Tujuh orang sekeluarga menunggang sebuah motosikal di China menjadi viral dan popular di Internet. - Agensi
Kesemua tujuh orang pembonceng termasuk seorang penunggang motosikal itu dikesan menaiki sebuah motosikal itu ketika me­reka dalam perjalanan ke pusat ban­dar di wilayah Jiangxi, China, lapor Mail Online yang memetik portal berita, People Daily Online.
Beberapa keping gambar yang dirakam menunjukkan seorang pe­nunggang wanita duduk di tengah-tengah, manakala lima orang kanak-kanak dan seorang wanita warga tua duduk berhimpit-himpit di hadapan dan belakang, selain berpaut antara satu sama lain, lapor People Daily Online.
Keluarga itu dilaporkan sedang dalam perjalanan dari sebuah per­kam­pungan terpencil ke sebuah ban­dar di wilayah Jiangxi pada 27 September lalu.
Lebih mengejutkan lagi apabila ada beberapa gambar yang dimuat naik di Internet itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang paling kecil duduk antara hendal motosikal, manakala seorang kanak-kanak lagi duduk di atas riba penunggang motosikal berkenaan.
Di belakang penunggang itu, pu­la membonceng dua kanak-kanak, seorang nenek dan seorang remaja pe­rempuan. Bagaimanapun indentiti keluarga tersebut masih tidak diketahui.
Sebahagian pengguna Internet yang menyaksikan gambar keluarga tersebut menyamakan kejadian luar biasa itu seperti aksi pertunjukan sarkas, manakala sebahagian pengguna lagi mengkritik penunggang motosikal itu yang meletakkan ahli keluarganya dalam bahaya.
Komuniti dalam talian di China, bagaimanapun kagum dengan gambar-gambar yang dipaparkan dan menyamakan perjalanan keluarga itu dengan satu persembahan sarkas yang menghiburkan.
Seorang pengguna Internet ber­kata; “Aksi itu merupakan satu bakat.”
Namun, seorang pengguna lain mengkritik: “Jika anda mahu mati, tinggalkan anak-anak di rumah!”