kata Aiman yang menjalani tahanan reman selama setahun dua bulan selepas dia ditangkap.
"Jika saya tidak ditangkap, mungkin saya sudah bergelar seorang anggota polis pada hari ini," ujar Aiman sayu.

PENULIS (kiri) menemu bual Aiman di Penjara Kajang.


Menyorot perancangan hidupnya sebelum kejadian malang itu, Aiman memberitahu, dia yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor berhasrat menjadi anggota polis.
"Saya tidak sempat mencapai impian menjadi pegawai polis kerana saya dipenjara akibat kesalahan membunuh tanpa niat," katanya yang bakal menjalani hukuman penjara sehingga tahun 2016.
Perasaan sebak dan sayu
Mengimbas detik perbicaraan di Mahkamah Tinggi Melaka, Aiman hanya mampu mengurut dada apabila kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati yang dihadapinya dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh tanpa niat.
Menurut Aiman, ketika perbicaraan berlangsung perasaannya sungguh sebak. Dia juga menangis kerana bimbang dijatuhi hukuman mati. Mahkamah memutuskan Aiman dan tiga lagi rakannya dihukum penjara 10 tahun bermula dari tarikh mereka ditahan. Bagaimanapun, empat lagi rakan mereka dibebaskan.
Sekiranya dapat diundur masa, Aiman yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah sebelum kejadian itu pasti tidak akan terlalu mengikut perasaan tergamak memukul orang sehingga mati.
"Saya tak sangka dia akan mati malam itu, kerana kami hanya mahu 'mengajar' mereka sahaja. Kini, saya sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku. Saya pernah terfikir untuk membuat rayuan tetapi biarlah...di sini saya mula berubah dan menjadi manusia yang lebih baik.
"Dahulu, saya bukannya tidak diberi didikan agama. Tetapi semakin saya dewasa saya mula meninggalkan tikar sembahyang dan terlibat dengan gejala sosial dan minum arak," ujarnya kesal.
Dalam pada itu, Aiman juga kecewa kerana daripada lapan orang yang terlibat hanya empat orang dijatuhi hukuman penjara sedangkan ketika kejadian itu, kesemua nya bersama-sama memukul lelaki berkenaan.
"Saya tidak tahu apa yang mereka katakan ketika dibicarakan. Tetapi empat daripada kami dibebaskan. Mereka semua adalah rakan saya sejak kecil tetapi kini saya berazam tidak akan bergaul dengan mereka lagi," katanya.
kosmo

No comments: