Pages

Showing posts with label lanun. Show all posts
Showing posts with label lanun. Show all posts

Thursday, April 14, 2011

Bayar tebusan RM10j



HUTAN MELINTANG: Nelayan dan pemilik bot pukat tunda tempatan mendakwa hampir muflis akibat terpaksa membayar wang tebusan hampir RM10 juta kepada lanun atau pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskan anak kapal atau bot mereka yang dirampas sebelum ditawan di negara jiran.
Difahamkan, kegiatan lanun dan pihak berkuasa negara jiran yang sengaja menceroboh perairan Malaysia sebelum merampas bot pukat tunda nelayan tempatan bukan perkara baru berikutan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.


Perkara itu didedahkan Setiausaha Kerja Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Keh Jeh Hai, yang mendakwa pemilik bot pukat tunda di Hutan Melintang, di sini, kerugian besar akibat kegiatan pemerasan berlanjutan sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, masalah bot nelayan Hutan Melintang diganggu lanun dan pihak berkuasa negara jiran itu banyak terjadi dan hampir setiap bulan menimpa nelayan tempatan.


“Setiap bot pukat tunda dirampas bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta bergantung kepada jenis peralatan penangkapan ikan dan peralatan komunikasi canggih digunakan.


“Biasanya, pemilik bot pukat tunda yang menjadi mangsa perlu membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi membebaskan anak kapal dan bot pukat tunda dirampas,” katanya.


Menurutnya, aktiviti jenayah itu menyebabkan pemilik bot nelayan tempatan hampir gulung tikar akibat kerugian besar selain takut turun ke laut.


Beliau berkata, kawasan nelayan di Hutan Melintang di sini, mempunyai kira-kira 500 bot pukat tunda dengan jumlah 4,000 nelayan.


“Kawasan ini pusat pendaratan ikan basah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan mencatat purata 28 peratus keseluruhan hasil tangkapan ikan negara setahun .
“Kami berharap Kementerian Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan lebih kerap di perairan negara terutama membabitkan kawasan sempadan perairan antarabangsa,” katanya.


Menurutnya, langkah berkenaan diharap dapat menghalang kegiatan terbabit yang jelas mengganggu kegiatan dan pendapatan nelayan tempatan.


“Bagaimanapun kami berterima kasih terhadap campur tangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha menyelesaikan kes penahanan lapan bot nelayan Hutan Melintang oleh pihak berkuasa lndonesia, baru-baru ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Chia Soon Fook, berkata, pihaknya mendapat laporan dua bot pukat tunda dirampas dan ditarik ke perairan Indonesia semasa nelayan terbabit menangkap ikan di perairan negara ini kira-kira 45 batu nautika dari perairan antarabangsa 4 April lalu.


“Kes berkenaan kejadian terbaru selepas enam bot pukat tunda nelayan Hutan Melintang turut menerima nasib sama ketika sedang menangkap ikan di perairan tempatan beberapa bulan lalu,” katanya.

Tuesday, February 1, 2011

Lanun Somalia tumpas



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/01/30


  • Foto
    Seorang anggota keselamatan memerhati kapal dagang dari helikopter.
  • Foto
    PASKAL mengawasi lanun yang ditawan
  • Foto
    Antara senjata yang dirampas.
  • Foto
    Komando Perancis menahan sembilan lanun di Teluk Aden.
  • Foto
    Lanun merampas kapal kargo milik Ukraine, Mr Falina pada Februari 2009.
Tindakan pantas PASKAL ranapkan serangan pengganas Teluk Aden

BAGAIKAN filem penuh aksi, tindakan ganas lanun Somalia yang digeruni pelayar di Teluk Aden selama ini kerana keberanian hingga sanggup membunuh jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, akhirnya tumpas di tangan rakyat Malaysia.
Ini berikutan tindakan pantas Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal, tidak sampai dua jam selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Oman, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 11.40 malam (waktu tempatan) itu, MT Bunga Laurel disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan mesingan AK-47 dan pistol menaiki sebuah bot laju.

Dengan itu, Somalia kembali mendominasi berita utama media antarabangsa dan seperti sebelumnya, ia tetap pada faktor yang salah. Namun, kejayaan Malaysia memintas kegiatan lanun Somalia itu tidak menjamin insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.

Namun, imej lanun Somalia yang dikatakan memperoleh pendapatan beratus-ratus juta setahun hasil wang tebusan yang dibayar pemilik kapal, terjejas teruk kerana kini mereka terpaksa tunduk kepada ketangkasan dan kecekapan anggota PASKAL yang tiba tepat pada masa untuk menyelamat kapal MT Bunga Laurel.

Komando tentera laut di atas kapal Bunga Mas 5, yang diketuai Komander Nazri Sharif, turut berjaya memberkas tujuh lanun yang terbabit dalam serangan itu. 
Kecekapan komando itu berjaya mengelak MISC daripada kehilangan kargo berkenaan yang dianggarkan bernilai RM30 juta dan menyelamatkan 23 krew warga Filipina.

Menelusuri susur galur kewujudan lanun di perairan itu memberikan kisah kebanyakan mereka adalah pejuang kepada banyak kumpulan yang saling bertelagah untuk menguasai negara itu sejak kejatuhan kerajaan Siad Barre pada 1991.

“Matlamat mereka mudah - meneruskan kelangsungan hidup,” kata pakar Somalia di Universiti Afrika Selatan di Pretoria, Iqbal Jhazbhay.Foto
Antara senjata yang dirampas.

“Berdasarkan bukti sedia ada, mereka adalah pejuang yang melihat peluang menjadi pemangsa. Mereka melakukan ‘sekatan untuk mengutip cukai’ dan kini mendapati kesempatan itu terbuka di samudera luas.
Foto
Komando Perancis menahan sembilan lanun di Teluk Aden.
“Pada awalnya, antara matlamat utama mengganas di laut itu ialah bekerjasama dengan nelayan dan kemudian, membeli bot dan senjata dengan keuntungan yang diperoleh daripada setiap kapal yang ditawan, adalah semata-mata meneruskan kehidupan,” katanya sambil menambah kegiatan mereka semakin kerap kerana peningkatan harga makanan.Foto
Lanun merampas kapal kargo milik Ukraine, Mr Falina pada Februari 2009.

Bagaimanapun, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa sumber baru menyebut kegiatan lanun di Somalia berpunca daripada penangkapan ikan secara haram dan pembuangan sisa toksik di perairan negara itu oleh kapal asing yang melaluinya.
Foto
Seorang anggota keselamatan memerhati kapal dagang dari helikopter.
Ia membantutkan kemampuan penduduk tempatan mencari nafkah dan memaksa mereka menjadi lanun. Malah satu laporan menyatakan 70 peratus komuniti yang hidup di persisiran pantai menyokong kegiatan lanun sebagai bentuk pertahanan kepada sempadan perairan negara itu. Lanun percaya mereka melindungi kawasan penangkapan ikan dan menegakkan keadilan serta mendapatkan pampasan daripada hasil marin yang dirampas.

Malah ada juga bukti bahawa golongan pemastautin Somalia di Kenya, Arab Saudi dan sepanjang Teluk Parsi mungkin memberi maklumat kepada lanun mengenai kapal yang berlabuh di rantau itu yang mungkin menuju ke Teluk Aden dan kawasan yang menjadi sarang lanun.

Melihat kepada bentuk fizikal, pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana lanun Somalia ini begitu cekap merampas kapal yang melalui kawasan mereka?
Jawapannya mudah - berlatih dan terus berlatih, menurut penganalisis kanan di Institut Kajian Keselamatan di Pretoria, Richard Cornwell.

Lebih 90 kapal diserang di luar perairan Somalia tahun lalu dan 17 daripadanya masih kekal dalam tawanan. Salah satu daripadanya ialah kapal tangki milik Arab Saudi.

“Serangan itu dilakukan 400 batu nautika di laut. Ia jauh ke tengah daripada yang kita lihat sebelum ini. Menggunakan kapal induk, selalunya bot tunda usang buatan Russia, untuk berlayar ke laut dalam bagi mencari sasaran, kemudian menggunakan bot lebih kecil untuk berlayar dengan lebih rapat dan mengambil alih kapal, memanjat menggunakan tali dan tangga, serta mesingan.

“Mudah untuk memasuki kapal tangki daripada bot lebih kecil. Oleh itu, kapal tangki kerap menjadi sasaran,” katanya.

Kegiatan lanun Somalia turut dirasai di peringkat antarabangsa dan pelbagai cara dibuat untuk mengatasi masalah itu termasuk menyediakan kapal pengiring. Baru-baru ini, sekutu NATO, Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, dan beberapa negara lain menghantar kapal meronda perairan Somalia dan Teluk Aden di kawasan seluas 1.1 juta kilometer persegi untuk mengelakkan kegiatan lanun.

Pada 18 November lalu, sebuah kapal perang India menenggelamkan kapal induk lanun di perairan Yaman selepas lanun menembak ke arah mereka.

Bagaimanapun, berdasarkan saiz dan jumlah aliran kapal yang melalui Somalia dari Terusan Suez, peronda tentera laut saja tidak menjamin keselamatan kapal.
“Kecuali ada kapal perang di kawasan itu, dan paling penting, helikopter, tiada peluang menghentikan kegiatan lanun,” kata Cornwell. 

Saturday, January 22, 2011

Komando serbu kapal ditawan




ANGGOTA-ANGGOTA komando Korea Selatan melakukan persediaan menyerang lanun-lanun di atas sebuah kapal kontena di Lautan Hindi semalam.


SEOUL - Pasukan komando tentera laut Korea Selatan, SEAL menyerbu sebuah kapal milik negara itu yang dirampas oleh lanun Somalia di Lautan Hindi dan menyelamatkan semua 21 orang anak kapal, membunuh lapan orang lanun serta menangkap lima lanun yang lain.
"Operasi ini membuktikan kesungguhan bahawa pemerintah tidak akan bertolak-ansur dengan aktiviti-aktiviti lanun," jelas Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan, Leftenan Jeneral Lee Sung-Ho.
Seorang kakitangan kapal pengangkut bahan kimia warga Korea Selatan terkena tembakan di bahagian perut, namun keadaannya tidak membimbangkan.
Tiada komando yang cedera dalam operasi tersebut.
Operasi yang berlaku pada jarak sejauh 1,300 kilometer dari utara Somalia dilihat sebagai pemberi semangat kepada tentera Korea Selatan.
BEBERAPA anggota komando Korea Selatan merampas bot yang digunakan lanun Somalia.


Tentera itu sebelum ini dikritik hebat kerana dikatakan lambat bertindak atas serangan Korea Utara pada November lalu.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak menyatakan pasukan komando telah menjalankan tugas yang sempurna walaupun berdepan kesukaran.
Kumpulan lanun tersebut telah merampas kapal seberat 11,500 tan pada 15 Januari lalu di Laut Arab.
Kapal itu dalam pelayaran ke Sri Lanka dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kapal itu membawa 21 orang anak kapal terdiri daripada lapan orang warga Korea Selatan, dua rakyat Indonesia dan 11 dari Myanmar.
Pemerintah Korea mengarahkan sebuah kapal pemusnah untuk mengejar kapal yang dirampas lanun itu sebelum ini. - AFP

Rampas semula kapal MT Bunga Laurel





KOMANDO TLDM (Paskal) mengawasi tujuh lanun Somalia yang ditahan selepas menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel daripada tawanan kumpulan lanun itu di perairan Teluk Aden, timur Oman, kelmarin.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman, semalam.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam tadi, kapal dagang yang disewa MISC Berhad itu telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan senapang jenis AK-47 dan pistol.
Kumpulan lanun itu menaiki sampan yang diturunkan dari sebuah kapal induk membawa seramai 18 lanun untuk menyerang kapal dagang berkenaan yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia jenis ‘ethylene dichloride’ dari Asia Barat ke Singapura.
Seramai 23 krew kapal MT Bunga Laurel berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam misi menyelamat yang dilancarkan Pasukan Perlindungan Khas ATM itu.
Dalam kejadian itu juga, kesemua tujuh lanun berkenaan berjaya ditahan manakala tiga daripadanya cedera ketika berbalas tembakan dengan tentera ATM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan di sini hari ini, rampasan itu berlaku selepas dua jam kapal MT Bunga Laurel dipisahkan di perairan selamat setelah diiringi Bunga Mas 5.
“Krew kapal MT Bunga Laurel sempat mengaktifkan sistem penggera keselamatan kapal sebelum bersembunyi di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.
“Bertindak daripada panggilan kecemasan itu, kapal Bunga Mas 5 yang berada 14 batu nautika (25.9 kilometer) dari MT Bunga Laurel bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu,” katanya.
Dalam operasi tersebut, sebuah helikopter jenis Fennec TLDM yang dilancarkan kapal bantuan Bunga Mas 5 melepaskan tembakan dari udara.
Menurut kenyataan itu lagi, tembakan tepat ke arah kapal induk lanun itu berjaya menghalangnya daripada memberi bantuan kepada kumpulan lanun yang berada atas kapal MT Bunga Laurel.
“Pasukan Perlindungan Khas ATM kemudian melancarkan operasi menggempur lanun itu pada pukul 1.20 pagi dan selepas berbalas tembakan, kesemua lanun itu berjaya ditahan manakala anak kapal itu diselamatkan,” jelas kenyataan itu.
Operasi Fajar yang bermula Julai tahun lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC 2008, memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, ATM dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.
Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.
Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan, sebanyak 32 buah kapal dagang masih ditawan lanun di perairan Teluk Aden walaupun pelbagai usaha di peringkat antarabangsa dilakukan untuk menangani kegiatan lanun di perairan Teluk Aden itu.
Sementara itu, jurucakap TLDM ketika dihubungi memberitahu, semua 32 kapal yang ditawan lanun itu tidak melibatkan kapal dagang dari Malaysia.
Jurucakap itu berkata, kesemua 23 anak kapal Bunga Laurel termasuk beberapa warga Filipina yang diselamatkan tidak mengalami kecederaan dan akan dibawa pulang tidak lama lagi.
-utusan