Pages

Monday, June 21, 2010

Perkahwinan diraja Sweden meriah


PUTERI Victoria dan Westling dirakamkan ketika tiba untuk menghadiri persembahan di Dewan Konsert Stockholm 18 Jun lalu, ketika bermulanya perayaan perkahwinan. – AFP


STOCKHOLM 20 Jun – Perkahwinan diraja Sweden yang berlangsung selama empat hari tiba ke kemuncaknya semalam, apabila Puteri Mahkota Victoria berkahwin dengan rakyat biasa, Daniel Westling di gereja Stockholm Cathedral.
Kemunculan pasangan itu disambut meriah oleh ribuan rakyat yang berbaris di sepanjang jalan apabila dibawa menaiki kereta kuda mengelilingi kota itu.
Pasangan tersebut kemudiannya dibawa ke pelabuhan Stockholm dan menaiki bot panjang yang dihias warna, dikemudikan oleh 18 pendayung tentera laut.
Pasangan itu berdiri di bahagian belakang dan melambai-lambai kepada kelasi yang memberi tabik hormat pada bot dan kapal selam yang sedang dalam perjalanan ke pelabuhan.
Formasi 16 buah jet pejuang mendemonstrasikan pertunjukan udara apabila bot diraja itu menghampiri kawasan pelabuhan istana.
Pada sebelah petangnya berlangsung jamuan perkahwinan diraja yang dihoskan oleh raja dan permaisuri di istana diraja berkenaan.
Victoria, 32, adalah anak sulung bagi pasangan Raja Carl XVI Gustaf dan Ratu Silvia. Puteri itu mempunyai dua orang adik beradik iaitu Putera Carl Philip dan Puteri Madeleine.
Sementara itu Westling, 36, yang mengusahakan rangkaian gimnasium di kota itu berjumpa dengan puteri berkenaan apabila dia menjadi jurulatih peribadinya. Pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka awal tahun lepas.
Pihak istana mengumumkan Westling mulai sekarang akan digelar Putera Daniel, Duke of Vaestergoetland.
Westling telah mempersiapkan diri bagi memainkan peranannya dan belajar mengenai kehidupan dalam keluarga diraja. Seramai 1,200 orang hadir pada majlis perkahwinan itu termasuk ahli keluarga diraja dari seluruh dunia seperti Belgium, Sepanyol, Jepun, Jordan dan Monaco.
Putera lelaki Ratu Elizabeth iaitu Putera Edward dan isterinya Sophie, Countess of Wessex turut hadir bagi mewakili keluarga diraja British. – AGENSI

No comments: