Pages

Showing posts with label Kriminal. Show all posts
Showing posts with label Kriminal. Show all posts

Sunday, October 10, 2010

Buang keratan tubuh

PADA malam 8 Mac 2009, Jeffrey Howe (berusia 48 tahun) meleteri kawannya, Stephen Marshall, 38, dan kekasihnya, Sarah Bush, 21. Howe bengang dengan sikap Marshall yang tidak mahu membayar sewa dan enggan membantunya membayar bil elektrik dan air, sedangkan pasangan itu hampir enam bulan menumpang di rumahnya di Southgate, utara London.

Ketika Howe menuju ke dapur, Marshall mengejar sahabatnya sebelum menikamnya dua kali. Selepas menyedari Howe sudah mati, Marshall memenggal kepalanya sebelum memotong kaki dan tangannya.

Lebih mengerikan, Marshall yang berhati kering itu mencungkil mata dan memotong telinga mangsa. Sisa-sisa tubuh sahabat yang dibunuhnya kemudian dibuang di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire.

Bahagian kaki dan tangan mangsa yang disumbatkan ke dalam beg plastik sampah dibuang di tiga kawasan berasingan manakala badan mangsa dibuang ke dalam parit, semuanya di sekitar Hertfordshire.

Kepalanya pula dicampakkan ke pinggir hutan di Asfordby, Leicestershire. Marshall membuang sisa tubuh mangsa ini dengan bantuan Bush.

Jenayah Marshall terbongkar apabila penduduk di sekitar Cottered, Hertfordshire menemui kaki kiri mangsa yang dibuang berhampiran kawasan hutan kediaman mereka pada 22 Mac, dua minggu kemudian. Sehingga 11 April berikutnya, saki baki anggota badan mangsa ditemui, kecuali tangan.
Ketika ditahan polis, Marshall menafikan dia melakukan jenayah itu, namun pelbagai bukti yang ditemui menunjukkan suspek satu-satunya pelaku pembunuhan kejam terbabit.

Pegawai polis, Michael Hanlon yang menyiasat kes ini berkata, suspek nekad membunuh Howe untuk mendapat ‘keuntungan’ daripada kematian mangsa.

“Dia (Marshall) enggan membayar sewa rumah, mencuri makanan dan tidak mahu keluar dari rumah mangsa bersama kekasihnya.

“Dengan membunuh mangsa, dia mengambil alih kediaman itu. Niat jahatnya jelas kerana dia juga menggunakan wang mangsa untuk berbelanja dan menjual barang berharga di rumah berkenaan,” katanya.

Ketika kes dibicarakan, Mahkamah Diraja St Albans mendedahkan Marshall didakwa bukan kali pertama membunuh dan memotong mangsa bunuh sebagaimana ng dilakukannya terhadap Howe.

Seorang saksi yang tidak didedahkan namanya memberitahu mahkamah, Marshall banyak terbabit dengan jenayah bunuh dan dia akan memotong mangsa sebelum menanamnya untuk melupuskan bukti.

Saksi berkenaan juga mendedahkan, suspek biasanya membunuh mangsa dengan pisau dapur yang panjang sebelum memotongnya menggunakan mesin gergaji berantai atau gergaji biasa.

Daripada siasatan polis, Marshall mengaku melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama dilakukan terhadap mangsa.

Mangsa pertamanya adalah gangster, Gilbert Wynter yang dibunuh akibat persengketaan berkaitan pengedaran dadah. Mangsa seterusnya seorang lelaki yang dinamakan John Manchester yang dibunuh selepas mangsa menipu wang milik keluarga suspek sebanyak £100,000 (RM493,855).

Kedua-dua mangsa diperlakukan seperti Howe dan sisa tubuh mereka ditanam sekitar utara England.

Selain itu, suspek juga dikaitkan dengan pembunuhan pemuda, Minesh Nagrecha. Pemuda itu ditikam 12 kali tetapi ketika tangkapan, suspek berjaya menyembunyikan jenayahnya dan terlepas tindakan undang-undang.

Pembongkaran jenayah ini mendapat liputan meluas di England. Media menggelar Marshall sebagai Pembunuh Jigsaw atau ‘Jigsaw Killer’.

Pada Januari lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara.

Kekasihnya, Bush yang juga pelacur turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu.


INFO

MANGSA: Jeffrey Howe

UMUR: 48 tahun (ketika kejadian)

SUSPEK: Stephen Marshall, 38, dan Sarah Bush, 21

FAKTA JENAYAH: Bagi mendapat kepentingan peribadi, Marshall membunuh sahabatnya, Howe semata-mata untuk dapat mengambil alih rumah dan menggunakan wang simpanan mangsa. Suspek menikam mangsa dari belakang, kemudian memotong kepala, kaki dan tangan sebelum membuangnya di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire, England. Penjenayah terbabit turut mencungkil mata dan memotong telinga mangsa

FAKTA KES: Siasatan polis mendapati Marshall melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama. Januari lalu, Mahkamah Diraja St Albans menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara. Kekasihnya, Bush turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu

Sunday, October 3, 2010

Dera hingga mati

KEPALANYA dipenggal manakala tangan, kaki dan badannya dipotong sebelum dibuang ke dalam tasik Blue Lagoon di Arlesey, Bredfordshire, England. Sisa tubuhnya diletakkan dalam beg berasingan selepas didera dengan teruk sehingga mati.

Itulah nasib malang menimpa Michael Gilbert yang berusia 26 tahun ketika kejadian. Lebih menyedihkan, dia dibunuh sedemikian rupa oleh keluarga angkatnya, iaitu pasangan Antonio Watt dan Jennifer Smith-Dennis selepas 10 tahun hidup bersama mereka, di Luton, England.

Kejadian tragik itu berlaku sekitar Januari 2009. Rangka mayat Gilbert ditemui November lalu manakala kepalanya ditemui di tasik berkenaan pada Februari berikutnya.

Selepas mayat Gilbert ditemui, polis Luton menahan dua suspek disyaki terbabit dengan pembunuhan itu, iaitu pasangan kekasih, Richard Watt, 25, dan Nichola Roberts, 22, menerusi bukti daripada rakaman litar tertutup (CCTV) ketika mereka cuba membuang mayat mangsa.

Robert adalah seorang daripada anggota keluarga angkat Gilbert. Penangkapan suspek ini seterusnya menjadi titik tolak kepada pembongkaran jenayah kejam terhadap Gilbert.

Ketua keluarga Watt, iaitu Antonio Watt, 70, dan isterinya, Jennifer Smith-Dennis, 58, ditahan polis sejurus penahanan mereka. Anak mereka, James, 27, dan Robert turut disyaki terbabit dengan pembunuhan berkenaan. Kekasih James, Natasha Oldfield, 29, turut ditangkap.
April lalu, kes ini dihadapkan ke Mahkamah Diraja Luton. Perbicaraan kes itu mendapat liputan meluas di Britain kerana pelbagai keterangan mengejutkan berkaitan pembunuhan berkenaan.

Suspek membuat pengakuan memukul mangsa berulang kali sepanjang mereka membesarkan Gilbert. Mangsa pernah dibaling dengan bola snooker, ditembak, ditikam, dibakar, berdiri di atas air mendidih dan dipaksa minum air kencing.

Dalam satu keterangan suspek di mahkamah, mangsa pernah diberi makan sisa kayu dan dipaksa memasukkan tangan ke dalam mulut. Suspek juga pernah membakar rambut mangsa, mengikat tangan mangsa ketika tidur dan membaling bola snooker pada kemaluannya.

Daripada catatan diari seorang suspek, ada dicatatkan jika ahli keluarga memukul mangsa, mereka akan diberi wang ganjaran. Catatan itu menjelaskan, “Bayaran untuk tampar £5 (RM 24), tumbuk £10 (RM49), tendang £15 (RM73), hentak kepala £25 (RM121). Sehingga Gilbert mati.”

Sebahagian daripada seksaan diterima Gilbert dirakam melalui rakaman video telefon seorang suspek. Ia antara bahan bukti kukuh menunjukkan perbuatan kejam mereka itu di mahkamah.

Hakim, John Bevan menyatakan, perbuatan jenayah kejam dilakukan seisi keluarga Watt sebagai perlakuan tidak bertamadun dan tiada sifat kemanusiaan.

“Mereka (Watt) bertindak kejam dan ganas. Seolah-olah perbuatan dera dan bunuh ini hanya ‘hiburan’ buat mereka, ia jenayah yang tidak boleh diterima akal di zaman ini. Mereka menyeksa mangsa, kemudian ketawa gembira dengan perbuatan itu,” katanya.

Mahkamah turut mendedahkan, keluarga Watt mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memperoleh pendapatan melalui elaun sara hidup daripada kerajaan yang diperoleh mangsa.

“Pendapatan isi rumah ketika Gilbert dibunuh adalah £3,953 (RM19,260), sebanyak £2,253 (RM10,977) adalah wang daripada mangsa,” kata Bevan.

Pada April lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 36 tahun terhadap James dan teman wanitanya, Natasha sekurang-kurangnya 18 tahun.

Robert dan ibunya, Jennifer dipenjara lapan tahun atas kesalahan membunuh dan 10 tahun kerana jenayah keluarga. Nichola dipenjara 15 tahun dan Richard dipenjara enam tahun kerana bersubahat. Antonio terlepas daripada sebarang hukuman.

INFO

MANGSA: Michael Gilbert

UMUR KETIKA KEJADIAN: 26 tahun

SUSPEK: Antonio Watt, 70, Jennifer Smith-Dennis, 58, Natasha Oldfield, 29, James Watt, 27, Richard Watt, 25, Nichola Roberts, 22, dan Robert Watt, 20

FAKTA JENAYAH: Keluarga Watt mendera Gilbert sejak berusia 15 tahun dengan memukul mangsa berulang kali. Mangsa pernah dibaling dengan bola snooker, ditembak, ditikam, dibakar, berdiri di atas air mendidih dan dipaksa meminum air kencing. Dia dipercayai mati akibat cedera teruk pada kemaluan ketika didera. Kemaluan mangsa didapati dihentak, dipijak dan dipukul dengan kuat. Dia turut ditikam dan ditembak menggunakan senapang angin sebelum itu. Apabila tidak bernyawa lagi, tubuhnya dipotong sebelum dibuang ke dalam tasik.

FAKTA KES: Mahkamah mendedahkan, keluarga Watt juga mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memperoleh pendapatan melalui elaun sara hidup dari kerajaan yang diperoleh mangsa. Pada April lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 36 tahun terhadap James dan teman wanitanya, Oldfield sekurang-kurangnya 18 tahun. Robert dan ibunya, Jennifer dipenjara lapan tahun atas kesalahan membunuh dan 10 tahun kerana jenayah keluarga. Manakala Nichola dipenjara 15 tahun dan Richard dipenjara enam tahun kerana bersubahat. Antonio terlepas daripada sebarang hukuman.