Pages

Wednesday, July 14, 2010

Loghat berubah selepas tidur

WELLINGTON: Seorang wanita New Zealand dikatakan mengalami masalah loghat pertuturan apabila dialek bahasa Kiwi New Zealandnya bertukar menjadi campuran loghat Scotland, Wales dan utara London, semalam.
Bronwyn Fox dari Invercargill di selatan New Zealand yang mengalami masalah sklerosis melaporkan dalam Southland Times, pada satu pagi apabila dia bangun tidur suaranya berubah. Kajian imbasan menunjukkan terdapat dua tisu lesi tumbuh di belakang otaknya. Doktor percaya perubahan pertuturannya disebabkan oleh tisu lesi itu tetapi tidak dapat mengesyorkan rawatan bersesuaian.
Bronwyn adalah generasi ketiga yang menetap di New Zealand dan tidak pernah pergi ke United Kingdom. Ketika dia menelefon rakannya buat kali pertama dengan loghat baru itu mereka meletakkan telefon kerana menyangka panggilan salah nombor. “Ramai orang bertanya saya berasal dari mana? Bila saya menjawab dari Winton mereka bertanya kembali dari mana keluarga saya berasal? “Sukar untuk mereka percaya bila saya memberitahu saya dilahir dan dibesarkan di New Zealand,” kata Bronwyn.

Hanya beberapa orang di dunia dilaporkan menghidap sindrom pertuturan seperti Bronwyn sejak ditemui pada 1907. Ia berlaku apabila bahagian otak yang mengawal pertuturan mengalami kerosakan. - AFP

No comments: