Pages

Showing posts with label arafat. Show all posts
Showing posts with label arafat. Show all posts

Wednesday, November 28, 2012

Sampel tulang Arafat diambil



KUBUR Arafat sebelum digali.


RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat dikebumikan semula semalam di kuburnya di sini selepas sampel daripada tulangnya diambil untuk diuji sama ada terdapat tanda-tanda beliau diracun.
"Pada pukul 5 pagi waktu tempatan, liang lahad itu mula digali dengan cermat," kata sumber Palestin.
"Operasi tersebut telah tamat dan kuburnya telah dikambus semula manakala sampel yang diambil telah diberikan kepada pakar dari Perancis, Switzerland dan Rusia," kata sumber berkenaan.
Proses pengambilan sampel tulang Arafat itu dilakukan oleh seorang doktor Palestin yang diperhatikan oleh pakar dari tiga negara tersebut.
"Sampel tulang Arafat diambil dari dalam liang lahadnya dan kemudian dipindahkan ke sebuah masjid," kata sumber berkenaan.
Keputusan daripada sampel yang diambil itu akan diketahui dalam masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Proses pengambilan itu dibuat secara tertutup.
Sampel yang diambil itu bertujuan untuk menguji kewujudan bahan radioaktif, polonium yang merupakan sebahagian daripada siasatan baharu sama ada bekas presiden Palestin itu diracun.
Siasatan tersebut dibuat ekoran laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai penemuan sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat polonium pada barang peribadi milik Arafat.
Perancis membuka siasatan terhadap kematian Arafat yang dikemukakan pada Ogos lalu atas permintaan balu beliau, Suha.
Arafat meninggal dunia selepas kesihatannya merosot dengan mendadak di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika beliau berusia 75 tahun.
Pada sidang akhbar, Dr. Abdullah al-Bashir yang mengetuai pasukan perubatan bagi menyiasat kematian Arafat memberitahu, sampel tersebut amat kecil.
"Ia hanya seberat beberapa miligram dan 20 sampel diberikan kepada setiap pihak (yang terlibat dalam siasatan itu)," katanya.
Sementara itu, Suha berkata, misteri paling penting di Asia Barat semakin hampir menemui penyelesaian.
"Kita perlu tahu kenapa beliau meninggal dunia," katanya kepada akhbar Times of Malta di rumahnya di Malta.
Beliau juga menafikan pernah menentang bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Arafat.
Dalam perkembangan berkaitan, kepimpinan Palestin akan mengemukakan petisyen di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda jika terdapat bukti bahawa Arafat telah diracun.
"Jika terbukti beliau diracun, kami akan mengemukakan dakwaan di mahkamah antarabangsa," kata Ketua Suruhanjaya Siasatan Kematian Arafat, Tawfiq Tirawi. - Agensi

Tuesday, November 27, 2012

Liang lahad Arafat digali hari ini




KUBUR Arafat sebelum digali.- Agensi


RAMALLAH – Salah satu misteri politik Asia Barat mungkin dapat diketahui pada hari ini apabila para saintis menggali liang lahad kubur pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) di sini untuk mengetahui sama ada dia diracun.
“Ia amat menyakitkan, mengejutkan dan tidak mudah bagi saya dan anak-anak, tetapi ia mesti dilakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar, jika terdapat jenayah, ia mesti diselesaikan,” kata balu Arafat, Suha ketika dihubungi di rumahnya di Malta.
Ketua Penyiasat Palestin berkata, Tawfik Tirawi berkata, liang lahad tersebut akan digali pada hari ini untuk mengambil sampel dari tulang Arafat dan pengebumian semula akan dilakukan pada hari yang sama.
Khabar angin dan spekulasi tersebar mengenai punca kematian Arafat.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika berusia 75 tahun.
Doktor-doktor di Perancis tidak dapat mengenal pasti punca kematian presiden Palestin itu.
Penduduk Palestin percaya Arafat diracun Israel.
Pada Julai lalu, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan penemuan daripada sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat bahan radioaktif, polonium pada barang peribadinya.
Polonium merupakan racun yang membunuh bekas perisik Rusia yang lantang, Alexander Litvinenko di London pada 2006.
Liang lahad itu digali selepas kes siasatan kematian Arafat dibuka di Perancis baru-baru ini.
Panel hakim yang mengendalikan siasatan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat kelmarin. – AFP

Thursday, September 6, 2012

Tiga hakim Perancis akan minta kubur Arafat digali





PARIS - Tiga hakim Perancis melakukan persiapan untuk pergi ke bandar Ramallah di Tebing Barat bagi meminta kubur Yasser Arafat (gambar) digali semula untuk menentukan sama ada bekas pemimpin Palestin itu mati akibat diracun, kata sumber kehakiman kepada agensi berita Reuters semalam.
Ketiga-tiga hakim berkenaan perlu mendapatkan kelulusan Israel dan Pihak berkuasa Palestin bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah melahirkan kesanggupan untuk menggali kubur Arafat di Ramallah.
Dalam perkembangan berkaitan, balu Arafat, Suha dalam satu kenyataan kepada Reuters berkata, hakim-hakim berkenaan memberitahu peguamnya bahawa mereka telah mula mengambil langkah yang perlu untuk ke Ramallah.
"Saya telah meminta Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab supaya menggantung semua inisiatif lain sementara sistem kehakiman Perancis menyiasat kes ini," kata Suha.
Beberapa pakar polis akan melakukan ujian keracunan di bawah pemerhatian dan arahan tiga hakim berkenaan.
Mahkamah Perancis berkenaan melancarkan siasatan kes bunuh pada bulan lalu berhubung kematian Arafat di sebuah hospital tentera di Paris pada tahun 2004 selepas balunya menyatakan bekas pemimpin Palestin itu telah diracun.
Tiada bedah siasat dilakukan selepas kematian Arafat pada tahun 2004.
Dakwaan perbuatan khianat tersebar selepas beberapa doktor Perancis memberitahu mereka tidak dapat mengenal pasti punca kematian Arafat.
Sebelum ini Suha menyatakan Arafat diracun ekoran keputusan ujian sebuah makmal di Switzerland yang menemui bahan beracun radioaktif, polonium-210 pada pakaian bekas pemimpin itu. - Agensi

Friday, July 13, 2012

Anak saudara dakwa Israel racun Arafat



GAMBAR fail menunjukkan Arafat dan isterinya, Suha.

RAMALLAH - Israel meracun bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dengan bahan radioaktif polonium, kata anak saudaranya, Nasser al-Qidwa semalam.
"Kami menuduh Israel membunuh Arafat dengan meracunnya dengan bahan pembawa maut," katanya kepada agensi berita AFP.
Beliau merujuk bahan pembawa maut itu sebagai polonium.
Bahan itu ditemui pada pakaian yang dipakai Arafat semasa beliau sakit.
"Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu sepatutnya dihukum," katanya.
Beliau merupakan Presiden Yayasan Yaser Arafat.
Dakwaan Arafat diracun muncul pada minggu lalu selepas stesen penyiaran Al-Jazeera melaporkan pakar-pakar menyatakan terdapat kadar kandungan polonium yang tinggi pada barang peribadi milik pemimpin terkenal Palestin itu.
Bahan itu pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang mati pada tahun 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun tersebut.
Namun, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Nasser.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004. - AFP

Wednesday, January 19, 2011

Arafat dibunuh dengan Thallium


Arafat mangsa Thallium


beritaislamglobal.blogspot.com (Original English version here)
OCCUPIED JERUSALEM (Agencies)
Bassam Abu Sharif, bekas penasihat kanan Yasser Arafat mengumumkan Isnin lalu keputusan ujian yang dijalankan untuk mengenalpasti jenis racun yang membunuh bekas presiden Palestin itu.

Menurut Abu Sharif, ujian tersebut telah dilakukan oleh “seorang pakar toksikologi forensik di UK” yang tidak didedahkan nama dan institusi yang diwakilinya.
Beliau menjelaskan bahawa ujian-ujian tersebut telah mengenalpasti racun yang digunakan untuk membunuh Arafat iaitu “thallium”, sejenis bahan kimia yang jarang ditemui dan sukar dikesan efek-efeknya.

“Bahan pembunuh ini diekstrak dari rumpai laut dan dihasilkan dalam bentuk cecair tanpa warna, rasa dan bau,” kata Abu Sharif dalam satu kenyataan yang dibuat Isnin lalu.
Salah satu daripada ciri-ciri bahan kimia tersebut iaitu apabila dimasukkan dalam makanan atau minuman, ia tidak akan mengubah rasa, warna atau bau. Ia juga boleh disuntik ke dalam saluran darah.
“Laporan tersebut juga menjelaskan bahawa cara paling berkesan ialah apabila racun tersebut masuk kedalam tubuh melalui lidah, dan oleh kerana itu ianya amat sesuai dimasukkan ke dalam air, teh, kopi atau buah-buahan dan sayuran malah ubat sekalipun.”
Abu Sharif berkata pakar-pakar toksikologi Britain dan Eropah tidak mengenali racun ini, kecuali mereka yang mempunyai kepakaran toksikologi forensik.
“Menurut pakar berkenaan, racun ini mempunyai kesan yang sangat tinggi dan tiada penawar sekiranya dibiarkan berlalu masa selama lima jam selepas suntikan atau dimasukkan dalam makanan dan minuman.”
Pakar terbabit menjelaskan yang racun ini secara perlahan merosakkan sistem dalaman manusia bermula dengan hati, buah pinggang, paru-paru dan yang terakhir, otak.
Dua hingga lapan bulan
Pakar tersebut juga menjelaskan bahawa masa yang diambil oleh racun tersebut untuk membunuh bergantung kepada banyak faktor sepeti umur, tubuh-badan dan daya lawan penyakit.
“Tapi beliau berkata bahawa tempoh masa biasanya di antara dua hingga lapan bulan, dan masa ini sudah cukup untuk memberi peluang kepada si pelaku untuk meloloskan diri.”
Menurut pakar itu lagi, simpton-simpton yang berpunca dari racun tersebut termasuklah kekerapan rasa mual dan lemah yang datang dan hilang, sehinggalah keperingkat di mana mangsa merasa pening sepanjang masa.
Di peringkat seterusnya, bulu-bulu mula gugur bermula dari kaki dan di seluruh anggota sehinggalah akhirnya di kepala.
Di peringkat akhir, mangsa banyak mengalami kegoncangan tubuh badan dan hilang keupayaan berdiri beberapa ketika dan kematian berlaku apabila darah tidak sampai ke otak.
Laporan itu menjelaskan bahawa punca utama kematian adalah apabila berlakunya pemecahan sel darah merah dan kegagalan badan untuk menghasilkannya menyebabkan otak dan sistem lain turut rosak.
Abu Sharif berkata bahawa bahawa informasi yang didedahkan hanyalah sebahagian sahaja dari laporan yang lebih lengkap yang akan didedahkan sedikit masa lagi.
“Maklumat ini belum lengkap. Ini hanya sebahagian.”
Abu Sharif berkata beliau akan menghantar segala maklumat yang diperolehi kepada jawatankuasa siasatan yang “bertanggungjawab dan serius.”
Amaran kepada Abbas
Beliau juga mengakui telah memberi amaran kepada presiden Palestin ketika ini, Mahmoud Abbas, tentang kemungkinan mengalami nasib yang sama.
“Saya meminta Abbas supaya berhati-hati kerana pihak Israel mungkin menggunakan perancangan yang sama untuk menghapuskan beliau dan Perdana Menteri Salam Fayyad. Pihak Israel hanya mahukan jawatan kepimpinan Palestin dikosongkan.”
Abu Sharif berkata yang beliau juga memberi amaran yang sama kepada Arafat beberapa bulan sebelum diracun.
“Saya memberitahunya secara spesifik bahawa racun adalah senjata utama Israel.”
(Translated from Arabic by Sonia Farid)
BIG : Antara mangsa lain thallium termasuklah Alexander Litvinenko (bekas perisik KGB – gambar sebelum dan selepas diracun). “Prussian blue” (gambar) dikatakan penawar racun itu.