PORT-AU-PRINCE – Seorang mangsa gempa bumi yang tertimbus selama 27 hati tetapi ditemui pada Isnin lalu di Haiti, Evans Monsigrace, 28, dapat hidup kerana minum sedikit air dan buah-buahan semasa dia terperangkap, kata seorang doktor kelmarin.
Pengakuan lelaki itu yang bekerja sebagai pengedar beras mulanya gagal disahkan manakala doktor meragui cerita dua orang yang menyelamatkannya namun kisah Monsigrace itu makin dipercayai setelah mangsa sendiri menceritakan detik pengalamannya.
Kata lelaki itu, dia baru selesai menjual beras pada hari kejadian 12 Januari lalu di sebuah pasar di pinggir bandar Port-au-Prince dan terperangkap di satu kawasan tumpuan peniaga makanan dan minuman yang menjual barangan mereka.
“Berdasarkan cerita itu, kami mula percaya,” kata Dr. Dushyantha Jayaweera dari Universiti Miami yang bertugas di sebuah hospital yang menempatkan ratusan pesakit sejak gempa bumi itu berlaku pada bulan lalu.
Sekumpulan doktor berkata, dua lelaki membawa mangsa ke sebuah pusat perubatan milik pertubuhan sukarelawan di sini pada Isnin lalu dan Monsigrace kemudian dibawa ke Hospital Universiti Miami itu kerana keadaan dirinya kritikal.
Lelaki yang menghantar pengedar beras itu juga mengakui mangsa ditemui terperangkap dihempap runtuhan dan mangsa didapati menderita kekeringan air dalam badan selain kekurangan zat makanan.
“Tiada orang hidup setelah 28 hari tanpa air tetapi anda boleh hidup selama sembilan minggu tanpa makanan,” kata seorang pegawai media Universiti Miami di Haiti, Nery Ynclan.
Pemerintah Haiti kelmarin mengesahkan angka kematian rasmi setakat ini sudah mencecah 230,000 orang. – AP
No comments:
Post a Comment