TELUK INTAN 9 Mei – Perubahan masa dan cara hidup yang semakin sofistikated menyebabkan manusia kini sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai impian.
Keadaan itu turut mempengaruhi pasangan pengantin baru apabila sentiasa berusaha mencipta kelainan bagi memastikan hari bahagia yang ditempuhi dikenang sebagai momen paling manis dalam hidup.
Antara pasangan yang berbuat demikian ialah Mohd. Zulfadli Mohd. Khalid, 20, dan isterinya, Nur Syafinaz Asyirah Shahrizan, 18.
Impian mereka ‘bersanding di udara’ dengan menaiki helikopter akhirnya berjaya direalisasikan baru-baru ini.
Kegembiraan jelas tergambar di wajah pasangan itu apabila mereka dibawa berlegar-legar di ruang udara kira-kira 15 minit.
Acara bermula dengan pasangan terbabit menaiki helikopter dari rumah nenek pengantin perempuan di Kampung Selabak Luar di sini.
Padang Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menjadi saksi pendaratan kedua-dua mempelai sebelum diarak menaiki kereta ‘sport’ ke dewan MPTI yang jaraknya terletak hanya kira-kira 200 meter.
Mohd. Zulfadli ketika ditemui berkata, dia berterima kasih kepada kedua orang tuanya terutama sekali bapa mertua yang menghadiahkan ‘persandingan di udara’ dengan menaiki helikopter.
‘‘Saya amat gembira kerana semua berjalan lancar dan dalam suasana cukup meriah,” katanya sambil menjeling isterinya.
Ditanya tentang pertemuan mereka, kata Mohd. Zulfadli, dia dan Nur Syafinaz berkenalan sejak di bangku sekolah.
‘‘Saya pernah menyuarakan hasrat untuk bertunang pada masa itu tetapi dihalang oleh nenek atas alasan terlalu muda,” katanya.
Namun, disebabkan tidak pernah berputus asa akhirnya kedua-duanya disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Difahamkan, kos keseluruhan majlis perkahwinan yang dijayakan oleh Butik Sam Collection itu mencecah RM200,000.
Seramai 5,000 hadir menyaksikan persandingan istimewa pasangan itu yang tentunya menjadi kenangan paling manis buat mereka berdua.
No comments:
Post a Comment