Thailand tarik balik pengampunan

BANGKOK - Kerajaan Thailand, kelmarin, menarik balik rancangan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra selepas pendedahan mengenai perkara itu menimbulkan bantahan keras banyak pihak.

Menteri Undang-Undang Thailand, Pracha Promnok berkata, usul cadangan pengampunan diraja terhadap banduan sempena ulang tahun keputeraan Raja Thailand ke-84 pada 5 Disember depan tertakluk kepada syarat tertentu.

Menurutnya, syarat itu termasuk larangan pengampunan terhadap pesalah yang dihukum atas kesalahan dadah, rasuah dan banduan yang melarikan diri.

Laporan awal media Thailand menyebut cadangan pengampunan yang dibincangkan secara sulit dalam mesyuarat Kabinet, minggu lalu, dilihat sebagai persediaan membawa pulang Thaksin yang kini hidup dalam buangan di Dubai.

Pracha menafikan laporan media itu kelmarin, iaitu beberapa jam selepas Thaksin menulis surat peribadi bagi menjelaskan kepada rakyat Thailand bahawa beliau tidak berhasrat menerima pengampunan diraja seperti yang didakwa.

Pada 2008, Thaksin dijatuhi huku-man penjara dua tahun oleh Mahkamah Agung atas kesalahan menyalahguna kuasa sebagai perdana menteri kerana membantu bekas isterinya membeli sebidang tanah milik negara di Bangkok pada 2003.

Thaksin kemudian melarikan diri dari Thailand sebelum keputusan diumumkan.