Portal WowKeren.com me­laporkan, gadis manis tersebut yang sebelum ini tidak dikenali sesiapa mula menjadi sebutan pengguna media sosial di Indonesia kerana rupa parasnya yang ayu dan keadaan hidupnya yang miskin serta menjaja di kaki lima jalan.
Dengan tidak disangka-sangka nasib Ninih mula berubah dengan mendadak, seumpama durian runtuh.
Tidak seperti kebanyakan penjaja jalanan, Ninih dikatakan bertuah kerana dianugerahkan rupa paras yang jelita dan sangat menggoda sesiapa yang memandang­nya.
Sejak gambarnya tersebar di internet, kehidupan gadis berusia 18 tahun dari Indramayu itu seumpama selebriti terkenal kerana sering menjadi perhatian orang.
Sebelum ini Ninih atau nama sebenarnya Turinih dilaporkan berniaga makanan ringan bersama kakaknya.
Antara makanan ringan yang dijual mereka ialah getuk (kuih tradisional diperbuat daripada ubi) untuk sarapan.
Ninih mula mendapat beberapa tawaran menjadi artis terkenal daripada beberapa syarikat rakaman dan produksi selain diundang di beberapa rancangan bual bicara televisyen.
“Saya ada terima tawaran menjadi artis tapi saya perlu fikirkan terlebih dahulu tawaran itu. Sebuah syarikat produksi ada membuat tawaran tapi tidak perlu tergesa-gesa untuk menerimanya,” kata Ninih yang mengakui berminat untuk menjadi tenaga kerja wanita (TKW) di Taiwan.
Sementara menanti panggilan temuduga bagi mengikuti tawaran TKW di Taiwan, Ninih masih berniaga ubi seperti biasa dan memenuhi jemputan bual bicara dari media Indonesia.