Felix Baumgartner
Baumgartner meraikan kejayaan terjunannya selepas menjadi orang pertama yang memecahkan kelajuan bunyi menggunakan tubuh badannya sendiri
Manusia supersonik
Bagaimana terjunan dilakukan
PADA lewat malam 15 Oktober lalu (waktu Malaysia), jutaan manusia di seluruh dunia tidak berkelip mata selama empat minit, menyaksikan satu bintik putih di angkasa gelap bergerak ke bawah dengan kelajuan mencecah 1,342 km/j dari ketinggian 39,000 meter atau 128,000 kaki.
Bintik putih itu sebenarnya adalah Felix Baumgartner, juruterbang helikopter yang menjalankan misi penerjunan paling tinggi dan paling laju dalam sejarah dunia.
Dalam proses penerjunan mengerikan itu, Baumgartner juga berjaya memecahkan kelajuan bunyi menggunakan badannya sendiri.
Dunia melihat dengan penuh debaran bagaimana lelaki warga Austria berumur 43 tahun itu melompat keluar dari kapsulnya selepas memberi tabik kepada planet bumi di bawahnya.
Perjalanan naik ke angkasa ketika misi itu mengambil masa dua setengah jam, lebih cepat daripada jangkaan awal.

Kapsul itu membawa Baumgartner ke pinggir angkasa selepas beberapa hari tertunda akibat cuaca buruk.

Kurang lima minit selepas terjunan itu, penonton di seluruh dunia yang menyaksikan penerjunan itu secara langsung menarik nafas lega apabila payung terjun Baumgartner akhirnya terbuka pada ketinggian 5,000 kaki (1,524 meter).

Semua kebimbangan hilang, walaupun sebelum itu beberapa detik mencemaskan mendebarkan pasukan saintis dan keluarganya di bilik kawalan misi itu kerana Baumgartner kelihatan seperti hilang kawalan dan berpusing dengan kuat.
Paling mengagumkan, Baumgartner mendarat dengan penuh bergaya, kedua kakinya mencecah tanah dengan sempurna, sebelum lelaki itu melutut di atas tanah dan menumbuk udara tanda gembira, seperti tidak percaya dengan kejayaan luar biasanya.

Siapa lelaki berani ini?
Bekas penerjun tentera dan pengamal sukan payung terjun ekstrem ini telah banyak kali melakukan penerjunan dari bangunan tinggi dan pelbagai bentuk muka bumi di seluruh dunia.
“Kadang-kala kita perlu berada pada kedudukan sangat tinggi untuk menyedari betapa kecilnya diri kita,” katanya dengan gembira beberapa minit selepas dia selamat mendarat.

Namun beliau akui bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu.

“Ia lebih sukar daripada apa yang saya jangka. Percayalah, apabila anda berdiri di atas dunia pada ketinggian seperti itu, anda rasa begitu rendah diri.

“Anda tidak lagi berfikir mahu memecahkan rekod, bukan lagi untuk mendapatkan data saintifik tetapi apa yang anda fikir hanyalah untuk kembali ke bumi dengan selamat,” katanya.

Baumgartner berkata, penerjunan minggu lalu itu adalah cabaran terbesar dalam kariernya kerana dia perlu mengatasi ketakutan yang tidak disangka, iaitu klaustrofobia, atau perasaan takut apabila berada di tempat sempit.

Ketika latihan selama lima tahun untuk misi itu, Baumgartner beberapa kali panik apabila dia perlu menghabiskan masa berjam-jam di dalam sut angkasa dan topi keledarnya.

Sehinggakan pernah sekali pada 2010, Baumgartner melarikan diri dari pusat latihannya di Amerika Syarikat (AS) apabila disuruh menjalankan ujian ketahanan menggunakan sut itu.
Namun dia akhirnya berjaya mengatasi rasa takut itu melalui terapi berterusan dengan pakar dan petunjuk diberikan mentornya, Joseph Kittinger, 84.

Kittinger adalah bekas juruterbang tentera udara AS yang memegang rekod dunia dengan melakukan penerjunan pada ketinggian 31,000 meter pada 1960, sebelum rekod itu dipecahkan Baumgartner minggu lalu.

Sepanjang perjalanan naik ke angkasa, Baumgartner menyibukkan dirinya dengan berkomunikasi secara berterusan dengan Kittinger bagi menghilangkan perasaan fobianya itu.
Apabila tiba detik untuk membuat terjunan itu, Kittinger berkata kepada Baumgartner: “Malaikat pelindung akan menjaga anda”.

Sebelum penerjunan itu, Baumgartner berkata dia tidak akan melakukannya jika kemungkinan untuk selamat adalah tipis.

Apabila ditanya mengenai pihak yang yakin dia tidak akan selamat, Baumgartner berkata, “Saya rasa mereka memandang rendah kemahiran seorang penerjun udara.”

Baumgartner telah melakukan 2,500 penerjunan dari kapal terbang dan bangunan pencakar langit, termasuk menjadi individu pertama terbang merentasi Selat Inggeris dengan memakai sayap fiber.

Menurut Baumgartner, terjunan dari angkasa itu akan menjadi penutup kepada perjalanan hidupnya sebagai penerjun ekstrem.

Baumgartner merancang untuk berkahwin dengan teman wanitanya dan menjadi juruterbang helikopter penyelamat di kawasan pergunungan serta kapal terbang bomba di AS dan negara asalnya Austria.

Sains di sebalik terjunan

Baumgartner melompat keluar dari kapsulnya dengan kepala ke bawah menggunakan gaya ‘lompatan arnab’ dengan menolak kedua belah kaki pada masa sama untuk mengelakkannya jatuh mendatar, keadaan yang mungkin boleh membunuhnya.
Pasukan jurutera, doktor dan saintis yang mengambil masa lima tahun merancang penerjunan itu menjangka Baumgartner akan jatuh pada kelajuan 1,126 km/j semasa 50 saat pertama.

Tetapi Baumgartner berjaya mencapai kelajuan lebih laju, mencecah 1,342 km/j.
Dr Jonathan Clark, pengarah kesihatan Baumgartner berkata, sut angkasa bertekanan tinggi itu melindungi Baumgartner ketika penerjun itu memecahkan kelajuan bunyi.

Namun risiko untuk maut juga tinggi kerana sebarang sentuhan antara Baumgartner dengan dinding kapsul semasa keluar boleh menyebabkan sut terkoyak, mendedahkannya kepada kekurangan oksigen dan suhu serendah - 70 darjah Celcius.
Jika itu berlaku, darah di dalam badan Baumgartner akan mendidih, otaknya meletup dan biji matanya tersembul keluar.

Namun kumpulan pakar yang bekerja bersama Baumgartner sejak lima tahun lalu telah melakukan segala yang mampu untuk memastikan dia berjaya kembali ke bumi dengan selamat.
Sut angkasa direka khas itu bernilai AS$200,000 (RM610,000) dan mampu menahan cuaca ekstrem serta diisi dengan oksigen bertekanan tinggi untuk melindungi badan pemakai.
Ia juga mempunyai satu perbezaan penting dengan sut angkasa dipakai angkasawan, iaitu tetap fleksibel walaupun selepas diisi dengan  gas bertekanan tinggi.

Cermin topi keledar Baumgartner pula dilengkapi pengawal suhu berkuasa tinggi yang memberikannya pandangan jelas tanpa kabus.

Sementara itu, kapsul dinaiki Baumgartner bersaiz 3.35 meter tinggi dan 2.4 meter lebar diperbuat daripada gelas fiber dan rangka besi dengan berat seperti sebuah kereta.
Kapsul itu direka oleh saintis yang menghasilkan jet pengebom AS dan berdasarkan roket Apollo.
Belon diisi sembilan juta meter padu gas helium yang membawa kapsul itu ke angkasa mempunyai ketinggian sama dengan bangunan 55 tingkat selepas dikembangkan.

Belon itu diperbuat daripada plastik khas dengan ketebalan satu persepuluh daripada plastik pembalut.

Selepas Baumgartner melakukan penerjunannya, kapsul itu tertanggal secara automatik daripada belon tersebut dan kembali ke bumi dengan payung terjun khas.

Ujian saintifik untuk masa depan
Kittinger memuji keberanian Baumgartner untuk melakukan misi itu dan berkata penerjun itu bukan hanya memecahkan rekod dunia.
“Dia berjaya menunjukkan manusia boleh selamat dalam situasi kecemasan pada ketinggian ekstrem.

“Selepas ini, angkasawan akan memakai sut angkasa yang diuji Felix dalam penerjunan itu,” katanya.

Semasa penerjunan itu, Baumgartner disokong oleh bilik kawalan yang dipenuhi 300 orang, termasuk 70 jurutera, saintis dan doktor yang sama-sama bekerja untuk projek digelar Red Bull Stratos, sempena nama syarikat minuman yang menaja misi itu.
Selain memecahkan rekod dunia, jurutera dan saintis dalam pasukan Red Bull Stratos mengumpul data untuk membantu juruterbang, angkasawan dan mungkin juga pelancong angkasa untuk menyelamatkan diri jika berlaku kemalangan udara.
“Kami menguji sut angkasa baru, konsep melepaskan diri dalam kecemasan dan protokol rawatan baru jika berlaku kehilangan tekanan pada ketinggian ekstrem,” menurut Clark.

Semasa membina sut dan kapsul itu, pasukan dianggotai veteran angkasa itu turut mempunyai satu persoalan penting: Apa akan berlaku pada badan manusia apabila dia memecahkan kelajuan bunyi?

Jawapannya telah diberikan Baumgartner, iaitu dengan bantuan teknologi yang betul, badan manusia boleh dilindungi walaupun terjatuh dengan kelajuan menakutkan itu.