Pages

Tuesday, March 2, 2010

Malim Kundang

Kita pastinya pernah mendengar cerita seorang anak derhaka yang disumpah menjadi batu.Adakah ianya sebuah lagenda atau mitos yang digembar-gemburkan secara turun temurun? Kali ini, blog saya akan membawa anda meneroka kembali kisah Malim Kundang yang disumpah oleh ibunya menjadi batu.
Tetapi sebelum itu , tahukah anda bahawa kisah Malim Kundang ini mempunyai persamaan dengan Kisah Si Tanggang yang berada dalam lipatan lagenda rakyat negara kita.

Siapa itu Malim Kundang
Malim Kundang adalah anak tunggal sepasang suami isteri nelayan di Desa Air Manis. Sebelum lahir, Malim ditinggalkan ayahnya yang tidak pernah balik ke desanya dan setelah dia dilahirkan terpaksa dipelihara oleh ibunya dengan keadaan hidup yang penuh penderitaan.
Malim Kundang Merantau
Setelah dewasa Malim meminta keizinan daripada ibunya untuk pergi merantau dengan dibekalkan nasi bungkus daun pisang.Sejak pemergian itu, ibu Malim tidak pernah mendengar khabar berita tentang anaknya itu hingga bertahun-tahun lamanya, sehingga usia ibu itu semakin lanjut dan bongkok dan akhirnya ibu tua itu mendapat berita daripada nakhoda kapal yang dahulu membawa Malim mengatakan anaknya telah berkahwin dengan seorang gadis jelita anak seorang bangsawan yang amat kaya.
Kembali Ke Desa
Setelah sekian lama menunggu kepulangan Malim, akhirnya pada satu hari sebuah kapal besar yang cantik belayar menuju ke pantai Desa Air Manis.Dalam kemeriahan penduduk Desa Air Manis menyambut ketibaan kapal itu, ternampak seorang anak muda berdiri di anjung kapal, ibu tua percaya anak muda itu adalah anaknya Malim Kundang.
Ibu tua itu memanggil anaknya:
”Anakku Malim, mengapa kau begitu lama tidak memberi khabar berita.”

Tetapi isteri Malim yang jelita telah meludah sambil berkata:
”Wanita buruk inikah ibumu, mengapa kau membohongi aku?”

Disebabkan terlalu malu kepada isterinya, Malim terus menendang ibunya sambil berkata:
”Hoi perempuan buruk, ibuku bukan seperti engkau.”

Selepas itu Malim bersama isterinya terus belayar dengan kapalnya meninggalkan Desa Air Manis dan setelah melihat kapal kenaikan anaknya semakin jauh di tengah laut, orang tua itu terlalu sedih atas perbuatan anaknya.
Sumpahan Ibu
Dengan linangan air mata, akhirnya dia menadah tangan ke langit sambil berseru dengan hati yang amat sedih dan pilu:
”Oh Tuhanku Yang Maha Kuasa, kalau memang benar dia anakku Malim Kundang, aku sumpah dia menjadi batu.”


Tidak lama kemudian, tiba-tiba datanglah angin kencang dengan ombak besar bergulung-gulung hingga larut malam dan apabila matahari pagi memancar sinarnya, di kaki bukit di pinggir Desa Air Manis ternampak kepingan kapal yang telah menjadi batu.Hingga kini batu Malim Kundang di pinggir bukit Desa Air Manis terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara dan bukit Desa Air Manis menjadi saksi peristiwa tersebut.

No comments: