Pages

Showing posts with label nuklear. tsunami. Show all posts
Showing posts with label nuklear. tsunami. Show all posts

Saturday, June 18, 2011

Kapal terdampar akibat tsunami cuba dipindah ke laut



KAPAL yang  terdampar di Kesennuma  akibat dibawa  tsunami yang melanda     wilayah Miyagi, timur laut Jepun   sejak  tiga bulan lalu.
KAPAL yang terdampar di Kesennuma akibat dibawa tsunami yang melanda wilayah Miyagi, timur laut Jepun sejak tiga bulan lalu.

KESENNUMA (Jepun): Usaha bermula untuk menghantar lebih sedozen kapal yang terdampar dekat kediaman penduduk di bandar Kesennuma selepas dihanyutkan tsunami Jepun pada Mac lalu dengan kipas dan bahagian perutnya jelas dilihat, kembali berlabuh di laut.

Tugas yang sukar dan kos yang tinggi untuk memindahkan kapal terbabit selain sisa peninggalan tsunami itu menjadikan ia terdampar di Kesennuma lebih tiga bulan.
Beberapa pemilik cuba berunding harga kos dengan syarikat logistik untuk memindahkan kapal terbabit dalam satu perjanjian membabitkan syarikat insurans yang bersetuju melindunginya.

Berita Harian Online | Kapal terdampar akibat tsunami cuba dipindah ke laut

Wednesday, May 25, 2011

Dua rod reaktor Fukushima lebur


TEPCO sahkan kemusnahan akibat tsunami gempa


TOKYO: Tokyo Electric Power Co (TEPCO) mengesahkan rod bahan api di dua lagi reaktornya lebur akibat gempa bumi dan tsunami Mac lalu di tengah kebimbangan bahan radioaktif bocor dan mengancam penduduk Jepun.
Pengendali loji jana kuasa nuklear itu berkata, batang rod bahan api di tiga reaktor loji jana kuasa Daiichi Fukushima lebur pada awal krisis akibat malapetaka 11 Mac lalu.
Kerajaan dan pakar luar sebelum ini berkata, rod bahan api di tiga daripada enam reaktor loji itu kemungkinan lebur pada awal krisis, namun pembekal kuasa itu hanya mengesahkan hanya reaktor No 1 lebur.

Bagaimanapun, TEPCO mengakui satu kajian sejak awal bulan ini memutuskan reaktor 2 dan 3 juga lebur.

Penemuan itu, yang dilaporkan kepada agensi keselamatan nuklear Jepun, mewakili sebahagian usaha menjelaskan bagaimana kejadian di Fukushima tidak terkawal sejak awal lagi.

Juga semalam, kerajaan melantik Yotaro Hatamura, profesor Universiti Tokyo dalam bidang kejuruteraan yang mengkaji kegagalan sistem dan reka bentuk, mengetuai satu jawatankuasa yang akan menyiasat pengurusan krisis nuklear.
Tindakan itu diambil ketika sepasukan penyiasat dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memulakan lawatan dua minggu ke Jepun untuk menyediakan laporan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.

Sesetengah penganalisis berkata, kelewatan dalam mengesahkan peleburan di Fukushima menunjukkan bahawa TEPCO bimbang keadaan menjadi huru hara dengan mendedahkan kejadian lebih awal awal.

“Kini penduduk sudah biasa. Tiada apa dapat diselesaikan, namun perniagaan diteruskan seperti biasa di Tokyo,” kata Koichi Nakano, profesor sains politik di Universiti Sophia, di sini.

Nakano berkata, dengan mendedahkan keadaan lebur itu TEPCO mungkin berharap berita itu akan memberi impak yang kurang. – Reuters
Berita Harian Online | Dua rod reaktor Fukushima lebur

Sunday, April 24, 2011

Sisa tsunami paksa kapal ubah haluan



    Foto
    SEBUAH rumah terapung di laut dekat daerah Ofunato, wilayah Iwate yang musnah dilanda tsunami.

    Foto
    SEKAWAN burung ‘lepak’ di bumbung kereta di sungai daerah Kesennuma, wilayah Miyagi yang teruk dilanda tsunami.

    TOKYO: Sisa kemusnahan yang banyak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu di Jepun yang terapung di laut memaksa kebanyakan kapal mengubah laluan perjalanan mereka.
    Sebanyak lapan peratus kapal Jepun bagi pengangkutan domestik perlu mengubah haluan dengan melalui Laut Jepun dan bukan lagi Lautan Pasifik berikutan sisa kemusnahan atau sampah tsunami yang banyak terapung yang amat berbahaya kepada kapal kecil.
    Ia merujuk kepada kapal yang membawa muatan kurang daripada 499 tan, kata seorang pegawai Persekutuan Persatuan Perkapalan Laut Jepun. Sebanyak 5,600 kapal di Jepun digunakan untuk pengangkutan domestik dan 4,500 adalah kapal kecil kurang 499 tan.




    Kapal lebih besar daripada kategori itu juga mengelak daripada menggunakan Lautan Pasifik atas sebab keselamatan, menunjukkan bahawa majoriti kapal Jepun menggunakan laluan alternatif selepas gempa bumi 11 Mac, kata pegawai berkenaan.


    “Sisa itu banyak dekat perairan kawasan Sanriku (berhampiran pusat gempa di wilayah Miyagi) dan menuju Hawaii,” kata pegawai terbabit sambil menambah bahawa sisa kemusnahan yang terapung mengundang risiko pelanggaran dan kerosakan kerana ia boleh terperangkap dengan mudah dalam kipas kapal.


    Ada pemilik kapal juga bimbang ancaman dari kebocoran radiasi loji nuklear Fukushima Daicihi. Kapal menggunakan air laut bagi tujuan penyejukan dan ada kebimbangan pencemaran radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan anak kapal dan juga menjejaskan kapal itu sendiri.
    Kapal yang belayar dari Hokkaido melalui Laut Jepun ke pelabuhan Chiba di teluk Tokyo misalnya terpaksa menggunakan dua kali ganda minyak berikutan jarak lebih jauh yang dilalui, katanya.


    Pemilik kapal juga boleh menuntut pampasan kewangan daripada kerajaan. Forum Pemulihan Jepun 311, membabitkan pakar bukan kerajaan mewujudkan sebuah kumpulan kerja untuk mengkaji kerugian kewangan berpunca daripada kerosakan loji nuklear Fukushima Daiichi.


    Kapal dari Russia ke Jepun juga menggunakan laluan yang lebih jauh melalui Laut Jepun berbanding Lautan Pasifik.


    Dalam kes membabitkan kargo dari Russia kos meningkat berikutan laluan yang lebih jauh, kata seorang peniaga Tokyo, yang menganggarkan kos meningkat dari Vladivostok Russia ke pelabuhan Yokohama di Jepun melalui laluan Laut Jepun adalah sebanyak AS$1 (RM3) satu paun bagi setiap kontena kargo kapal pelbagai saiz. – Agensi


      Friday, April 15, 2011

      Kastam tahan 49 kereta Jepun ada kesan radiasi berlebihan


      VLADIVOSTOK (Russia): Kastam Russia menahan hampir 50 buah kereta terpakai yang import dari Jepun yang menunjukkan tahap radiasi nuklear berlebihan.
      “Kami menahan 49 kereta yang mempunyai tahap radiasi enam kali lebih tinggi daripada normal,” kata Ketua Jabatan Kastam Wilayah yang mengawasi tahap radiasi, Roman Famin, semalam.

      Menurutnya, kenderaan terbabit tiba di pelabuhan Vladivostok 10 hari lalu, tetapi pemerhati pengguna kerajaan belum memutuskan tindakan yang akan diambil ke atas kenderaan yang tercemar itu.

      “Jika keputusan tidak dibuat segera, pelabuhan itu akan dipenuhi dengan kenderaan berradioaktif,” katanya.

      Pelabuhan Vladivostok menerima kira-kira 300 kereta dari luar negara setiap hari dan pihak pengurusan bimbang mereka tidak cukup tempat menyimpan kenderaan tercemar terbabit.- AFP

      Tuesday, April 12, 2011

      Jepun dilanda gempa lagi



      SENDAI (Jepun): Satu gempa bumi kuat melanda timur laut Jepun, semalam dan mencetuskan amaran tsunami sebulan selepas tragedi gempa, tsunami dan kebocoran loji nuklear melumpuhkan pantai timur laut negara itu.
      Gempa berukuran 7.1 magnitud itu menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo ditutup seketika. Pusat gempa dikesan kira-kira 160 kilometer di utara Tokyo. Bagaimanapun, kakitangan di loji nuklear Fukushima berkata, gempa terbaru itu tidak memberi kesan kepada loji berkenaan. Amaran ancaman tsunami setinggi satu meter dikeluarkan sama seperti yang berlaku dalam kejadian gempa minggu lalu di kawasan sama. Namun, gempa itu tidak membawa tsunami. Orang ramai di kedai elektronik yang besar di timur laut Sendai menjerit dan berlari keluar walaupun gegaran menyukarkan pergerakan. Ibu-ibu merangkul anak mereka dan tingkap kedai bergegar. Selepas seminit dua, orang ramai masuk semula ke dalam kedai itu. Tiada kerosakan baru dilaporkan. Gegaran gempa susulan melanda kawasan timur laut negara itu berulang kali tetapi tiada apa lagi yang tinggal perlu dibimbangi akan rosak. - AP
      -mymetro

      Sunday, April 3, 2011

      Usaha tampal keretakan loji nuklear Jepun gagal

      TOKYO: Jurutera gagal menampal keretakan di loji nuklear Fukushima Daiichi di mana air dengan radioaktif tinggi meresap ke Lautan Pasifik selepas lumpuh akibat gempa bumi kuat yang disusuli tsunami besar bulan lalu.

      Bagaimanapun, mereka menyatakan pemeriksaan terhadap kompleks berkenaan tidak menemui kebocoran lain.

      Tsunami itu dipercayai meragut kira-kira 25,000 nyawa.
      Radiasi dibebaskan ke udara, tanah dan air dari loji berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

      Semalam, pihak berkuasa menemui retakan di mana air dengan radioaktif tinggi meresap ke Lautan Pasifik. - AP"

      Sunday, March 27, 2011

      Radiasi semakin banyak dilepaskan



      pix_gal0

      Lebih ramai penduduk Fukushima pindah


      TOKYO: Paras radioaktif di perairan berhampiran loji nuklear Daiichi, Fukushima semakin meningkat semalam, dua minggu selepas ia mengalami kebocoran akibat gempa bumi 9 skala Richter disusuli ombak tsunami.
      Seramai 700 jurutera bertungkus-lumus mengepam air radioaktif dari loji yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo, bagi menstabilkannya selain menggerakkan semula pam air bagi menyejukkannya.
      Ada pihak mengesyaki reaktor itu bocor selepas tentera Amerika Syarikat turut membantu usaha menyejukkannya.


      Agensi keselamatan nuklear berkata, ujian menunjukkan tahap iodin radioaktif melonjak ke paras 1,250 kali lebih tinggi berbanding kadar normal di sekitar kawasan perairan di loji berkenaan.


      Perkembangan terbaru di loji dan radiasi itu menyebabkan pihak berkuasa kini menggerakkan operasi memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear berkenaan.


      Selain itu, di Tokyo, bandar 13 juta penduduk, mencatat tahap radiasi 0.22 mikrosievert sejam, enam kali ganda paras normal. 
      Ia masih dalam kategori normal Persatuan Nuklear Dunia iaitu 0.17 hingga 0.39 mikrosievert sejam.


      Tetapi, seorang pegawai di Kementerian Sains mengesahkan bahawa tahap radiasi harian di kawasan 30 kilometer ke barat laut loji berkenaan, paras melebihi had setahun.


      Begitupun, pegawai kanan dari Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hideko Nishiyama berkata, pencemaran yang berlaku memberi risiko kecil kepada kehidupan laut.


      “Arus lautan akan memecahkan zarah radioaktif dan menjadi sangat cair ketika dimakan oleh ikan atau hidupan laut lain,” katanya.


      Nishiyama berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk menulenkan air di kawasan laut di situ agar tidak menjejaskan alam sekitar.


      Air mengandungi sisa radioaktif ditemui di dalam bangunan yang menempatkan tiga daripada enam reaktor yang terjejas di loji berkenaan.


      Khamis lalu, tiga pekerja melecur di reaktor nombor 3 selepas terdedah kepada paras radiasi 10,000 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal di loji terbabit.


      Reaktor ini adalah satu-satunya menggunakan campuran plutonium dan uranium. Plutonium adalah isotop radioaktif paling bahaya.


      Tidak hairanlah, di sebalik jaminan pihak berkuasa, perkembangan terbaru meningkatkan kebimbangan ke atas eksport makanan laut Jepun.


      Krisis nuklear di loji Daiichi Fukushima, kini membayangi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu dan menyebabkan lebih 27,500 orang terbunuh atau hilang.


      Ada negara sudah mengeluarkan larangan ke atas susu dan keluaran hasil pertanian dari wilayah di sekitar loji itu. – Reuters/Agensi 

      Friday, March 25, 2011

      Stefani hulur AS$1j



      Gwen Stefani


      LOS ANGELES 24 Mac – Penyanyi Gwen Stefani menyumbang sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) kepada Tabung Kecemasan untuk Kanak-kanak Gempa Bumi-Tsunami Jepun bagi membantu mengurangkan penderitaan dan memulihkan semangat mereka.
      “Selama ini saya diilhamkan oleh Jepun, mencintai negara itu serta menghargai dan menghormati rakyat serta budaya negara matahari terbit itu. Bencana yang melanda Jepun menyedihkan saya dan saya mahu melakukan sedaya mungkin untuk membantu mereka,” katanya.
      Menurut Stefani, dia tidak akan berjaya seperti sekarang tanpa sokongan peminat.
      Sementara itu, edisi terhad baju-T Harajuku Lovers yang direka oleh Stefani boleh diperolehi bermula minggu depan melalui www.nodoubt.com dengan hasil penjualannya akan disalurkan bagi usaha bantuan di Jepun.
      Lelongan amal akan turut diadakan dengan peminat boleh membida untuk menyertai penyanyi itu pada majlis khas di Los Angeles bagi meningkatkan bantuan untuk dana itu. – REUTERS

      Monday, March 21, 2011

      Keadaan di loji nuklear menunjukkan perubahan positif




      SEBUAH trak bomba menyemburkan air ke arah reaktor nombor 3 di loji stesen jana kuasa No. 1 Fukushima Dai-ichi milik Tokyo Electric Power Co (TEPCO).


      TOKYO - Kerajaan Jepun dilihat menunjukkan sedikit kemajuan semalam dalam menangani krisis kebocoran radiasi loji jana kuasa nuklear yang paling teruk sejak peristiwa Chernobyl pada 25 tahun lalu.
      Seramai 300 orang jurutera dilihat berusaha sedaya-upaya di zon bahaya itu bagi menyelamatkan enam buah reaktor di loji jana kuasa Fukushima sejak ia mengalami kerosakan teruk kesan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
      Reaktor nuklear paling kritikal di kompleks loji jana kuasa Fukushima, reaktor nombor tiga yang mempunyai tahap toksin plutonium paling tinggi sudah stabil selepas lima buah trak mengangkut bertan-tan air untuk disimbah di loji tersebut.
      Selain itu, kerja-kerja menyambung kembali kuasa ke pam air untuk tujuan menyejukkan batang bahan bakar juga dilakukan.
      Juruteknik telah memasang kabel kuasa ke reaktor nombor satu dan nombor dua dalam cubaan mengembalikan semula bekalan elektrik dan menghidupkan pam terbabit.
      Timbalan Jeneral di Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama berkata, pasukan penyelamat sedang menunjukkan kemajuan walaupun tidak boleh menjadi terlalu optimistik.
      Krisis tersebut menyebabkan Jepun kerugian hampir AS$200 billion (RM610.7 billion) dan memerlukan baik pulih terbesar sejak negara itu mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua. - Reuters

      Saturday, March 19, 2011

      Warga tua dibiar mati


      TOKYO: Warga tua Jepun terbiar menanti ajal di hospital dan pusat jagaan yang rosak akibat tsunami ekoran bencana nuklear dan nilai kemanusiaan yang semakin merosot.
      Dengan jumlah kematian rasmi mencecah 6,911, anggota tentera menemui 128 pesara ditinggalkan kakitangan perubatan di sebuah hospital di Iwaki kira-kira enam batu dari loji nuklear Fukushima.

      Kebanyakan pesakit yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan koma dan 14 daripadanya mati sejurus selepas dipindahkan ke pusat kecemasan di gimnasium berhampiran.

      Seramai 11 lagi pesara dilaporkan maut di pusat jagaan di Kesenumma enam hari selepas 47 penghuni pusat itu terbunuh dalam kejadian tsunami.

      Jumlah kematian dijangka meningkat dengan 10,700 mangsa dilaporkan hilang - tetapi pentadbir tempatan mendakwa angka sebenar adalah beberapa kali jumlah itu selepas seluruh bandar dihanyutkan tsunami.

      Ratusan ribu mangsa hilang tempat tinggal dengan lebih daripada 400,000 berjuang untuk meneruskan hidup di pusat perlindungan tanpa bekalan elektrik dan hanya sedikit makanan atau air. Jepun mempunyai bilangan warga tua yang tinggi dan kebanyakan daripada mereka kini berjuang untuk meneruskan hidup di pusat perlindungan tanpa pemanas atau bekalan elektrik, manakala bekalan makanan serta ubat-ubatan semakin berkurangan. - DM

      6,911 disahkan terbunuh


      TOKYO: Agensi Polis Kebangsaan Jepun semalam berkata, seramai 6,911 disahkan terbunuh akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu Jumaat lalu.
      Dalam pada itu, jumlah mereka yang hilang meningkat kepada 10,700 orang berbanding kelmarin.

      Sebahagian mereka yang hilang mungkin tidak berada di wilayah itu ketika bencana menimpa. Pada masa sama, kekuatan tsunami mungkin menghanyutkan ramai penduduk ke laut dan jika Tsunami Lautan Hindi boleh dijadikan panduan, kebanyakan mayat itu tidak akan ditemui. - AP

      Pelan timbus loji nuklear


      KEADAAN sebuah reaktor di loji nuklear Fukushima yang rosak.
      KEADAAN sebuah reaktor di loji nuklear Fukushima yang rosak.

      TOKYO: Jurutera Jepun semalam mengaku menimbuskan loji nuklear dengan pasir dan konkrit mungkin menjadi jalan terakhir untuk menghalang bencana kebocoran radiasi.
      Ia sama dengan cara yang digunakan untuk menutup kebocoran loji nuklear Russia di Chernobyl pada 1986.

      Bagaimanapun, mereka masih menaruh harapan untuk menyelesaikan krisis itu dengan memasang kabel tenaga pada sekurang-kurangnya dua reaktor untuk memulakan semula pengepaman air bagi menyejukkan rod bahan api nuklear yang mencapai tahap kepanasan melampau.

      Petugas juga menyimbah air pada reaktor ketiga, yang paling kritikal di antara enam reaktor di loji nuklear Fukushima itu.

      Ini kali pertama syarikat pengendali loji berkenaan mengaku menimbus keseluruhan kompleks loji itu mungkin menjadi satu pilihan.

      Ia menggambarkan tindakan sementara seperti mencurah air dari udara dengan mengguna helikopter atau melancarkan semula pam penyejuk mungkin tidak akan berjaya.

      “Bukan sesuatu yang mustahil untuk menimbus reaktor itu dalam konkrit. “Tetap keutamaan kami ketika ini ialah cuba menyejukkannya terlebih dulu,” kata seorang pegawai syarikat Tokyo Electric Power pada satu sidang akhbar. Ketika Jepun memasuki minggu kedua selepas dilanda gempa bumi berukuran 9 magnitud dan tsunami setingi 10 meter yang memusnahkan bandar pesisir pantai serta meragut ribuan nyawa, krisis nuklear paling buruk dunia selepas Chernobyl masih belum dapat diatasi.

      Jutaan penduduk di Tokyo masih bekerja dari rumah kerana bimbang terkena zarah radioaktif dari loji di Fukushima yang terletak kira-kira 240 kilometer ke utara negara itu.
      Tahap radiasi yang dicatatkan di loji itu tidak memberi ancaman serta-merta kepada kesihatan manusia,” kata Michael O’Leary, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di China. - AFP

      Friday, March 18, 2011

      Angka korban gempa bumi, tsunami cecah 6,539 orang



      18/03/2011 3:35pm

      TOKYO 18 Mac - Angka korban rasmi akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu hari ini meningkat kepada 6,539 orang, lebih tinggi berbanding jumlah korban gempa bumi Kobe pada 1995.
      Agensi Polis Kebangsaan melaporkan, seramai 10,354 yang lain disenaraikan sebagai hilang, menjadikan jumlah yang maut dan hilang kini kepada 16,893.
      Seramai 2,513 yang lain turut cedera dalam bencana tersebut.
      Pada Januari 1995, satu gempa bumi sekuat 7.2 pada skala Richter menggegar bandar pelabuhan Kobe, barat Jepun dan mengakibatkan 6,434 maut.
      Gegaran terbaru minggu lalu itu merupakan bencana terburuk Jepun selepas gempa bumi Great Kanto 1923 dengan magnitud 7.9 pada skala Richter yang mengorbankan lebih 142,000 nyawa. - AFP
      utusan

      Haba di loji nuklear semakin panas



      Anggota tentera mengangkat satu mayat mangsa tsunami yang ditemui di bawah runtuhan bangunan di bandar Otsuchi di daerah Iwate, ketika salji mula turun di bandar itu, semalam. - AFP


      TOKYO 17 Mac - Kebimbangan berhubung krisis nuklear Jepun semakin meningkat hari ini apabila helikopter tentera menggugurkan air ke atas loji kuasa nuklear yang semakin panas.
      Di loji kuasa nuklear Fukushima, helikopter enjin berkembar Chinook menggugurkan bertan-tan air dalam usaha terdesak untuk menyejukkan reaktor yang terjejas akibat gempa bumi besar dan tsunami pada Jumaat lalu, mengakibatkan beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada dalam kesejukan ekoran ketiadaan bekalan elektrik.
      Operasi helikopter di loji kuasa No. 1 Fukushima, di pantai Pasifik kira-kira 250 kilometer dari Tokyo dilakukan bagi memastikan batang besi bahan api terus berada dalam reaktor dan bekas simpanan bahan api tenggelam di bawah air.
      Ancaman terbaru di loji tersebut adalah kolam menempatkan batang besi bahan api yang mengandungi rod bahan api terpakai yang masih belum dikeluarkan dari reaktor tetapi masih tinggi dengan kandungan radioaktif.
      Struktur itu direndam dalam air sejuk selama bertahun-tahun sehingga ia memancarkan haba yang cukup bagi membolehkan simpanan dijalankan.
      Menurut pakar, air di sebuah daripada kolam tersebut mula tersejat kerana rod mula memanas dan suhu semakin naik di dua lagi kolam selepas sistem pam penyejuk rosak akibat impak tsunami.
      Pakar memberi amaran, jika tangki tersebut kering sehingga mengakibatkan rod terdedah, batang besi itu boleh melebur atau terbakar sekali gus mengakibatkan paras radiasi tinggi yang boleh membawa maut. - AFP
      -utusan

      Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'


      Loji nuklear boleh meletup menyebabkan tragedi lebih besar apabila paras radiasi meningkat
      Foto
      HELIKOPTER tentera Jepun membawa air laut untuk dijirus ke reaktor nuklear Fukushima bagi menyejukkannya, semalam.

      Foto
      TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.
      Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.
      Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

      Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.

      Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.

      Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: “Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan.”
      Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: “Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl.”

      Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.

      Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.

      Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.

      Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.

      Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’ adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

      Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.

      Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.

      Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi

      Thursday, March 17, 2011

      Jepun terus guna helikopter gugurkan air

      Berita Harian

      HELIKOPTER tentera Jepun mengaut air laut untuk dibawa ke loji nuklear Fukushima Dai-ichi, timur laut Jepun, hari ini, bagi merendahkan suhu reaktor nuklear yang terbakar. - Foto AP




      2011/03/17

      TOKYO: Helekopter tentera terus dikerah untuk menggugurkan air di kawasan loji nuklear Fukushima untuk merendahkan suhu reaktor yang terbakar yang dibimbangi boleh menyebabkan kebocoran radiasi.

      Imej televisyen stesen NHK menunjukkan tiga helekopter CH-47 Chinooks milik Pasukan Pertahanan Awam berlegar-legar di udara untuk menjatuhkan air ke reaktor ketiga dan keempat yang sebelum ini meletup dan terbakar. - AFP"

      Tokyo lengang angkara radiasi




      LAMPU jalan dan iklan lampu neon ditutup di daerah fesyen Ginza, Tokyo semalam.


      TOKYO, Jepun - Bandar raya ini yang merupakan antara yang paling sesak di dunia kini sepi seperti bandar hantu semalam dengan lokasi-lokasi tumpuan ramai termasuk restoran sushi dan kedai mi bertukar menjadi lengang.
      Kebanyakan sekolah ditutup manakala pekerja-pekerja sektor swasta dibenarkan berada di rumah.
      Lapangan terbang-lapangan terbang di sini pula dipenuhi dengan orang ramai berbaris panjang untuk menunggu penerbangan keluar dari sini.
      Situasi itu berlaku ketika pihak berkuasa Jepun bertungkus-lumus untuk mengelak negara itu ditimpa bencana nuklear akibat empat letupan di loji nuklear Fukushima yang bermula pada minggu lalu.
      Loji nuklear tersebut yang dimiliki Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), terletak 240 kilometer dari bandar raya ini.
      "Lihatlah sendiri, keadaan dalam bandar raya ini lengang seperti pada hari Ahad, langsung tiada kereta," kata seorang pemandu teksi berusia 62 tahun, Kazushi Arisawa ketika menunggu lebih sejam di luar sebuah menara pejabat yang mana sebelum ini, dia boleh mendapat pelanggan dalam masa cuma beberapa minit.
      Kebanyakan penduduk di sini menyimpan makanan dan memilih untuk berada di rumah.
      Kosmo! Online - Negara

      Wednesday, March 16, 2011

      Awan radioaktif bergerak ke Tokyo




      SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam.


      TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.
      Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
      Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
      Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
      Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
      Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
      Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
      Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
      Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
      "Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
      "Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
      Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
      Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
      Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
      Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
      Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
      Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
      Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi
      Kosmo! Online - Dunia

      Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan




      SEORANG anggota tentera mendukung bayi berusia empat bulan yang ditemui setelah berada di bawah runtuhan selama tiga hari.


      SENDAI, Jepun - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan berjaya diselamatkan selepas tiga hari berada di bawah runtuhan akibat tsunami dan gempa bumi sekuat 9 skala Richter yang mengegar Jepun pada Jumaat lalu.
      Pada awalnya, sekumpulan askar dari Pasukan Pertahanan Jepun yang sedang mencari mangsa terselamat di kampung Ishinomaki terdengar tangisan seorang bayi. Selepas mengalihkan kepingan kayu, batu dan lumpur tebal, mereka akhirnya menjumpai bayi tersebut.
      Bayi itu ditemui dalam keadaan sejuk, basah dan menangis. Dia dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan. Persoalan kenapa dia tidak lemas, masih menjadi misteri.
      Bayi tersebut dikatakan terlepas daripada pangkuan ibu bapanya apabila ombak besar memusnahkan kediaman mereka. Keluarga malang itu percaya bahawa mereka akan kehilangan bayi itu buat selama-lamanya. Dia kemudian dipertemukan semula dengan bapanya yang dilihat sangat gembira.
      Sebelum dia dijumpai, pasukan penyelamat sudah menemui sekurang-kurangnya 2,000 mayat di sepanjang pantai di wilayah Miyagi yang paling teruk terjejas.
      "Penemuan bayi ini memberi semangat baru kepada pasukan penyelamat. Kami akan mendengar, melihat dan menggali dengan lebih berhati-hati selepas ini," kata salah seorang pegawai tentera terbabit. - Agensi
      Kosmo! Online - Dunia

      Tuesday, March 15, 2011

      2,000 mayat ditemui


      ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.
      ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.

      TOKYO: Pasukan penyelamat semalam menemui 2,000 mayat di Miyagi, wilayah paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.
      Stesen penyiaran NHK dan media lain memetik pegawai sebagai berkata, 1,000 mayat ditemui di pantai di Semenanjung Ojika.

      Seribu lagi mayat ditemui di Minamisanriku, bandar yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda pantai Pasifik Jepun, lapor NHK yang memetik sumber pegawai negeri.

      Bagaimanapun, sehingga petang semalam, angka rasmi kematian yang diberikan oleh Agensi Kebangsaan Polis kekal pada 1,647.

      Bagaimanapun, Ketua Polis Miyagi berkata Ahad lalu, jumlah kematian pasti mengatasi 10,000 orang di wilayah itu saja. - AFPmyMetro