Pages

Monday, January 2, 2012

Isteri baling minyak panas, dipenjara

RAS AL KHAIMAH: Seorang wanita berusia 25 tahun, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana membaling kuali leper berisi minyak panas ke muka suaminya selepas satu pergaduhan besar.

Wanita berbangsa Nepal itu memberitahu mahkamah dia berbuat demikian sebagai tindakan mempertahankan diri daripada dipukul suaminya.myMetro | Isteri baling minyak panas, dipenjara:

'via Blog this'

Didera kerana enggan melacur

MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.
MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.

KABUL: Seorang remaja teruk didera, dibelasah dan dikurung dalam tandas oleh keluarga suaminya selama lima bulan kerana enggan menjadi pelacur.

Ketika diselamatkan dari sebuah rumah di wilayah Baghlan minggu lalu, Sahar Gul, 15, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Media semalam melaporkan, Sahar bernasib baik kerana jiran terdengar dia menangis dan mengerang kesakitan di rumah berkenaan.

Menurut polis, keluarga ipar Sahar mencabut kuku dan rambut mangsa, selain menguncinya dalam tandas gelap bilik bawah tanah selama lima bulan.


Sepanjang tempoh itu, kata polis, Sahar hanya diberikan sedikit makanan dan minuman.


Untuk menambah seksaan, Sahar juga dicucuh dengan puntung rokok serta mengepit dagingnya dengan playar.

Walaupun terlalu lemah, Sahar mampu menceritakan pengalamannya kepada media.


Kata Sahar, antara yang paling kuat mendera ialah ibu mentuanya.

Pemeriksaan kesihatan menunjukkan, mangsa mengalami kecederaan fizikal dan mental, serta memerlukan beberapa minggu untuk pulih.


Pegawai kerajaan di Baghlan, Rahima Zafiri, berkata Sahar berasal dari wilayah Badakhshan dan baru kahwin tujuh bulan lalu.


“Dia dipaksa keluarga suaminya menjadi pelacur untuk mendapat wang,” katanya.


Walaupun dirawat di hospital di Kabul, Sahar mungkin terpaksa dipindahkan ke India untuk rawatan lanjut.


Menteri Kesihatan, Suraya Dalil, berkata Sahar adalah satu daripada kes paling serius berlaku terhadap wanita Afghanistan.


Sementara itu, polis Baghlan berkata, ibu mentua dan ipar Sahar berjaya ditahan, manakala suami dan bapa mentuanya sempat melarikan diri. - DMmyMetro | Didera kerana enggan melacur:

'via Blog this'

Lagi sekatan AS ke atas Iran


HONOLULU/TEHERAN 1 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meluluskan sekatan baru terhadap Iran semalam, sejurus selepas Teheran berkata, ia bersedia untuk mengadakan rundingan baru dengan Barat berhubung program nuklearnya dan telah menangguhkan ujian peluru berpandu jarak jauh di Teluk.

Ketegangan antara Iran dengan kuasa Barat meningkat sejak para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bertekad untuk mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Teheran sebelum akhir bulan ini dalam usaha untuk memaksanya menghentikan program penyelidikan yang disyaki bertujuan untuk membangunkan senjata nuklear.

Tanpa mandat baru daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sudah pun mengenakan empat pusingan sekatan global, Washington bertindak untuk meningkatkan tekanan dengan sekatan ke atas institusi-institusi kewangan yang berurusan dengan bank pusat Iran.

Rang undang-undang pembiayaan pertahanan yang ditandatangani oleh Obama semalam, setelah diluluskan oleh Kongres pada minggu lalu, bertujuan untuk mengurangkan hasil minyak yang merupakan peratusan besar daripada pendapatan eksport Iran.

Jika dikuatkuasakan dengan ketat, sekatan tersebut akan menjadikan hampir mustahil untuk kebanyakan syarikat penapis minyak membeli minyak mentah daripada Iran, pengeluar keempat terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Obama meminta kelonggaran untuk mengenakan sekatan itu secara fleksibel, dan beliau mempunyai budi bicara untuk mengenepikan sekatan.

Pegawai kanan AS berkata, Washington berunding dengan rakan-rakan di kalangan negara asing untuk memastikan sekatan baru itu tidak menjejaskan pasaran tenaga antarabangsa.

Iran bertindak balas terhadap tekanan yang meningkat dengan memberi amaran, ia boleh menutup Selat Hormuz jika sekatan dikenakan ke atas eksport minyaknya.

Teheran menunjukkan kekuatannya dengan melancarkan latihan perang tentera laut selama 10 hari di Teluk Parsi, termasuk menjalankan ujian peluru berpandu 'jarak sederhana' darat ke udara hari ini, dalam tindakan yang mencemaskan pasaran minyak dan menyebabkan harga minyak mentah naik.

Sebelum ini, Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz hanya jika diserang oleh AS dan Israel. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pelancong Israel disyaki bakar hutan


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
Pelancong Israel disyaki bakar hutan

SANTIAGO - Seorang pelancong Israel ditangkap dan kemudiannya dilepaskan semula oleh pihak berkuasa Chile, selepas disyaki menyebabkan kebakaran 11,000 hektar hutan dalam taman negara Torres de Pain.

Roter Singer, 23, mengaku telah mencetuskan kebakaran berlaku di selatan negara itu selepas gagal memadamkan segulung tisu tandas yang dibakar olehnya semasa perbicaraan di Puerto Natales.

Kebakaran yang bermula Selasa lalu merebak begitu cepat berikutan keadaan yang kering dan pihak berkuasa terpaksa memindahkan 700 orang kebanyakannya pelancong dari taman yang terletak 3,000 kilometer di selatan Santiago.

Kerajaan terpaksa menggunakan empat kapal terbang dan sebuah helikopter bersama 300 anggota bomba dan renjer hutan bagi memadamkan kebakaran.

Jumaat lalu, Presiden Sebastian Pinera mengumumkan taman yang dilawati lebih daripada 100,000 pengunjung setiap tahun itu akan ditutup sepanjang bulan ini.

CAPTION : Kebakaran setakat ini telah memusnahkan hampir empat peratus dari jumlah kawasan taman negara itu.

Pelancong Israel disyaki bakar hutan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kak Limah dipenjara dalam botol


Oleh : NIK MUHAMMAD RAFFIQ
Tarikh : January 2, 2012
Kak Limah dipenjara dalam botol

Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.

Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.

Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.

Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.

Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.

Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.

Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.

Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.

Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.

Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih

Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.

Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.

Kak Limah dipenjara dalam botol - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Robot diguna bagi bantu pesakit strok



SEORANg pesakit menggunakan robot untuk menggerakkan kaki dan tangannya di Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik, Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 18 November lalu.


SINGAPURA - Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik (CART) di Hospital Tan Tock Seng milik pemerintah di sini menggunakan gajet canggih termasuk robot untuk pesakit strok dan palsi serebrum yang menjejaskan pergerakan kaki dan tangan.

"Terapi ini tidak membosankan, tidak terlalu sakit sebagai terapi fizikal kerana mesin membantu saya untuk menggerakkan lengan saya ke atas dan ke bawah," kata seorang pesakit strok, Soon Eng Sam yang berusia 70 tahun.

Dia yang terlantar selama tiga bulan kerana menghidap strok berharap penggunaan gajet baharu akan menjadikan suasana yang menggembirakan semasa rawatan pemulihan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Majlis tradisi elak ditanduk lembu menjelang Tahun Baru



SEORANG lelaki ditanduk oleh seekor lembu jantan di Turbaco, Colombia kelmarin.


TUBACO, Colombia - Beberapa orang ditanduk lembu jantan dalam satu majlis tradisi menjelang Tahun Baru di sini kelmarin.

Majlis itu diadakan di sebuah stadium dengan orang ramai berlari bagi mengelakkan diri daripada ditanduk lembu jantan.

Namun, terdapat beberapa orang yang tidak bernasib baik kerana mereka cedera ditanduk haiwan itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'