Pages

Showing posts with label pengemis. Show all posts
Showing posts with label pengemis. Show all posts

Monday, August 22, 2011

Pengemis Siam di Kota Bharu



PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada  dua warga  Thailand  berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.
PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada dua warga Thailand berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.
Penuhi Masjid Besar Muhammadi, Padang Merdeka raih simpati

KOTA BHARU: Warga asing khasnya dari negara jiran, kini mula membanjiri bandar ini dan memenuhi Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka, di sini, bagi mendapat sumbangan sedekah daripada umat Islam di sini. 

Sekumpulan warga asing yang kebanyakannya berusia antara 40 hingga 80 tahun itu, datang dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum menaiki 'prebet sapu' untuk ke bandar ini.
Malah, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman masing-masing di Yala, Pathani dan Narathiwat, semata-mata untuk mencari kain pasang, kain sarung dan wang zakat yang disedekahkan umat Islam negeri ini.
Tinjauan Berita Harian ke lokasi sekitar depan Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka mendapati kumpulan warga tua itu berkumpul di pondok yang dibina di Taman Hijau, di sini, selain tidur di tempat rehat orang awam di pekarangan Padang Merdeka, sambil merayu orang ramai menghulurkan zakat. 

Mohd Do`oh Aryahsae, 65, berasal dari Yala, ketika ditemui pada awalnya mengaku datang dari Besut, Terengganu, tetapi selepas beberapa kali ditanya sambil dihulurkan duit RM10, beliau akhirnya menunjukkan kad pengenalan sebagai penduduk negara jiran. 

“Pak cik datang setiap kali Ramadan ke Kota Bharu kerana di negara pak cik, sukar mencari duit zakat, tetapi penduduk di sini pula baik dan murah hati. 

“Mereka sanggup menghulurkan wang derma antara RM1 hingga RM10 kepada pendatang seperti pak cik yang mula datang ke bandar ini sejak dua hari puasa,” katanya sambil mendakwa mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari sebelum diagihkan untuk bayaran sewa rumah dan upah tambang kereta yang akan membawanya ke mana-mana destinasi untuk berkunjung dari rumah ke rumah atau kedai sekitar sini. 
Bagi Asamoh Sawaeba-ngo, 57, yang kematian suami sejak lebih 20 tahun lalu, hidup sebatang kara di kampung halamannya di Narathiwat agak menyukarkan. 

“Setiap kali Ramadan, mak cik bersama beberapa kawan datang dengan teksi dari Rantau Panjang dan mencari rumah sewa di belakang masjid besar di sini, untuk mencari duit zakat. 

“Sejak hari pertama puasa, mak cik sudah mengumpulkan lebih RM300 dan wang itu boleh dibelanjakan untuk menyambut raya di Narathiwat bersama beberapa anak saudara nanti,” katanya. 

Rakannya, Sitiminoh Mareh, 56, berkata dia juga sanggup tinggal sebulan di Kota Bharu semata-mata mahu mencari rezeki dan setiap malam akan menunaikan solat tarawih di Masjid Besar, manakala tengah hari pula terpaksa merayau untuk mengutip zakat. 

“Biasanya hampir sambutan Aidilfitri nanti, lagi ramai penduduk Yala dan Narathiwat datang ke Kota Bharu, kerana di sini mudah mencari rezeki berbanding di negara mak cik,” katanya sambil mengaku sudah mengumpulkan lebih RM200 sejak 1 Ogos lalu. 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mohd Zain, berkata pihaknya menyedari kebanjiran pengemis warga asing itu setiap Ramadan dan menjelang Aidilfitri. 

“Pengemis asing itu memasuki negeri ini dengan sindiket, malah ada di antara mereka datang berkumpulan kerana umat Islam di sini, murah hati dan sering menghulurkan derma sepanjang Ramadan untuk mencari pahala. 

“Bagaimanapun, kemurahan hati umat Islam di bandar ini menyebabkan pengemis asing itu memenuhi perkarangan masjid besar, sekali gus menjejaskan imej agama Islam,” katanya. 

Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) serta polis untuk menjalankan Ops Bersepadu menahan pengemis asing. -bharian

Saturday, January 8, 2011

Pengemis bersuara emas ditawar jadi pelakon

Kosmo! Online - Dunia




DUA hos Meredith Vieira (kiri) dan Matt Lauer (tengah) mewawancara Ted Williams dalam program televisyen Today di New York kelmarin.


NEW YORK - Pengemis memiliki suara emas, Ted Williams kini ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson, lapor Entertainment Tonight kelmarin.
Tawaran itu adalah yang terbaru selepas dia tiba-tiba menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat banyak tawaran untuk menggunakan suara emasnya dengan bayaran lumayan selepas satu klip video menunjukkan dia mengemis disiarkan di Internet.
Nasib Williams yang berusia 53 tahun itu berubah serta-merta selepas seorang jurugambar akhbarColumbus Dispatch merakamkan gelagat pengemis itu bercakap meminta bantuan dengan menggunakan suara emasnya di tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio. Jurugambar itu kemudian menyebarkan rakamannya itu di Internet.
Semasa rakaman itu, pengemis itu meminta bantuan kewangan dengan tangannya memegang cebisan kotak mengandungi ayat yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas juruhebah radio.
Dia kemudian bercakap seperti aksi deejay radio.
Williams kini menimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi memberitahu perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).
Dia juga ditawarkan untuk merakamkan iklan Kraft Macaroni & Cheese yang akan disiarkan di saluran Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN) semasa perlawanan Fight Hunger Bowl pada perlawanan akan datang.
Ekoran penemuan pengemis bersuara emas itu, seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier berkata, dia boleh menjadikan Williams jutawan kerana keunikan suaranya.
Menyentuh mengenai tawaran terbaru dalam bidang lakonan, Williams berkata: "Jack Nicholson telah menghubungi seorang ahli keluarga saya yang kebetulan berada di Columbus, Ohio. Mereka akan menerbitkan sebuah filem dengan Jack memainkan watak sebagai seorang deejay. Dia mahu saya berlakon bersamanya," kata Williams.
Berita tersebut didedahkan selepas Williams bertemu semula dengan ibunya, Julia Williams di New York untuk pertama kali selepas 20 tahun.
Dalam pertemuan yang penuh emosi itu, Julia yang berusia 90 tahun berkata: "Anak saya yang suka membazir akhirnya pulang ke rumah."
Pengemis itu turut berkata: "Saya sudah sampai di rumah. Saya pernah beritahu akan pulang pada tahun ini. Saya tidak kelihatan hebat. Tetapi saya sudah ada di rumah," kata Williams.
Kelmarin, dia merakamkan suaranya untuk program promosi penjenamaan terbitan stesen televisyen MSNBC.
Dia tinggal di jalanan pada 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Beberapa hari lalu, dia hidup di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.
Sebelum menjadi terkenal disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.
Semasa diwawancara dalam rancangan televisyen Today, kelmarin, dia mengaku terlibat dalam jenayah untuk memenuhi keperluan ketagihan dadahnya.
Williams pernah menjadi juruhebah radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.
Namun, dia kini tidak lagi mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun.
Williams turut menyuarakan perasaan terkejutnya apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York.
"Amat memeranjatkan. Ia merupakan fenomena dan tidak mungkin saya pernah bayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle atau Justin Bieber," katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.
Susan Boyle, 49, menjadi terkenal di dunia kerana suaranya yang merdu semasa menyertai pertandingan bakat nyanyian Britain's Got Talent pada 2009.
Justin Bieber pula menjadi penyanyi amat popular masa kini walaupun dia kini berusia 16 tahun.
Mengulas mengenai pengajaran yang didapati semasa melayan golongan yang tidak berumah Williams berkata: "Jangan menilai manusia secara luarannya. Semua orang mempunyai kisah tersendiri." - Agensi

Wednesday, October 13, 2010

Beruntungnya jadi pengemis


SALAH seorang wartawan menagih simpati orang ramai di jejantas Stesen Monorel Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FENOMENA pengemis berkeliaran seolah-olah menjadi sesuatu yang sukar dipadamkan daripada pemandangan di bandar raya Kuala Lumpur dan bandar lain di seluruh negara.
Entah di mana silapnya, golongan ini makin bertambah walaupun operasi demi operasi dilakukan pihak berkuasa untuk menangkap mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menagih simpati.
Bagi sesetengah orang, kemunculan pengemis di tepi kaki lima bangunan, di atas jejantas atau peminta sedekah bergerak sangat merimaskan.
Namun, ramai juga yang tidak ambil kisah malah sentiasa mendekati mereka untuk menghulurkan sedekah atau sumbangan sebagai tanda simpati terhadap nasib golongan terbabit.
Bagi menyingkap sikap pemurah rakyat Malaysia, empat wartawan Unit Khas Utusan Malaysia menyamar sebagai pengemis selama enam hari di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
Ikuti kisah penyamaran wartawan terbabit yang turut mencatatkan pelbagai pengalaman dan kerenah berdepan warga kota yang mempunyai persepsi berbagai-bagai terhadap golongan pengemis.
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Memang lumayan! Hanya berbekalkan tin kosong atau bekas minuman untuk tempoh dua hingga tiga jam, pendapatan seseorang pengemis di ibu kota boleh mencecah RM100.
Pada masa sama, ia juga bukti bahawa rakyat Malaysia memang pemurah. Mereka tidak pernah lokek menghulurkan duit kepada pengemis yang menggunakan pelbagai cara untuk menagih simpati.
Itulah penemuan daripada penyamaran empat wartawan Unit Khas Utusan Malaysia yang menjadi 'pengemis' di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Friday, September 17, 2010

Pengemis tinggal di hotel lima bintang




2010/09/17

DUBAI: Seorang lelaki yang ditahan kerana meminta sedekah sepanjang Ramadan di kota ini didapati menginap di sebuah hotel lima bintang. 

Pihak berkuasa memberitahu, lelaki itu pernah ditahan sebelum ini kerana meminta sedekah dan kembali mengemis kerana menerima pendapatan lumayan daripada amalan diharamkan itu, lapor akhbar di sini, semalam.Pengarah Jabatan Keselamatan Pelancong Polis Dubai, Mejar Mohammed Rashid Al Muhairi, berkata 360 orang ditahan kerana meminta sedekah pada Ramadan tahun ini.
Katanya, pasukan keselamatan mengambil semua langkah perlu bagi menyekat amalan mengemis yang didapati meningkat bulan lalu. 

Kebanyakan orang yang ditahan kerana meminta sedekah juga adalah warga negara asing yang memiliki visa lawatan dari Asia diikuti rakyat negara Arab. 
Rashid berkata, tangkapan yang dilakukan terhadap pengemis disokong Jabatan Kewarganegaraan dan Pemastautin.

Beliau juga menegaskan, orang ramai yang ada maklumat mengenai pengemis boleh menghubungi pihak berkuasa sepanjang tahun, bukan hanya pada Ramadan. – Agensi 

Tuesday, July 20, 2010

Pengemis seksi jadi kaya kerana Internet



PAKAIAN Cheng Guorong semasa berkeliaran di jalan-jalan Ningbo, China kini menjadi fesyen selepas gambarnya disiarkan di Internet pada Januari lalu.


NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.
Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.
Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.
Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.
Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.
Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.
Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).
Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.
Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.
Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.
Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi