Pages

Saturday, June 5, 2010

Jirga setuju kerajaan, Taliban berunding



Pemimpin-pemimpin kabilah Afghanistan berbincang pada hari kedua Jirga di Kabul, kelmarin. - AFP


KABUL 4 Jun - Delegasi ke persidangan keamanan (jirga) Afghanistan hari ini menyuarakan sokongan penuh kepada rundingan tanpa syarat antara kerajaan dan militan Taliban bagi menamatkan perang yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Satu demi satu wakil persidangan yang menyampaikan laporan kerja kumpulan kepada 1,500 wakil masyarakat Afghan pelbagai peringkat memberitahu bahawa rundingan dengan pemberontak merupakan harapan terbaik bagi menamatkan keganasan.
Tetapi, butiran lanjut bagaimana hendak berdamai dengan Taliban hanya ditulis secara am kerana terdapat banyak pendapat dalam pelbagai isu.
Taliban telah menolak perhimpunan tersebut dengan menyifatkannya sebagai 'proses perdamaian yang tidak ikhlas' dan menegaskan bahawa mereka tidak akan berunding sehingga kesemua tentera asing meninggalkan Afghanistan - syarat yang tidak boleh diterima Presiden Hamid Karzai.
"Kita perlu memulakan rundingan bersama semua kumpulan pembangkang tanpa sebarang syarat,"kata wakil persidangan, Amanullah Usmanzai.
Kebanyakan perwakilan juga berkata, satu suruhanjaya perlu ditubuh bagi melaksanakan usul yang dicapai pada persidangan tersebut yang turut dikenali sebagai keamanan himpunan pemimpin puak (jirga). Kenyataan akhir akan ditandatangani lewat hari ini.
Selain itu, mereka turut menggesa supaya pemimpin kanan Taliban dikeluarkan daripada senarai hitam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang mereka membuat lawatan ke luar negara serta dikenakan pembekuan aset.
Sebahagian daripada mereka juga mahu tahanan Afghan yang ditahan di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan dan Cuba dibebaskan sekiranya tiada bukti pendakwaan terhadap mereka. - AP

No comments: