Pages

Showing posts with label cekik. Show all posts
Showing posts with label cekik. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

Restoran cekik darah pelanggan



ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.
Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.
“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.
“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.
“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.
Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.

Wednesday, October 27, 2010

Ibu cekik anak hingga mati




Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shamsul Munir Safini
am@hmetro.com.my
     
KOMAGAL...terjun flat lepas cekik anak.
KOMAGAL...terjun flat lepas cekik anak.
GOMBAK: “Isteri saya mula meracau seolah-olah diganggu makhluk halus, Khamis lalu dan selepas dibawa berubat, dia seperti sudah pulih. Tak sangka pula penyakitnya berulang sehingga begitu teruk sekali.”
Demikian kata Sathia Selan, 32, yang kehilangan dua orang tersayang serentak selepas isterinya, S Komagal, 30, mencekik anak perempuan mereka berusia empat tahun sehingga mati sebelum membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 flat yang mereka duduki di Batu Caves jam 10 pagi kelmarin.

Sathia yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan berkata, dia tidak sangka tragedi itu boleh berlaku berikutan isterinya ditinggalkan dalam keadaan normal sebelum dia keluar bekerja pagi kejadian.

“Kehidupan kami sekeluarga sebelum ini cukup bahagia sebelum dia diganggu makhluk halus Khamis lalu dan mula meracau dengan mengeluarkan perkataan tidak difahami. Dia juga cuba mencekik anak kami, namun berjaya dihalang.

“Jumaat lalu saya mengambil cuti dan membawanya berubat dengan sami. Selepas itu dia kembali normal. Sebab itulah semalam (kelmarin) saya keluar bekerja dan meninggalkan dia bersama tiga anak kami,” katanya.

Menurut Sathia, anaknya yang mati dicekik isterinya ialah Ukuneswaray berusia empat tahun manakala dua lagi anaknya ialah Teneswari, 6, dan Thaneswaren, setahun.
Sumber polis berkata, yang dipercayai mengalami ‘gangguan’ secara tiba-tiba bertindak mencekik anak keduanya di depan dua anak lain.

“Anak perempuannya yang berusia enam tahun yang menyaksikan kejadian itu menjerit meminta tolong hingga menarik perhatian jiran. Menyedari jiran datang, wanita itu yang tinggal di tingkat lima melarikan diri ke tingkat 11 sebelum memanjat tembok dan terjun membunuh diri,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang dicekik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri segera dibawa ke klinik berhampiran, namun disahkan meninggal dunia kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.