Pages

Thursday, November 1, 2012

Komander tentera Syria terkorban




1 November 2012
Syria
Kumpulan pemberontak terpaksa berlindung daripada serangan tentera kerajaan di bangunan usang.
DAMSYIK - Kumpulan pemberontak Syria, melancarkan serangan nekad sehingga meragut nyawa seorang komander tentera udara dekat sini, kelmarin.

Jeneral Abdullah Mahmud Al-Khalidi, dilaporkan terbunuh di daerah Rukn Al-Din dan kerajaan mengumumkan tindakan itu mungkin bermotifkan dendam.

Berita berkenaan disiarkan televisyen tempatan, sebaik sahaja kumpulan aktivis antikerajaan melaporkan peningkatan serangan udara dilancarkan terhadap pemberontak, termasuk serangan pertama pesawat perang di ibu negara sejak konflik bermula 20 bulan lalu.

Perkembangan itu dilaporkan sehari selepas gencatan senjata yang dilaksanakan untuk menghormati sambutan Aidiladha selama empat hari berakhir.

Susulan kegagalan gencatan senjata yang sebelum ini dirundingkan oleh Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi, kedua-dua pihak (tentera rejim dan kumpulan pemberontak) kini saling menuding jari.

Sementara itu, pada hari yang sama, lebih 20 orang terbunuh selepas jet pejuang tentera Syria membedil kawasan kejiranan berhampiran bandar Damsyik.

Sekurang-kurangnya lima pemberontak turut maut dalam pertempuran itu.

Sejak seminggu lalu, kirakira 150 orang menjadi korban pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak sekali gus, bilangan kematian dilaporkan meningkat kepada 35,000 orang iaitu sejak tercetusnya kebangkitan menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad. - Al-Jazeera

Bangladesh usir pelarian Rohingya



Rohingya
Kira-kira 27 pelarian Rohingya diusir kelmarin, semasa mereka cuba menyeberangi sempadan Rakhine. Foto: Reuters
DHAKA - Pengawal sempadan Bangladesh bertindak mengusir lebih 160 penduduk Islam Rohingya yang cuba menyeberangi sempadan untuk memasuki daerah Ukhia yang terletak bersempadan dengan Rakhine.

Komander Mohammad Khalequzzaman memberitahu jumlah pelarian Rohingya yang mahu mendapatkan perlindungan di sempadan negara itu meningkat sejak keganasan terbaru tercetus di Rakhine pada 21 Oktober lalu.

"Kumpulan terdiri daripada enam hingga 10 orang tersebut tiba secara tiga peringkat dan sebahagian daripada mereka adalah wanita serta kanak-kanak.

"Kami terpaksa mengarahkan mereka berpatah balik selepas memberikan sedikit makanan," katanya. Semasa keganasan etnik yang tercetus pada Jun lalu, pasukan peronda tempatan pernah mengusir sekurang-kurangnya 16 bot yang membawa pelarian Rohingya.

Tindakan itu dikecam kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun Dhaka menegaskan mereka tidak boleh lagi menerima kumpulan pelarian untuk mengelakkan kesesakan.

Difahamkan, pada masa ini terdapat kira-kira 300,000 penduduk Rohingya yang menetap di tenggara negara tersebut. - AFP

Lima anggota polis cedera dibom di Pattani



PATTANI 31 Okt. - Lima anggota polis cedera dengan seorang daripadanya parah apabila sebutir bom meletup ketika mereka sedang menaiki sebuah trak pikap di daerah Nong Chik, di sini malam tadi.
Menurut laporan media tempatan, pegawai polis yang bertugas di Balai Polis Nong Chik, Somchai Phumphanang, kira-kira pukul 9 malam tadi menerima panggilan yang menyatakan pangkalan operasi polis di Bang Tawa diserang sekumpulan lelaki bersenjata.
Sejurus menerima laporan, beliau dan empat anggota polis menaiki trak pikap dan bergegas ke tempat kejadian.
Ketika kenderaan itu melintasi jambatan Khlong Yuyong di lebuh raya Pattani-Hat Yai, sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan pada jambatan itu meletup.
Empat daripada anggota polis tersebut dirawat di Hospital Nong Chik, sementara Somchai yang parah dikejarkan ke sebuah hospital lain di Pattani.
Difahamkan, tiada anggota polis cedera dalam serangan di pangkalan operasi itu dan polis mendakwa serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan pemisah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_06/Lima-anggota-polis-cedera-dibom-di-Pattani#ixzz2AyMNBSUk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lebih 36,000 maut konflik di Syria



Penduduk mengangkat jenazah dua lelaki yang maut dalam serangan tentera kerajaan di Yabroud, berhampiran Damsyik, pada 28 Oktober lalu. - Reuters
BEIRUT 31 Okt. - Lebih daripada 36,000 terkorban sejak kebangkitan menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad bermula Mac tahun lalu, dengan purata 165 kematian dicatatkan setiap hari sejak 1 Ogos lalu, menurut Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25,667 merupakan penduduk awam, manakala selebihnya terdiri daripada tentera, iaitu sebanyak 9,044 askar kerajaan dan 1,296 lagi merupakan tentera pembelot.
“Selain itu, sebanyak 439 lagi mangsa terkorban sukar dikenal pasti," kata beliau.
Menurutnya, angka tersebut tidak termasuk beribu-ribu mangsa yang hilang sepanjang konflik tercetus, dengan setengah daripadanya ditahan dan selebihnya terkorban, juga tidak termasuk beribu-ribu tentera militia pro-Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_03/Lebih-36000-maut-konflik-di-Syria#ixzz2AyMDabN0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taufan Sandy: Bencana atau hukuman?

Taufan Sandy
Beribu kediaman musnah di Breezy Point, Queens, New York. -Reuters

HANYA tinggal enam hari rakyat Amerika Syarikat (AS) bakal menentukan sama ada calon Parti Demokrat, Barack Obama kekal sebagai Presiden atau lawannya dari Parti Republikan, Mitt Romney, bakal menyandang jawatan presiden baru.

Rancak dengan kempen dan debat pilihan raya memasuki pusingan kedua, sekelip mata sahaja bumi AS dilanda malapetaka Taufan Sandy atau ribut Frankenstorm hingga mengorbankan lebih 50 nyawa (hingga jam 10.30 malam, semalam) di timur laut Atlantik dalam tempoh dua hari.

Kawasan terjejas teruk adalah di Virginia, Ohio, Pennsylvania, New Hampshire dan North Carolina, lebih tujuh juta penduduk bergelap akibat terputus bekalan elektrik, sistem pengangkutan lumpuh, kerugian mencecah lebih AS$7 bilion (RM21 bilion) dan 17,000 penerbangan terkandas sekali gus memaksa Obama mengisytiharkan darurat di New York.

Kini penduduk negara itu pula di belenggu masalah bekalan air bersih dan penularan penyakit.

Sekali lagi Obama bersuara, bahawa taufan ini belum berakhir.

Persiapan pilihan raya terjejas
Sandy yang membadai beberapa negeri di AS memaksa pegawai pilihan raya daerah menutup pusat kempen utama di North Carolina dan Virginia.

Penutupan ini berpotensi menyaksikan penangguhan pilihan raya, sekiranya Sandy terus mengganas di kawasan dihuni lebih 8.2 juta penduduk dengan satu perlima penduduk adalah pengundi utama di AS.

Masalah lain juga timbul apabila sistem pengangkutan tergendala termasuk gangguan perkhidmatan pos yang memberi kesan terhadap kelewatan penghantaran dan penyerahan kertas undi kepada Lembaga Pilihan Raya.

Peguam pilihan raya yang juga penasihat khas di Stroock & Stroock & Lavan, Jerry H Goldfeder berkata, terdapat cara perundangan untuk menukar tarikh pilihan raya presiden.

“Kongres boleh memilih tarikh baru dan tidak perlu mengikut penyeragaman tarikh Kongres 1845 bahawa pemilihan presiden perlu dilakukan pada Selasa pertama November kerana terdapat undang-undang Persekutuan membolehkan negeri lain melakukan hari pemilihan jika tarikh itu tidak sesuai,” katanya.

Menurutnya, badan perundangan negeri boleh mengadakan pilihan raya mengikut persetujuan pemimpin dan pemilih sekiranya berlaku kecemasan atau darurat.

“Ia sah dan mudah, tetapi sejarah politik AS belum pernah melakukan perubahan itu,” katanya.

Ramai pegawai daerah membuat persediaan awal seperti di Maryland, apabila Martin O’Malley mengeluarkan perintah eksekutif melanjutkan waktu pengundian hingga Jumaat.

Diikuti di Pennsylvania, Tom Corbett juga melanjutkan tarikh akhir untuk pilihan raya dan memohon tarikh bersesuaian malah ramai pegawai daerah masih mencari lokasi bersesuaian untuk tempat mengundi.

Tetapi sehingga kini, pegawai pilihan raya percaya tarikh mengundi masih kekal pada 6 November ini.

Jurucakap Lembaga Pilihan Raya Virginia, Justin Riemer berkata, hanya kira-kira 10 daripada 134 kawasan mengundi ditutup Selasa ini.

“Beberapa kawasan mengundi perlu berpindah ke New York kerana kawasan Virginia terjejas dan tidak boleh diakses orang awam, malah tidak selamat,” katanya.

Namun, setelah berlangsung debat dua pusingan, kemenangan berpihak kepada Romney tetapi Obama mempunyai kelebihan.

Tumpuan kedua-dua calon Presiden ini lebih mengerumus pada soal ekonomi seperti pemotongan cukai, peluang pekerjaan dan memulihkan kembali ekonomi serta masa depan hubungan dengan sekutu rapatnya Israel.

Apa juga berlaku di AS ketika ini, ia memberi impak kredibiliti kepada kedua-dua calon presiden itu. Kemusnahan dan penderitaan penduduk negaranya bagaikan terpalit di 'wajah sendiri'.

Kerakusan AS merobek keamanan penduduk dunia bagaikan 'terbalas'. Adakah ini pembalasan atau termakbulnya doa seluruh penduduk dunia?

Bayi 9 bulan turut sambut Halloween

COLE ketika diletakkan ke dalam labu.
COLE ketika diletakkan ke dalam labu.
LONDON: Berdasarkan mimik mukanya, dia seolah-olah bimbang dia akan menjadi satu daripada bahan masakan untuk sup labu.
Cole Thornton yang berusia 9 bulan hari ini meraikan perayaan Halloween.

Bapanya, Chris merakam gambar Cole dalam puluhan aksi untuk kalendar keluarga mereka dan untuk bulan lalu, dia memutuskan labu menepati konsep itu.

Kaki Cole terjulur keluar dari dua lubang dalam sayuran itu dan tangkainya diletakkan di atas kepala bayi itu sebagai topi. “Cole sangat gembira dapat duduk dalam labu kira-kira 10 saat - cukup lama untuk saya merakam beberapa gambarnya,” kata Chris dari Castleford, barat Yorkshire.

“Pasti hebat dapat menunjukkan kepadanya foto itu setelah dia dewasa kelak,” katanya.

Chris dan isterinya, Lindsay, 27, pegawai sokongan polis masyarakat akan menghantar kalendar itu kepada saudara-mara supaya mereka dapat melihat bagaimana Cole sudah semakin besar dalam tempoh setahun ini.

Keranda 'muncul' dari kubur akibat taufan Sandy




SEBUAH keranda 'muncul' dari dalam kubur di sebuah kawasan perkuburan di Crisfield kelmarin.


CRISFIELD, Maryland - Dua buah keranda muncul dari dalam kubur selepas taufan Sandy melanda bandar ini pada Isnin lalu, menurut akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Keranda perak dan gangsa itu 'muncul' selepas simen di atas kubur tersebut pecah ekoran taufan tersebut membawa angin kencang dan air laut ke daratan.
Taufan itu melanda kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) dengan membawa banyak kemusnahan sehingga hampir menenggelamkan bandar raya New York.
Lebih 8.2 juta orang tidak mendapat bekalan elektrik di 17 buah negeri di AS ekoran serangan taufan tersebut.
Taufan itu turut membawa kemusnahan di Boston, Philadelphia dan Washington.
Taufan itu meninggalkan bandar raya New York kelmarin.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, taufan itu bergerak lemah ke negeri Pennsylvania di timur laut AS dan dijangka menuju ke timur New York dan Kanada. - Agensi

Gincu, pemetik api diisi gas pemedih mata



Gambar menunjukkan beberapa pemetik api dan gincu yang diisi gas pemedih mata.


GENEVA - Pihak kastam Switzerland mempamerkan sejumlah gincu dan pemetik api palsu yang mengandungi gas pemedih mata di sini semalam.
Gincu palsu itu dipamerkan untuk dilihat oleh beberapa pemberita dan jurugambar.
Menurut beberapa pegawai kastam, gincu dan pemetik api tersebut yang diperbuat dari China telah dirampas di negara ini. - AFP

Rakyat AS mula bersih rumah




SEBATANG jalan raya beralun-alun akibat taufan Sandy di Pantai Mirlo, Carolina Utara.


NEW YORK - Penduduk di Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) semalam mula membersihkan rumah dan melihat kemusnahan yang dibawa taufan Sandy.
Taufan itu yang menyebabkan 55 orang mati melanda pantai timur tersebut pada Isnin lalu sebelum ia bergerak lemah menuju ke Pennsylvania.
Kemusnahan itu berlaku di seluruh bandar raya New York dan New Jersey.
Kebanyakan sistem tren mula beroperasi seperti biasa.
Taufan itu membawa ombak setinggi 4.23 meter dengan kelajuan 225 kilometer sejam.
Bursa Saham New York juga kembali dibuka selepas dagangan ditutup pada Isnin dan Selasa lalu.
Lebih lapan juta penduduk dari Carolina dan Maine tidak mendapat bekalan elektrik kesan daripada kemusnahan yang dibawa taufan itu.
Tiga reaktor nuklear AS masih lagi ditutup manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Bagaimanapun, taufan itu membawa salji di Ohio, Pennsylvania dan Virginia Barat. - Agensi

Kumpulan Islam tawar bantu AS



GAMBAR menunjukkan kawasan perumahan yang terbakar akibat taufan Sandy di Queens, New York.


ISLAMABAD - Amerika Syarikat (AS) semalam menolak tawaran bantuan daripada pemimpin radikal sebuah kumpulan Islam selepas taufan Sandy melanda negara itu pada Isnin lalu.
Pemimpin kumpulan Lashkar-i-Taiba, Hafiz Muhammad Saeed menawarkan untuk menghantar sejumlah kakitangan kecemasan dan bekalan kemanusiaan ke wilayah yang teruk dilanda taufan tersebut.
Menurut kumpulan itu, bantuan tersebut akan dihantar menerusi badan kebajikannya, Jamatud Dawah (JuD).
Bagaimanapun, kedutaan AS di sini menolak untuk menerima tawaran tersebut.
Penolakan itu dibuat di akaun Twitter.
"Kami menghormati tradisi orang Islam membantu manusia yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun, kami tidak dapat menerima tawaran Hafiz.
"Hafiz dikehendaki kerana terlibat dalam serangan pengganas di Mumbai yang menyebabkan 116 orang terbunuh.
"JuD pula ialah pertubuhan pengganas yang disenaraikan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata kedutaan AS.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan memberi reaksi balas menerusi Twitter.
"Bantuan kami ditawarkan untuk penduduk AS, kami akan melibatkan penduduk Islam di AS untuk berada di barisan depan bagi membantu rakan senegara mereka," kata kumpulan tersebut.
Hafiz disyaki pihak berkuasa AS dan India merancang serangan pengganas di Mumbai pada 2008.
Sementara itu, harga minyak meningkat di pasaran New York ekoran taufan tersebut.
Harga penghantaran untuk minyak mentah pada bulan Disember naik 48 sen (RM1.46) kepada RM86.16 (RM262.443) setong.
Presiden AS, Barack Obama semalam turut membatalkan parti Halloween bersama kanak-kanak di White House, Washington.
Beliau akan melawat kawasan yang teruk dilanda kemusnahan akibat taufan itu.
Pada tahun lalu, Obama dan isterinya, Michelle menjadi tuan rumah kepada 2,000 kanak-kanak untuk meraikan parti tersebut.
Obama juga akan menangguhkan kempen pilihan raya presiden selama beberapa hari bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja membantu dan membaiki kerosakan akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Pilihan raya presiden akan diadakan pada 6 November ini.
Obama akan menentang pencabarnya daripada parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts.
Bagaimanapun, Romney menyambung semula kempennya di Miami semalam selepas terjejas akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Beberapa ahli ekonomi menyatakan kerugian akibat taufan tersebut ialah antara AS$30 bilion (RM91.39 bilion) hingga AS$50 bilion (RM152.33 bilion). - Agensi