RAMALLAH 12 April - Tentera Israel mengeluarkan arahan baru yang menurut pertubuhan hak asasi manusia boleh membawa kepada pengusiran berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin dari Tebing Barat.
Di bawah peraturan baru yang mula berkuat kuasa esok, sesiapa yang didapati tinggal di Tebing Barat tanpa permit Israel boleh diusir dari wilayah Palestin itu dalam tempoh sesingkat tiga hari atau dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun.
Menurut tentera, undang-undang sedia ada sudah pun membenarkan pengusiran penduduk tanpa izin dan arahan baru itu menambah satu lagi langkah pengawalan ke atas prosedur pengusiran.
Bagaimanapun, 10 pertubuhan hak asasi manusia Israel menggesa Menteri Pertahanan, Ehud Barak menarik balik peraturan baru itu.
Pertubuhan hak asasi itu berkata, perintah tersebut begitu kabur dan komprehensif sehinggakan hampir semua penduduk Tebing Barat menghadapi risiko diusir.
Sebagai contoh, tentera tidak menetapkan jenis permit yang diperlukan untuk melindungi penduduk daripada pengusiran, kata mereka. Tentera kemudian menjelaskan bahawa penduduk Tebing Barat yang memiliki status pemastautin tidak menjadi sasaran.
Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erekat mengutuk arahan baru itu sebagai 'serangan ke atas penduduk biasa Palestin dan bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang paling utama.'
Katanya, penduduk Palestin kini dijadikan penjenayah di rumah mereka sendiri.
Erekat dan aktivis hak asasi Israel berkata, mereka percaya sasaran awal peraturan baru itu termasuk penduduk Genting Gaza yang tinggal di Tebing Barat dan warga asing yang berkahwin dengan penduduk Tebing Barat.
Berpuluh-puluh ribu penduduk daripada kedua-dua kumpulan tersebut kini menghadapi kemungkinan diusir.
Sejak intifada kedua Palestin pada 2000, Israel menghalang pergerakan penduduk antara Genting Gaza yang ditadbir oleh pergerakan Hamas dan Tebing Barat yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Sebelum pengharaman perjalanan itu, beribu-ribu penduduk Gaza berpindah ke Tebing Barat yang lebih makmur untuk mencari pekerjaan. - AP
No comments:
Post a Comment