Pages

Friday, April 17, 2015

Lelaki mendarat dengan helikopter mini di laman Capitol



SEORANG anggota unit pemusnah bom memeriksa helikopter mini yang mendarat di halaman bangunan Capitol, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Kakitangan bangunan Capitol di sini gempar selepas seorang lelaki bertindak mendaratkan sebuah helikopter mininya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bertindak menutup kawasan berkenaan.
"Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) telah menahan seorang lelaki dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan," kata pegawai polis, Shennell Antrobus kepada AFP.
Menurut akhbar Tampa Bay Times, juruterbang helikopter mini berkenaan merupakan seorang lelaki dari Florida yang bertindak demikian sebagai kempen mendesak reformasi kewangan.
Ruang udara di sekitar mercu tanda Washington itu termasuk White House merupakan kawasan larangan kepada sebarang penerbangan.
Ketika kejadian terdapat 535 anggota Kongres AS sedang bersidang.
Polis berkata, sekumpulan skuad bom juga telah dihantar untuk memeriksa helikopter berkenaan yang mendarat beberapa ratus meter dari bangunan Capitol.
Pihak berkuasa juga dilaporkan mengarahkan bangunan itu dikunci walaupun tiada arahan pengosongan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3XVravWfK 
Hakcipta terpelihara 

Wanita lahir anak kembar lima



KEMBAR lima yang dilahirkan di Hospital Wanita Texas pada 8 April lalu. - AGENSI


HOUSTON, Texas – Seorang wanita di sini melahirkan bayi kembar lima dan kesemuanya perempuan sekali gus menjadikan kelahiran itu sebagai yang pertama di Amerika Syarikat (AS).
Hospital Wanita Texas memberitahu, ibu berkenaan, Danielle Busby mengambil masa empat minit untuk melahirkan kesemua bayi tersebut melalui kaedah pembedahan Caesarean pada 8 April lalu.
Danielle dan suaminya, Adam Busby serta anak sulung mereka, Blayke gembira menyambut kelahiran bayi kembar lima yang diberi nama Olivia Marie, Ava Lane, Hazel Grace, Parker Kate dan Riley Paige itu.
Dr. Alexander Reiter yang terlibat dalam pembedahan melahirkan bayi-bayi pramatang pada usia 28 bulan itu telah dibantu oleh beberapa pegawai perubatan lain.
"Kelahiran bayi kembar lima itu adalah yang pertama di AS," beritahu hospital tersebut.
Danielle menjalani kaedah permanian berhadas untuk kedua-dua kehamilannya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3XVrRydJC 
Hakcipta terpelihara 

Facebook ketemukan wanita berwajah sama



GEANEY (kiri) berjaya menjejak kembar asing dirinya, Branigan melalui kempen yang dilancarkan di Facebook. - AGENSI


DUBLIN, Ireland – Seorang wanita di sini berjaya menjejak 'kembar seiras' dirinya melalui satu kempen yang dilancarkan olehnya dan dua lagi rakan di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Wanita tersebut, Niamh Geaney, 26, yang merupakan seorang pelajar dan penyampai televisyen berjaya menemui Karen Branigan, 29, melalui cabaran menjejak kembar asing yang bertujuan mencari sesiapa yang memiliki wajah paling seiras dalam masa 28 hari.
Bagaikan tidak percaya, kedua-dua mereka akhirnya bertemu dalam dunia sebenar apabila Branigan hanya tinggal dalam jarak yang mengambil masa satu jam sahaja dari tempat tinggal Geaney.
"Saya sangat gementar untuk bertemu dan berinteraksi dengan seseorang yang memiliki wajah serupa dengan saya," ujar Geaney yang mempunyai dua adik-beradik perempuan.
Branigan pula yang memiliki lima adik-beradik perempuan dan seorang adik lelaki memberitahu, tiada antara ahli keluarganya yang memiliki wajah begitu iras seperti mereka berdua.
Sejak pertemuan itu, Geaney dan Branigan yang kedua-duanya masih bujang saling berhubungan antara satu sama lain melalui Facebook. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3XVrHvcH3 
Hakcipta terpelihara