Tawau: Penduduk Kampung Pukat Tanjung Batu, dekat sini, gempar dengan penemuan seekor ikan yu gergasi yang tersangkut pada pukat seorang nelayan di perairan Pasir Putih, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, ikan seberat lebih dua tan itu hanya berjaya dibawa ke pantai selepas lebih empat jam ditarik sebelum dilepaskan semula ke laut.
Menurut Mustapa Mustaming, 41, ketika kejadian dia bersama seorang ahli keluarganya ke laut pada petang sehari sebelum itu.
“Ketika kami cuba mengangkat pukat, ia terasa amat berat. Apabila gagal mengangkat pukat, saya syak ada penyu tersangkut, namun selepas diteliti, ia adalah ikan yu,” katanya ketika ditemui.
Mustapa berkata, disebabkan gagal melepaskan pukat daripada badan ikan itu, mereka menarik ikan itu ke pantai untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
“Kami menarik ikan itu dengan dua perahu dan tiba di pantai jam 4 pagi tadi (semalam).
“Kami membuka belitan pukat pada badan ikan berkenaan dan hanya berjaya melepaskannya jam 4 petang tadi (semalam),” katanya.
Menurutnya, penemuan ikan sepanjang 3.6 meter itu pertama kali sepanjang dia menjadi nelayan di kampung berkenaan.
“Saya sendiri tidak menyangka menemui ikan sebesar itu dan melepaskannya semula ke laut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:14 AM
IKAN yu gergasi ditemui di perairan Pasir Putih Tanjung Batu, Tawau.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2634#sthash.NutmcuRz.dpuf