Pages

Showing posts with label JODOH. Show all posts
Showing posts with label JODOH. Show all posts

Saturday, December 29, 2012

Jodoh pemuda kudung Iraq


     KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya.
KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya.
LONDON: Tanpa kedua-dua tangan yang terpaksa dibuang akibat perang Iraq, tuah dialami Ali Abbas memang sangat menggembirakannya.

Dalam serba kekurangan itu, Ali berpeluang mengahwini gadis yang menjadi pujaannya sejak kecil. Kini menetap di Britain, Ali, 21, berkahwin dengan Ankam Hamza, 18, dalam majlis penuh emosi yang dilangsungkan selama dua hari di bumi kelahirannya.


IMEJ menyayat hati ketika Ali baru
diselamatkan dari runtuhan rumahnya
 pada 2003.
Menceritakan pengalaman itu untuk kali pertama, Ali berkata, dia bukan saja tidak menyangka dapat menikahi Ankam, malah tidak menyangka terselamat dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Baghdad sembilan tahun lalu.

 



Sebagai seorang daripada mangsa paling parah dalam perang Iraq, Ali tidak diberi banyak harapan untuk hidup bagi meraikan ulang tahun ke-13. Banyak pihak juga tidak menjangkakan Ali berpeluang menjadi seorang suami. Selain kehilangan kedua-dua tangan, Ali juga mengalami kesan melecur pada 60 peratus badannya.


Ali juga kehilangan 16 anggota keluarga, termasuk ibu bapanya. Gambar penderitaan Ali itu tersebar ke seluruh dunia dan dia menjadi wajah ikon bagi konflik berkenaan. Kata Ali, dia tidak sangka diberi peluang untuk terus hidup.


“Saya tak pernah membayangkan dapat mencintai seorang wanita dan yang paling pasti, tidak sangka ada peluang berkahwin,” katanya. Menurut Ali, pada hari pernikahan, emosinya bercampur-baur antara sedih dan gembira.

Bagaimanapun, katanya, dia lebih terfikir bahawa dia sangat bertuah kerana dapat bertemu seorang wanita seperti Ankam.


“Memang saya tahu Ankam adalah pilihan tepat kerana dia tidak pernah membiarkan saya terfikir bahawa saya memiliki kekurangan.

“Apabila bersama Ankam, saya berasa seperti lelaki normal,” katanya. Menurut Ali, dia sentiasa dibayangi tragedi pada 2003 itu dan ia turut mengubah hidupnya. Katanya, pada ketika tertentu, dia terdengar jeritan ahli keluarganya ketika bumbung dan siling rumah runtuh menimpa mereka akibat peluru berpandu AS. Ali bernasib baik kerana dikesan seorang jiran masih bernafas di bawah runtuhan bangunan berkenaan.


Selepas dikeluarkan, dia dikejarkan ke hospital.


Penderitaan Ali menyentuh perasaan berjuta orang di seluruh dunia apabila anggota perubatan di Iraq merayu supaya dia diterbangkan ke Kuwait bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya. Akhirnya Ali diterbangkan ke Britain dan diberi bantuan tangan palsu di Hospital Ratu Mary di selatan London. Pada Jun 2010, Ali lulus ujian kewarganegaraan dan disahkan sebagai warga Britain. Sejak itu, Ali pulang ke Iraq beberapa kali untuk bertemu saudara-maranya yang terselamat dalam perang. Dalam kesempatan itu Ali diperkenalkan kepada Ankam yang pernah menjadi temannya ketika zaman kanak-kanak. - DM

Friday, November 23, 2012

Semua jodoh di sekolah



Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi berusia 50-an mencatat rekod unik kerana empat isterinya bersekolah.

Lelaki itu mengahwini pengetua, guru dan seorang pelajar di sekolah yang sama manakala isteri keempat adalah penyelia di sekolah lain.
Kes ini pelik dan unik. Semua guru dan pelajar selalu bergurau mengenainya, kata seorang guru di sekolah tiga isteri lelaki berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pengetua berkenaan tidak cuba mengambil kesempatan kerana kedudukannya lebih tinggi daripada madunya.

Guru itu dipetik akhbar Okaz sebagai berkata, pengetua melayan madunya seperti orang lain ketika bertugas di sekolah terletak di Jizan, barat laut Arab Saudi.

Beliau melayan madunya, guru dan pelajar berkenaan seperti juga pelajar dan guru lain, katanya.

Laporan tidak menyatakan sama ada dia mengahwini isterinya serentak dan usia pelajar berkenaan. Lelaki itu tinggal tidak jauh dari sekolah isterinya.
Bagaimanapun, bagi pihak tertentu, mereka memberi pandangan bahawa beristeri lebih daripada satu adalah perbuatan salah dari segi sosial.

Bolehkah dia uruskan tekanan mental, fizikal dan kewangan untuk membesarkan anak atau dia akan biarkan mereka saja, kata Zeezo dalam komen di internet.
Satu lagi komen menasihati lelaki berpoligami itu memulakan sekolah lain dan memegang jawatan kanan.
Agensi

Tuesday, January 11, 2011

Tip Mendapatkan Jodoh


Sesungguhnya urusan jodoh adalah ketetapan ALLAH. Kita hamba Nya yang lemah ini tidak ada daya upaya langsung untuk menetapkan jodoh kita melainkan semuanya dalam ketentuan Allah SWT. Namun, apa yang boleh kita buat ialah merayu dan memohon pertolongan ALLAH SWT supaya mempertemukan jodoh kita sebaik mungkin.

Berikut ini disenaraikan beberapa tips yang dapat anda amalkan dalam proses mencari jodoh terbaik anda. Pilihlah mana-mana amalan yang anda suka untuk diamalkan atau anda juga boleh lakukan kesemuanya sekali sekiranya mampu.

1. Membaca surah Yaasin setiap malam sebab dalam satu hadist nabi bahawa surah Yaasin ada 10 keberkatan, satu darinya ialah sesiapa yang masih belum berjodoh maka akan diberi jodoh. Baca kalau boleh setiap malam, atau kerap, dan niatkan supaya Allah swt segerakan jodoh dan berikan yang baik dan beriman. Insyaallah mustajab.

2. Membaca surah Fatihah berulang-ulang kali, niatkan supaya Allah swt segerakan jodoh. Juga terdapat dalam sebuah hadist, yang mana surah fatihah ada beberapa keberkatan antaranya diberi jodoh, baca berulang-ulang contoh 1x atau 3, 5, 7 atau seberapa yang anda suka dan niatkan supaya Allah swt berikan jodoh yang baik dan soleh.

3. Melakukan sembahyang hajat selama 3 hari berturut-turut dengan penuh kusyuk dan pengharapan, dan lakukan juga amalan-amalan lain yang baik-baik, contoh sedekah, zikir, ziarah org sakit, yang penting hati sentiasa bergantung harap kepada Allah sahaja, jangan harap dari selain Allah, berdoa dengan sungguh-sungguh, dengan nada suara yang lembut dan merendah diri. Adukan problem anda kepada Allah swt, jika seseorang merahsiakan problemnya kepada manusia, kemudian mengadu hanya kepada Allah, maka Allah swt akan bantu dia, jika dia mengeluh kepada manusia maka Allah swt tidak akan bantu dalam masalah tersebut.

4. Berdoa disetiap selepas sembahyang 5 waktu, dengan berdoa untuk minta jodoh sahaja selama 20 minit-30 minit. Berdoa dengan mata separuh pejam. Insyaallah

5. Bangun tengah malam sembahyang tahajjud, kemudian solat taubat 2 rakaat, kemudian sembahyang hajat beberapa rakaat yang anda mampu. Lagi banyak lagi baik. Kemudian berdoa dengan kusyu’, insyaallah.

6. Solat hajat 2 rakaat –> Doa, 2 rakaat lagi –>Doa, 2 rakaat lagi –>Doa, sehingga datang rasa benar-benar yakin yang Allah swt telah makbulkan. Kalau masih tak yakin usahakan pada malam berikutnya sehigga datang keyakinan. Bila anda telah benar-benar yakin bahawa doa anda telah makbul, insyaallah, tunggu ajalah orangnya.(Tawakkal)

7. Betulkan niat, nak kahwin kerana Allah, untuk selamatkan diri samada dari maksiat, ingin mendapat zuriat, untuk memudahkan menjalankan perintah Allah. Sabda nabi SAW, Allah menjamin untuk menolong 3 golongan:
1. Seseorang yang berjihad dijalannya
2. Seseorang yang berhutang dan berniat untuk membayarnya
3. Seseorang yang mahu kahwin untuk selamatkan agamanya

8. Berdoa dengan kusyuk diwaktu tertentu yang mustajab atau ditempat-tempat tertentu yang mustajab. Contoh: Diantara azan dan Iqamah, waktu hujan, waktu jam 3-5pagi (tahajjud), dalam masjid, berdoa dengan disertakan ismulazam, sesudah solat 5 waktu, sesudah solat asar sehingga terbenam matahari pada hari Jumaat. dalam keadaan suci, badan, pakaian dan tempat, mengadap kiblat, suara antara kedengaran dengan tidak, meminta seperti seorang fakir yang sangat mengharap dan dalam kelaparan.

9. Berdoa dengan dimulai pembuka doa dan selawat, kemudian penutup doa dan selawat.Contoh paling simple;
Pembuka:Alhamdulillah, Allahhhummasolli’ala saidina muhammad.
Kemudian bacalah apa2 saja doa samaada dalam bahasa Arab atau bahasa Melayu atau apa2 saja bahasa yang anda mahir…
Penutup:Alhamdulillah, Allahhhummasolli’ala saidina muhammad.

10. Berdoa dengan mengunakan doa-doa dari ajaran Rasulullah atau dari Al-Quran adalah doa terbaik dan paling berkat, jika tak pandai doa ajalah dalam bahasa sendiri, Allah swt maha memahami.

12. Selama beramal, jangan makan makanan, pakaian, tempat atau apa sahaja yang haram, subhat, kotor, makruh, makan makanan yang bersih, halal dan suci.

Insyaalllah jika anda amalkan tips-tips diatas dengan hati yang bersih dan ikhlas, apa sahaja permohonan, hajat, permintaan anda akan dimakbulkan oleh Allah, yakinlah. Kalau tak yakin cuba dulu, dan lihat sendiri. Jangan minta perkara-perkara yang karut-karut atau perkara mustahil, mintalah perkara-perkara yang baik sahaja. Allah swt maha kaya, dia mempunyai khazanah yang tidak ada kesudahan dan tak pernah berkurang, dia maha pangasih dan maha pemurah pula, dia suka memberi, dia suka manusia meminta dan berharap kepadanya, manusia sahaja yang kebanyakan tidak bijak kerana tidak mahu meminta dari Tuhan yang amat kaya dan pemurah. Meminta kepada sesama manusia adalah ibarat Seorang pengemis yang mengemis kepada pengemis yang lain.

Semoga Allah swt memberi anda jodoh yang terbaik.
Selamat berusaha!

p/s:sumber dari  blog pakar how to --> http://pakarhowto.com/

Saturday, January 1, 2011

Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad





SANAH Ahmad menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita mengenai Ahmad Md. Isa yang ingin mencari calon isteri di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ismail kamadin


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Cinta yang hadir melalui pandang pertama di dalam akhbar telah cukup membuka ruang di hati seorang wanita warga emas menawarkan dirinya untuk berkongsi hidup dengan Ahmad Md. Isa berusia 110 tahun di Kedah.
Bagi Sanah Ahmad, 82, yang telah menjanda sejak 30 tahun lalu, hatinya terpaut dengan Ahmad dari Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, sebaik sahaja terpandang wajahnya di akhbar, kelmarin.
Menurutnya, dia yang mengetahui niat Ahmad untuk mencari calon isteri segera menyatakan hajatnya untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut kepada anak bongsunya, Sabaha Ahmad, 42.
Katanya, dia juga meminta Sabaha agar segera menghubungi keluarga pihak lelaki terbabit untuk mendapat persetujuan menjadi calon isterinya.
"Sejurus terpandang wajahnya, hati saya terpaut kerana mirip mukanya seperti arwah suami saya sebelum ini terutama di bahagian mata.
"Malah namanya juga sama iaitu Ahmad," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, di sini hari ini.
Jelas Sanah, dia bersedia menjadi isteri kepada Ahmad bagi menemaninya sepanjang hidup selain menjaga makan dan minumnya.
Kelmarin akhbar memaparkan kisah Ahmad yang menyatakan keinginannya untuk mencari calon isteri sebagai peneman hidupnya.
Menurut Ahmad, dia pernah berkahwin sebanyak lima kali dan empat daripada isterinya telah meninggal dunia dan hanya bercerai sekali dalam perkahwinannya iaitu dengan isteri kelimanya.
Sabaha pula memberitahu, pada mulanya dia menyangka ibunya berseloroh apabila menyatakan hasrat untuk berumahtangga dengan lelaki itu.
Katanya, sebelum ini ada juga yang berniat untuk mengahwini ibunya namun ditolak kerana hatinya belum terbuka.
"Itulah saya pun pelik juga bila emak melihat wajah encik Ahmad dalam surat khabar, dia terus terbuka hati," katanya.
Sabaha berkata, ibunya juga tidak kisah jika bertemu jodoh dengan Ahmad walaupun lelaki itu ada menyatakan pandangannya rabun dan pendengarannya sedikit terjejas.
"Malah, kami kesemua adik-beradik bersetuju dengan keputusan emak walaupun pada mulanya kami agak terkejut kerana menyangka emak hanya bergurau.
"Namun, kami tidak akan menghalang sekiranya ia adalah untuk kebahagiaan emak," ujarnya.
Sanah yang mempunyai sembilan anak hasil dua perkahwinan dibinanya sebelum ini telah kehilangan suami sejak 1980 lagi.
"Sejak itulah emak mula hidup keseorangan dan merasa kesunyian kerana tiada teman hidup yang menemaninya sepanjang masa.
"Jadi kalau ada jodoh antara emak dan Ahmad bolehlah diibaratkan cinta utara bertemu selatan memandangkan kami berasal dari Johor," ujarnya.

Thursday, December 2, 2010

10 petanda si dia adalah JODOH kita


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.


Share

Saturday, October 16, 2010

Nenek 13 cucu nikah pemuda

KODIANG: Perkenalan selama enam bulan melalui laman sosial Facebook membawa ke jenjang pelamin seorang nenek yang mempunyai 13 cucu dengan pasangannya yang 34 tahun lebih muda.
Munah Ishak, 68, berkata, dia dan suami, Mohd Reduan Mohd Noor, 34, berpendapat perbezaan usia bukan penghalang menyatukan mereka malah, menganggapnya sebagai takdir apabila bertemu jodoh dengan lelaki lebih muda.
Malah, dia sudi menerima cinta Mohd Reduan kerana percaya lelaki itu ikhlas mengahwininya walaupun usianya sudah lebih separuh abad.

Pengurus kafe di sebuah institut pengajian tinggi itu berkata, dia memilih 10.10.10 sebagai hari pernikahan di Masjid Jamek pekan Kodiang kerana tarikh itu istimewa dan mudah diingati.

“Saya tertarik dengannya kerana dia seorang lelaki bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap diri saya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Damai, di sini, semalam.

Menceritakan detik perkenalan dengan pasangan itu, Munah berkata, selepas kematian suami pertama lima tahun lalu akibat sakit jantung, hidupnya sunyi tanpa lelaki bergelar suami.

“Saya mengenali suami melalui Facebook selama enam bulan lalu. Bermula dari situ, kami mengenali hati budi masing-masing sebelum dia menyatakan hasrat mengahwini saya.

“Saya ada berterus terang dengannya yang saya sudah tua dan tidak sesuai dengannya, namun dia tetap berkeras mahu mengahwini saya. Justeru, saya mempelawa dia bertandang ke rumah pada Aidilfitri keempat untuk berkenalan lebih dekat,” katanya yang terkejut dan tidak menyangka Mohd Reduan sanggup datang ke Kodiang seorang diri sebelum terus menyuarakan hasrat hatinya.

Menurutnya, dia kemudian memberi peluang Mohd Reduan berfikir supaya tidak menyesal berikutan faktor perbezaan usia antara mereka selain tidak mungkin dapat memberikannya zuriat.

“Bagaimanapun, dia beritahu tidak kisah kerana pasangan muda yang berkahwin juga tidak dikurniakan zuriat,” katanya yang mempunyai enam anak berusia antara 31 hingga 50 tahun serta 13 cucu hasil perkahwinan pertamanya.

Katanya, semua anak-anaknya tidak membantah keputusannya untuk mendirikan rumah tangga kerana faham keadaannya yang tinggal seorang diri di rumah.
“Semua anaknya tinggal jauh dan ada di Singapura dan Brunei,” katanya.

Sementara itu, Mohd Reduan yang sebelum ini bekerja sendiri di Kelantan ketika ditanya mengapa memilih Munah sebagai teman hidup berkata, sudah tertulis jodohnya dengan Munah kerana wanita itu sungguh istimewa.

“Saya terima dia seadanya... bukan kerana harta, sebaliknya keikhlasannya dan kesediaan menerima saya sebagai suami dan bapa kepada enam anak dan cucu-cucunya,” katanya.

Thursday, July 1, 2010

Iklan untuk jodoh anak


15/7
RIYADH: Akhbar harian Arab Saudi, Al Yaum melaporkan seorang wanita meminta bantuan media cetak berkenaan untuk mengahwinkan enam anak perempuannya yang cantik jelita, berpendidikan tinggi dan berharta.
Pemuda daripada kalangan saudara-mara dan jiran tetangga tidak mengenali mereka.
Saya sedia mengahwinkan keenam-enam anak saya melalui perkahwinan misyar jika itu jalan terbaik untuk menamatkan zaman gadis mereka, kata wanita terbabit.
Perkahwinan misyar dilakukan berdasarkan prosedur kontrak apabila suami isteri diberi hak tertentu melalui persetujuan bersama, contohnya, si isteri diberi hak untuk menguruskan kerja rumah tangga dan kewangan.
Akhbar Al Yaum yang diterbitkan di Dammam, di wilayah timur Saudi melaporkan wanita terbabit mengatakan: Saya harap dapat mencari pemuda Saudi yang baik menerusi orang tengah untuk dikahwinkan dengan enam anak perempuan saya.
Suami saya tidak akan mengenakan wang hantaran terhadap mana-mana calon yang berminat mengahwini anak saya. Malah, dia akan membantu bakal menantu kami itu sekiranya pemuda berkenaan komited dan berhemah. – Agensi
Sumber : Harian Metro

Friday, June 25, 2010

18 jutawan cari jodoh di Internet

BEIJING: Wang tidak boleh membeli cinta. Namun di China, wang membolehkan anda memilih mana-mana daripada 50,000 gadis jelita apabila sebuah agensi mencari jodoh secara dalam talian menganjurkan pertandingan mencari jodoh bagi 18 jutawan yang menjadi ahli kepada agensi itu.
Pertandingan dianjurkan jiayuan.com itu mendapat sambutan hangat di China apabila membuat temu janji secara dalam talian menjadi salah satu industri Internet paling berkembang dan berdaya saing dengan jangkaan keuntungan £120 juta (RM590 juta) setahun.
Segelintir wanita dari Vancouver, Singapura, New York dan Paris terbang ke China hujung minggu lalu untuk menyertai gadis tempatan dalam pusingan pertama uji bakat yang menyaksikan 2,600 pemohon berjaya dipilih berdasarkan berat badan, ukuran tubuh, tahap pendidikan dan umur. Menurut pengarah urusan laman jiayuan.com., Cheng Yongsheng, ramai yang ditolak ketika sesi uji bakat itu yang turut diadili guru fengshui China yang membuat penilaian ke atas peserta berdasarkan kebolehan mereka sama ada mampu memberi keuntungan kepada bakal suami atau sebaliknya.

“Sebagai hartawan mereka mahu mencari isteri yang bersesuaian bukan setakat wajah cantik,” ujar Cheng memberitahu kumpulan 2,600 peserta itu akan dipilih lagi kepada 130 yang akan memasuki pusingan akhir bulan depan dengan 18 yang terpilih bakal menghadiri parti bersama pasangan mereka. Jelas Cheng, identiti 18 hartawan berkenaan menjadi rahsia tetapi purata usia mereka ialah 38 tahun dan masing-masing mempunyai perniagaan sendiri termasuklan perniagaan tekstil, kewangan dan hartanah.

Semua hartawan berkenaan sudah membuktikan kedudukan kewangan mereka dengan menyertakan dokumen milikan seperti vila eksklusif, kenderaan mewah dan pesawat peribadi. Seorang hartawan dari Shenzhen menjanjikan sebuah kereta Porsche kepada gadis yang terpilih menjadi pasangannya. Budaya mencari jodoh menerusi pertandingan termasuklah seperti yang diadakan di kaca televisyen sebelum ini mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat di China terhadap pengaruh wang yang memainkan peranan besar dalam hubungan berumahtangga dan kekeluargaan.

Awal tahun ini seorang peserta wanita dalam pertandingan mencari jodoh di televisyen mencetuskan kemarahan masyarakat apabila dia tanpa segan silu memberitahu, “saya lebih rela hidup sengsara di tempat duduk belakang kereta BMW daripada hidup bahagia dengan membonceng basikal.” - Agensi