Pages

Showing posts with label lelong. Show all posts
Showing posts with label lelong. Show all posts

Saturday, April 7, 2012

Pekan terkecil di AS dilelong




Pekan Buford seluas 1.6 hektar, pekan terkecil di Amerika di lelong pada harga AS$900,000


SALMON 6 April – Sebuah pekan terkecil di Amerika Syarikat (AS) dijual pada harga AS$900,000 (RM2.7 juta) kepada seorang pembeli dari Vietnam selepas 11 minit dilelong dalam internet, semalam.
Pekan Buford, terletak di tenggara Wyoming antara Cheyenne dan Laramie, hanya mempunyai seorang penduduk, telah menarik minat ramai pembida daripada 46 negara semasa ia mula dilelong.
Firma jualan lelong di Oklahoma, Williams & Williams berkata, pembeli tersebut yang dirahsiakan namanya, berlepas dari Vietnam ke Wyoming untuk membeli pekan terbabit yang mempunyai kawasan seluas 1.6 hektar dan turut mempunyai kemudahan kedai, stesen minyak dan rumah.
“Memiliki harta di AS merupakan impian saya,” kata pembeli terbabit dalam satu kenyataan.
Satu-satunya penduduk di pekan itu, Don Sammos, berpindah bersama isterinya, Terry ke Buford dari Los Angeles pada 1980.
Pada 1992, enam tahun selepas kematian isterinya, Sammons membeli pekan terbabit dan menukar nama pekan berkenaan, Interstate 80 kepada Buford, sempena nama pegawai tentera Perang Saudara AS, Jeneral John Buford.
Lelaki berusia 61 tahun itu memutuskan untuk menjual pekan tersebut kerana mahu berpindah dekat rumah anak lelakinya di Colorado.
“Keluarga saya tiada lagi di sini. Tujuan saya berpindah ke sini telah selesai dan kini saya mahu mencuba cabaran lain,” katanya. – REUTERS

Monday, January 23, 2012

Senjata Bonnie & Clyde dilelong



PASANGAN penjenayah era 1930-an, Bonnie Parker berseloroh mengacukan senapang patah kepada kekasihnya, Clyde Barrow dalam gambar fail pada 1933. - AGENSI


KANSAS CITY 22 Jan. - Sebuah firma lelongan Amerika Syarikat (AS) semalam memperoleh lebih AS$200,000 (RM621,000), hasil jualan dua senjata milik pasangan penjenayah AS, Bonnie Parker dan Clyde Barrow yang terkenal dengan kegiatan rompakan pada tahun 1933.
Firma lelongan Mayo Auction and Realty dalam laman webnya berkata, selaras senapang patah dijual dengan harga AS$80,000 (RM248,400) dan selaras sub mesingan jenis Tommy pula bernilai AS$130,000 RM(403,650).
Katanya, kedua-dua senjata itu dibeli secara talian oleh seorang pembida yang enggan dikenali dari Pantai Timur AS.
Senjata tersebut dirampas dalam serbuan di bandar Joplin, Missouri pada April 1933 dan diserahkan kepada pihak polis.
Penjual barangan itu merupakan cucu kepada satu daripada anggota polis yang menerima senjata terbabit.
Beberapa bulan sebelum serbuan tersebut, kedua-dua pasangan itu menculik seorang anggota polis bernama Thomas Persell yang menceritakan semula detik-detik diculik kepada akhbar Springfield Daily News dengan mengatakan Bonnie menggunakan sub mesingan Tommy.
Bonnie dan Clyde ditembak mati oleh pihak polis pada 1934. - DPA

Sunday, July 10, 2011

Beli gelas RM1.92, jual semula RM90,779


TIGA gelas pada abad ke-18 yang dilelong pada harga RM90,779 selepas dibeli dengan kos RM1.92 oleh seorang wanita di Portsmouth.


LONDON - Seorang wanita terkejut apabila mendapati tiga gelas yang dibelinya pada satu jualan but kereta dengan harga 40 pence (RM1.92) satu gelas di Portsmouth berjaya dilelong pada harga £18,880 (RM90,779), lapor sebuah akhbar semalam.
Selepas dia membeli gelas itu, wanita tersebut membawanya ke sebuah firma lelongan di Chichester, Sussex Barat untuk mendapatkan pandangan pakar mengenai nilainya.
Wanita itu meminta maaf kepada beberapa kakitangan firma itu jika tindakannya membawa gelas murah tersebut akan merugikan masa mereka.
Namun, kakitangan itu mendapati, gelas itu bernilai tinggi kerana ia dihasilkan oleh pembuat gelas terkenal pada abad ke-18, William Beilby.
Ia dilelong oleh firma Stride and Son pada harga pada harga £18,880 termasuk yuran yang dibeli oleh seorang pembeli. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Monday, June 20, 2011

Gambar Billy the Kid bakal dilelong RM3.03j




GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan wajah Billy the Kid.


DENVER - Sekeping gambar seorang koboi yang paling terkenal pada tahun 1800-an, Billy the Kid akan dilelong di sini pada minggu depan, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar yang menunjukkan Billy the Kid sedang berdiri itu dijangka dilelong pada harga setinggi AS$400,000 (RM1.21 juta) hingga AS$1 juta (RM3.03 juta).
Imej Billy the Kid yang nama sebenarnya William Henry McCarty itu dirakamkan di luar sebuah salun di Fort Summer, New Mexico.
Pakar-pakar menganggarkan bahawa gambar tersebut dirakamkan pada 1879.
Namun, selepas 132 tahun, ia dianggap sebagai gambar yang paling terkenal dalam dunia koboi.
Billy the Kid memberikan gambar itu kepada seorang rakannya, Dan Dedrick.
Ia kemudian disimpan oleh keluarga Dedrick sehingga abad ke-20.
Gambar yang berusia 132 tahun itu pernah dipamerkan di Muzium Daerah Lincoln di New Mexico pada 1986 dan 1998.
Billy the Kid mati ditembak oleh Syerif Pat Garrett pada 14 Julai 1881.
Dia dianggap sebagai seorang pembunuh yang tidak bertimbang rasa yang mati semasa berusia 21 tahun.
Billy the Kid dikatakan telah membunuh 21 lelaki, seorang bagi setiap tahun sejak dia berumur 12 tahun. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Wednesday, June 15, 2011

Tulang dinosaur 'bermusuh' dilelong


Sepasang tulang dinasour yang 'bermusuh', Allosaurus dan Stegasaurus dijual kepada sebuah muzium pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).


DALLAS - Tulang dua ekor dinasour yang lengkap dan berkualiti tinggi telah dilelong, sebelum berjaya dijual kepada sebuah muzium pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).
Dilelong oleh rumah lelongan Heritage Auctions, tulang dua ekor dinasour yang setinggi 5.79 meter itu adalah daripada keluarga dinasour triceratops.
Diperoleh daripada seorang pengumpul pada harga AS$657,250 (RM1.9 juta), dinasour Allosaurus dan Stegasaurus dikatakan bermusuh kerana rahang Allosaurus ditemui di bahagian kaki Stegasaurus, sekali gus membawa teori dua pemangsa itu terlibat dalam pergaduhan.
Lelongan yang berlangsung di Dallas tersebut melibatkan lebih 200 barangan. Antaranya batu meteorit, mineral dan fosil-fosil.
Heritage Auctions enggan mendedahkan muzium mana yang membeli tulang dinasour itu. Ia bagaimanapun menyatakan muzium tersebut terletak di luar Amerika Syarikat (AS).
"Saya gembira kerana pasangan dinasour ini mendapat 'rumah' yang baru. Ia merupakan spesimen era Jurassic yang ikonik dan penting. Kini, ia akan pergi ke destinasi terakhir dan orang ramai berpeluang melihatnya secara dekat," kata pengarah sejarah semula jadi Heritage Auctions, David Herskowitz. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Thursday, March 3, 2011

Peugeot milik Presiden Iran dibeli RM7.5 juta




KETUA Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari (dua dari kanan) membuka pintu untuk Mohammad Isari (kanan) yang mewakili seorang pelanggannya yang membeli kereta Peugeot 504 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Abadan kelmarin.


TEHERAN - Sebuah kereta Peugeot 504 keluaran tahun 1977 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dijual pada harga AS$2.5 juta (RM7.5 juta) dalam satu lelongan antarabangsa kelmarin, kata laman web Pertubuhan Kebajikan Iran.
Sebuah syarikat yang membeli kereta itu tidak mahu identitinya didedahkan, kata kenyataan pertubuhan berkenaan selepas lelongan tersebut berlangsung di bandar Abadan, barat daya Iran.
"Klien saya membeli kereta itu kerana meminati Mahmoud yang mengamalkan pendirian yang bencikan keangkuhan dan fahaman Zionisme," kata seorang peguam Mahmoud Esari.
Beliau mewakili syarikat berkenaan untuk membeli kereta itu dalam satu majlis lelongan di Abadan kelmarin.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari memberitahu, lebih sejuta pembida mendaftar di laman web bidaan tersebut.
Katanya, terdapat juga bidaan-bidaan yang datang dari Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.
Pada 1 Januari lalu, Mahmoud melancarkan laman web www.ahmadinejad-car.com untuk mengundang bidaan antarabangsa untuk kereta itu.
Hasil jualan kereta tersebut akan digunakan bagi membiayai pembinaan 6,000 kediaman untuk wanita miskin dan golongan tidak berkemampuan. - AFP

Friday, February 11, 2011

Motosikal dilelong serendah RM30




KONG MENG (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada motosikal yang dilelong di IPD Timur Laut, George Town semalam.


GEORGE TOWN – Serendah RM30. Itulah nilai lelongan sebuah motosikal jenis Honda Cub pada acara lelongan awam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini semalam.
Motosikal itu adalah sebahagian daripada 118 buah kenderaan termasuk kereta yang merupakan barang kes dan barang yang tidak dituntut pemilik.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, sejumlah RM11,830 berjaya dikutip dalam acara lelongan tersebut.
Katanya, ia meliputi 111 buah motosikal dengan nilai jualan RM9,180, enam kereta (RM2,290) dan sebuah van (RM360) yang kebanyakannya disimpan sejak tiga tahun lalu.
“Nilai lelongan tertinggi ialah kereta Nissan Cefiro pada harga RM710,” katanya.
Menurutnya, selain jenama Honda, motosikal yang turut dilelong ialah Yamaha, Kawasaki, Suzuki dan Modenas manakala kereta pula model Nissan Cefiro, Volvo dan Honda Accord.Kosmo! Online - Negara

Thursday, December 16, 2010

Ferrari dilelong kurang RM311,655



KERETA Ferrari 348 TS yang dilelong di Adelaide kelmarin.


SYDNEY - Sebuah kereta Ferrari 348 TS yang dirampas polis daripada seorang pengedar dadah berusia 32 tahun pada 2008, dijual kurang A$100,000 (RM311,655) dalam satu lelongan di Adelaide, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya, ia dinilai pada harga kira-kira A$142,000 (RM442,320) di bawah harga sebenar kereta itu A$260,000 (RM809,794).
Kereta sport itu dilelong selepas Mahkamah Daerah Australia Selatan mengarahkan ia dirampas.
Semasa dilelong, harga bidaan tertinggi hanya A$75,000 (RM233,670).
Bagaimanapun, selepas rundingan diadakan, pembeli yang berjaya dipercayai membeli Ferrari itu pada harga kurang A$100,000.
Selepas lelongan itu, seorang pegawai polis, Greg Hutchins menyatakan wang hasil lelongan tersebut akan digunakan untuk membantu mangsa-mangsa penjenayah. - Agensi

Tuesday, December 7, 2010

Sarung tangan Jacko dilelong RM1.03 juta



SARUNG tangan Jacko yang dilelong RM1.03 juta.


BEVERLY HILLS, CALIFORNIA - Satu sarung tangan terkenal milik Raja Pop, mendiang Michael Jackson yang merupakan salah satu barangan dilelong pada harga AS$330,000 (RM1.03 juta) kelmarin.
Sarung tangan itu dipakai oleh Michael yang popular dengan panggilan Jacko semasa melakukan konsert jelajah, Bad.
Jaket milik Jacko yang memiliki tandatangannya pula dilelong pada harga AS$96,000 (RM302,256) dan topi dilelong pada harga AS$72,000 (RM226,692).
Barangan menarik lain yang dilelong itu adalah x-ray otak saintis terkenal, mendiang Albert Einstein yang dilelong AS$38,750 (RM122,004).
Botol ubat milik selebriti mendiang Marilyn Monroe turut dilelong pada harga AS$18,750 (RM59,034). - Agensi

Tuesday, November 23, 2010

Presiden Iran lelong kereta Peugeot miliknya



TEHERAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.
Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.
"Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa," kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.
Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.
Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu. - AFP

Seni tulisan Cina dilelong RM142.71 juta




GAMBAR menunjukkan skrip seni tulisan Cina yang dilelong RM142.71 juta di Beijing kelmarin.


BEIJING - Satu seni tulisan Cina di atas kain sutera dilelong di Beijing pada harga AS$46 juta (RM142.71 juta), lapor agensi berita Xinhua semalam.
Tulisan Cina itu merupakan salinan hasil kerja Wang Xizhi yang hidup pada 303 hingga 361 Tahun Masihi.
Namun, tulisan Cina yang dilelong kelmarin disalin daripada dinasti Tang yang memerintah pada 618 hingga 907 Tahun Masihi.
Pihak pelelong, China Guardian tidak memberikan maklumat mengenai pembeli seni tulisan Cina itu. - AFP

Thursday, November 4, 2010

Lukisan bogel dilelong RM213 juta




LUKISAN seorang wanita bogel yang dihasilkan oleh Amedeo Modigliani di New York kelmarin.


NEW YORK - Satu lukisan seorang wanita bogel yang dihasilkan oleh Amedeo Modigliani dilelong di sini pada harga AS$68.9 juta (RM213 juta) kelmarin.
Rumah Lelongan Sotheby's menyatakan lima pembida bersaing untuk membeli lukisan yang berjudul La Belle Romaine itu.
Lukisan itu pada awalnya dilelong pada harga AS$40 juta (RM123 juta).
Pembeli lukisan baru itu tidak didedahkan.
Pelukis lukisan itu hidup di antara 1884 hingga 1920.
Pada mulanya, pelukis itu menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja mengukir tetapi mengubah untuk melukis kerana masalah kesihatan. - Agensi