Pages

Sunday, November 28, 2010

Gunung Bromo terus muntah asap hitam

PROBOLINGGO: Gunung Bromo dilaporkan meletup lagi tengah hari, semalam memuntahkan kepulan asap hitam menghala ke arah barat-daya atau daerah Malang.
Menurut ketua petugas penyelamat Pusat Gunung Berapi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Gede Suantika, letusan kali ini mengeluarkan asap hitam pekat menghala ke daerah Malang.

“Kami menyarankan supaya semua penduduk khususnya di Malang menggunakan topeng muka,” ujar Gede.

Sebelum itu, pada awal pagi, semalam kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan, Gunung Bromo juga sudah meletup. Namun, letupan yang berskala kecil itu hanya menumpahkan asap tebal kehitaman dengan tekanan ketinggian 600 hingga 700 meter.

Sementara itu, ketua daerah Malang, Rendra Kresna menyuarakan kebimbangan kerana menurutnya aktiviti Gunung Semeru lebih aktif berbanding Gunung Bromo pada waktu ini. Keadaan tahap bersiap-sedia sudah dipertingkatkan kepada tahap amaran atau tahap 4. “Semua pihak sudah bersedia dan dalam keadaan berjaga-jaga di sini tetapi yang patut kita bimbangkan sekarang ialah aktiviti Gunung Semeru yang dilihat semakin mengancam,” jelas Rendra. - Agensi

No comments: