Menurut laman web mirror.co.uk, Jeff Woolmer, membuat bidaan untuk mendapatkan kereta kebal kegunaan bekas tentera Kanada,di laman web lelong dengan harga 9,000 pound (RM57,400) beberapa bulan lalu.
Woolmer memberitahu, dia terlupa dengan bidaan kereta kebal itu sehinggalah mendapat pang­gilan telefon daripada pusat lelongan berkenaan.
“Ketika di pejabat, saya mendapat panggilan daripada pusat bidaan yang menyatakan saya berjaya membeli kereta kebal seberat tujuh tan itu,” ujar Woolmeer yang merupakan seorang jurutera.
Jelasnya, rakan-rakan di pe­jabatnya tergelak selepas mendapat tahu tentang perkhabaran tersebut.
Dia yang tinggal di kawasan flat terpaksa mencari kediaman lain yang lebih besar memandangkan kereta kebal itu memerlukan ruang yang lebih luas.
“Saya akhirnya berjaya mendapat rumah yang lebih besar di Bradley Stoke dan mempunyai tempat yang lebih selesa untuk meletakkan kereta kesayangan ini,” ujarnya.
Dia memberitahu, sejak berpindah, jiran-jiran di kawasan per­umahan baharu memanggilnya sebagai ‘Tank Man’.
Woolmer berkata, walaupun kereta kebal itu tidak boleh berfungsi, dia merancang untuk ‘menghidupkan’ kereta kebal tersebut menggunakan bateri.