KETIKA dunia memberi tumpuan kepada krisis politik di Ukraine, pergolakan di Syria masih berlarutan tanpa penyelesaian.

Penderitaan 23 juta penduduk negara itu akibat perang saudara sejak tiga tahun lalu menjadikan ia sebagai konflik sivil paling kejam dan paling berpanjangan sejak Perang Dunia Kedua.

Pada ulang tahun ketiga revolusi menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, lebih 140,000 dilaporkan terkorban manakala kira-kira 2.5 juta penduduk lagi terpaksa menjadi pelarian.

Kebangkitan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan bermula pada 15 Mac 2011 di bandar selatan Daraa selepas revolusi di Tunisia merebak ke beberapa negara rantau Arab.

Pada awalnya, protes tersebut diadakan secara aman tetapi ia bertukar ganas selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan hingga mencetuskan pertempuran berdarah di negara terbabit.

Menjelang Julai pada tahun sama, konflik tersebut bertukar menjadi pemberontakan bersenjata lebih dahsyat dan akhirnya menyebabkan negara itu terjerumus ke kancah perang saudara hingga kini.

1,095 hari telah berlalu, pergolakan di Syria didakwa semakin buruk akibat campur tangan dan kemasukan lebih 7,000 militan asing disokong kuasa Barat yang kononnya mahu membantu puak penentang utama, Tentera Pembebasan Syria (FSA) menggulingkan Bashar.

Sampai bila kemelut ini akan berterusan?

2011

Keganasan tercetus pada pertengahan Mac selepas sekumpulan remaja dan kanak-kanak menghasilkan grafiti berbaur politik ditahan pihak berkuasa. Puluhan orang dilaporkan terkorban selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ke atas kumpulan penunjuk perasaan.

Menjelang April, puluhan ribu penduduk Syria menyertai Hari Kemarahan yang diadakan di seluruh negara untuk menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Bashar.

Sebagai respons terhadap bantahan berterusan, kerajaan Syria mengumumkan beberapa pelan untuk memuaskan hati rakyat termasuk rancangan mengkaji semula undang-undang darurat.

Bagaimanapun, menerusi ucapan Bashar yang disiarkan selama 45 minit menerusi stesen televisyen tempatan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan tidak dapat memenuhi sebarang tuntutan rakyat selain tidak menawarkan sebarang perubahan konkrit.

Pada 21 April, Bashar menarik semula perintah darurat yang dikuatkuasakan selama 48 tahun di negara itu selain mengeluarkan dekri mengawal selia hak bantahan secara aman sebagai satu daripada hak asasi manusia dijamin Perlembagaan.

Tidak lama selepas itu, bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan talian telefon dipotong oleh kerajaan.

Konflik semakin meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Bashar dan enam pegawai kanan kerajaan pada 18 Mei.

Kira-kira tiga bulan selepas itu, Syria dikenakan sekatan ekonomi dan aset kerajaan turut dibekukan serta larangan mengimport minyak dari negara itu dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah (EU) selepas Bashar dituduh melancarkan kempen keganasan ke atas rakyatnya.

Pada 2 Oktober, pembangkang menubuhkan Majlis Kebangsaan Syria (SNC) yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Bashar dan mewujudkan sistem demokrasi.

Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka menyekat resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi mengenakan sekatan ke atas Rusia hingga mencetuskan kritikan beberapa pihak.

Pada 16 November, Liga Arab memutuskan untuk menggantung keanggotaan Syria selepas digesa banyak pihak.

Syria akhirnya menandatangani kertas cadangan Liga Arab pada pertengahan Disember yang bertujuan menamatkan pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan selepas 19 negara anggota mengundi untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Damsyik.

2012

Pada 28 Januari, Liga Arab terpaksa menangguhkan misi mereka selepas keganasan semakin meningkat di Syria.

Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB juga berakhir tanpa sebarang kata putus terhadap draf resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Bashar supaya berundur.

Konflik yang semakin meruncing memaksa AS menutup kedutaan mereka di Damsyik dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) juga bertindak memanggil pulang duta mereka serta mengusir diplomat Syria pada 7 Februari.

Pada 16 Februari, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi tidak terikat yang bersetuju dengan rancangan Liga Arab untuk menggesa Bashar meletak jawatan selepas memperoleh 137 undi negara anggota.

Sekitar pertengahan Mac, Utusan Khas PBB ke Syria, Kofi Annan bertemu pegawai kerajaan dan wakil pembangkang di Turki untuk membincangkan pelaksanaan gencatan senjata, pembebasan tahanan serta membenarkan bantuan dihantar kepada penduduk.

Setahun selepas konflik tersebut tercetus, lebih 8,000 dilaporkan maut akibat insiden pembunuhan beramai-ramai di negara terbabit, namun kumpulan aktivis mendakwa angka sebenar mungkin mencecah lebih 10,000 orang awam.

Pada 1 April, SNC secara rasmi diiktiraf sebagai wakil sah penduduk Syria selepas kerajaan bersetuju dengan pelan keamanan Annan.

Menjelang pertengahan tahun, majlis Keselamatan PBB telah menghantar kira-kira 300 anggota pemerhati untuk menyertai misi keamanan selama 90 hari di Syria.

Untuk pertama kali, kerajaan dan pembangkang Syria sebulat suara bersetuju dengan prasyarat perjanjian yang dimeterai dalam rundingan damai pusingan pertama di Geneva.

Sekitar Jun, masyarakat antarabangsa dikejutkan lagi dengan insiden pembunuhan beramai-ramai yang didalangi militia Bashar (shabiha) di sebuah perkampungan di Houla dan tengah Hama.

Ratusan penduduk termasuk puluhan kanak-kanak dilaporkan dibunuh kejam dalam tempoh 14 hari di negara tersebut.

Tidak lama selepas itu, beberapa menteri dilaporkan berpaling tadah dan meletak jawatan termasuk bekas Perdana Menteri Riyad al-Hijab yang digantikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Wael al-Halki.

Pada awal September, Lakhdar Brahimi dilantik sebagai wakil misi keamanan PBB yang baharu di Syria selepas Annan berundur berikutan pelan damainya gagal dilaksanakan.

Pakatan pembangkang akhirnya bersetuju untuk bersatu sebagai Gabungan Kebangsaan Syria dan Sheikh Ahmed Moaz al-Khatib dilantik sebagai pemimpin pakatan tersebut pada 11 November.

2013

Pada 12 Februari, Majlis Keselamatan PBB menganggarkan jumlah mangsa yang terbunuh dalam tempoh 24 bulan di negara itu mencecah 70,000 orang.

Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan lebih 1.5 juta penduduk Syria menjadi pelarian.

Pada 27 Mei, EU memutuskan untuk menamatkan embargo senjata ke atas FSA dan pada hari sama Senator AS, John McCain dilaporkan bertemu dengan kumpulan bersenjata
tersebut.

PBB dan AS menggesa satu siasatan segera dilakukan selepas kumpulan aktivis mendakwa kerajaan menggunakan senjata kimia di kawasan luar Damsyik hingga meragut 1,300 nyawa termasuk kanak-kanak pada 21 Ogos.

Susulan daripada insiden menggemparkan itu, badan amal Doctors Without Borders mendakwa 3,000 pesakit mengalami gejala keracunan neurotoksik dan 355 daripadanya dilaporkan meninggal dunia di tiga hospital.

Pada 26 Ogos, pemeriksa PBB tiba di lokasi serangan senjata kimia di Moadamiyet al-Sham berhampiran Damsyik.

Campur tangan asing cuba untuk meningkatkan lagi ketegangan di Syria selepas Presiden AS Barack Obama mengarahkan tentera ‘bersiapsedia’ untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Selepas menerima ancaman ketenteraan AS, Damsyik akhirnya bersetuju dengan cadangan Rusia untuk melepaskan kawalan senjata kimia mereka.

Pada 14 September, AS dan Rusia bersetuju untuk menghapuskan senjata kimia milik Syria selepas laporan PBB menunjukkan gas sarin digunakan dalam serangan yang mengorbankan ribuan penduduk.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi 2118 yang menghendaki Syria melupuskan seluruh bekalan senjata kimia mereka yang turut dipersetujui oleh Bashar.

Sekitar Oktober, Syria mula menghapuskan program senjata kimia mereka dan perkara itu disahkan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW).

Ketika itu, PBB turut mendedahkan bukti yang menunjukkan kerajaan Syria melakukan jenayah perang.

Menjelang akhir tahun, kerajaan Syria didakwa melanggar tarikh akhir untuk menjayakan pelan penghantaran keluar bagi melupuskan lebih 1,000 tan senjata kimia di laut.