Pages

Showing posts with label Facebook. Show all posts
Showing posts with label Facebook. Show all posts

Sunday, February 17, 2013

Mahkamah Jerman sebelahi Facebook

Facebook berpendapat penggunaan nama sebenar di laman itu akan melindungi hak individu yang melayari laman itu.
Facebook berpendapat penggunaan nama sebenar di laman itu akan melindungi hak individu yang melayari laman itu. Laman sosial dibenar arah pelayar guna nama sebenar

Berlin: Mahkamah Jerman menyebelahi Facebook dalam kes suruhanjaya data di Schleswig-Holstein yang mahukan laman web sosial itu membenarkan penggunaan nama samaran.

Facebook berkata, ia tidak perlu mematuhi undang-undang hak peribadi Jerman kerana data peribadi di laman web itu dikendalikan operasi antarabangsanya di Ireland dan ia berada di bawah naungan Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland.
Guna nama samaran


Keputusan Mahkamah Pentadbiran Negeri Schleswig-Holstein kelmarin bermakna Facebook boleh terus meminta pengguna laman itu menggunakan nama sebenar dan tidak berlindung di sebalik nama samaran.

Pertubuhan perlindungan data negeri itu berkata ia akan merayu keputusan berkenaan.

Suruhanjaya terbabit menyatakan larangan penggunaan nama samaran melanggar undang-undang hak peribadi Jerman yang ditubuhkan untuk melindungi kebebasan bersuara di online.

Sementara itu, Facebook percaya penggunaan nama sebenar melindungi pengguna. Mahkamah memutuskan disebabkan data peribadi dikendalikan oleh operasi antarabangsa Facebook di Dublin berbanding di Jerman, cuma undang-undang perlindungan data dipakai.

Disember lalu, suruhanjaya perlindungan data Schleswig-Holstein mengarahkan Facebook berhenti menguat kuasa dasar nama sebenar kerana ia melanggar undang-undang Jerman yang membolehkan pengguna menggunakan nama samaran di online dan mengancam rangkaian sosial itu dengan denda sebanyak 20,000 euro (RM82,611).

Facebook melaporkan secara kasar ada 76 juta daripada 1.06 bilion akaun penggunanya adalah palsu.

Syarikat berkenaan mengenal pasti tiga jenis akaun yang tidak mewakili pengguna sebenar: akaun pendua, akaun tidak dikelaskan dan akaun tidak diingini. Ia menambah kepada lebih tujuh peratus pengguna aktif setiap tahun di seluruh dunia. - Agensi

Sunday, July 29, 2012

Saham Facebook terus jatuh, CEO rugi RM22b




28 Julai 2012
Saham Facebook terus jatuh, CEO rugi RM22b
Mark Zuckerberg
NEW YORK - Nilai pegangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dalam syarikatnya merosot AS$7.2 bilion (RM22 bilion) sejak penyenaraian awam awal (IPO) dua bulan lalu, ekoran penurunan harga saham sejak kelmarin.

Usahawan muda itu dilaporkan bernilai AS$19.1 bilion (RM59.2 bilion) berdasarkan pada harga tawaran IPO AS$38 sesaham pada Mei lalu.

Beliau menjual 30 juta saham pada hari penyeneraian untuk menjana tunai dan membayar cukai.

Zuckerberg masih memegang 503 juta saham ketika IPO dirumuskan.

Laporan CNN menyebut bahawa setakat tengah hari semalam, pegangan pengasas Facebook itu bernilai AS$11.98 bilion (RM37.2 bilion).

Pun begitu, meskipun hanya memiliki pegangan bernilai RM37.2 bilion, Zuckerberg masih berada dalam kategori 72 orang paling kaya di dunia, demikian menurut pemantauan Forbes.

Sejak disenaraikan dua bulan lalu, Facebook mengalami kemerosotan nilai saham tetapi ia menjunam semenjak dua hari.

Syarikat itu mengeluarkan laporan pemerolehan pertama sejak IPO, kelmarin.

Bagaimanapun para pelabur dilaporkan kecewa dengan laporan itu, sekali gus harga sahamnya merosot ke paras paling rendah setakat ini.

Pada Mei lalu, sahamnya dipasarkan di paras AS$22.28 sesaham berbanding AS$38 sesaham dua bulan lalu - penurunan sebanyak 41 peratus.

Friday, May 18, 2012

Nilai saham Facebook RM114, jana RM48b



facebook
$entry.content.caption.value
NEW YORK - Selepas liputan meluas dan spekulasi mengenai penyenaraiannya sejak awal tahun ini, nilai saham Facebook akhirnya ditetapkan RM114 (AS&38) sesaham.

Ia akan diperdagangkan di pasaran New York mulai hari ini.

Dengan penetapan itu, Facebook boleh menjana dana RM48 bilion (AS$16 bilion) iaitu IPO teknologi terbesar dalam sejarah dan yang ketiga terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Pada Mac 2008, Visa menjana hampir RM60 bilion (AS$19.7 bilion) manakala General Motors pula RM54 bilion (AS$18.1 bilion) pada November 2010.

Laporan media juga menyebut dengan penetapan harga itu, nilai syarikat berusia lapan tahun ini akan mencecah lebih RM312 bilion (AS$104 bilion).

Saham-saham laman sosial itu ditawarkan kepada pembeli semalam. Pembeli boleh menjual semula di pasaran terbuka mulai hari ini.

Kelmarin, Facebook memutuskan untuk menambah saham ditawarkan 25 peratus.

Kebanyakan pembeli dilaporkan terdiri daripada pelabur institusi, dana bersama dan dana lindung nilai.

Sebahagian saham juga diperuntukkan kepada pembeli individu tetapi ia memerlukan mereka memiliki dana atau pengalaman pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg merancang untuk menjual 30.2 juta saham pada harga tawaran IPO dan ia akan menyumbang RM3.3 bilion (AS$1.1 bilion).

Selepas penawaran awal, Zuckerberg akan memegang 503.6 juta saham atau kira-kira 31 peratus syarikatnya. Pegangan itu bernilai RM57.3 bilion (AS$19.1 bilion).

Saturday, January 14, 2012

Pejabat baharu Facebook


BANGUNAN baharu Facebook di Taman Menlo, California yang dirakamkan pada Rabu lalu.


TAMAN MENLO, Amerika Syarikat (AS) - Ibu pejabat baharu laman sosial popular Facebook telah dibuka di Taman Menlo, California.
Ia terletak di kawasan seluas 23.06 hektar yang merupakan bekas ibu pejabat syarikat Sun Microsystem.
Hampir 2,000 pekerja Facebook bekerja di ruang seluas satu juta meter persegi itu.
Ruang dalam ibu pejabat Facebook itu kelihatan santai dan dipenuhi dengan cita rasa golongan muda seperti dinding yang diconteng dengan grafiti.
Pelbagai bendera pelbagai negara juga dipamerkan di dalam pejabat tersebut.
Para pekerja juga boleh memilih untuk bekerja secara berdiri atau duduk.
Sementara itu, di New Delhi, India Mahkamah Tinggi Delhi mengancam menyekat beberapa laman web termasuk Facebook dan Google melainkan pihak berkenaan mengambil langkah untuk membuang kandungan yang menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan.
"Kamu perlu melakukan pengawasan ketat. Jika tidak, kami akan meluluskan arahan untuk menyekat semua laman web seperti di China," kata seorang hakim semasa satu perbicaraan bersama beberapa perwakilan undang-undang Facebook dan Google India di sini kelmarin.
Hakim Suresh Kait menyatakan: "Facebook dan Google perlu membina mekanisme untuk memeriksa dan membuang bahan yang boleh menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan."
Pada bulan lalu, Menteri Komunikasi, Kapil Sibal berikrar untuk membasmi kandungan Internet yang disifatkan pemerintah sebagai "tidak boleh diterima".
Kandungan seperti itu, katanya, termasuk gambar bogel palsu pemimpin-pemimpin politik India dan imej agama yang dianggap sensitif.
Facebook diasaskan bersama oleh Mark Zuckerberg yang dilancarkan pada Februari 2004. - Agensi
-kosmo

Saturday, September 24, 2011

Facebook tarik minat syarikat rakaman muzik




MARK ZUCKERBERG mengumumkan perkhidmatan terbaharu Timeline pada persidangan Facebook f8 di San Francisco, California kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat rakaman dan media meletakkan harapan baharu untuk memajukan perniagaan mereka ekoran penambahan kolum Ticker pada profil pengguna oleh Facebook.
Kolum Ticker memaparkan kemas kini aktiviti pengguna Facebook dalam pelbagai aplikasi media di laman jaringan sosial itu seperti langganan muzik dan filem.
Kolum itu menjadi medan pasaran baharu untuk syarikat rakaman dan media AS mempromosikan produk mereka.
Menerusi Ticker, syarikat rakaman boleh mengesan sama ada aplikasi yang mereka tawarkan popular di kalangan pengguna Facebook atau sebaliknya.
Apabila pengguna mengklik kolum Ticker kenalan mereka, pengguna terbabit secara automatik ditawarkan untuk mencuba secara percuma pelbagai perkhidmatan dalam talian seperti pelan muzik Spotify dan Rhapsody yang digunakan kenalan mereka.
Selepas tempoh tawaran percuma itu tamat, pengguna yang berminat boleh terus melanggan perkhidmatan yang ditawarkan dengan membayar yuran bulanan.
Ketua Eksekutif firma langganan muzik Deezer, Axel Dauchez berkata, penyertaan Deezer dalam Facebook membolehkan syarikat itu memasuki pasaran lebih 130 negara di luar AS dalam tempoh cuma beberapa minggu.
Menurutnya, syarikat itu kini memiliki sekitar 1.4 juta pengguna berbayar di Perancis dan Britain dengan Facebook menawarkan pasaran yang jauh lebih besar.
Kolum Ticker itu dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin untuk memudahkan 800 juta penggunanya berkongsi muzik dan media lain dengan kenalan mereka.
Zuckerberg turut memperkenalkan perubahan besar pada profil pengguna Facebook yang dinamakan TimeLine.
Profil baharu itu boleh digunakan oleh pengguna untuk mendokumenkan dan memaparkan kehidupan mereka dalam bentuk buku skrap dalam talian.
"Ia menyimpan semua kisah anda (pengguna), semua aplikasi anda sekali gus satu kaedah ekspresi diri yang baharu," kata Zuckerberg ketika berucap pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di bandar raya San Francisco, AS.
"Saya menggelarkan profil baharu ini sebagai 'kisah hidup anda'" tambahnya.- Agensi

Friday, September 23, 2011

Pengguna tidak berpuas hati dengan Facebook





SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Para pengguna Facebook kelmarin memberi reaksi tidak puas hati tentang beberapa pembaharuan yang dilaksanakan di laman rangkaian sosial tersebut.
Di Facebook, orang ramai meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan mewujudkan laman bertajuk 'Petisyen untuk menentang tapak web baru Facebook' manakala laman serupa, #NewFacebook turut diwujudkan di Twitter.
Sebahagian mereka mengadu bahawa perubahan terbaharu Facebook dibuat untuk meniru pesaingnya, Google+ dan perkhidmatan mesej perkongsian berita di Twitter.
"Ramai yang berasa tidak berpuas hati tetapi tiada seorang pun yang akan berpindah (menggunakan laman jaringan sosial lain)," katanya.
Para pengguna Facebook sebelum ini banyak membuat aduan tentang perubahan dalam laman sosial berkenaan tetapi mereka kemudian berusaha untuk menyesuaikan diri dan masih menjadi pengguna setia laman web itu.
Komen negatif itu disuarakan sehari selepas Facebook mula melaksanakan beberapa siri penambahbaikan dalam apa yang dinamakan oleh pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai 'musim pelancaran' untuk ciri-ciri terbaru.
Ciri News Feed di Facebook yang memaparkan kemas kini daripada rakan-rakan kini memberi fokus kepada penghantaran penting dengan paparan imej yang lebih besar berbanding sebelumnya manakala kolum sembang Ticker pula ditambah untuk perbualan dalam masa sebenar.

GAMBAR fail menunjukkan Mark Zuckerberg di ibu pejabat Facebook di Palo Alto, California pada 5 Februari 2007.


Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Facebook banyak memberi tumpuan untuk mencipta kaedah-kaedah baharu supaya para pengguna dapat mengawal aspek penerimaan dan perkongsian maklumat dengan lebih baik.
Facebook pada minggu lalu membenarkan pengguna mengikuti perkembangan orang asing yang bukan rakan mereka melalui penambahan butang Subscribe seperti yang terdapat di Twitter.
Selain itu, Facebook juga membenarkan penggunanya membuat pilihan tentang jenis kemas kini daripada rakan-rakan yang dibenarkan dipaparkan di laman Facebook mereka.
Panel sembang Ticker di kolum kanan skrin Facebook pula membolehkan orang ramai bersembang melalui mesej teks jika terdapat paparan imej baharu atau penghantaran lain.
Facebook dijangkakan membuat lebih banyak pengumuman mengenai pembaharuan laman web itu pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di sini hujung minggu ini.
Antara spekulasi yang tersebar termasuk pelancaran platform untuk perkhidmatan muzik dalam talian seperti Rdio dan Spotify selain paparan berita daripada agensi-agensi profesional.
Persidangan itu diadakan beberapa hari selepas enjin carian Internet Google melancarkan Google+ sebagai saingan terbaru Facebook. - AFP

Wednesday, September 21, 2011

140 bilion gambar dalam Facebook

LOS ANGELES: Apabila anda memuatnaikkan gambar ke dalam Facebook, bayangkan angka ini - 140 bilion.
Itulah jumlah gambar yang terdapat dalam rangkaian sosial popular itu.

Jumlah itu adalah 10,000 kali lebih banyak daripada katalog gambar yang terdapat di Perpustakaan Kongres, perpustakaan terbesar di dunia.

Flickr, laman web yang menjadi hos khusus untuk imej dan video, juga ketinggalan dengan 140 bilion gambar yang dimuatnaikkan ke Facebook.

Kira-kira 2.5 bilion orang di seluruh dunia memiliki kamera digital.

Hakikatnya, jumlah gambar yang dirakam setiap dua minit sehari adalah sama jumlahnya dengan gambar yang dirakam pada 1880-an.


Jika seseorang merakam 150 gambar setahun, ini bermakna 375 bilion gambar diambil secara keseluruhan.

Lebih 70 bilion gambar dijangka dimuatnaikkan dalam Facebook tahun ini, bermakna kira-kira 20 peratus daripada semua gambar yang diambil akan dimasukkan ke laman itu. - Agensi

Friday, September 9, 2011

Pendapatan Facebook meningkat

CALIFORNIA 8 Sept. – Pendapatan Facebook meningkat sekali ganda kepada AS$1.6 bilion (RM4.8 bilion) separuh pertama tahun ini berbanding 2010, sekali gus menunjukkan tarikannya kepada pengiklan ketika ia bersaing dengan Google Inc.
Menurut sumber yang enggan dikenali kerana Facebook tidak mendedahkan laporan pendapatannya, jumlah pendapatan bersih untuk separuh tahun pertama 2011 pula dilaporkan hampir mencecah AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Jumlah memberangsangkan itu disumbang bantuan pelabur-pelabur yang meningkatkan nilai laman web sosial tersebut kepada kira-kira AS$80 bilion (RM239 bilion) di pasaran tertutup, dengan kebanyakan pemerhati industri menjangka ia akan disenaraikan di bursa saham pada 2012.
Populariti Facebook di kalangan pengiklan dan 750 juta pengguna memberi tekanan kepada syarikat laman web lain seperti Yahoo Inc. yang bertindak memecat Ketua Eksekutifnya, Carol Bartz kelmarin.
Enjin carian terkemuka, Google Inc. Jun lalu melancarkan Google+, pesaing laman web sosial yang berjaya menarik lebih 10 juta pengguna dalam tempoh dua minggu pertama.
Google cuba meningkatkan tarikan laman sosialnya itu dengan menawarkan permainan seperti Zynga Poker dan Rovio's Angry Birds.
Facebook mencatat pendapatan bersih AS$355 juta (RM1.1 bilion) daripada pendapatan keseluruhan sebanyak AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion) pada sembilan bulan pertama 2010.
Sumber itu bagaimanapun tidak menyediakan angka untuk perbandingan pendapatan secara langsung bagi separuh tahun pertama 2011 dan 2010.
Facebook yang diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg di bilik asramanya di Harvard pada 2004, dijangka memperkenalkan perisian baru bulan ini seperti perkhidmatan muzik daripada Spotify dan Rhapsody.
Laman sosial itu turut menjadi laman web paling ramai dilawat pengguna yang menghabiskan masa selama berjam-jam setiap bulan untuk berkongsi gambar, video dan berbual dengan rakan. – AGENSI

Saturday, August 20, 2011

Saham milik firma Bono U2 dalam Facebook bernilai RM2.91 bilion

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Pada tahun lalu, penyanyi kumpulan U2, Bono dilabel sebagai pelabur paling teruk di AS oleh sebuah laman blog kewangan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bagaimanapun, nasib Bono, 51, kini berubah selepas sahamnya dalam syarikat laman jaringan sosial Facebook memperoleh keuntungan empat kali ganda kepada hampir AS$1 bilion (RM2.98 bilion).
Firma pelaburan penyanyi kelahiran Ireland itu, Elevation Partners melabur AS$210 juta (RM627.38 juta) dalam laman web Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada November 2009.
Namun, selepas seorang lagi pelabur menjual sahamnya dalam Facebook sekali gus meningkatkan harga saham laman sosial berkenaan, nilai pegangan Elevation melonjak kepada sekitar AS$975 juta (RM2.91 bilion) atau sebanyak 400 peratus.
Saham Facebook tidak dijual di pasaran awam tetapi diniagakan di Sharepost iaitu pasaran saham sekunder yang membolehkan pemegang saham menjual saham mereka sebelum sesebuah syarikat disenaraikan dalam bursa saham.
Perkembangan tersebut menyebabkan blog yang menggelarkan Bono sebagai pelabur paling teruk terpaksa mencari orang lain untuk memindahkan gelaran itu. Namun, sebelum ini gelaran yang diberikan kepada Bono itu ada justifikasinya.
Elevation yang dinamakan sempena lagu U2 diasaskan pada 2004 oleh bekas ketua pegawai kewangan firma Apple, Fred Anderson dan Roger McNamee iaitu pengasas bersama syarikat Silver Lake Partners yang pernah melabur dalam pengeluar perisian telefon Internet, Skype.
Bono menjadi rakan kongsi Elevation pada 2004, tidak lama selepas ia ditubuhkan, namun syarikat itu memiliki reputasi buruk kerana kerap melakukan pelaburan yang mendatangkan kerugian.
Antara pelaburan paling teruk pernah dibuat oleh Elevation ialah pada 2006 apabila ia melabur dalam syarikat Forbes Media yang memiliki majalah kewangan terkenal, Forbes.
Forbes Media dinilaikan pada AS$750 juta (RM2.23 bilion) ketika Elevation menyuntik dana sekitar AS$300 juta (RM895 juta) ke dalam syarikat media itu.
Namun, tidak lama kemudian Forbes Media terpaksa memberhentikan ramai kakitangannya, membekukan pelan pencen syarikat manakala sektor majalah turut mengalami kerugian. - Agensi, kosmo

Wednesday, August 17, 2011

Facebook, YouTube diguna buli guru

LONDON: Satu pertiga guru, kebanyakannya tenaga pengajar wanita, menjadi mangsa buli online dengan 72 peratus dilakukan pelajar tetapi lebih 25 peratus penderaan diilhamkan oleh ibu bapa, menurut tinjauan Universiti Plymouth.

Banyak kes buli itu menggunakan laman web sosial dan kajian mendapati ramai mewujudkan kumpulan Facebook khas untuk mendera guru.< Dalam sesetengah kes, pelajar mengirim gambar guru ke laman web YouTube manakala yang lain meletakkan komen pedas di laman web ratemyteacher.com. Secara keseluruhan, 35 peratus guru yang disoal berkata mereka menjadi mangsa buli online dan daripada jumlah itu, 60 peratus daripadanya wanita. Lebih mengejutkan, 26 peratus kaki buli adalah ibu bapa.Kadang-kadang mereka turut sasar pelajar lain. Sekolah perlu buat sesuatu, jika tidak ia akan merebak,” kata penulis laporan, Profesor Andy Phippen.>Kes pelajar menjadi mangsa buli online diketahui ramai tetapi isu guru menjadi mangsa kurang disedari. – Agensi, bharian

Friday, August 12, 2011

Facebook mula saingi BlackBerry



MARK ZUCKERBERG


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Laman jaringan sosial Facebook yang dicipta Mark Zuckerberg memperkenalkan perkhidmatan mesejnya sendiri di AS kelmarin bagi menyaingi populariti perkhidmatan mesej telefon bimbit BlackBerry (BBM).
Dinamakan Facebook Messenger, aplikasi itu membolehkan para pengguna Facebook menghantar mesej percuma dengan menggunakan telefon bimbit dilengkapi sistem pemprosesan Android atau iOS kepada sesiapa sahaja dalam senarai 'rakan' mereka.
Aplikasi terbaharu Facebook itu yang direka oleh jurutera Facebook, Lucy Zhang turut membolehkan pengguna menghantar mesej berkumpulan.
Pengguna juga boleh melampirkan foto pada mesej mereka.
Mesej kemudian dihantar serta-merta menerusi makluman dan teks kepada penerima. - Agensi, kosmo

Friday, August 5, 2011

Kakak Zuckerberg letak jawatan di Facebook




MARK ZUCKERBERG


LOS ANGELES -Pengarah Pemasaran Facebook, Randi Zuckerberg (gambar kecil) yang juga kakak pengasas laman itu, Mark Zuckerberg telah meletakkan jawatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berusia 29 tahun dan bekas pelajar Universiti Harvard meletakkan jawatan setelah berkhidmat selama enam tahun.
Randi akan memulakan empayar media sosial dengan membantu syarikat-syarikat teknologi lain menjadi lebih mesra sosial dengan para pengguna.
Laman rangkaian sosial Facebook mengesahkan peletakan jawatan itu.
"Kami boleh mengesahkan bahawa Randi telah memutuskan untuk meninggalkan Facebook bagi memulakan syarikatnya sendiri," katanya dalam satu kenyataan Facebook.
Zuckerberg yang berusia 27 tahun menubuhkan Facebook pada 2004 dan harta kekayaannya dianggarkan bernilai AS$13.5 bilion (RM40.23 bilion). - Agensikosmo

Tuesday, August 2, 2011

Kutuk di Facebook undang padah

Lelaki maut dibelasah abang kenalan wanita 

KULIM: Akibat mengutuk hal peribadi keluarga kenalan wanitanya melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki dibelasah hingga mati menggunakan topi keledar oleh dua lelaki yang dipercayai abang wanita itu.

Mangsa, Mohd Amran Romli, 20, dimasukkan ke Hospital Kulim selepas kejadian jam 8 malam, Jumaat lalu, di Taman Tiram, Lunas dekat sini, dan disahkan mati akibat pendarahan dalaman kepala, kelmarin.
Mohd Amran dikatakan diserang dua lelaki iaitu abang kepada kenalan wanitanya, masing-masing berusia 25 dan 26 tahun di belakang sebuah pasar raya di taman itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata dalam pergaduhan itu kepala mangsa dihentak dengan kuat menggunakan topi keledar oleh suspek, menyebabkannya pengsan dan dikejarkan ke Hospital Kulim.

“Mangsa mengenali wanita itu melalui Facebook, tetapi selepas berhubung melalui laman berkenaan beberapa lama, hubungan mereka mula menghadapi masalah.

“Sejak itu mangsa dikatakan sering mengganggu kenalan wanitanya melalui Facebook, selain turut mengutuk hal peribadi keluarganya. Wanita itu kemudian mengadu perbuatan mangsa kepada dua abangnya.
“Sebaik mengetahui hal itu, abang wanita terbabit merancang satu perjumpaan dengan mangsa di belakang sebuah pasar raya untuk menyelesaikan masalah itu.
Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan mangsa dihentak dengan topi keledar sebelum pengsan,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia petang kelmarin akibat perdarahan di kepala.

Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
http://www.bharian.com.my

Thursday, June 30, 2011

Pejabat Facebook tidak mewah disangkakan


Kanan: SEBUAH meja dan bangku dalam sebuah bilik untuk pekerja di ibu pejabat Facebook.


MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.
Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.
Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.
Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.
Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.
Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.
Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.
Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.
Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion). - AgensiKosmo! Online - Dunia

Monday, June 20, 2011

Gaya duduk rakyat Thai jadi kegilaan di Facebook


RATUSAN orang menghantar gambar yang menunjukkan mereka duduk bersimpuh di pelbagai lokasi di laman Facebook.



BANGKOK - Gaya duduk tradisional rakyat Thailand kini menjadi kegilaan terbaharu dalam kalangan penduduk negara itu di laman Facebook, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Lebih 65,000 orang sudah mendaftarkan diri di laman Facebook yang mempromosikan kempen gaya duduk itu yang dikenali sebagai pubpeab sejak ia dilancarkan pada Jumaat lalu.
Gaya duduk itu menunjukkan seseorang individu itu duduk bersimpuh di pelbagai lokasi dengan gambar mereka disiarkan di laman berkenaan.
Antara gambar itu menunjukkan anggota-anggota pasukan bola keranjang Pattani di selatan Thai duduk bersimpuh di tengah gelanggang sukan tersebut.
Terdapat juga gambar yang menunjukkan dua lelaki duduk bersimpuh di sebuah stesen tren.
Pengarah Jabatan Pemantauan Kebudayaan Thailand, Ladda Tangsupachai memuji kempen tersebut dengan menyatakan generasi muda perlu banyak mempelajari gaya duduk tradisional itu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Monday, May 23, 2011

Ditahan selepas muat naik video di Facebook




MUKA surat Facebook yang menyokong wanita memandu di Arab Saudi.


RIYADH - Seorang wanita di Arab Saudi telah ditahan pihak berkuasa negara itu semalam selepas dia melancarkan kempen menentang wanita memandu kereta, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita berkenaan, Manal al-Sherif juga memuat naik klip video yang menunjukkan dia sedang memandu kereta di Khobar ke laman sosial Facebook dan YouTube agar wanita lain mengikut perbuatannya.
Dia bersama sekumpulan wanita lain turut mewujudkan muka surat dalam Facebook.
Muka surat itu berjudul 'Ajar saya bagaimana untuk memandu justeru saya boleh melindungi diri saya.'
Dia kini memiliki 11,000 penyokong bagi mendesak kerajaan menggugurkan larangan itu.
Manal yang belajar memandu semasa berusia 30 tahun di New Hampshire, Amerika Syarikat berkata, kebaikan memandu bagi wanita adalah boleh menyelamatkan nyawa, masa dan martabat seorang wanita.
"Ini adalah kempen sukarelawan untuk membantu wanita di negara ini belajar memandu kereta, sekurang-kurangnya pada masa kecemasan," katanya dalam video berkenaan.
Sementara itu, aktivis hak asasi manusia, Maha Taher berkata, Manal telah ditahan oleh polis agama negara itu pada pukul 3.30 pagi semalam. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Saturday, May 7, 2011

Pengasas Facebook beli rumah pertama




RUMAH baru yang dibeli oleh Mark Zuckerberg di Palo Alto, California.


PALO ALTO - Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 28, membuat keputusan membeli rumah pertamanya berharga AS$7 juta (RM21.02 juta) di sini setelah tiga tahun menjadi bilionair termuda di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah barunya yang mempunyai lima bilik itu terletak di kawasan kejiranan Crescent Park dan hanya 10 minit perjalanan ke pejabat barunya di Menlo Park.
Dengan kekayaan yang dianggarkan sebanyak AS$13.5 bilion (RM40.54 bilion), dia sebelum ini hanya menyewa sebuah rumah dua tingkat di kawasan Palo Alto, California.
Dia tinggal di rumah tersebut bersama kekasihnya, Priscilla Chan dan mereka dijangka bertunang dalam tempoh terdekat. - Agensi, kosmo

Monday, April 4, 2011

Facebook disaman lebih RM3 bilion

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan laman web berkenaan disaman lebih AS$1 billion (RM 3.3 bilion) kerana menyiarkan artikel anti-Yahudi, lapor sebuah akhbar semalam.
Saman terbabit difailkan oleh peguam yang juga seorang aktivis, Larry Klayman di sebuah mahkamah tinggi di sini pada Khamis lalu.
Dalam samannya, Klayman menuduh Facebook lewat menarik semula satu muka suratnya yang bertajuk 'Intifada Palestin Ketiga' bagi menentang Israel.
Menurutnya, Facebook sengaja membiarkan halaman tersebut kerana faktor komersial.
Halaman Facebook itu yang mengajak orang ramai bangkit menentang Israel, menyaksikan lebih 300,000 pengguna mengklik tanda 'suka' terhadap cadangan tersebut.
Intifada atau kebangkitan menentang Yahudi tersebut dirancang diadakan pada 15 Mei depan.
Muka surat itu cuma dipadam oleh Facebook pada 29 Mac lalu, beberapa hari selepas beberapa orang membuat aduan termasuk Menteri Diplomatik Awam Israel, Yuli Edelstein dan sebuah pertubuhan pro-Israel, Liga Anti-Defamasi.
Mengulas mengenai kes tersebut, seorang jurucakap Facebook berkata, dakwaan Klayman sama sekali tidak berasas.
"Kami akan menentang habis-habisan untuk membuktikan kami tidak bersalah," katanya.
Menurutnya, muka surat itu dikekalkan kerana ia bermula sebagai gesaan ke arah bantahan aman sebelum komen-komen di muka surat itu bertukar menjadi lebih ganas.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Saturday, March 5, 2011

Pengasas Facebook berhutang RM1.5 bilion




CAMERON (kiri) dan Tyler Winklevoss.


LONDON - Sepasang kembar lelaki, Cameron dan Tyler Winklevoss dari Amerika Syarikat (AS), mendakwa pengasas laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg berhutang dengan mereka sebanyak £310 juta (RM1.5 bilion).
Dalam wawancara dengan sebuah akhbar Britain yang disiarkan kelmarin, pasangan kembar tersebut menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana mereka yang bersusah payah mencipta laman web jaringan sosial tetapi Zuckerberg, 26, dan Facebook pula yang mendapat nama.
"Kami tidak bencikan Mark Zuckerberg. Kami cuma kasihankan dia kerana kami berpendapat dia tidak dapat membezakan perbuatan yang bermoral dan yang tidak bermoral," kata Cameron.
Dia membuat komen tersebut ketika ditanya tentang keputusan mereka untuk sekali lagi menyaman Zuckerberg di mahkamah AS bagi menuntut ganti rugi £310 juta kerana mendakwa pemuda itu mencuri idea mereka untuk mencipta Facebook.
Sebelum ini, pada tahun 2008, pasangan kembar itu bersetuju untuk menyelesaikan persengketaan mereka di luar mahkamah dengan Zuckerberg bersetuju membayar mereka £12.4 juta (RM61 juta) dalam bentuk wang tunai dan £28 juta (RM138 juta) lagi dalam bentuk saham Facebook.
Namun, lebih dua tahun kemudian, pasangan kembar berusia 29 tahun itu merasakan penyelesaian tersebut tidak adil buat mereka.
Mereka berkenalan dengan Zuckerberg di sebuah pub lapan tahun lalu ketika ketiga-tiganya masih menuntut di Universiti Harvard di AS.
Pasangan tersebut mendedahkan konsep laman web sosial milik mereka itu kepada Zuckerberg yang kemudian mengembangkan idea tersebut untuk menghasilkan Facebook.
Facebook yang dilancarkan pada 2004 kini bernilai £31 bilion (RM152 bilion) sekali gus membolehkan Zuckerberg mendapat gelaran antara bilionair termuda di dunia. - AgensiKosmo! Online - Dunia

Monday, February 14, 2011

Pengasas Facebook makan bersila




MARK ZUCKERBERG makan bersila dekat pintu sebuah kedai di Palo Alto, California baru-baru ini.


PALO ALTO, California – Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg makan bersila dekat pintu sebuah kedai di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Zuckerberg yang berusia 26 tahun dan bilionair termuda dunia dengan anggaran kekayaan AS$16 bilion (RM48.81 bilion) memakai baju T, kasut sukan dan seluar jean Levi’s semasa dia makan makanan Mexico yang dibeli dari sebuah gerai di tepi jalan baru-baru ini.
Seorang pejalan kaki berkata, pengasas Facebook itu tidak dikawal oleh seorang pengawal keselamatan.
“Dia (Zuckerberg) berjalan di gerai itu, menunggu dalam barisan seperti orang lain dan membeli ayam, nasi dan kerepek tortilla dengan harga AS$4 (RM12.20) untuk makan dengan seorang rakan di satu laluan ke sebuah kedai,” katanya.
Pengasas Facebook itu kelihatan seperti seorang pelajar yang tidak berduit semasa dia berdiri dan makan bersila.
Zuckerberg menyewa sebuah rumah yang mempunyai tiga buah bilik di sini dekat dengan pejabatnya.
Dia tinggal bersama kekasihnya, Priscilla Chan, 26, yang merupakan pelajar jurusan perubatan.
Zuckerberg turut memandu sebuah kereta Honda berusia lima tahun walaupun dia merupakan antara orang yang paling kaya di dunia.
Dia mencipta Facebook di dalam bilik asramanya di Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 2004.
Namun, Zuckerberg tidak menamatkan pengajiannya di universiti tersebut dengan alasan untuk menumpukan perhatian ke atas Facebook.
Pengasas Facebook itu menjadi bilionair termuda semasa dia berumur 23 tahun. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia