Pages

Tuesday, February 7, 2012

Bayi 17 jam dibedah jantung




JASMINE dianggap bayi ajaib kerana selamat menjalani pembedahan walaupun baru dilahirkan.
CARR dan isterinya bangga apabila anak mereka semakin pulih di Hospital Freeman, Newcastle.
NEWCASTLE: Seorang bayi berusia kurang dari sehari menjadi pesakit termuda dalam sejarah menjalani pembedahan jantung terbuka.

Jasmine Carr hanya memiliki peluang 15 peratus untuk selamat apabila pakar bedah memulakan prosedur ke atasnya selepas 17 jam 30 minit dia dilahirkan.


Kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Freeman, ibu bapa Jasmine, Jo dan James Carr, berdoa agak bayi berkenaan selamat serta dibenarkan pulang menjelang April ini Pasangan itu mengetahui anak mereka mengalami sindrom jantung kiri hypoplastic sejenis penyakit menyebabkan sebahagian daripada jantung gagal terbentuk dengan sempurna ketika Jo menjalani pemeriksaan kandungan 20 minggu.

Selepas doktor menyuntik Jo untuk memaksanya bersalin ketika kandungan baru berusia 37 minggu, Jasmine lahir dengan berat badan 2.3 kilogram, manakala jantungnya sebesar buah walnut.


Apabila Jasmine dikejarkan ke bilik kecemasan untuk pembedahan, ibu bapanya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menunggu dan berdoa.


Menurut Jo, 27, dia sangat sedih apabila diberitahu peluang Jasmine untuk hidup sangat tipis.


“Ia adalah kenyataan paling pahit untuk seorang ibu,” katanya.


Jo berkata, menunggu doktor menyempurnakan pembedahan ke atas Jasmine menjadi detik paling menekan dalam hidupnya.

Pembedahan membetulkan bahagian kiri jantung itu berlangsung selama 11 jam.


Ia diketuai Dr Asif Hasan, tetapi bayi terbabit mengalami serangan jantung sehari kemudian.


Keadaan itu memaksa Jasmine tinggal hampir tiga bulan dalam wad ICU.


Dia akhirnya dipindahkan ke wad jagaan rapi menjelang Krismas tahun lalu dan doktor kini yakin Jasmine mampu pulih sepenuhnya.


Isnin lalu, dia menjalani satu lagi pembedahan untuk melebarkan saluran darah.


Pasangan suami isteri itu berharap Jasmine dibenarkan pulang ke rumah mereka di Newton Aycliffe beberapa bulan lagi.


Carr, 29, terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu apabila Jasmine dikesan menghidap penyakit berkenaan.


Kata Carr, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika dapat menyentuh Jasmine.


“Kami akan adakan parti menyambut kepulangannya nanti,” katanya. - DM

myMetro | Bayi 17 jam dibedah jantung:

'via Blog this'

25 maut dibom tentera Syria


BEIRUT: Sekurang-kurangnya 25 terbunuh di Syria semalam, ketika tentera kerajaan menyerang pusat pemberontak di bandar Homs, selain melepaskan tembakan di Damsyik, Aleppo dan Zabadani.

Aktivis Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, 17 orang awam maut dan berpuluh lagi cedera apabila pasukan keselamatan memperbaharui pengeboman ke atas Homs.


Pertubuhan berpangkalan di London itu berkata, jumlah kematian mungkin meningkat kerana ramai yang mengalami kecederaan parah.

“Serangan bom yang bermula sejak subuh kebanyakannya disasarkan ke kawasan kediaman Khaldiyeh, Baba Amro, Inshaat dan Bab Sbaa,” kata pertubuhan itu.


Sementara itu, televisyen kerajaan melaporkan, satu letupan berlaku membunuh beberapa pengganas yang bersiap-sedia mengebom bangunan di Khaldiyeh.


Pembangkang dan aktivis hak asasi manusia pula melaporkan, berlaku insiden “pembunuhan beramai-ramai” di Homs pada malam Jumaat lalu.


Mereka mendakwa, lebih 200 orang awam dibunuh ketika serangan kereta kebal dan mortar dilancarkan tentera kerajaan.


“Bom paku” turut dilaporkan ditembak ke atas orang awam. - AFP

myMetro | 25 maut dibom tentera Syria:

'via Blog this'

Barat seperti diserang histeria: Lavrov



MOSCOW: Russia semalam mengecam kemarahan Barat terhadap negaranya berikutan penggunaan kuasa veto ke atas resolusi mengutuk tindakan Syria mengekang pemberontak.

Ketika Menteri Luar, Sergei Lavrov bersedia memulakan misi ke Damsyik, dia menyatakan kekecewaan Moscow terhadap Barat kerana tidak menunda pengundian di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga lawatan itu dilakukan.


“Sesetengah komen Barat hampir seperti diserang histeria,” katanya.

Lavrov berkata, sesetengah komen sengaja dibuat berlebihan daripada yang sepatutnya.


Katanya, sikap itu mengingatkan dia kepada pepatah: “orang marah jarang ada di pihak benar.” Lavrov juga menegaskan semula pendirian Russia bahawa resolusi dikemukakan di Majlis Keselamatan PBB untuk menyalahkan regim Bashar tidak wajar.


“Kesalahan kejadian keganasan perlu diletakkan juga ke atas pembangkang.


“Ada lebih daripada satu sumber keganasan di Syria,” katanya. - AFP

myMetro | Barat seperti diserang histeria: Lavrov:

'via Blog this'

Netanyahu berang rahsia bocor



BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran kepada pegawainya supaya berhenti bercakap mengenai kemungkinan menyerang tapak loji nuklear Iran, lapor akhbar Maariv, semalam.

Media melaporkan, Netanyahu mengarahkan pegawai tentera dan menterinya menutup mulut selepas membocorkan terlalu banyak maklumat kemungkinan serangan itu kepada pihak lain.


Maariv melaporkan, amaran Netanyahu diberi ketika dia bermesyuarat dengan menteri daripada Parti Likud kelmarin.

“Berhenti mendedahkan maklumat sulit kerana ia memberi kesan buruk, selain merosakkan sekatan dikenakan AS dan Eropah ke atas Iran,” katanya.


Sumber Maariv berkata, Israel bimbang dilihat mengheret AS ke kancah perang dengan Iran secara paksa dan membahayakan kepentingan negara itu. - AFP

myMetro | Netanyahu berang rahsia bocor:

'via Blog this'

4 dirawat lepas ambil ubat kuat seks

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang ramai mengenai beberapa kejadian serius akibat mengambil produk haram untuk menambah rangsangan seks.Menurut HSA, sejak minggu lalu, empat pesakit berusia antara 30 dan 78 tahun dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah rendah yang berbahaya.
Dua daripada mereka tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital, manakala seorang lagi dalam keadaan bingung dan lemah, kata HSA.


Walaupun keempat-empat mereka tidak lagi dalam keadaan kritikal, seorang daripada mereka yang tidak sedarkan diri berada dalam keadaan “tidak boleh bercakap”, sementara seorang lagi hanya mampu berbual ringkas saja. - Asiaone

myMetro | 4 dirawat lepas ambil ubat kuat seks:

'via Blog this'

Guna penyapu pula halang penumpang duduk di bumbung gerabak

JAKARTA: Sekali lagi Indonesia menggunakan rancangan ganjil untuk menghalang penumpang daripada duduk di atas bumbung gerabak pukul mereka menggunakan penyapu yang direndam dalam cecair likat berbau busuk.

Jurucakap PT Kereta Api Indonesia, Ahmad Sujadi berkata, “Bagi mereka yang masih duduk di atas bumbung, mereka akan rasa seperti dipukul dengan kuat.”
Penyapu itu diletakkan di beberapa lintasan, semalam. - Jakarta Post myMetro | Guna penyapu pula halang penumpang duduk di bumbung gerabak:

'via Blog this'

Lelaki kaya jadi mangsa wanita piranha meningkat

LONDON: Lelaki hartawan diperdaya wanita bujang untuk berasmara hingga hamil kerana mereka menganggap bayi sebagai ‘pilihan kerjaya’, kata seorang peguam terkemuka semalam.

Menurut Diane Benussi, jumlah lelaki yang termasuk dalam perangkap wanita muda dan jelita semakin meningkat.


Kata Diane, lelaki kaya dilihat mudah menjadi mangsa wanita yang malas bekerja dan anak hasil hubungan sulit itu dianggap sebagai tiket untuk hidup terjamin selama 18 hingga 21 tahun akan datang.

“Tanpa mempedulikan sama ada lelaki terbabit mempunyai isteri atau tidak, pemangsa itu boleh dianggap sebagai piranha,” katanya.


Menurut Diane, selepas mengenal pasti mangsa, wanita terbabit menggoda lelaki berkenaan untuk mengadakan hubungan seks tanpa sebarang perlindungan selepas meyakinkan mangsa kononnya dia tidak boleh mengandung atau mengambil pil pencegah kehamilan.


“Data terkini menunjukkan semakin ramai wanita malas bekerja dan berkahwin kini mencari jalan mudah mendapatkan kehidupan mewah,” katanya.

Menurut Diane, perkahwinan tidak lagi membawa makna seperti sebelum ini.


Kini, katanya, wanita mahukan anak kerana ada lebih banyak kegunaan.

“Bagi sesetengah wanita, memiliki bayi bermakna mereka memiliki kerjaya.


“Mereka diberi bayaran untuk tinggal di rumah dan menjaga anak,” katanya. - DMmyMetro | Lelaki kaya jadi mangsa wanita piranha meningkat:

'via Blog this'

Gejala pelacuran bakal dihapuskan




2012/02/07

Majlis Ulama Indonesia beri bayaran jika pekerja seks tinggalkan kegiatan

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata pihaknya mencapai kejayaan dalam usaha menghapuskan gejala pelacuran yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Jawa Timur.
Menurut MUI, program berkenaan menawarkan insentif sebanyak Rp 3 juta (RM1,020) kepada pelacur yang meninggalkan bidang itu.
“Langkah ini bertujuan menghapuskan kompleks pelacuran di Jawa Timur. Syukur kerana 20 wanita sudah bertaubat,” kata ketua MUI cawangan wilayah berkenaan, Abdusshomad Buchori.

Mereka berkhidmat di kompleks pelacuran Bangunsari yang terletak di bandar raya Surabaya.

Selain wang tunai yang diberikan sebagai modal memulakan perniagaan kecil, wanita berkenaan turut diberikan latihan vokasional, kata Abdusshomad.

“Kemahiran diperlukan untuk mereka berjaya di kampung masing-masing. Kami meyasarkan untuk membasmi pelacuran tetapi ia memerlukan satu jalan penyelesaian, bukan sekadar menghapuskan ia begitu saja,” katanya.
Selain Bangunsari, Surabaya turut mempunyai beberapa pusat pelacuran termasuk rumah urut Dolly yang terkenal di pusat bandar raya itu.

Di Bangunsari saja, Abdusshomad berkata, bilangan pelacur semakin berkurangan daripada beribu-ribu kepada 150 orang sejak program itu bermula.

Seorang wanita yang menerima tawaran wang tunai berkenaan dan kembali ke kampungnya ialah Anjarwati, 46, yang berasal dari Mojokerto, kira-kira 50 kilometer ke barat Surabaya. – Antara Berita Harian Online | Gejala pelacuran bakal dihapuskan:

'via Blog this'

Amerika tutup kedutaan di Syria



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Februari 2012
Asap
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ia menutup kedutaannya di Syria dan memanggil balik kakitangan diplomatik ekoran keganasan di sebalik kebangkitan rakyat menentang Presiden Bashar Al-Assad yang semakin memburuk di negara itu.

Tindakan itu menyusul perkembangan di Majlis Keselamatan pada Sabtu lalu selepas China dan Rusia menggunakan kuasa veto untuk mengetepikan resolusi PBB menuntut agar pertumpahan darah di Syria ditamatkan.

Usul yang dibawa oleh Maghribi bagi pihak Liga Arab disokong oleh AS, Eropah, Turki dan negara jiran Syria.

Moscow, yang ada pelaburan berbilion dolar di Syria, termasuk kerjasama AS$5 bilion dalam sektor ketenteraan, menolak resolusi, atas alasan menentang sebarang bentuk campur tangan ala Libya atau perubahan rejim di Syria.

Aktivis di Syria melaporkan bahawa sehingga 300 orang terbunuh dan 700 lagi cedera sejak Jumaat lalu.

"Pada Isnin, Duta AS Robert S. Ford dan kesemua diplomat dan rakyat Amerika telah meninggalkan negara (Syria)," lapor Washington Post.

Isu Syria: China pertahan guna veto




6 Februari 2012
BEIJING - China mengakui terpaksa menggunakan veto Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas Syria kerana telah dipanggil sebelum penyambungan cadangan dibuat namun menambah akan memainkan peranan yang membina dalam menamatkan keganasan negara itu.

Sebelum ini, China dan Rusia menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah terhadap veto mingguan, yang mana suara mereka telah menghalang percubaan PBB menamatkan hampir 11 bulan pertumpahan darah di Syria.

Jelas China, timbul ketidak wajaran terhadap resolusi yang ditekankan terhadap kerajaan Syria dan penilaian hasil terhadap dialog diantara parti-parti di Syria.

Jurucakap Kementerian Luar Negara China, Liu Weimin berkata, dia belum menerima maklumat sama ada Beijing merancang untuk menghantar seorang duta ke Syria seperti yang dilakukan Rusia.

Katanya, undian di resolusi PBB dipaksa sebelum semua pihak bersetuju mengenainya, dan menolak kritikan China memihak kepada kerajaan Presiden Bashar Assad.

Presiden Palestin ketuai kerajaan perpaduan




6 Februari 2012
mahmoud
TEBING BARAT - Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata beliau akan mengetuai kerajaan perpaduan Palestin susulan pertemuan kedua dengan pemimpin Hamas Khaled Meshaal di Qatar.
Kerajaan sementara ini akan membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Mahmoud dan Khaled terlibat dalam perundingan di Qatar berhubung soal penyatuan ekoran persetujuan yang dicapai pada April 2011 dan juga mengenai soal siapa yang akan mengetuai kerajaan.
Laporan-laporan media menyebut isu itu menjadi halangan untuk dalam pelaksanaan perjanjian April 2011.

Pakistan sokong Kashmir tentukan masa depan




6 Februari 2012
KUALA LUMPUR -  Pakistan berjanji memberi sokongan penuh di segi moral, diplomatik dan politik kepada rakyat Kashmir dalam menghasilkan
hasrat menentukan nasib masa depan mereka.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid, menyuarakan sokongan itu dalam ucapan di seminar Hari Perpaduan Kashmir di sini, kata Ataci Penerangan Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Hamid Raza Khan, dalam satu kenyataan hari ini.
“Kedudukan kami ini berdasarkan sokongan terhadap perjuangan adil dan prinsip yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa seperti termaktub dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Masood.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dalam ucapannya itu menyebut betapa pentingnya Hari Perpaduan Kashmir dan usaha negaranya dalam mencari penyelesaian terhadap isu Kashmir yang sudah sekian lama dinanti-nantikan.
Kenyataan itu menyebut para penceramah dalam seminar itu menyeru supaya usaha bersungguh-sungguh dilakukan menyedarkan dunia terhadap perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Kashmir yang mahukan pemerintahan sendiri.
Seminar diadakan atas naungan Misi Keamanan Global (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia sempena hari tersebut yang disambut di seluruh dunia pada 5 Februari setiap tahun.
Penceramah di seminar itu menggesa masyarakat antarabangsa mencari jalan menyelesaikan isu Kashmir supaya keamanan dan kestabilan dapat diwujudkan di rantau itu.
Mereka berkata rakyat Kashmir sudah lama menderita dalam usaha mendapatkan kebebasan menerusi saluran diplomatik dan dialog, namun mereka masih lagi dinafikan hak memperoleh penyelesaian yang adil dan kekal.
Antara penceramah lain ialah Setiausaha Agung ABIM, Mohammad Raimi Abdul Rahim, ahli akademik Prof Dr. Ruhanas Harun, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Azlan Mohd Shariff dan Rafiq Fazal Din yang mewakili Pusat Penyelidikan Dasar Malaysia. - Bernama

Umat Islam disaran boikot produk Rusia, China




6 Februari 2012
Syria
AMMAN - Kumpulan Islam Jordan semalam menyarankan masyarakat Islam dan negara Arab memboikot produk China dan Rusia selepas kedua-dua negara itu menggunakan kuasa veto menyekat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk krisis di Syria.
Ketua kumpulan Ikhwannul Muslimin, Hammam Said berkata, tindakan China dan Rusia itu menunjukkan mereka turut serta membunuh rakyat Syria.
“Semua orang Islam dan negara Arab perlu memboikot produk kedua-dua negara itu sebagai sokongan kepada rakyat Syria yang menuntut kebebasan dan maruah,” katanya.

Tentera rejim Syria didakwa bunuh 50 penduduk


BEIRUT 6 Feb. - Keadaan di Syria terus meruncing apabila askar kerajaan melancarkan serangan terbaru di Homs awal pagi ini dengan membedil beberapa kawasan kejiranan, menyebabkan 50 orang terbunuh.

Sejak pemberontakan tercetus di Syria 11 bulan yang lalu, lebih 5,000 nyawa dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad

Jurucakap Majlis Kebangsaan Syria yang mewakili pembangkang, Catherine al-Talli berkata, kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam serangan yang bermula ketika subuh itu adalah orang awam.

"Tindakan rejim seakan-akan mereka kebal terhadap siasatan antarabangsa dan bebas melakukan keganasan terhadap orang awam," katanya.

Siri serangan terbaru itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat berjanji sekatan berat terhadap Damsyik sebagai tindakan kepada kuasa veto Rusia dan China dalam draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan menyokong pelan Liga Arab dalam usaha memaksa al-Assad berundur.

Beberapa stesen televisyen satelit Arab menyiarkan situasi yang berlaku di Homs secara langsung. Letupan dan asap tebal kelihatan menjulang daripada beberapa buah bangunan di bandar itu.

Kumpulan aktivis dan pembangkang mendakwa, serangan dahsyat sepanjang malam Jumaat lalu di Homs telah membunuh lebih 200 orang awam, manakala serangan keesokan harinya membunuh sekurang-kurangnya 23 orang awam.

Damsyik bagaimanapun menafikan mereka bertindak membedil rumah dan mendakwa imej mangsa terkorban yang disiarkan menerusi Internet adalah palsu.

Sementara itu, pasukan tentera Syria yang berpaling tadah mengumumkan penubuhan majlis tertinggi tentera untuk membebaskan negara itu dari cengkaman Assad.

Majlis itu yang digelar 'Majlis Tertinggi Revolusi' ditubuhkan untuk menggantikan Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan ia diketuai Jeneral Mustafa Ahmed al-Sheikh, pegawai tentera paling kanan yang berpaling tadah dan kini lari ke Turki.

"Selepas perbincangan dengan tentera yang berpaling tadah di seluruh Syria, agenda penubuhan Majlis Tertinggi Revolusi adalah untuk membebaskan Syria," menurut jurucakapnya, Mejar Maher al-Naimi. - REUTERS/ AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Skandal sulit Kennedy


NEW YORK 6 Feb. - Seorang pesara kakitangan gereja mendakwa pernah menjalin 'hubungan sulit' dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy selama 18 bulan ketika dia menjadi pelatih di White House pada 1962.

Wanita itu, Mimi Alford berkata, dia tidak berdaya menolak ketika ditarik masuk mendiang Presiden AS itu ke dalam bilik tidur isteri Kennedy dan digodanya.

Wanita itu dalam autobiografinya yang baru diterbitkan turut mendakwa diberi sejenis dadah oleh Kennedy di satu parti di Ladang Bing Crosby dan dipujuk mengadakan hubungan seks dengan seorang pembantu sambil disaksikan mendiang Presiden itu.

Apabila wanita itu mengandung, pembantu tersebut membawanya ke doktor untuk menggugurkan kandungan tersebut walaupun ketika itu perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Dia pada awalnya merasakan bapa kepada anak yang dikandungnya itu adalah Kennedy.

Dalam autobiografi itu, Alford mendakwa Kennedy tidak pernah mencium dan tidak mengendahkannya apabila isterinya ada.

Alford juga sentiasa memanggilnya sebagai 'Tuan Presiden' walaupun ketika mengadakan hubungan asmara.

Hubungan sulit itu bermula pada musim panas 1962 dan tidak berakhir sehingga Kennedy dibunuh pada November tahun itu.

Alford yang ketika itu berumur 19 tahun mula bekerja di pejabat media presiden.

Ketika pertama kali bertemu Kennedy, mendiang Presiden AS itu menawarkan Alford mengikutnya untuk satu lawatan peribadi. - AGENSI


Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Obama tidak berminat guna kuasa ketenteraan ke atas Iran



PENUNJUK perasaan memegang sepanduk berbunyi 'Tiada Perang Ke Atas Iran' semasa mengadakan protes di Los Angeles, kelmarin. - AFP


WASHINGTON 6 Feb. - Presiden Barack Obama hari ini berkata, terdapat beberapa risiko penting yang perlu dipertimbangkan sebelum sebarang tindakan ketenteraan diambil ke atas Iran.

Beliau dengan jelas turut menyatakan tidak mahu melihat lebih banyak konflik di rantau Teluk yang merupakan pengeluar minyak dunia.

Dalam wawancara bersama NBC, Obama berkata beliau tidak percaya Iran mempunyai 'keupayaan' untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) sambil meredakan ancaman daripada Teheran dengan menyatakan mahu menyelesaikan konflik secara diplomatik.

"Sebarang peningkatan aktiviti tentera di Teluk akan menimbulkan gangguan dan memberi kesan besar kepada kita. Ia juga akan memberi kesan besar kepada harga minyak dunia.

"Kita masih mempunyai tentera di Afghanistan, negara yang bersempadan dengan Iran, tetapi buat masa ini penyelesaian secara diplomatik menjadi pilihan," kata Obama.

Komen beliau dibuat selepas Turki menyuarakan kebimbangan bahawa serangan ke atas Iran akan mencetuskan bencana besar.

Menurut Obama, Israel masih lagi belum memutuskan mengenai tindakan mereka berhubung isu program nuklear Iran, tetapi memandang serius rancangan itu.

"Keutamaan saya tetap keselamatan AS dan juga Israel. Kami akan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini, terutamanya secara diplomatik," ujar Obama dalam wawancara itu.

Pemimpin Iran dengan pantas memberi reaksi berhubung spekulasi bahawa Israel akan menyerang negara itu dalam tempoh beberapa bulan bagi menghalang program nuklear Teheran yang didakwanya membangunkan senjata nuklear.

Republik Islam itu memberi amaran akan menyerang balas jika mana-mana negara melancarkan serangan ke atasnya.

Iran bertegas program nuklear mereka adalah bertujuan untuk kegunaan awam. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Filipina dilanda gempa bumi



PENDUDUK memeriksa kerosakan harta benda yang rosak akibat gempa bumi yang melanda Negros Oriental, tengah Filipina, semalam. - REUTERS


MANILA 6 Feb. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan pulau Negros, Filipina hari ini menyebabkan 43 orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak dan 40 lagi hilang.

Gempa yang turut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan itu mengakibatkan bangunan rosak dan mencetuskan insiden tanah runtuh yang menimbus berpuluh-puluh rumah.

Datuk Bandar Guihulngan di wilayah Negros Oriental, Ernesto Reyes berkata, sebanyak 30 rumah tertimbus akibat tanah runtuh dan menyatakan mangsa yang terbunuh termasuk dua pelajar sekolah rendah dan seorang penuntut kolej.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa pada kedalaman 19.8 kilometer itu disusuli dengan dua lagi gempa susulan masing-masing berukuran 4.8 dan 5.6 skala Richter.

Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina berkata, amaran ombak besar kepada penduduk di sepanjang kawasan pantai telah dikeluarkan ketika amaran tsunami ditingkatkan ke tahap dua.

Bagaimanapun belum ada amaran pemindahan dikeluarkan.

Menurut Institut itu, pusat gempa terletak hanya lima kilometer dari pantai Tayasan, Negros Oriental dan dapat dirasakan pada kekuatan tujuh di bandar Dumaguete dan kekuatan enam di Bandar Bacolod.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS berkata, berdasarkan data yang mereka miliki, tsunami dijangka tidak akan berlaku.

"Kerosakan mungkin berlaku di kawasan yang menerima gegaran sekurang-kurangnya pada kekuatan lima dan jika struktur bangunan lemah," kata ketua Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina, Renato Solidum dalam wawancara radio. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Majalah terkecil bernilai RM2.48 juta dipamerkan



SEORANG kurator Muzium Musee des Lettres et Manuscrits menunjukkan majalah terkecil bertarikh 1830 yang dihasilkan Charlotte Bronte di Paris, Perancis pada 30 Januari lalu. - Reuters


PARIS - Manuskrip majalah Young Men's edisi kedua yang mengandungi 4,000 patah perkataan dan 19 muka surat yang ditulis oleh seorang penulis novel terkenal England, Charlotte Bronte semasa dia berumur 14 tahun pada 1830 dipamerkan di Muzium Musee des Letters et Manuscrits di sini.

Muzium itu membeli manuskrip itu pada harga AS$826,287 (RM2.48 juta) dalam satu lelongan yang diadakan pada Disember tahun lalu, lapor agensi berita Reuters.

Manuskrip itu mengandungi watak-watak dalam dunia imaginasi yang dicipta oleh Bronte dan saudaranya. - AgensiKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

43 maut gempa bumi di Filipina



BEBERAPA orang berlari semasa mereka sedar gegaran gempa bumi di bandar Honkera, Cebu, tengah Filipina semalam.


MANILA - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan pantai tengah Filipina semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dan mencetuskan suasana panik, kata beberapa pegawai.

Bencana itu melanda di selat sempit yang memisahkan di antara Pulau Negros dan Pulau Cebu yang padat dengan penduduk.

Gempa bumi menyebabkan banyak bangunan runtuh, jalan raya dan jambatan retak manakala bekalan elektrik turut terputus.

Di bandar Cebu yang dihuni 2.3 juta orang dan merupakan destinasi popular di Filipina, penyewa-penyewa bilik hotel bergegas ke tingkat lebih atas selepas mendengar khabar angin yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa tsunami besar akan melanda pulau itu.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik pantas menafikan perkara itu.

Menurut pihak Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula, gempa bumi kali ini berpusat pada kedalaman 46 kilometer di bawah laut. - AgensiKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

50 maut tentera Syria bedil Homs


IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan suasana di luar sebuah hospital yang diserang tentera Syria di Homs.


BEIRUT, Lebanon - Tentera Syria membedil bandar Homs semalam menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera, kata kumpulan penentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad di negara berkenaan, Majlis Kebangsaan Syria (SNC).

Serangan meriam itu disasarkan ke atas beberapa daerah di bandar berkenaan.

Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap Bashar.

"Homs menjadi sasaran bedilan roket dan mortar sejak pukul 6 pagi lagi (waktu Syria). Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam," kata seorang anggota SNC, Catherine Al-Talli kepada agensi berita Reuters.

"Rejim Bashar bertindak seperti mereka kebal daripada campur tangan antarabangsa dan bebas menggunakan keganasan terhadap orang awam," tambahnya.

Menurut Al-Talli, serangan terbaharu itu yang bermula sejurus selepas pukul 2 pagi waktu Syria semalam, mengenai sasaran yang lebih meluas dengan letupan berlaku di kawasan penempatan penduduk di Khalidiya, Baba Amro, Bayada dan Bab Dreib .

"Mereka (tentera Syria) mahu mengusir keluar Tentera Pembebasan Syria," kata seorang penduduk Bab Amro, Hussein Nader menerusi panggilan telefon kepada Reuters.

Dia merujuk kepada kumpulan pemberontak merangkumi pembolos tentera dan kumpulan lelaki bersenjata yang menguasai Homs sejak beberapa bulan lalu.

Serangan kali ini berlaku sehari selepas Amerika Syarikat (AS) berjanji akan melaksanakan sekatan lebih keras ke atas Syria.

Ia sebagai tindak balas ke atas Rusia dan China kerana menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Bashar supaya berundur.

Pada Jumaat lalu, tentera Syria turut membedil Homs sehingga mengakibatkan lebih 200 orang mati.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia semalam mengecam Barat kerana berada dalam keadaan histeria disebabkan berang berhubung tindakan Moscow menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi PBB.

Resolusi tersebut bagi mengecam tindakan keras Bashar menggempur kumpulan penunjuk perasaan di negara rantau Arab itu yang berlaku sejak tahun lalu.

Susulan tindakannya membantah resolusi PBB bersama China pada Sabtu lepas, Rusia kini dilabel penjahat diplomatik oleh Barat.

Malah, seorang menteri Perancis memberitahu bahawa Rusia perlu diajar.

Perkembangan tersebut berlaku menjelang pertemuan para menteri luar enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu kota Arab Saudi, Riyadh lewat minggu ini bagi membincangkan perkembangan di Syria.

Dalam pada itu, Iran menyokong pengunaan kekerasan oleh Bashar bagi mematahkan kebangkitan rakyat Syria.

Sokongan tersebut dinyatakan oleh Iran selepas kekejaman rejim Bashar mematahkan tunjuk perasaan. Keganasan selama hampir 11 bulan lalu di Syria menerima kecaman kuasa-kuasa dunia lain. - AgensiKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'