Pages

Tuesday, June 23, 2015

Hutan batu Madagascar

Hutan batu Madagascar

SEBUT sahaja perkataan hutan, pasti terbayang pelbagai pepohon hijau yang merimbun.

Namun, berbeza pula situasinya dengan sebuah kawasan unik terdapat di Madagascar yang digelar hutan batu.

Hutan batu ini dikenali dengan nama Tsingy de Bemaraha National Park. Ia terletak di wilayah Melaky.

Suasana hutan ini cukup menyeramkan. Tsingy sendiri membawa maksud "Tempat di mana orang tidak boleh berjalan".

Menurut laporan Daily Mail, struktur batuan di kawasan ini menjulang tinggi sehingga 91 meter dan hujungnya pula kelihatan tajam.

Ia terjadi akibat proses hakisan oleh hujan tropika yang berlaku selama ribuan tahun.

Meskipun ia dilihat sebagai tempat menyeramkan, namun kawasan yang diisytiharkan sebagai taman negara ini menjadi habitat lemur putih termasuk beberapa jenis reptilia serta burung.

Tsingy de Bemaraha National Park juga antara tarikan pelancong ke Madagascar.

Keunikan Pamukkale

Keunikan Pamukkale

PAMUKKALE adalah sebuah bukit dan satu daripada keunikan alam semula jadi yang terdapat di Turki.

Nama Pamukkale bermaksud ‘istana putih’ atau ‘istana kapas’ dalam bahasa Turki kerana keputihannya yang unik bak salji.

Difahamkan melalui laporan kuriositas, ia berwarna putih hasil pemendakan garam mineral kalsit sejak berjuta-juta tahun lalu.

Dengan ketinggian lebih kurang 200 meter, kawasan ini dihiasi teres yang terbentuk secara semula jadi.

Di teres ini terdapat 17 kolam air panas sekitar 35 darjah Celsius.

Air panas ini mengalir daripada puncanya yang terletak jauh dari kawasan ini iaitu sesar (rekahan dan gerakan bumi akibat gempa) yang mengeluarkan wap panas.

Sesar ini mengakibatkan lagaan antara batu kapur dan batuan enapan dan mengakibatkan pembentukan sistem hidraulik yang rencam.

Hasil daripada bentuk bumi unik ini, tidak hairan Pamukkale menjadi tarikan pelancong kerana rupa bentuk geologinya yang sukar dijumpai di muka bumi.