Pages

Wednesday, December 9, 2015

Telefon pintar pertama boleh dibasuh


Digno Rafre yang boleh dibasuh dengan sabun

TOKYO - JEPUN. Bagi menggelakkan telefon pintar penuh dengan kotoran dan bakteria, sebuah syarikat pengeluar telefon di Jepun telah mencipta sebuah telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
Telefon pintar kalis air sudah mula dipasarkan namun Syarikat KDDI berkata, rekaan yang dinamakan 'Digno Rafre" akan dilancarkan secara rasmi di Jepun pada minggu depan hadapan dan akan menjadikan satu-satunya telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
"Pasukan pembangunan rekaan kami telah membasuh telefon pintar tersebut lebih 700 kali untuk menguji ketahanannya," kata jurucakap syarikat kepada AFP.
Telefon pintar tersebut dicipta untuk ibu -bapa yang sentiasa mahukan telefon bimbit bebas bakteria dan selamat untuk anak-anak.
Namun, menurut jurucakap syarikat, hanya beberapa jenis sabun yang boleh digunakan untuk membasuh telefon tersebut dan hanya akan dijual di Jepun buat masa ini
.

Peristiwa dunia sepanjang 2015



KONFLIK  
di rantau Asia Barat menjadi antara peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah dunia sepanjang 2015.
Selain konflik Palestin-Israel yang tidak pernah berpenghujung, negara-negara seperti Lubnan, Yaman dan Mesir terus berdepan dengan masa depan tidak menentu ekoran pergolakan politik dan perang saudara.
Malah, episod paling malang dan menyayat hati berlaku di bumi Syria selepas puluhan ribu rakyatnya terbunuh manakala ratusan ribu yang lain menjadi pelarian kerana perang saudara.
Campur tangan Amerika Syarikat (AS), Rusia, Perancis dan Britain mengusutkan lagi situasi di negara tersebut.
Dalam pada itu, seperti tahun-tahun sebelum ini juga, bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa dan kemusnahan dalam skala besar turut mengisi jendela dunia 2015.
Tahun ini, Nepal berdepan amukan alam cukup hebat apabila negara itu dilanda gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud pada 25 April lalu.
Hampir 10,000 penduduk terkorban manakala puluhan ribu lain hilang tempat tinggal ekoran bencana alam tersebut.
Berikut adalah antara peristiwa yang menggemparkan dunia sepanjang tahun ini.
Perancis diserang
Beberapa kartunis terkenal adalah antara 12 orang yang terbunuh apabila lelaki bersenjata menyerbu pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari lalu.
Ketua Pengarang, Stephane Charbonnier yang dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski adalah antara mereka yang terbunuh.
Pada 13 November lalu, Perancis sekali lagi digemparkan dengan serangan keganasan di enam lokasi sekitar Paris yang meragut 153 nyawa.
Presiden Perancis, Francois Hollande mengisytiharkan darurat susulan serangan berkenaan yang disifatkan sebagai ‘serangan keganasan tidak dijangka’, memaksa penutupan sempadan-sempadannya selain pengerahan kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan ke Paris.
Enam hari selepas kejadin itu, polis Perancis mengumumkan dalang serangan berdarah di Paris, Abdelhamid Abaaoud disahkan terbunuh dalam serbuan polis di sebuah apartmen di St. Denis, pinggir Paris.
Nahas pesawat Germanwings
Pesawat Airbus penerbangan tambang murah Lufthansa, Germanwings terhempas di kawasan pergunungan Alps di selatan Perancis, pada 24 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.
Sumber berkata, pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan (5.47 petang waktu Malaysia).
Difahamkan, kesemua 150 penumpang dan kru pesawat malang itu terbunuh.
Menurut pendakwa raya, pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Kubitz memang berniat menjunamkan pesawat tersebut di pergunungan Alps.
Serangan berdarah di universiti Kenya
Empat lelaki bertopeng daripada kumpulan pelampau al-Shebab dari Somalia membunuh sekurang-kurangnya 147 pelajar selepas menyerbu sebuah universiti di Kenya pada 2 April lalu.
Serangan itu adalah yang terburuk di Kenya selepas pengeboman terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi pada 1998 yang menyebabkan 213 orang terbunuh.
Lelaki berkenaan yang lengkap bersenjata dan memakai jaket yang disalut bahan letupan, meletupkan diri selepas serangan selama 16 jam di pusat pengajian tinggi itu berakhir.
Penyerang yang melontarkan berpuluh bom tangan dan menembak daripada senjata automatik, kumpulan lelaki berkenaan menyerbu universiti itu pada waktu subuh dan mula menahan tebusan bukan beragama Islam.
Kesemua penyerang terbunuh selepas meletupkan diri apabila tentera kerajaan mula menyerbu universiti itu untuk membebaskan tebusan.
Hungary tutup sempadan
Kerajaan Hungary menutup sempadannya dengan negara jirannya Croatia pada 17 Oktober lalu  bagi mengekang kemasukan pelarian.
Menurut laporan AFP, askar dan polis Hungary memasang kawat berduri di laluan utama sempadan ke negara ini selepas menerima sekurang-kurangnya 1,500 pelarian yang tiba menaiki kereta api.
Tindakan Budapest itu memaksa Croatia mengambil keputusan untuk mengalihkan laluan pelarian ke Slovenia, langkah yang menyebabkan pelarian tidak mempunyai pilihan sama ada kekal di Croatia atau bergerak ke Slovenia.
Namun kerajaan Slovenia bertindak menggantung perkhidmatan kereta api dengan Croatia, sekali gus merumitkan lagi krisis tersebut.
Tiga penganut Islam AS dibunuh
Tiga sekeluarga Islam, ditembak mati oleh seorang lelaki berfahaman aties di rumah mereka di Carolina Utara, Amerika Syarikat dalam satu kejadian pada 10 Februari lalu.
Portal berita Independent melaporkan, mangsa yang merupakan penganut Islam Amerika dikenali Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad Abu Salha, 21, dan adik perempuan Yusor, Razan, 19.
Deah yang baru sebulan berkahwin, merupakan pelajar jurusan perubatan pergigian di Universiti Carolina Utara dan sukarelawan yang membantu memberi rawatan pergigian percuma kepada kanak-kanak di Palestin.
Beberapa sumber memberitahu WRAL News, ketiga-tiga mangsa ditembak di kepala.
Suspek, lelaki tempatan dikenali sebagai Craig Hicks, 46, telah ditahan kerana disyaki membunuh ketiga-tiga mangsa.
Indonesia laksana hukuman mati
Pada 29 April lalu, pihak berkuasa Indonesia telah melaksanakan hukuman mati terhadap tujuh pengedar dadah, termasuk dua rakyat Australia oleh skuad penembak khas meskipun mencetuskan kemarahan dan tentangan antarabangsa.
Tujuh yang dihukum mati itu termasuk seorang pesalah lelaki tempatan yang menjalani hukuman selepas tengah malam di sebuah penjara yang berciri keselamatan tinggi.
Bagaimanapun, hukuman terhadap seorang lagi pesalah warga Filipina, Mary Jane Veloso, ditangguhkan selepas seseorang disyaki merekrutnya menjadi keldai dadah dengan membawa masuk dadah ke Indonesia.
Kematian tragis Aylan Kurdi
Berita penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi ternyata menggemparkan dunia.
Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki dalam kejadian 2 September lalu.
Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobane, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.
Kemalangan di Makkah
Lebih 100 jemaah haji termasuk dari Malaysia terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah dalam kejadian 9 September lalu.
Difahamkan, tragedi itu berlaku kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan).
Susulan itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, mengarahkan pemberian pampasan kepada semua mangsa yang meninggal dunia sebanyak satu juta riyal Saudi (RM1.1 juta). Sementara, mereka yang mengalami kecederaan ringan pula itu akan menerima wang pampasan sebanyak 500,000 riyal Saudi (RM573,610).
Bagaimanapun, pada 24 September Saudi sekali lagi degemparkan dengan tragedi rempuhan di Mina.
Difahamkan, kematian akibat rempuhan itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,633 orang, menurut kiraan diberikan oleh pegawai asing.
Jumlah kematian tersebut menjadikan tragedi pada 24 September lalu itu sebagai kejadian paling berdarah dalam sejarah musim haji.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan, sebanyak 769 jemaah terbunuh dalam tragedi berkenaan
.

11,950 batu karang



MASALAH
 pedih ulu hati dan sakit perut yang dialami seorang wanita di India selama dua bulan akhirnya terjawab selepas doktor berjaya mengeluarkan 11,950 batu karang, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Minati Mondal, 51, dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata, Bengal Barat selepas imbasan ultrabunyi menunjukkan wanita tersebut menderita penyakit batu karang.
Dr Makhan Lala Saha berkata, beliau terkejut selepas mengeluarkan hampir 12,000 batu karang ketika prosedur laparoskopi yang berlangsung selama sejam.
"Saya tidak menyangka hempedu mampu menampung jumlah batu sebanyak itu. Pembantu saya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengira jumlah batu berukuran antara 2 milimeter (mm) dan 5 mm tersebut," jelasnya.
Menurutnya lagi, beliau juga telah menghantar surat kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen tersebut di muzium. - Daily Mai
l

Pokok tukar jantina


Spesies Fortingall Yew

SEBATANG 
pokok yang dipercayai tertua di Eropah telah bertukar jantina.
Spesies Fortingall Yew berusia 5,000 tahun yang tumbuh di Perthshire, Scotland dikatakan mula mengeluarkan beri yang biasanya dihasilkan oleh pokok betina.
Saintis di Taman Botani Diraja di Edinburg berkata, mereka juga terkejut apabila melihat fenomena jarang berlaku tersebut.
Dr Max Coleman memberitahu, pokok jantan mempunyai struktur kecil bulat yang melepaskan debunga apabila ia mencapai tempoh matang manakala pokok betina pula akan menghasilkan beri pada musim luruh hingga sejuk.
"Pertukaran jantina itu mungkin akibat faktor persekitaran," katanya.
Menurutnya lagi, legenda masyarakat tempatan mendakwa tokoh Empayar Rom, Pontius Pilate yang didakwa kononnya dilahirkan dalam bayang-bayang pokok tersebut. - BB
C