ARAH BUDAYA SENIMAN KITA
Kita sering terbaca berita yang mengatakan warga dalam negara kita ini kurang membaca. Dari kajian dan pukul rata seorang warga Malaysia dikatakan hanya membaca dua muka surat sahaja untuk satu tahun. Berbanding dengan 40 ke 50 buah buku untuk seorang warga Sweden atau Finland.
Hasilnya buku buku yang dicetak tidak terjual. Penulis kita agak susah untuk mencari makan. Budaya buku dan budaya ilmu tidak berkembang. Warga dalam negara kita ini tidak ambil pot tentang buku dan tulisan. Jauh sekali mereka hendak merapati buka sastera, buku falsafah atau buku budaya, pamiran lukisan, pementasan sandiwara atau teater.
Megapa ini berlaku? Apakah warga Malaysia ini – terutama manusia Melayu - amat culas dalam hal baca membaca dan berbudaya? Apakah manusia Melayu ini tidak ada keingian untuk tahu apa yang sedang berlaku di alam sekelilingnya. Atau apakah manusia Melayu ini telah menjadi bagitu mandul sehinggakan dia tidak dapat lagi melihat apa yang sedang berlaku terhadap keluarga, anak dan dirinya sendiri.
Memang betul pada ketika ini proses pembodohan orang-orang Melayu sedang berjalan dengan ligat. Proses ini tidak akan berjaya jika para seniman , para penulis dan para sasaterawan Melayu bangun dan menentang dan melawan proses pembodohan ini.
Disini peranan penulis/seniman/sasterawan cukup penting dalam memperkasa kembali fikrah yang selama ini telah diperbodohkan melalui budaya yang disebar luas oleh United Malays National Organisation.
Selama lebih dari 50 tahun hegemoni budaya United Malays National Organistaion telah melakar dan mengkonstruk cara warga Malaysia terutama manusia Melayu berfikir dan bergerak. Dengan bantuan lembaga - seperti lembaga feudal, lembaga keagamaan, lembaga tradisional Melayu – United Malays National Organisation telah berjaya memagar dan mengikat cara manusia Melayu befikir dan bergerak.
Apabila kita terbaca berita yang mengatakan kita semua ini kurang membaca maka kita menerima hakikat ini tanpa kita berfikir panjang atau menimbulkan pelbagai persoalan. Sikap ini adalah sikap yang salah. Inilah sikap hasil dari hegemoni budaya United Malays National Organisation. Budaya ini memalaskan kita untuk berfikit. Seharusnya - kita menimbulkan persoalan demi persoalan ke atas kenyataan tadi.
Kenapa agaknya manusia Melayu tidak suka membaca ?
Jika manusia Melayu tidak mahu atau tidak suka membaca buku maka mari kita selidiki apa sebenarnya isi buku itu. Jika manusia Melayu tidak ingin membaca sebuah nobel maka mari kita selidiki apa yang cuba dipaparkan oleh si penulis dalam didalam nobel itu. Jika manusia Melayu gagal untuk menghayati sebuah puisi – maka mari kita lihat dan selidiki apa isinya pusi itu. Jika mansia Melayu tidak menghayati sebuah lukisan maka mari kita selami apa dia yang telah dilukis.
Selama lebih dari 20 tahun ini – buku-buku dari tulisan sasterawan kita, buku-buku yang cuba membawa hal ehwal semasa , buku buku yang dikatakan cuba membuka mata dan hati warga Malaysia – kebanyakan bergenre bodek. Puisi, teater dan sandiwara yang dipentaskan ke hadapan penonton banyak juga yang membawa unsur-unsur budaya bodek. Budaya bodek ini telah menjadi salah satu ciri yang amat penting dalam proses pembodohan manusia Melayu.
Cara untuk memahami budaya bodek ini berkembang dan bergerak cukup senang. Contohnya, ketika di zaman Islam Hadari dahulu banyak buku yang ditulis tentang Islam Hadari. Banyak seminar-seminar akdemik dianjurkan tentang Islam Hadari. Ada tetaer dipentaskan tentang Islam Hadari. Ada kajian-kajian di jalankan tentang Islam Hadari. Ada lagu, ada puisi, ada musik, ada pamiran lukisan tentang Islam Hadari.
Seorang penulis puisi yang bercita cita ingin melihat puisinya diterbitkan dalam akhbar tidak dapat tidak akan melakar Islam Hadari sebagai tema puisinya. Seorang pensyarah yang ingin membuat kajian ilmiah pasti akan membuat kajian tentang Islam Hadari. Ini untuk memastiikan kajian ini akan diluluskan oleh universiti dan akan mendapat dana. Di sekolah pula akan ada pertandingan menulis karangan dan essei tentang Islam Hadari. Akan diadakan pertanding berbahas atau berbalas pantun tentang Islam Hadari.
Sebuah pereka desin papan tanda juga akan meletakan logo Islam Hadari - agar logo ini akan mendapat kelulusan pihak yang berkuasa sebelum di sebarkan ditepi tepi jalan. Iklan-iklan di akhbar, radio atau tv juga akan menayangkan Islam Hadari. Drama tv juga mula berkisar dengan Islam Hadari.
Apabila pencadang Islam Hadari ini tidak ada kuasa lagi maka semua beralih kepada satu Malaysia. Proses yang sama akan berulang lagi. Proses membodek tetap berlaku. Justeru inilah caranya hegemoni budaya bodek bergerak dan menyerapi jauh ke dalam masyarakat kita.
Sebenarnya orang ramai tahu – semua yang terpampang ini adalah bodek. Malah si penulis , si penyaer, si pengkaji, si pembuat teater, si pembuat lagu, si pereka – semua tahu – apa yang mereka buat adalah membodek orang yang berkuasa pada ketika itu. Justeru kerja bodek mereka tidak membawa apa-apa yang menakjubkan.
Kerja kerja bodek – tidak menarik. Kerja kerja seni bodek tidak akan membuka pandangan orang ramai. Tulisan-tulisan bodek tidakkan mengancam untuk mengelodakkan fikrah yang beku. Kerja kerja seni membodek tidak akan mengusik jiwa. Nobel-nobel, cerpen-cerpen, puisi-puisi yang muncul hasil dari peraduan membodek tidak akan ada sesiapa yang akan membeli atau membacanya. Malah jika buku buku bodek ini ini di beri percuma besar kemungkinan buku ini akan menjadi penyelak pintu atau pengalas cerek panas. Inilah hakikatnya hasil kerja seni bodek.
Justeru kita tidak boleh menyalahkan manusia Melayu sebagai manusia yang malas membaca. Mereka malas membaca buku buku yang tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka. Mereka culas membaca kerana mereka merasakan buku-buku ini tidak memberikan apa apa manafaat kepada kehidupan mereka.
Bayangkan jika buku-buku atau kerja kerja seni ini ada berkaitan – ada hubungan dengan kehidupan mereka - pasti manusia Melayu ini akan berhenti, melihat dan cuba mendengar apa yang cuba disampaikan oleh buku buku ini. Jika sebuah puisi ini indah dan ada hubungan dengan perjuangan kehidupan manusia Melayu – pasti puisi ini akan dihayati.
Apa yang diinginkan oleh warga Malaysia khasnya manusia Melayu hari ini adalah buku-buku dan kerja-kerja seni yang temanya memaparkan perlawanan. Buku-buku yang mengajukan tema perlawan terhadap penindasan. Perlawaan ini adalah perlawanan manusia Melayu yang tertindas dalam kehidupan harian mereka. Kehidupan harian yang mereka lalui dan alami. Justeru dengan sendirinya mereka akan dapat memahami dan menghayatinya kerja seni ini. Bukan buku buku yang berkhayal tentang kehidupan orang-orang kaya yang tidak ada talian dengan manjoriti manusia Melayu.
Puisi-puisi yang mengajukan tema penentangan terhadap kezaliman. Atau lagu lagu yang menggerakkan nadi dan jiwa mereka untuk bangun melawan. Atau shaer dan sajak yang melakar kehidupan mereka yang saban hari bertempuran dengan kezaliman dan penindasan. Jika tema ini yang digarap oleh para seniman pasti kerja seni mereka merebak luas.
Contoh terbaik – hari ini - tema besar yang sedang terpampang dalam dunia Melayu hari ini ialah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Inilah tema besar yang tidak mungkin dapat disorok-sorok. Tema ini sedang menunggu penulis, penyaer, pemusik, pelukis – untuk digarap seseni mungkin.
Jika para penulis/ seniman/saterawan/pelukis/ pengiat teater gagal untuk melihat tema yang besar ini maka jangan marah kepada manusia Melayu. Jangan marah apabila buku tidak ada orang beli. Jangan marah apabila lagu tidak ada sesiapa mendengar. Jangan kecewa apabila pamiran lukisan hanya dilihat sebagai pamiran syiok sendiri. Jangan marah jika tak ada sesiapa ambil pot terhadap buku puisi bodek yang tidak ada siapa ingin membeli.
Hakikatnya manusia Melayu hari ini mahu mendengar bunyi dan suara laungan perjuangan. Manusia Melayu mahu mendengar pekikkan perlawanan. Manusia Melayu telah jelak dengan pusi bodek dan cinta. Manusia Melayu telah jelak dengan irama ampu dan cium tangan. Seniman yang melakar dan menggarap tema perjuangan adalah seniman yang akan dinobatkan oleh manusia Melayu. TT
No comments:
Post a Comment