Pages

Tuesday, November 20, 2012

Ibu pejabat polis Hamas sasaran terbaru Israel



Ibu pejabat polis Hamas sasaran terbaru Israel
Ibu Pejabat Polis Abbas ranap selepas dibedil Israel awal pagi, semalam.
GAZA CITY - Serangan Israel ke atas Gaza memasuki hari keenam dengan menyaksikan pertempuran sengit terus tercetus semalam, apabila serangan udara membedil Ibu Pejabat Polis Abbas.
Bedilan itu adalah serangan kedua terbesar selepas Pejabat Presiden Palestin, Ismail Haniyeh musnah dalam bedilan kelmarin.
Jurucakap polis berkata, kejadian itu menyebabkan banyak kediaman dan bangunan di kejiranan Rimal rosak termasuk berpuluh kenderaan.
“Ratusan penduduk awam mengalami kecederaan namun tiada kematian dilaporkan setakat ini,” katanya.
Minggu lalu, serangan udara Israel turut meranapkan Ibu Pejabat Polis Arafat, yang menempatkan kemudahan utama anggota polis Hamas. - AFP

Isu Gaza: Rusia dakwa AS halang usaha PBB



72 maut sejak Rabu, Palestin mahu komuniti antarabangsa bantu
Anggota bomba memadam kebakaran susulan serangan Israel ke atas sebuah rumah di Gaza City,baru-baru ini. - Foto ihsan Reuters
NEW YORK - Rusia mendakwa Amerika Syarikat menghalang usaha Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam konflik Israel-Palestin di Semenanjung Gaza yang semakin  meningkat.
Moscow juga mendakwa anggota-angota lain majlis tersebut melengah-lengahkan isu terbaru berhubung serangan Israel yang bermula Rabu lalu.
Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin berkata, beliau bersedia untuk membawa satu resolusi iaitu satu langkah yang lebih tegas berbanding hanya satu kenyaatan biasa bagi menghentikan konflik semasa dan memperlihatkan sokongan ke atas usaha mencapai jalan penyelesaian dibawa pihak serantau dan antarabangsa.
Dipetik Reuters, Churkin berkata, beliau akan merangka satu resolusi jika persetujuan boleh dicapai bersama 15 anggota Majlis Keselamatan mengenai kenyataan dibuat yang diluluskan secara konsensus.
Resolusi akan diluluskan jika menerima sokongan sembila negara tetapi tidak harus ada veto oleh anggota kekal, yang terdiri daripada Russia, China, Britain, AS dan Perancis.
"Jika satu anggota Majlis Keselamatan, yang saya pasti anda boleh meneka yang mana satu, telah membayangkan mereka tidak bersedia untuk mengikut sebarang reaksi Majlis Keselamatan," kata Churkin merujuk kepada AS.
Katanya, pendirian AS itu akan menjejaksan usaha-usaha semasa dibawa oleh Mesir dan negara-negara serantau.

Israel terus mengganas



2012/11/20 - 05:19:02 AM
  Foto

Penduduk melihat kemusnahan rumah keluarga al-Dallu selepas jet Israel melancarkan peluru berpandu.

Foto
Doktor memeriksa mayat empat kanak-kanak ahli keluarga al-Dallu, mangsa serangan Israel di Gaza. - Foto AP

Gaza: Mereka kata Mohammed masih hidup! jerit Khalil al-Dallu ketika penyelamat menarik mayat seorang pemuda dari sebuah kediaman musnah dek serangan udara Israel.

Seramai 29 lagi penduduk Gaza maut lewat kelmarin hingga semalam ketika operasi Israel masuk hari ke-6 yang digelar Pillar of Defence (Operasi Tunjang Pertahanan).

Khalil mengalirkan air mata apabila dimaklumkan bahawa sepupunya itu antara enam ahli keluarga al-Dallu yang maut selepas peluru berpandu Israel menggegarkan kawasan kejiranan Nasser, meruntuhkan kediaman tiga tingkat mereka.

Keluarga kami syahid! tangis beliau ketika mayat Mohammed al-Dallu dimasukkan ke dalam ambulans.

Apa dosa kanak-kanak dan bayi ini, Israel? jerit beliau. Sebelas mayat ditarik dari runtuhan bangunan itu dan kawasan sekitar.

Mayat isteri Mohammed, Suheila juga ditemui selain lima anak mereka, Jamal, Sara, Yussef, Ranin dan Ibrahim.

Mayat seorang wanita lain yang juga ahli keluarganya turut ditarik keluar. Serangan turut membunuh dua lagi jiran mereka dari keluarga Muzzana iaitu Amina Mattar, 83 dan Abdullah Mohammed, 22.
Bapa Mohammed, Jamal dan anak lelakinya, Abdullah, 17, terselamat. Ketika serangan mereka keluar membeli makanan.

Jamal sekadar mampu bersandar pada tiang elektrik sambil saudaranya memenuhi kawasan sekitar ketika cebisan mayat cucunya dikutip di kawasan yang pernah menjadi kediaman mereka.

Dalam keadaan yang hampir histeria kerana terlalu marah dan sedih, Ibrahim menjerit: Jangan beritahu abangnya Abdullah. Trauma akan membunuhnya! Abdullah, 26 pada masa ini belajar di Turki dalam bidang perubatan.

Di Ramallah, pergerakan Fatah dan Hamas memutuskan untuk bersatu ketika krisis berlangsung di Gaza.

Sesiapa yang kata kami tidak bersepakat adalah penjenayah mulai hari ini, kata pemimpin kanan Hamas, Mahmud al-Ramahi ketika 1,000 orang berhimpun membantah keganasan Yahudi.

Mulai sekarang, kami umumkan tiada lagi perpecahan, kata pegawai kanan Fatah, Jibril Rajoub.
AFP

Kapsul Soyuz mendarat di Kazakhstan




BEBERAPA petugas memeriksa kapsul roket Soyuz TMA-05M yang membawa pulang tiga kru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa semalam.


ALMATY - Seramai tiga angkasawan yang menaiki kapsul roket Soyuz TMA-05M mendarat dalam persekitaran gelap dan sejuk di pedalaman Kazakhstan semalam selepas berada selama 125 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Angkasawan Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Sunita Williams, kosmonaut Rusia Yury Malenchenko dan angkasawan agensi angkasa lepas Jepun, Aki Hoshide mendarat pada pukul 7.56 pagi waktu tempatan di timur laut bandar Arkalyk.
Sebanyak lapan buah helikopter membawa sejumlah kru mencari dan menyelamat dihantar untuk menghulurkan bantuan selepas kapsul mereka tersasar sedikit dari lokasi pendaratan sepatutnya.
" Bagi saya, semuanya berada dalam keadaan baik," kata Williams kepada kru penyelamat berkenaan.
Seramai tiga angkasawan lain terus berada di ISS dan akan disertai angkasawan NASA, Tom Marshburn, angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, Chris Hadfield dan kosmonaut Rusia, Roman Romanenko pada bulan depan.
Setakat ini, kapal angkasa Soyuz merupakan satu-satunya pengangkutan untuk membawa angkasawan antarabangsa ke ISS sejak perkhidmatan kapal angkasa Shuttle milik Amerika Syarikat berakhir pada 2011. - Agensi

Puting beliung air landa pantai



SEBUAH kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pantai di Teluk Batemans, Australia ketika puting beliung air berlaku kelmarin.


SYDNEY, Australia - Satu kejadian puting beliung air gergasi dilihat di kawasan pantai Teluk Batemans yang terletak sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya ini kelmarin, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Fenomena alam semula jadi itu terbentuk apabila puting beliung berlaku di atas permukaan laut.
Puting beliung air boleh bergerak selaju 128 kilometer sejam (km/j) dengan pusaran anginnya pula bertiup pada kelajuan antara 96 km/j hingga 192 km/j.
Ribut berkenaan boleh menyebabkan kemusnahan besar pada terumbu karang, hidupan marin dan mengancam bot, pesawat serta perenang.
Walaupun jarang berlaku di Australia, empat puting beliung air gergasi pernah dilihat di Pantai Avoca di sini pada Mei tahun lalu. - Agensi

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang



PENDUDUK Palestin berkumpul melihat sebuah rumah yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza.


GENTING GAZA - Serangan udara tentera Israel yang masuk hari keenam semalam meragut 13 lagi nyawa warga Palestin menjadikan angka korban keseluruhan kini meningkat kepada 96 orang.
Serangan itu berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang giat dilakukan oleh para pemimpin antarabangsa bagi menamatkan kekejaman Zionis.
Serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Genting Gaza kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan, pihaknya telah berjaya mengambil alih sebuah program stesen televisyen milik Hamas.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penganalisis politik berkata, pemimpin Israel berpuas hati dengan kejayaan Operation Pillar of Defence yang dilancarkan pada Rabu lalu bertujuan untuk menghentikan tembakan roket pejuang Hamas.
Operasi tersebut melibatkan serangan udara bertubi-tubi ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Sejak keganasan ke atas Genting Gaza bermula, Israel tidak henti-henti melakukan serangan udara dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun serangan udara kian berkurangan sejak Jumaat.
Sehingga semalam, pihak tentera Israel berkata, ia telah membedil lebih daripada 1,350 kawasan Gaza manakala pejuang Hamas telah menembak lebih 850 roket ke Tel Aviv dan satu ke Baitulmuqaddis.
Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya kini bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Stesen radio awam melaporkan seramai 40,000 pasukan tentera simpanan kini bersiap sedia berhampiran sempadan Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, usaha damai yang dikelolakan pihaknya sedang berjalan dan peluang untuk menamatkan peperangan adalah cerah.
"Rundingan sedang berjalan sekarang ini dan saya berharap kami akan mencapai sesuatu bagi membolehkan keganasan dihentikan," kata Hisham dalam satu wawancara di Kaherah. - Agensi