Pages

Tuesday, April 17, 2012

Kunyit cegah sakit jantung

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


CHIANG MAI 16 April - Bahan antioksidan dan antikeradangan yang terkandung dalam kunyit dipercayai mampu mencegah serangan jantung di kalangan individu yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung, menurut satu kajian terkini.
Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Kardiologi Amerika itu mendapati, ketika pembedahan pintasan dilakukan, otot jantung boleh rosak akibat kekurangan aliran darah untuk tempoh yang panjang.
Namun, penyelidikan yang diketuai Wanwarang Wongcharoen dari Universiti Chiang Mai di sini mendapati, pigmen kuning atau curcumin yang terkandung dalam kunyit berupaya mengurangkan risiko berlakunya keadaan itu.
Kajian tersebut dijalankan di kalangan 121 pesakit yang menjalani pembedahan pintasan jantung bukan kecemasan antara 2009 dan 2011.
Separuh daripada pesakit diberi satu gram kapsul curcumin empat kali sehari, bermula tiga hari sebelum menjalani pembedahan dan berterusan untuk lima hari berikutnya, manakala separuh lagi tidak diberi herba tersebut.
Penyelidik mendapati, selepas pembedahan tersebut, hanya 13 peratus pesakit yang mengambil curcumin diserang sakit jantung, berbanding dengan 30 peratus pesakit yang tidak mengambil bahan tersebut.
Daripada keputusan itu, Wongcharoen dan pasukannya membuat kesimpulan bahawa pesakit yang mengambil curcumin mempunyai 65 peratus risiko kurang diserang sakit jantung.
"Bahan antioksidan dan antikeradangan yang terdapat pada curcumin dipercayai membantu mengurangkan kerosakan jantung pesakit," katanya.
Namun, menurutnya, kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan satu kajian kecil dan penyelidikan mendalam perlu dilakukan bagi membuktikannya. - REUTERS

'via Blog this'

Ganjaran 10 juta pound tangkap Obama

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:




LONDON 16 April - Parti Buruh Britain semalam menggantung seorang anggota Parlimennya, Lord Nazir Ahmed (gambar) selepas beliau dilapor menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta pound (RM49 juta) bagi menangkap Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.
Ahmed yang menganggotai dewan tertinggi Parlimen, House of Lords turut menawarkan ganjaran sama untuk menangkap bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai membalas ganjaran yang ditawarkan oleh AS bagi menangkap suspek militan, Hafiz Muhammad Saeed, lapor akhbar Pakistan, Express Tribune.
Hafiz Saeed yang menubuhkan pertubuhan militan Pakistan, Lashkar-e-Taiba dikehendaki berhubung serangan pengganas yang membunuh 166 orang di Mumbai pada 2008.
"Kami telah menggantung Lord Ahmed sementara siasatan dijalankan, dan jika kenyataannya benar seperti dilaporkan, kami mengutuknya sama sekali dan menganggapnya sebagai sangat tidak wajar.
"Masyarakat antarabangsa sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari keadilan bagi mangsa serangan bom di Mumbai dan membanteras keganasan," kata seorang jurucakap Parti Buruh, semalam.
Ahmed dipercayai membuat tawaran itu semasa berucap di Haripur, Pakistan pada Jumaat lalu.
Beliau yang dilantik ke House of Lords pada 1998, menyifatkan ganjaran AS itu sebagai 'penghinaan kepada semua umat Islam', menurut laporan media Pakistan.
"Jika AS boleh menawarkan hadiah sebanyak AS$10 juta (RM31 juta) bagi menangkap Hafiz Saeed, saya juga boleh mengumumkan ganjaran sebanyak 10 juta pound untuk menangkap Presiden Obama dan George Bush," menurut laporan itu, yang memetik kenyataan Ahmed.
Ahmed menafikan membuat kenyataan itu tetapi beliau membidas Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair berhubung perang di Iraq dan Afghanistan.
"Saya tidak menawarkan ganjaran tetapi saya berkata, jenayah perang telah dilakukan di Iraq dan Afghanistan dan tuduhan-tuduhan berat ditujukan terhadap Bush dan Blair yang terlibat dalam perang 'haram' dan patut dibawa ke muka pengadilan," katanya dari Pakistan. - AFP

'via Blog this'

Syria terus bedil kubu pemberontak

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pelarian Syria dan penduduk tempatan mengusung jenazah pelarian Syria, Fayyad, 25, dan Mohammad, 22, untuk dikebumikan di bandar Al Ramtha, Jordan dekat sempadan Syria, kelmarin. Kedua-dua lelaki itu dibawa ke bandar itu dari bandar Homs dan Deraa di Syria bagi mendapatkan rawatan di Jordan minggu lalu selepas mengalami kecederaan akibat ditembak oleh tentera Syria. - REUTERS


DAMSYIK 16 April - Tentera Syria terus bertempur dengan pemberontak dan membedil kubu kuat mereka hari ini, hanya beberapa jam selepas pasukan pertama tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di sini untuk memantau gencatan senjata bagi menghentikan pertumpahan darah sejak setahun lalu.
Askar Presiden Bashar al-Assad membunuh dua penduduk awam di bandar Huma, tengah Syria, dan bertempur dengan pemberontak di Idlib di barat laut, sambil membedil bandar Homs, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Sejak gencatan senjata yang disokong PBB mula berkuat kuasa pada subuh Khamis lalu, sekurang-kurangnya 41 orang, kebanyakan mereka penduduk awam, terbunuh dalam keganasan yang mendorong Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menggesa Syria memastikan gencatan senjata itu tidak gagal.
Satu pasukan awal enam pemerhati antarabangsa tiba di Damsyik malam tadi, diketuai pegawai tentera dari Maghribi, Kolonel Ahmed Himmiche, umum PBB.
Delegasi itu, kumpulan pertama daripada 30 pemantau yang misinya diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB kelmarin, akan mendirikan ibu pejabat dan menyediakan rutin tugas supaya misi mereka dapat mengesahkan sama ada gencatan bersenjata bertahan atau tidak.
"Mereka sudah tiba dan akan memulakan tugas pada pagi Isnin (pagi ini), manakala pemantau lain dijangka tiba di Syria dalam beberapa hari lagi," kata jurucakap Jabatan Operasi Pengaman PBB, Kieran Dwyer.
Misi mereka adalah sebahagian daripada pelan damai enam perkara yang dipersetujui oleh Assad dengan Duta khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan. - AFP

'via Blog this'

Serangan Taliban dipatahkan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Beberapa orang anggota polis Afghanistan berkawal dekat sebuah kenderaan yang ranap selepas digunakan dalam serangan berani mati di hadapan sederet bangunan yang menjadi sasaran serangan militan Taliban di Kabul, semalam. - AFP


KABUL 16 April - Serangan nekad yang dilancarkan oleh militan Taliban di beberapa bandar di Afghanistan semalam, berakhir awal hari ini dengan 36 militan, lapan anggota keselamatan Afghan dan tiga orang awam terbunuh.
Serangan ke atas bangunan-bangunan kerajaan serta kedudukan tentera dan kedutaan asing di ibu negara ini dan tiga wilayah berdekatan, berakhir selepas pertempuran selama 17 jam apabila pasukan keselamatan Afghan menggempur kubu terakhir penyerang di Kabul.
Kira-kira 40 anggota pasukan keselamatan Afghan dan 25 penduduk awam turut cedera dalam keganasan itu, manakala seorang militan ditawan di Jalalabad, kata Menteri Dalam Negeri, Bismillah Mohammadi.
"Beberapa pemberontak di Kabul memakai burqa dan membawa bunga sebelum melepaskan tembakan, tetapi sekali lagi, seperti pada masa lalu, kesemua pemberontak dibunuh oleh pasukan keselamatan Afghan," katanya.
Dalam laporan berasingan, Jabatan Polis Kabul berkata, seorang lelaki disyaki pengebom berani mati ditangkap hari ini di kawasan Pul-i-Charkhi yang menempatkan beberapa kemudahan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul.
Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan-serangan itu sebagai menandakan permulaan 'kempen serangan musim bunga' pemberontak itu.
Ketua Polis Kabul, Mohammad Ayoub Salangi berkata, kira-kira 40 penduduk awam yang dijadikan tebusan di dalam sebuah bangunan dekat Parlimen semalam turut dibebaskan malam tadi.
Tindakan Taliban menggempur Kabul merupakan serangan bersepadu terbesar dilancarkan di ibu negara ini dalam tempoh perang selama 10 tahun selepas rejim itu digulingkan dalam serangan AS pada akhir 2001.
Serangan itu meningkatkan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang goyah di Afghanistan ketika NATO bersiap sedia untuk mengundurkan 130,000 askarnya menjelang akhir 2014 dan menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan negara ini kepada pasukan bersenjata Afghan.
NATO, bagaimanapun memuji ketangkasan pasukan keselamatan Afghan menangkis serangan itu di Kabul. - AFP

'via Blog this'

Obama arah siasatan rapi

myMetro | Obama arah siasatan rapi:

CARTAGENA: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam mahukan siasatan rapi dilakukan berhubung skandal seks membabitkan ejen Perkhidmatan Perisikan negara itu.
Pemimpin itu juga berkata, beliau ‘marah’ sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

Kejadian itu menyaksikan 11 ejen perkhidmatan berkenaan dan lima anggota tentera dihantar pulang daripada bertugas di Colombia sempena Sidang Kemuncak Amerika.
Perkhidmatan Perisikan Amerika Syarikat mula melakukan siasatan terhadap dakwaan ejennya membawa pulang pelacur ke bilik hotel mereka di Cartagena Rabu lalu.

Pertengkaran dikatakan meletus dengan seorang wanita terbabit berhubung bayaran.

“Saya berharap siasatan itu dilakukan secara menyeluruh dan rapi,” kata Obama pada sidang akhbar bersama Presiden Colombia, Juan Manuel Santos pada akhir sidang itu, semalam.
“Jika dakwaan itu benar seperti yang dilapor dalam akhbar, sudah tentu saya akan marah,” katanya.

Pihak tentera melakukan siasatan berasingan terhadap anggotanya yang didakwa terbabit.
Obama yang berdepan dengan pilihan raya pada November depan menegaskan, semua anggota yang menyertai rombongannya sepatutnya berkelakuan baik kerana mereka mewakili Amerika Syarikat.

“Kita mewakili rakyat Amerika Syarikat. Dan itu bermakna kita seharusnya mempunyai sikap bermaruah dan jujur. “Apa yang dilaporkan tidak mencerminkan standard itu,” kata pemimpin Amerika Syarikat itu. - AFP

'via Blog this'

Rangkaian Haqqani dalang serangan di Afghanistan

myMetro | Rangkaian Haqqani dalang serangan di Afghanistan:

KABUL: Seorang anggota militan yang ditangkap dalam serangan di bandar raya ini dan tiga bandar lain mengaku serangan selama 18 jam itu dilakukan oleh rangkaian Haqqani yang ada kaitan dengan Taliban dan al-Qaeda.
Tiga puluh enam penyerang terbunuh dalam serangan berani itu. Ia turut meragut nyawa lapan anggota polis dan tiga orang awam.

Serangan itu menunjukkan kumpulan militan masih berupaya menembusi agensi keselamatan Afghanistan walaupun selepas 10 tahun berperang, kata Menteri Dalam Negeri, Besmillah Mohammadi.
Serangan kelmarin adalah yang paling besar di Kabul sejak serangan terhadap kedutaan Amerika Syarikat dan ibu pejabat Nato, September lalu yang juga dilakukan oleh rangkaian Haqqani.

Kumpulan itu dikatakan mempunyai kira-kira 10,000 pejuang dan dianggap sebagai satu daripada ancaman paling serius kepada Nato di Afghanistan. - AP

'via Blog this'

Budak pintar tak gemar digelar genius

myMetro | Budak pintar tak gemar digelar genius:

LOS ANGELES: Di sebalik kejayaannya memperoleh diploma ketika berusia 11 tahun dan bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah dari Universiti California, Los Angeles (UCLA) Moshe Kai Cavalin enggan menganggap dirinya genius.
Lahir daripada pasangan wanita China dan lelaki Brazil, Cavalin, 14, mula membaca ketika berusia dua tahun.

Bagi Cavalin, ungkapan “genius” adalah cuma perkataan atau nombor yang dicipta manusia menggambarkan satu aspek tetapi mengabaikan faktor lain yang menjadikan seseorang itu manusia.
“Saya tak suka dipanggil genius dan saya enggan menjadi sekadar nombor.

“Apa yang saya cuba lakukan adalah mencapai kebijaksanaan melalui ilmu.

“Rasanya, mengamalkan kebijaksanaan jauh lebih baik daripada menjadi genius,” katanya semalam.
Atas keyakinan itu, Cavalin menulis buku We Can Do dan mencatat jualan laris di seluruh dunia.

Kali pertama buku itu diterbitkan dalam bahasa Mandarin dan dipasarkan di Singapura, Malaysia dan Taiwan.
Kini versi bahasa Inggeris diterbitkan dengan harapan dapat membantu ibu bapa menggalakkan anak mereka mencapai impian.

Kata Cavalin, dia melakar kecemerlangan ketika orang ramai menganggapnya mustahil dengan usia muda.

“Sebenarnya, sesiapa saja yang mencuba bersungguh-sungguh boleh mencapai kejayaan luar biasa,” katanya dalam buku itu. - AFP

'via Blog this'

Bujang terlajak miliki 82 anak

UNTUK mendapatkan  perkhidmatannya, Houben mengenakan beberapa syarat ketat.
UNTUK mendapatkan perkhidmatannya, Houben mengenakan beberapa syarat ketat.
myMetro | Bujang terlajak miliki 82 anak:

AMSTERDAM: Seorang lelaki yang kekal teruna sehingga berusia 34 tahun, kini menjadi bapa kepada 82 anak dalam tempoh hanya sembilan tahun.
Tidak cukup dengan itu, Ed Houben juga bakal mendapat 10 lagi anak tidak lama lagi.

Houben, 42, memiliki begitu banyak zuriat apabila dia meniduri kira-kira 15 wanita yang tidak mempunyai anak setiap bulan dalam usahanya merealisasikan impian mereka menjadi ibu.
Difahamkan, ketika ini Houben boleh dianggap pembuat anak profesional paling produktif di dunia dan aktivitinya itu pula dibenarkan undang-undang.

Walaupun sedia menawarkan benih kepada mana-mana wanita di seluruh dunia, Houben kini lebih selesa menunggu wanita menghubunginya di rumahnya di Maastricht.

Dia hanya menetapkan syarat agar pasangannya memasuki fasa kesuburan tertentu dan mereka pula mesti menanggung semua perbelanjaan perjalanan serta penginapannya.
Setakat ini, ‘keluarga’ Houben berada di Berlin, selain beberapa bandar lain di Itali, Sepanyol. Belgium, Perancis dan New Zealand.

Anak paling tua Houben berusia sembilan tahun, manakala yang bongsu baru dua bulan.
Houben mula mendermakan spermanya kepada sebuah klinik tempatan sebelum dia mengetahui benih lelaki mempunyai pasaran yang besar di seluruh dunia.

Laman sesawang spermaspender.de di Jerman adalah satu daripada cara Houben berhubung dengan wanita yang tidak mempunyai anak dan terdesak mahu menjadi ibu.

Pencapaian Houben sebagai penderma sperma juga cemerlang. Setakat ini, 80 peratus wanita yang ditiduri Houben berjaya hamil.

Untuk melayakkan mendapat ‘perkhidmatan’ itu, seseorang wanita mesti mengemukakan rekod perubatan yang mengesahkan status kesihatan mereka. - D

'via Blog this'

Dua gempa bumi sederhana landa Sumatra dan Sulawesi

myMetro | Dua gempa bumi sederhana landa Sumatra dan Sulawesi: "KUALA LUMPUR: Dua gempa bumi sederhana melanda Sumatera dan Sulawesi, Indonesia awal hari ini.

Gempa yang pertama berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku di pantai barat Sumatera utara pada pukul 12.05 tengah malam tadi, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, hari ini.
Gempa itu berpusat di 496km barat daya Simeulue dan 984km barat daya Kampar, Perak.

Sementara itu, satu lagi gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Sulawesi pada pukul 2.01 pagi.


Gempa itu berpusat di 149km barat laut Kendari dan 880km tenggara Semporna, Sabah.


Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata kenyataan itu. - BERNAMA"

'via Blog this'

Jumlah penguin di Antartika berganda - Global - Sinar Harian

Jumlah penguin di Antartika berganda - Global - Sinar Harian:

pingu
LONDON - Bancian pertama terhadap bilangan penguin di Antartika mencecah 600,000 ekor iaitu dua kali ganda jumlah yang dianggarkan sebelum ini.
Namun begitu, dengan menggunakan imejan satelit terkini, pakar-pakar sains menemukan sebanyak 44 koloni penguin jenis maharaja di situ, yang antaranya sebanyak tujuh lagi koloni yang tidak dikenal pasti selain beberapa koloni yang sedia ada semakin membesar daripada jangkaan.
Saintis mengakui amat sukar untuk menganggarkan jumlah spesies burung akuatik itu tanpa satelit kerana mereka hidup pada suhu -50 darjah Celsius dan berkoloni di kawasan lautan ais yang terpencil.
Jabatan Tinjauan Antartik Britain mengharapkan dengan jumlah tepat bilangan penguin iaitu sebanyak 595,000 ekor berbanding dengan anggaran sebelumnya iaitu sebanyak 270,000 ekor dan 350,000 ekor akan membantu menguruskan pemuliharaan dan mengesan perubahan iklim.
Penguin maharaja merupakan spesies terbesar di antara penguin, dan hidup di kawasan paling dingin di pedalaman dan merupakan satu-satunya baka yang mampu melalui musim sejuk terlampau di Antartika.

'via Blog this'

Mesir: Calon Ikhwanul Muslim antara 10 dilarang tanding

Mesir: Calon Ikhwanul Muslim antara 10 dilarang tanding - Global - Sinar Harian:

Khairat el-Shater
KAHERAH - Sepuluh daripada 23 calon yang berhasrat turun gelanggang pemilihan presiden Mesir termasuk wakil Ikhwanul Muslim,  Khairat el-Shater dan bekas Naib Presiden, Omar Suleiman telah dilucutkan kelayakan dan tidak boleh bertanding jawatan utama negara itu.

Keputusan melucutkan kelayakan mereka bertanding diambil ekoran "pelanggaran perundangan", demikian diumumkan oleh ketua jawatankuasa pilihan raya eksekutif Mesir,  Hatem Bagato semalam.

Ia pemilihan pertama selepas Presiden Hosni Mubarak dipaksa berundur berikutan kebangkitan rakyat awal tahun lalu.

Kesemua 10 calon itu mempunyai 48 jam untuk mengemukakan rayuan dan jawatankuasa akan memberi respons dalam masa 24 jam.
Hatem berkata, kedua-dua Khairat, pilihan nombor satu Ikhwanul Muslim dan Ayman Nour, Ketua parti Al Ghad dibatalkan kelayakan berhubung isu-isu berkaitan dengan pengampunan yang masih belum selesai.
Alaa Ayad, seorang jurucakap kempen bagi Khairat berkata, keputusan itu bermotifkan politik dan peguam parti mereka akan membuat rayuan.
"Keputusan ini akan mencetuskan ketegangan di jalan," kata Alaa dipetik laporan CNN.
Khairat, seorang jutawan, telah berada di penjara selama 12 ketika era kepimpinan Hosni.
Beliau masih menunggu keputusan mahkamah berkenaan kelayakannya untuk bertanding selepas pengampunan yang diberikan oleh Majlis Agung Pasukan Tentera dicabar di mahkamah.
Hazem Abu Ismael, pemimpin Islam konservatif ultra pula dilarang bertanding kerana ibunya memegang pasport Amerika Syarikat (AS), yang bertentangan dengan peraturan pencalonan, kata Hatem.
Wakil Hazem juga memberi amaran yang sama diberikan oleh Alaa.
"Kami yakin bahawa Hazem menjadi sasaran dan ada konspirasi dalaman dan luaran ke atasnya," kata peguam Nizar Ghorab.
Calon-calon lain yang dilucutkan kelayakan ialah Mamdouh Outb, Ashraf Barouma, Hossam Khairat, Ibrahim Ghareeb, Ahmed Awad dan Mortada Mansour.
Awal minggu lalu, Khairat mengecam tindakan Omar menjadi calon pada saat-saat akhir.

'via Blog this'

Facebook mampu undang ketagihan

Facebook mampu undang ketagihan - Global - Sinar Harian:

Laman sosial dijadikan sebagai hidangan harian mereka.
STOCKHOLM - Laman sosial Fecebook dipercayai mendatangkan ketagihan dan pengguna yang menghabiskan masa dengannya bakal mengalami kurang keyakinan dalam kehidupan.

Pakar di Universiti Gothenburg, Sweden, memberitahu, kebanyakan pengguna log masuk sebaik sahaja mereka menghidupkan komputer, sekali gus bertukar kepada ketagihan.

Kumpulan individu berpendapatan rendah dan kurang pendidikan adalah golongan berisiko tinggi dengan situasi ini.

Sehingga kini, kajian mendapati, 85 peratus individu melayari laman sosial itu setiap hari dan separuh daripadanya membuka Facebook sebaik sahaja melayari laman pengguna.

Sebanyak 25 peratus pengguna mengakui berasa kurang selesa jika meninggalkan laman itu walaupun sehari.

'via Blog this'

Gempa bumi kuat landa Pulau Jawa

Gempa bumi kuat landa Pulau Jawa - Global - Sinar Harian:

JAKARTA - Gempa bumi kuat 6.0 pada skala Richter menggegarkan wilayah Banten, pulau Jawa awal pagi tadi tetapi tidak mencetuskan tsunami.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Serang, Banten pusat gempa bumi terletak di Ujung Kulon, 95km ke barat daya daerah Pandeglang, Banten pada 2.26 pagi waktu tempatan.

Koordinator Unit Analis BMKG Serang, Banten, Halim Perdanakusumah, berkata pusat gempa itu berkedalaman 10 km dan beliau yakin tidak akan berlaku gempa susulan selepas ini kerana gegaran yang kecil.

Pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa.

Sementara itu, para nelayan di tempat pelelongan ikan Ujung Kulon, berkata mereka tetap keluar  menangkap ikan di laut sejak pukul 4.30 pagi ini dan tidak bimbang  dengan kejadian gempa itu. - Bernama

'via Blog this'

19 maut Taliban serang Parlimen Afghan, kedutaan

19 maut Taliban serang Parlimen Afghan, kedutaan - Global - Sinar Harian:

afghan
KABUL - Dua anggota pasukan keselamatan dan 17 militan terbunuh dalam  serangan tersusun pihak Taliban ke atas kedutaan-kedutaan asing, ibu pejabat Nato dan Parlimen Afghanistan di Kabul, semalam.

Laporan media antarabangsa menyebut pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan berterusan sehingga awal pagi ini.

Serangan yang disifatkan dikoordinasikan dengan baik dan teratur ini, melibatkan pengebom berani mati, adalah yang pertama di Kabul dalam tempoh enam bulan lalu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 17 pegawai polis dan sembilan orang awam juga cedera dalam kejadian ini.

Taliban digulingkan dalam tindakan ketenteraan pimpinan Amerika Syarikat (AS) akhir 2001 susulan peristiwa serangan 11 September.

Pihak Taliban mengakui bertanggungjawab atas kejadian terbaru ini dan memberitahu bahawa sekumpulan pengebom berani mati telah masuk ibu negara Afghanistan.

'via Blog this'

Israel sekat flytilla

Israel sekat flytilla - Global - Sinar Harian:

Israel sekat flytilla
TEL AVIV - Kira-kira 650 polis Israel mengadakan kawalan ketat di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, semalam kononnya sebagai persediaan untuk menyekat kemasukan ratusan aktivis yang menyertai kempen ‘Selamat datang ke Palestin’ atau flytilla untuk tahun ketiga berturut-turut.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sabine Haddad berkata, beberapa aktivis pro-Palestin itu turut disoal siasat oleh pihak berkuasa dan ada di antara mereka dilarang memasuki negara tersebut.
Difahamkan, kesemua aktivis pro-Palestin dari seluruh Eropah merancang untuk transit di lapangan terbang itu sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Tebing Barat bagi mengadakan protes membantah pembinaan penempatan haram di kawasan tersebut.

“Israel bertindak mengancam beberapa syarikat penerbangan supaya membatalkan tempahan tiket para aktivis. Mereka turut menuduh kami mahu melakukan provokasi dan mencetuskan kekacauan,” menurut Dr Mazin Qumsiyeh.

Puluhan aktivis tidak dapat meneruskan penerbangan ke Israel, gara-gara nama mereka telah disenarai hitamkan oleh beberapa syarikat penerbangan Eropah, Jumaat lalu.

Pada Julai lalu, lebih 300 aktivis antarabangsa tiba di Israel untuk menyertai flytilla sama dan 120 daripada mereka ditahan pihak berkuasa rejim Zionis.

'via Blog this'

Serangan Taliban: Afghan dakwa risikan Nato gagal

Serangan Taliban: Afghan dakwa risikan Nato gagal - Global - Sinar Harian:

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai
KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mendakwa serangan besar-besaran oleh Taliban ke atas Kabul dan tiga wilayah lain, yang berlarutan selama 18 jam, menunjukkan kegagalan perkhidmatan risikan khususnya pihak Nato.
Dalam kenyataan pertama berhubung perkembangan itu, yang paling buruk sejak Taliban digulingkan 11 tahun lalu, Hamid berkata, pasukan keselamatan negara itu membuktikan boleh mempertahankan Afghanistan dan menyediakan kawalan keselamatan.
"Kemasukan pengganas ke Kabul dan wilayah-wilayah lain adalah satu kegagalan risikan bagi kami dan khususnya bagi Nato dan seharusnya disiasat dengan serius," kata Hamid.
Katanya, empat orang awam terbunuh dalam kejadian terbaru ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Besmillah Mohammadi, seramai 65 orang termasuk 25 orang awam cedera.
Seramai 51 orang, kebanyakannya penyerang terbunuh dalam kejadian ini.

'via Blog this'

Tanam anak hidup-hidup ikut ‘nasihat’ tukang tilik

Tanam anak hidup-hidup ikut ‘nasihat’ tukang tilik - Global - Sinar Harian:

Tanam anak hidup-hidup ikut โ€˜nasihatโ€™ tukang tilik
UTTAR PRADESH - Sepasang suami isteri sanggup menanam anak mereka berumur sembilan hari hidup-hidup, gara-gara terlalu percaya dengan ramalan diberikan oleh seorang tukang tilik di Hapur, utara India.

Akhbar tempatan melaporkan, tukang tilik dikenali sebagai Nizaam itu, menyuruh pasangan Kiran Pal, 37, dan isterinya menanam bayi kelima mereka yang ditempatkan di dalam periuk tanah sedalam 0.9 meter di belakang rumah pada Khamis lalu.

Menurut tukang tilik tersebut, tindakan menanam bayi itu kononnya dapat memanjangkan umur memandangkan keempat-empat anak mereka sebelum ini, meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan.

Hasil daripada maklumat beberapa jiran, bayi malang tersebut ditemui masih hidup oleh pihak berkuasa pada Jumaat lalu, sungguhpun telah tertanam hampir 24 jam.

'via Blog this'

Warga UK diracun kerana ugut isteri pemimpin China

Warga UK diracun kerana ugut isteri pemimpin China - Global - Sinar Harian:

Warga UK diracun kerana ugut isteri pemimpin China
BEIJING - Pembunuhan seorang ahli perniagaan Britain, yang mencetuskan  kontroversi politik di China awal bulan ini, mati kerana diracuni selepas mendiang didakwa mengugut mahu mendedahkan rancangan isteri seorang pemimpin China yang mahu memindahkan keluar wang ke negara lain.

Kematian Neil Heywood pada November lalu telah menyebabkan peluang Bo Xilai untuk memainkan peranan penting dalam lingkungan politik peringkat pusat Parti Komunis China terkubur.

Menurut laporan Reuters, isteri Bo, Gu Kailai telah meminta Heywood akhir tahun lalu agar memindahkan sejumlah wang ke luar negara.

Kailai dikatakan marah apabila Heywood meminta komisen dalam jumlah yang besar berbanding apa yang dia jangkakan mengambil kira jumlah yang hendak dipindah keluar.

Wanita itu mendakwa Heywood sangat tamak dan merangka satu pelan untuk membunuhnya selepas ahli perniagaan berkenaan mengugut akan mendedahkan urusan memindah keluar duit.

Kailai kini berada dalam tahanan polis.

"Heywood telah memberitahu dia bahawa jika dia menganggap dia terlalu tamak, maka dia tidak perlu terlibat sama, tetapi akan mendedahkannya," kata salah seorang daripada dua sumber yang bercakap kepada pegawai polis yang kini menyiasat kes itu.

Menurut sumber itu, ahli perniagaan berusia 41 tahun itu mati kerana diletakkan racun dalam minumannya.

'via Blog this'

1,600 tahanan Palestin mahu mogok lapar

1,600 tahanan Palestin mahu mogok lapar - Global - Sinar Harian:

1,600 tahanan Palestin mahu mogok lapar
TEL AVIV - Kira-kira 1,600 tahanan Palestin nekad mogok lapar secara besar-besaran sebagai membantah keadaan mereka yang didakwa tidak terurus di penjara Israel.

Menteri Penjara, Issa Qaraqaa berkata, Palestin akan menubuhkan program kebangsaan sebagai tanda sokongan terhadap tahanan itu, bertepatan dengan sambutan acara tahunan Hari Banduan yang diraikan untuk menuntut pembebasan kira-kira 4,700 tahanan negara tersebut.

Sehingga kini, seramai 10 orang di bawah tahanan pentadbiran nekad mogok lapar dan empat daripada mereka telah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Tahanan pentadbiran yang dilaksanakan oleh rejim Zionis, dianggap tidak adil kerana mahkamah berhak memutuskan hukuman tahanan tanpa sebarang perbicaraan.

Difahamkan, lebih 300 tahanan Palestin ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran itu.

'via Blog this'