

PARIS - Bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berkata, hubungan seksnya dengan seorang pembantu hotel di New York dilakukan secara sukarela tetapi mengakui perbuatan itu sesuatu yang bodoh.
Luahan Strauss-Kahn itu dibuat menerusi buku biografinya yang mula dipasarkan, semalam.
Buku tulisan Michel Taubmann itu menceritakan mengenai skandal seks dihadapi bekas menteri kewangan Perancis itu sehingga menyebabkan kariernya sebagai ketua IMF tamat dan memusnahkan impiannya untuk bertanding dalam pilihan raya Perancis, tahun depan.
“Semua ini tidak akan berlaku kalau saya tidak mengadakan hubungan seks dengan Nafissatou Diallo,” menurut Strauss-Kahn dalam buku itu.
Strauss-Kahn ditahan di lapangan terbang New York, beberapa minit sebelum beliau berlepas ke Perancis dan didakwa cuba merogol Diallo, 14 Mei lalu.
Namun, semua dakwaan ke atasnya digugurkan pendakwa raya dan beliau kembali ke negara asalnya, Perancis sebelum berhadapan dengan satu lagi kes serangan seksual yang kemudian turut digugurkan mahkamah Paris.
KULAIJAYA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam keadaan menyayat hati setelah tubuhnya terputus dua akibat dirempuh sebuah bas persiaran di KM 49.9
Lebuhraya Utara-Selatan di Sedenak, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Kejadian itu menyebabkan bahagian pusat hingga kaki mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala bahagian kepala hingga perutnya tersangkut pada bahagian hadapan bas yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bahru-Singapura.
Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
Salah seorang penumpang, Valambal, 60 berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum terjatuh dari tempat duduknya dan terhumban ke arah hadapan bas bersama beberapa penumpang lain.
“Dia (pemandu) tidak dapat mengelak pekerja berkenaan lalu melanggarnya sebelum memberhentikan bas dan ketika itu ramai penumpang yang terjatuh ke hadapan bas.
“Ketika kejadian saya duduk di barisan ketiga di belakang pemandu, yang lain-lain (penumpang) selamat dan hanya alami luka ringan,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, namun berjaya mengawal kenderaan daripada menyebabkan terbalik ke bahu jalan.
“Kejadian ini mengejutkan saya, namun saya berasa sedikit lega kerana selamat mengelak dari melanggar pembahagi jalan dan mengawal kenderaan supaya tidak terbalik,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada pemandu bas yang melanggar lori kenderaan pekerja yang sedang menjalankan kerja pembaikan pada bahu jalan terbabit.
Katanya, kesemua 20 penumpang dan pemandu terselamat.
KUALA LUMPUR - Sembilan mangsa banjir termasuk tiga warga emas di Kajang berjaya diselamatkan apabila rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata mangsa berada di rumah ketika air mula menaiki rumah mereka.
"Kesemua mangsa kita selamatkan di kawasan perumahan di Kampung Sungai Kantan dan Jalan Kelapa di mana mereka tidak sempat melarikan diri bila banjir berlaku," katanya ketika dihubungi.
Beberapa kawasan di Kajang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira 4 petang tadi.
Kawasan yang terlibat ialah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang, Jalan Jeluk, Sungai Kantan, Jalan Semenyih dan Jalan Kelapa.
Mohamad Sani berkata di Sungai Kantan, air naik setinggi 1.5 meter manakala di tempat lain pada paras paha.
"Bomba menerima panggilan pada pukul 3.51 petang sebelum sampai dalam masa 10 minit bersama 14 anggota termasuk pegawai dari balai Kajang dan Cheras.
"Banjir surut kira-kira dua jam kemudian. Beberapa buah kereta serta motosikal rosak akibat ditenggelami air banjir," katanya. - Bernama
DUBAI: Amnesty International semalam menuduh Arab Saudi menjalankan kempen menindas terhadap penunjuk perasaan dan aktivis pembaharuan sejak Kebangkitan Arab meletus.
“Sembilan bulan lalu telah menyaksikan gelombang baru penindasan di Arab Saudi dengan pihak berkuasa bertindak menindas penunjuk perasaan dan aktivis pembaharuan atas alasan keselamatan,” kata kumpulan hak asasi manusia itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Pengarah Amnesty Asia Barat dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, mereka yang menunjuk perasaan secara aman menjadi sasaran dalam usaha untuk menyekat pembaharuan di seluruh rantau itu.
“Meskipun, alasan yang diberikan untuk mewajarkan tindakan itu mungkin berbeza, pendekatan penindasan yang digunakan kerajaan Saudi mencetuskan kebimbangan, sama seperti yang mereka gunakan sejak sekian lama ke atas orang yang dituduh melakukan kesalahan keganasan,” katanya.
Arab Saudi terkecuali daripada kekacauan seperti yang melanda dunia Arab lain hingga menggulingkan pemimpin kuku besi di tiga negara, Tunisia, Mesir dan Libya.
Amnesty juga menuduh pihak berkuasa Saudi menahan beribu-ribu orang, sebahagian besarnya tanpa tuduhan atau perbicaraan, atas alasan yang ada kaitan dengan keganasan. “Penyeksaan dan layanan kejam dalam tahanan terus berleluasa,” kata kumpulan hak asasi yang berpusat di London itu. - AFP
KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun menyangka bapanya tertidur ketika memandu sedangkan lelaki berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.
Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.
Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.
Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.
Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.
“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.
“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian dan menganggapnya sebagai takdir,” katanya.
Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.
“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.
“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.
“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.
Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan.
KAHERAH: Adik Presiden Syria, Bashar al-Assad, beberapa menteri dan jutawan telekomunikasi, Rami Makhluf, termasuk dalam senarai tokoh penting yang menjadi sasaran sekatan Liga Arab.
Menerusi sekatan ekonomi yang dipersetujui 22 negara anggota pertubuhan itu Ahad lalu, mereka akan dilarang bergerak di rantau itu dan semua aset mereka di negara Arab akan dibeku, jika senarai itu dsahkan pada satu mesyuarat di Doha. Mesyuarat itu akan dihadiri oleh menteri dari Qatar, Algeria, Oman dan Sudan di Doha hari ini.
Beberapa negara lain dipelawa tetapi Iraq sudahpun memaklumkan ia akan memulaukan keputusan Liga Arab itu.
Antara mereka yang termasuk dalam senarai itu ialah Maher al-Assad, adik Bashar, sepupunya, Makhluf, Menteri Pertahanan, Jeneral Daood Rajha, Menteri Dalam Negeri, Mohammed Ibrahim al-Shaar dan beberapa pegawai kanan tentera dan perisikan. -AP
VIENNA: Seorang wanita Sweden membuka sekolah seks antarabangsa pertama di dunia dengan menawarkan ilmu menjadi kekasih yang lebih baik.
Dengan kos kira-kira RM6,900 untuk satu semester, Sekolah Seks Antarabangsa Austria di Vienna itu menerima penuntut yang berminat mengetahui selok-belok menjadi kekasih yang memuaskan pasangan.
Media semalam melaporkan, Ylva-Maria Thompson menawarkan ilmu menggoda secara praktikal kepada sesiapa yang berminat.
Menurutnya, sesiapa saja yang berusia lebih 16 tahun layak menyertai ‘kolej seksual amali pertama di dunia’ itu.
“Penuntut akan tinggal dalam blok penginapan yang bercampur lelaki dan perempuan bagi membolehkan segala ilmu yang dipelajari dicuba,” katanya.
Menurut Ylva-Maria, pendidikan asas yang diberikan bukan berbentuk teori, sebaliknya praktikal. - DM
MUMBAI: Dua petani yang bosan dengan tuntutan rasuah pegawai kerajaan, meletakkan tiga guni ular di pejabat cukai yang sibuk dengan orang ramai di utara India, kata pegawai keselamatan, semalam.
Ada kira-kira 40 ular pelbagai saiz dan spesies termasuk sekurang-kurangnya empat ular tedung menyebabkan kerani dan orang kampung kelam-kabut memanjat meja atau keluar dari pejabat sebaik menyedari insiden itu.
Jurucakap kerajaan tempatan, Ramsukh Sharma, berkata kejadian berlaku di Basti, kira-kira 300 kilometer di tenggara Lucknow.
Kata Ramsukh, sebaik dituang dari guni, ular itu menjalar ke meja dan kerusi.
“Keadaan sangat kelam-kabut dan sejurus kemudian ratusan orang berhimpun di luar bilik itu dengan sesetengahnya membawa kayu untuk membunuh ular berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, tiada sesiapa dipatuk ular berkenaan.
Menurut Ramsukh, petani terbabit meminta rekod cukai bagi tanah mereka di sebuah kampung di Narharpur.
“Masalahnya, mereka gagal mendapat rekod berkenaan kerana kakitangan di pejabat percukaian memeramnya selama dua minggu bagi mendesak petani terbabit membayar sedikit wang sebagai upah,” katanya.
Mengenai insiden itu, Ramsukh berkata, cara petani terbabit memprotes amalan rasuah itu tidak boleh diterima.
“Polis kini mencari dua suspek yang dikenali sebagai Hukkul Khan and Ramkul Ram,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, Hukkul memang dikenali di kalangan penduduk setempat sebagai penjinak ular. - DM
TEHERAN - Hubungan sedia tegang antara Iran dan Britain semakin buruk apabila Britain menutup kedutaan Iran di London dan mengarahkan semua pegawai kedutaan itu keluar dari Britain dalam tempoh 48 jam, kelmarin.
BERLIN - Sebuah mahkamah di Jerman menghalang seorang pelajar beragama Islam daripada menunaikan solat di dalam kawasan sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran kerana menganggap perbuatan itu sebagai gangguan kepada sekolah.
TIMIKA 1 Dis. - Pasukan keselamatan Indonesia melepaskan beberapa das tembakan ke arah penduduk yang mengadakan upacara menaikkan bendera wilayah Papua itu menjelang ulang tahun ke-50 wilayah itu menuntut kemerdekaan dari Indonesia.
Menurut seorang wartawan AFP, kira-kira 500 penunjuk perasaan menyaksikan tarian tradisional dan mula bersorak serta berjalan dalam satu bulatan besar ketika bendera Morning Star wilayah itu dinaikkan pada tiang buluh di satu tenmpat di wilayah itu.
Seramai 120 polis dan tentera Indonesia bersama-sama sebuah trak tentera, menyerbu penunjuk perasaan serta melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan ke arah orang ramai selepas bendera itu dinaikkan.
Polis turut menendang, menumbuk beberapa penunjuk perasaan dan menahan tiga orang penunjuk perasaan.
Pemimpin aktivis remaja Papua, Markus Haluk berkata, sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan ditembak.
Tambahnya, seorang lagi dibawa oleh polis dalam keretanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis wilayah Timika, Mada Indra Laksanta menafikan dakwaan itu dan memaklumkan polis hanya melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran untuk meleraikan protes itu.
"Tiada penunjuk perasaan ditembak dan mereka dilaporkan membawa senjata tajam dan batu-batu.
"Tiga polis cedera di muka dan kepala kerana dipukul dengan batu oleh penunjuk perasaan," kata Laksanta. - AFP