Pages

Showing posts with label daif. Show all posts
Showing posts with label daif. Show all posts

Friday, March 16, 2012

‘Balas jasa ibu’


HIDUP BARU...Jamhuri (dua dari kanan)  memberi penerangan kepada Amir (kanan)  yang bakal bekerja di syarikatnya.
HIDUP BARU...Jamhuri (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Amir (kanan) yang bakal bekerja di syarikatnya. 


KUALA SELANGOR: “Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya,” kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.
Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.

Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.

“Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.

Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.


Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.

Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.

Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.

Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.

Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.

“Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya,” katanya.
myMetro | ‘Balas jasa ibu’: 

Monday, September 5, 2011

Kisah seorang suami yang mengiklankan secara online agar isterinya dapat suami baru



Sebuah kisah cinta romantik pasti mengundang haru setiap penontonnya. Bagai sebuah filem fiksi, kehidupan Liu Li menggambarkan pengorbanan seorang suami agar istrinya hidup bahagia.

Li, 39 didiagonosis dokter dengan penyakit Ankylosing Spondylitis, sejenis penyakit tulang yang menjadikan semua tulang belakang menyatu.Pasukan perubatan mengatakan, walaupun penyakitnya dapat dibantu dengan obat dan penahan rasa sakit, tetap saja penyakit ini tidak dapat disembuhkan. Lagipula biaya pengubatan terlalu mahal bagi Li.

Menghadapi masa depan yang suram, bekas mahasiswa kedoktoran dari Shizuang di timur China ini memujuk isterinya, Shi Zhihong, 37, agar menceraikannya dan mencari suami baru.

Li berharap, dapat menemukan calon suami bagi isterinya sekaligus ayah tiri terbaik bagi kedua anaknya. Dia nekad memasang iklan secara online yang berbunyi: “Tolong, tolonglah saya mencarikan suami yang baik untuk isteri saya. Saya tidak mahu jadi bebannya lagi.”

“Saya benar- benar sakit, dan sebentar lagi saya akan terperangkap di kerusi roda. Tapi isteri saya masih muda dan ia berhak melewati hari-hari dengan bahagia. Kalau tidak, saya tidak dapat beristirahat dengan tenang meskipun mati,” ujarnya seperti dikutip Telegraph.

Li merasa sangat tertekan dengan masalah yang ia berikan pada keluarganya. Akibat penyakitnya, ia tidak dapat bekerja dan kesulitan dana untuk membiayai pengubatannnya. “Saya telah mengusahakan yang terbaik, tapi saya rapuh dan mereka berhak mendapatkan yang terbaik. Hati saya lebih tenang apabila mereka sudah terjamin,” tambahnya.

Meski sang ayah mengharap hidup yang baru bagi isteri dan anak-anaknya, ketiga anggota keluarganya bergeming. Dengan polos, kedua anaknya menahan keinginan untuk tidak memakan gula-gula kerana berfikir itu dapat membantu ayah mereka pulih seperti semula.

Pasangan ini mempunyai satu kesempatan terakhir mempertahankan keluarga mereka, dengan mengajukan permohonan kepada badan amal untuk membantu biaya pengubatan. “Kami adalah keluarga yang baik, tapi miskin dan kami perlu bantuan,” kata Zhihong. “Saya akan tetap jadi isterinya sekarang dan di kehidupan yang akan datang,” ucapnya.


Read more: http://www.borakkosong.com/2011/09/kisah-seorang-suami-yang-mengiklankan.html#ixzz1X4W56HvT

Wednesday, August 17, 2011

Dibelenggu masalah kewangan




Mansor Ibrahim meriba Nurul Farisha dan Yusniza Yusof memangku Nurul Fasihah dan Nurul Farishah bersama Mohd. Adam Haikal di rumahnya di Kampung Kubang Rusa, Kampung Lalang, Baling, Kedah, semalam. – BERNAMA


BALING 16 Ogos — Sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Rusa, Kampung Lalang di sini berhadapan dengan keperitan hidup untuk membesarkan tiga bayi kembar perempuan mereka yang kini berusia tiga bulan.
Bayi kembar tiga itu, Nurul Fasihah, Nurul Farishah, dan Nurul Farisha Mansor memerlukan sekurang-kurangnya 15 helai lampin pakai buang dalam sehari.
Mereka juga memerlukan susu botol sekurang-kurangnya enam hingga tujuh botol sehari. Dalam seminggu seberat 1.8 kg susu tepung bayi diperlukan.
Bapa bayi berkenaan Mansor Ibrahim, 44, seorang pemandu lori kayu getah secara sambilan sejak beberapa bulan ini hanya mampu memperoleh pendapatan RM400 sebulan manakala isterinya, Yusniza Yusuf, 37, tidak bekerja.
Mansor berkata, dengan pendapatan sebanyak itulah dia menyara keluarganya termasuk membesarkan anak sulung mereka Mohd. Adam Haikal, 3, dan terpaksa menumpang di rumah ibunya Esah Tahir, 73.
Katanya, paling menyedihkan, dia tidak dapat menyediakan persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
Bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini, Mansor sudah pun membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, tetapi masih menunggu permohonannya diluluskan.
Ketika ini, keluarga itu tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli ketika dihubungi berkata, kes permohonan Mansor akan diberi parhatian segera. – BERNAMA, utusan

Monday, August 1, 2011

Kecewa Perkeso tolak permohonan



NORIAH menunjukkan kesan kebakaran dan kecacatan yang dialami suaminya, Hussein menyebabkan beliau tidak dapat lagi bekerja di Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang bekas pekerja bank yang mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam kebakaran setahun yang lalu melahirkan rasa kecewa dan tertekan apabila permohonannya untuk mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditolak.
Menurut Hussein Ibrahim, 55, lebih malang dia kini tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menampung keluarganya termasuk empat anak yang masih belajar kerana sudah bersara baru-baru.
Katanya, dia mengalami kecederaan ketika membantu isterinya, Noriah Abdul Samad, 48, berniaga makanan kecil-kecilan berhampiran Pasar Besar Seremban di sini pada Julai tahun lalu.
“Sebelum pergi bekerja saya singgah di gerai isteri untuk membantunya menghidupkan generator.
“Ketika menuang petrol ke dalam generator secara tiba-tiba api dapur menyambar baju menyebabkan badan saya terbakar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, ekoran kemalangan itu dia mengalami kecederaan pada tangan kanan, telinga dan sebahagian badan sehingga terpaksa dirawat di hospital selama lebih sebulan.

Tuesday, June 14, 2011

Warga emas tunggu rumah PPRT sejak 1998




BANDARI Ampung duduk di tangga rumahnya di Kampung Tapukan, Kota Belud, sambil mengharapkan penantiannya selama 13 tahun untuk memiliki rumah PPRT akan tertunai . - UTUSAN/SITTI NOR AZIZAH TALATA


KOTA BELUD 13 Jun - Hajat seorang warga emas, Bandari Ampung dari Kampung Tapukan dekat sini, untuk memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) masih belum kesampaian.
Bandari, 67, yang menyara keluarga dengan hasil kerja-kerja kampung berjumlah kira-kira RM150 sebulan bimbang kerana rumah yang mereka duduki sekarang boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.
"Saya telah mengemukakan permohonan bagi memiliki PPRT sejak 1998, namun sehingga kini belum berjaya memperolehinya.
"Saya tidak pernah berputus asa untuk memohon bila sahaja ada khabar permohonan PPRT yang baru dibuka setiap tahun, tetapi malangnya rezeki belum berpihak kepada saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapukan.
Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, pendapatannya tidak memungkinkannya untuk mendirikan rumah sendiri.
Rumah tersebut yang diduduki Bandari sekeluarga sejak 30 tahun lalu sangat uzur terutama bahagian dapur yang senget sementara dinding dan atapnya pula dibuat daripada nipah.
Bandari berkata, pihak berkaitan pernah melawat dan meninjau keadaan rumahnya di samping memberikannya harapan dengan memintanya agar banyak bersabar.
"Apabila angin bertiup, rumah ini akan bergoyang. Saat itu kami sekeluarga hanya pasrah dengan ketentuan Allah," katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkenaan dapat memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapinya.
Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

Tuesday, May 10, 2011

70 juta tak mampu sekolah


DAIF...keadaan serba kekurangan dan sokongan membantutkan usaha memberi peluang pendidikan terbaik kepada kanak-kanak.
DAIF...keadaan serba kekurangan dan sokongan membantutkan usaha memberi peluang pendidikan terbaik kepada kanak-kanak.

HASRAT Paffett Chomanika, sangat berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke sekolah, malangnya kehidupan keluarga yang sangat daif di sebuah perkampungan terpinggir Wilayah Nsanje, Malawi menyebabkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu hanya mampu memasang angan-angan bergelar doktor.
Hakikatnya, bukan Chomanika seorang saja terjebak dalam kemelut kemiskinan malah hingga kini lebih
70 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mampu menjejakkan kaki walau sehari pun ke sekolah menjadikan isu keciciran pendidikan masalah global yang tidak pernah selesai.

Biarpun segala usaha sudah dipadukan untuk membasmi masalah ini, penyelesaian mahupun bantuan dihulurkan masih belum mencukupi mengakibatkan masa depan kanak-kanak yang tercicir terus kelam.


Hakikatnya, di manakah tumpuan sebenar masyarakat dunia untuk membantu kanak-kanak terbabit memperbaiki taraf hidup sementara pada masa sama, kebanyakan negara berlumba-lumba memperkukuhkan sistem teknologi peperangan dan ketenteraan masing-masing sebagai kuasa utama dunia.

Presiden Global Kempen Untuk Pendidikan, Kailash Satyarthi, berkata fokus utama masyarakat dunia seharusnya lebih tertumpu kepada penderitaan dan kesukaran negara mundur dengan membangunkan sistem sosial dan masyarakat menerusi pendidikan yang baik.

Menurutnya, meskipun sebagai masyarakat kelas ketiga dan tercicir, namun kelangsungan hidup masyarakat negara berkenaan tidak harus dipinggirkan malah perlu disokong bagi membangunkan sistem pendidikan yang menjadi pemangkin pembangunan jangka panjang.

“Sebenarnya, dunia sedar masih ada sebahagian besar kanak-kanak langsung tidak mendapat peluang menjejakkan kaki ke sekolah ataupun menerima pendidikan yang baik.

“Malangnya sikap hipokrit terutama dari negara yang berlumba-lumba menunjukkan keangkuhan dalam teknologi peperangan dan ketenteraan menguburkan harapan kanak-kanak ini.

“Menyedihkan apabila jumlah wang yang besar boleh dilaburkan bagi tujuan itu tapi gagal memberi peluang kanak-kanak tercicir mendapat pendidikan sempurna.

“Apakah ini bermakna mereka terus berharap dan mengemis bagi mendapat sedikit ilmu untuk mengubah kehidupan mereka atau terus mewarisi kemiskinan dan buta huruf untuk selamanya?,” katanya.

Meskipun ada usaha badan sukarelawan dunia menghulurkan bantuan tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah diperlukan negara terbabit untuk membangunkan pendidikan dengan purata perbelanjaan kira-kira RM7.6 juta setahun.

Ditambah lagi dengan krisis kewangan dunia yang meruncing menjadikan kanak-kanak di negara miskin seperti Haiti dan Somalia terus menderita.

Masalah itu juga menjadikan negara berkenaan mengorbankan belanjawan sedia ada bagi memberi laluan terhadap aspek yang lebih penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, meskipun alasan yang diberikan logik namun mengorbankan pembangunan ilmu dan pendidikan hanya untuk memberi laluan singkat terhadap keperluan sosio ekonomi dianggap kurang bijak dan dangkal.

“Persoalannya, adakah pendidikan bukan satu sumbangan jangka panjang kepada pembangunan masyarakat? Adakah mereka sangat terdesak hingga sanggup mengorbankan keperluan asas yang menjadi senjata mengubah masa depan rakyat dan negara?

“Bukan mereka saja terkena tempias kemelesetan ekonomi dunia, namun mengorbankan pendidikan adalah tindakan kurang bijak dan kejam kerana menafikan hak individu memperoleh pendidikan yang diwujudkan khusus untuk semua,” katanya.

Pelan Pembangunan Millennium Pertubuhan Bangsa Bersatu juga mensasarkan semua kanak-kanak di seluruh dunia memperoleh sekurang-kurangnya pendidikan asas di sekolah rendah menjelang 2015 sebagai langkah proaktif mengurangkan jurang sedia ada.

Meskipun mengikut rekod badan dunia itu bilangan kanak-kanak tidak bersekolah menurun dari 106 juta pada 1999 kepada 69 juta pada 2008, ia masih jauh dari jumlah sasaran iaitu kira-kira 30 juta.

Jumlah itu, kata Satyarthi, datangnya dari sebahagian besar negara mundur dan miskin dengan yang sentiasa terbabit dengan kemelut pergolakan serta konflik perang saudara tidak berkesudahan.

Katanya, kebanyakan negara berkenaan tidak melihat pendidikan sebagai aset masa depan malah menjadikannya sebagai agenda terakhir yang perlu dibangunkan.
“Mereka melihat kepentingan mengangkat senjata lebih utama daripada melunaskan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Bagi mereka, dengan senjata, segala masalah mampu diselesaikan sekelip mata.

“Konflik ini bukan saja menjanjikan kemusnahan malah menyebabkan pembangunan negara tidak selesai. Mereka tidak pernah menganggap pendidikan sebagai senjata terbaik menyelesaikan masalah malah menganggapnya langsung tidak berkepentingan,” katanya.

Pendidikan juga wajar dilihat sebagai ubat terhadap penyakit tertentu terutama dalam mengubati pandangan skeptikal serta diskriminasi masyarakat dunia terhadap golongan wanita yang selama ini ditindas.

Menurutnya, faktor keturunan, gender dan sikap melebihkan golongan lelaki juga menyebabkan sebahagian besar wanita terpaksa menderita serta mengorbankan masa depan demi kepentingan orang lain.

“Ini juga harus dihentikan kerana pendidikan bukan terhad untuk golongan tertentu saja. Pembangunan memerlukan gandingan bersama untuk berkongsi idea dan menjana pemikiran. Malangnya ada golongan wanita terpaksa mengenepikan semuanya kerana tidak diberikan hak.

“Kepincangan ini seharusnya menjadi agenda utama negara sekiranya mahu menjadikan pendidikan sebagai aset terpenting dalam masyarakat. Pendidikan adalah penawar untuk menolak stigma, keganasan serta menjamin keselamatan golongan wanita,” katanya.



INFO



  •  SEPULUH negara yang dikategorikan di bawah paras kemiskinan dan tidak mempunyai akses pendidikan asas berdasarkan jumlah bilangan pelajar dan guru ialah Haiti, Somalia, Eritrea, Comoros, Ethiopia, Chad, Burkina Faso, Central African Republic, Mozambique, Zimbabwe dan Liberia.






  •  Seramai 69 juta pelajar dari negara miskin tidak berkemampuan menjejakkan kaki ke sekolah. Jumlah itu melebihi jumlah keseluruhan pelajar di Amerika Syarikat dan negara Eropah jika digabungkan.




  • mymetro



  • Monday, January 17, 2011

    Antika tinggalkan universiti



    Antika Sarno


    KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sepatutnya gadis manis ini ke universiti, namun kerana kemiskinan, dia terpaksa menjadi pembantu rumah.
    Itu kisah duka yang disimpan rapi selama hampir tujuh tahun sebelum Antika Sarno, 29, bersedia berkongsi cerita.
    Hakikatnya, wajahnya yang sentiasa ceria, tidak langsung menggambarkan betapa berat beban yang sedang ditanggung.
    Antika, seorang anak kampung miskin, terpaksa meninggalkan negara atas dasar tanggungjawabnya terhadap keluarga.
    Menariknya tentang Antika ialah melihat kepada gaya percakapannya.
    Jika tidak ditanya latar belakangnya, mungkin tiada siapa menyedari gadis ini seorang pembantu rumah berasal dari Kisaran, Sumatera Utara.
    Menurut Antika, dia mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk menguasai lenggok bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama negara ini.
    ‘‘Bahasa harian yang sering saya guna semasa di kampung dulu tidak berbeza sangat dengan bahasa Melayu di sini,” katanya tersenyum lagi.
    Antika, anak sulung daripada tiga beradik, bukan seperti kebanyakan pembantu rumah lain yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau di negara jiran itu disebut sebagai sekolah dasar.
    Pencapaian peperiksaan sekolah menengahnya yang cemerlang, melayakkan dia menyambung pelajaran ke universiti dalam bidang perakaunan.
    Namun, disebabkan kemiskinan - demi memastikan adik-adik yang lain dapat meneruskan pelajaran untuk menjadi insan berguna, dia memilih untuk berkorban - meninggalkan segala-gala yang amat disayanginya.
    ‘‘Adik perempuan saya sekarang mengambil jurusan kedoktoran, adik lelaki pula masih di sekolah rendah, darjah (tahun) tiga,” ujarnya.
    Jelas Antika, ada sebab mengapa adik perempuannya itu memilih untuk menjadi doktor.
    ‘‘Emak bukan sahaja sakit buah pinggang, tetapi ada masalah jantung dan paru-paru. Doktor kata, masih boleh dirawat,” katanya perlahan.
    Bagi memastikan ibu dikasihi itu terus bertahan, setiap bulan, gadis tabah ini mengirimkan antara RM350 hingga RM400 kepada bapanya.
    Wang tersebut adalah sebahagian besar daripada keseluruhan RM600 gaji yang diterima setiap bulan daripada majikan tempat dia bekerja kini.
    ‘‘Selain wang kiriman saya, bapa yang bekerja sebagai pemandu lori juga banyak membantu menanggung kos rawatan emak,” jelas Antika.
    Menyusuri pengalamannya bekerja sebagai pembantu rumah, kata Antika, selama hampir tujuh tahun berada di Malaysia, dia tidak pernah mengalami pengalaman ngeri seperti yang dipaparkan di media-media.
    ‘‘Saya bersyukur dapat bekerja di sini. Walaupun dulu sering terbaca kisah-kisah majikan mendera pembantu rumah, tetapi apa yang penting sebenarnya adalah niat mengapa kita mahu datang ke sini,” katanya.
    Tambah Antika, jika niat yang tertanam adalah semata-mata mahu bekerja demi mencari wang untuk meneruskan kelangsungan hidup, tiada sebab mengapa majikan sengaja mahu mencari kesilapan pembantu rumah mereka.
    ‘‘Masalahnya ialah mungkin ada yang masuk ke sini atas sebab lain tetapi menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai saluran. Maka, berlaku macam-macam hal yang tidak disukai oleh majikan,” tambahnya.

    Saturday, January 1, 2011

    6 Sekeluarga arab saudi tinggal dalam khemad di Mekah




    http://alasmari.files.wordpress.com/2010/12/26-12-3.jpg?w=378&h=202#038;h=267&h=202
    Abd. Naseer bersama keluarga hanya tinggal dalam khemah setelah tidak mampu membayar sewa rumah yang didiaminya, tiada erti kekayaan negara baginya.