Pages

Showing posts with label WikiLeaks. Show all posts
Showing posts with label WikiLeaks. Show all posts

Saturday, December 22, 2012

WikiLeaks dedah sejuta dokumen tahun depan

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange LONDON - WikiLeaks yang mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan mendedahkan dokumen-dokumen rahsia melibatkan hubungan diplomatik dan politik sedang membuat persediaan untuk mengeluarkan sejuta dokumen tahun depan.
Bagaimanapun Pengasasnya, Julian Assange tidak memberi butiran berkenaan dengan kandungan dokumen-dokumen yang akan dikeluarkan kelak.
Pun begitu, Assange berkata, kandungannya akan menjejaskan setiap negara di dunia ini.
Beliau membuat pengumuman dari balkoni Kedutaan Ecuador di sini. Assange berada di kedutaan itu sejak enam bulan lalu.
Pihak berkuasa Britain memberi amaran akan menangkap beliau jika keluar dari kedutaan itu.
"Saya datang ke sini pada musim panas. Sekarang musim sejuk," kata Assange sambil menambah, beliau tidak boleh meninggalkan premis itu selagi disiasat oleh pihak berkuasa.
Assange mendapat perlindungan di Kedutaan Ecuador pada Jun lalu bagi mengelak daripada diekstradisi ke Sweden.

Tuesday, June 28, 2011

WikiLeaks dedah duta AS ragui penjelasan KL

KES ENJIN JET DICURI
KUALA LUMPUR: Duta Amerika Syarikat ke Malaysia memaklumkan kepada pemerintahnya awal tahun lalu bahawa pegawai-pegawai kedutaan meragui penjelasan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kecurian enjin jet pejuang F-5 milik TUDM pada 2008, demikian menurut maklumat yang didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen yang ditandatangani oleh Duta James Keith itu berkata kedutaannya berkongsi 'kesangsian' yang diluahkan oleh satu siri komen media dalam talian mengenai pendirian Putrajaya bahawa enjin jet itu dicuri oleh dua individu berpangkat rendah dan pihak di peringkat tinggi tidak terlibat sama sekali.
'Kami berkongsi beberapa kesangsian yang dilahirkan oleh blog-blog mengenai kes kerajaan dan penjelasan siapa di sebalik kecurian enjin,' kata dokumen tersebut.'Dalam (proses) penyelarasan dengan pihak Washington, Post terus menekankan untuk mendapatkan laporan lengkap bagaimana kecurian itu berlaku dan penempatan muktamad enjin-enjin (jet pejuang), serta untuk mengingatkan GOM (kerajaan Malaysia) tentang keseriusan isu itu dan keperluan mengambil tindakan pembetulan,' kata kabel yang disiarkan oleh laman blog Malaysia Today, semalam, dan ditukil oleh laman berita The Malaysian Insider pada hari yang sama.Difahamkan, 'Post' merujuk kepada seorang pegawai politik Amerika yang mempunyai pejabat di kedutaan di Kuala Lumpur.Mahkamah Sesyen sedang mendengar kes Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad, yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM itu.Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran, 42 tahun, tidak mengaku salah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, di sini, pada 30 April 2008.Rajandran, 38 tahun, pengarah sebuah syarikat pembekalan, pula tidak mengaku salah terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.Kededua enjin itu dibeli pada 1972 dengan harga RM303,570 ($123,644), dan bukannya RM50 juta seperti dilaporkan pada awalnya.Cyberita Online Luar Negara

Thursday, June 16, 2011

Peluang makan tengah hari bersama pengasas WikiLeaks


LONDON: Lapan peminat pengasas WikiLeaks, Julian Assange, ditawarkan menikmati makan tengah hari eksklusif bersama pujaan mereka pada bulan depan dengan bayaran RM1,725 seorang.
Pengumuman itu disiarkan di laman sesawang eBay semalam.

Menurut eBay, makan tengah hari selama tiga jam untuk mengumpul dana itu akan diadakan pada 2 Julai ini di satu daripada restoran terbaik di London.

Assange akan ditemani ahli akademik Slovania, Slavoj Zizek, yang dilabel Wikipedia sebagai tokoh radikal berhaluan kiri.

Hasil kutipan makan tengah hari itu akan digunakan untuk “faedah WikiLeaks, tetapi tiada butiran lanjut diberi. - Reuters

myMetro | Peluang makan tengah hari bersama pengasas WikiLeaks

Sunday, January 23, 2011

WikiLeaks jadi filem





2011/01/23

Julian Assange
Julian Assange
Produser Hollywood papar kisah Julian Assange

LOS ANGELES: Hollywood bakal menyiarkan filem mengenai pengasas WikiLeaks itu selepas produser Barry Josephson dan Michelle Krum berjaya mendapat hak terhadap biografi Julian Assange.

Buku yang diberi tajuk The Most Dangerous Man in the World, tulisan wartawan Australia, Andrew Fowler, mendedahkan kisah Assange dari zaman kanak-kanak sehingga kini.
Ia termasuk bagaimana WikiLeaks diasaskan pada 2006 dan kontroversi terbaru membabitkan pendedahan rahsia diplomatik dan dokumen tentera kerajaan Amerika Syarikat.
Josephson dan Krum berkata, mereka merancang sebuah drama paling mendebarkan seperti filem All the President’s Men serta memasukkan unsur aksi lasak seperti novel nukilan Tom Clancy.

“Sebaik saja saya bertemu Andrew dan membaca beberapa bab buku barunya, saya tahu bahawa dengan pengetahuan mendalamnya, ia akan membolehkan kami membawa cerita penuh aksi ke layar perak,” kata Krumm kepada majalah Variety.

Assange ketika ini dalam jaminan di Britain sebelum keputusan dibuat berhubung permintaan ekstradisi oleh Sweden berkaitan jenayah seks. Dia juga dilaporkan berusaha menerbitkan autobiografi sendiri untuk membayar bil perundangan.

Dia akan menulis autobiografi itu selepas bersetuju dengan perjanjian pembayaran AS$1 juta (RM3.06 juta) Disember lalu, sebahagiannya untuk membayar kos perundangannya yang semakin meningkat. 
Assange dilabel ‘seorang pengganas berteknologi tinggi’ oleh musuhnya dan ‘pejuang kebebasan internet’ oleh penyokongnya.

November lalu, WikiLeaks mendapat rampasan paling berprofil tinggi setakat ini apabila ia menjadi rakan kongsi dengan akhbar The Guardian untuk menerbitkan lebih 250,000 kabel diplomatik sulit Amerika.

Assange menaikkan kemarahan pihak berkuasa Amerika dengan mendedahkan kabel mengenai pembabitan Amerika dalam perang di Afghanistan dan Iraq.

Dia juga mendedahkan perincian prosedur pembuangan sisa toksik di Afrika dan Teluk Guantanamo, serta meletakkan kandungan manual Gereja Scientology secara online.

Wartawan dan penerbit itu kekal dalam jaminan sementara menunggu keputusan permohonan ekstradisi dari pihak berkuasa Sweden yang mahu menyoalnya berhubung dakwaan seksual oleh dua wanita.

Kisah penuh di sebalik skandal WikiLeaks ditulis dalam WikiLeaks: Inside Julian Assange's War on Secrecy, kisah di belakang tabir oleh editor penyiasatan The Guardian, David Leigh dan koresponden Moscow Luke Harding. Buku WikiLeaks akan diterbitkan oleh The Guardian pada 10 Februari ini. – Agensi

Wednesday, January 19, 2011

2,000 akaun bank individu kaya, terkenal diserah kepada Wikileaks

LONDON: Pengasas Wikileaks, Julian Assange semalam menerima cakera padat yang didakwa mengandungi butiran sulit akaun bank 2,000 individu terkenal dan kaya serta beberapa syarikat.
Bekas kakitangan bank di Switzerland, Rudolf Elmer yang memberi cakera padat itu berkata, dia mahu mendedahkan maklumat mengenai kegiatan mengelak cukai sebelum beliau kembali ke Switzerland untuk dibicarakan atas tuduhan mencuri maklumat daripada sebuah bank.

Walaupun tidak mendedahkan nama mereka yang terbabit, Elmer mendakwa cakera itu mengandungi maklumat mengenai 40 ahli politik.

Pelanggan lain, termasuk ahli perniagaan dan syarikat antarabangsa.

Menurut Elmer, nama yang terkandung dalam dokumen itu ialah dari Britain, Amerika Syarikat, Jerman, Austria, Asia dan dari merata dunia.

Bekas eksekutif Bank Julius Baer, antara bank ternama di Switzerland itu berkata, dia mendedahkan maklumat itu kerana mahu mendidik masyarakat. - DM

Monday, December 27, 2010

Assange tandatangani perjanjian buku RM4.6j



LONDON - Pengasas laman kontroversi WikiLeaks, Julian Assange menandatangani perjanjian untuk autobiografinya yang bernilai lebih daripada 1 juta pounds (RM4.6 juta), semalam.


Assange semasa ditemu bual akhbar :Sunday Times: Britain berkata, wang jualan bukunya dapat membantu bekas penggodam komputer itu mempertahankan dirinya untuk melawan tuduhan jenayah seksual yang didakwa oleh dua wanita di Sweden.


"Saya tidak mahu menulis buku ini tetapi saya terpaksa kerana saya sudah menghabiskan 200,000 pounds (RM956,000) untuk kos guaman dan saya perlu membela diri serta menyelamatkan WikiLeaks," katanya.


Seorang jurucakap kerajaan Australia melaporkan Assange akan menerima AS$800,000 (RM2.5 juta) daripada penerbit Amerika Syarikat (AS), Alfred A Knopf dan perjanjian bersama dengan Canongate yang bernilai 325,000 pounds (RM1.6 juta).


"Wang dari pasaran lain dan penerbitan bersiri ini diharapkan dapat meningkatkan jumlah keseluruhan menjadi 1.1 juta pounds (RM5.2 juta)," katanya.


WikiLeaks adalah projek ciptaan Assange, di mana puluhan ribu dokumen sulit AS telah dikeluarkan secara berperingkat ke seluruh dunia.

Saturday, December 25, 2010

Assange ramal kena bunuh di AS



Julian Assange

Pengasas WikiLeaks diugut sejak siar kabel diplomatik 

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange percaya ada 'kemungkinan besar' dia akan dibunuh dalam penjara Amerika Syarikat jika diekstradisi dari Britain atas tuduhan mengintip.Warga Australia itu yang berada di Britain dengan ikat jamin, berusaha menghalang Sweden daripada mengekstradisinya berhubung dakwaan penderaan seks, tetapi Washington dipercayai sedang menimbang bagaimana untuk mengenakan tindakan ke atasnya berikutan pembocoran kabel diplomatik AS.

Assange, 39, memberitahu akhbar The Guardian, adalah ‘mustahil dari segi politik’ untuk Britain menyerahkannya kepada AS kerana kerajaan Perdana Menteri, David Cameron tidak mahu menunjukkan ia mengikut telunjuk Washington. 

“Dari segi undang-undang, United Kingdom berhak tidak mengekstradisi sesiapa kerana jenayah politik. Mengintip adalah satu contoh jenayah politik,” katanya. 
AS juga sedang berusaha berpakat dengan Bradley Manning, askar AS yang disyaki menyalurkan maklumat kepada WikiLeaks. 

Assange menambah, jika AS berjaya mengekstradisinya, kemungkinan besar dia akan dibunuh seperti yang dilakukan ke atas Jack Ruby ketika dalam tahanan AS. 
Ruby, pemilik kelab malam, ditembak Lee Harvey Oswald di balai polis Dallas, Texas beberapa hari selepas Oswald ditahan kerana membunuh Presiden John F Kennedy pada 1963. 
Assange sebelum ini menyatakan dia dan kakitangan WikiLeaks menerima ugutan bunuh sejak laman web berkenaan mula mendedahkan sebahagian daripada 250,000 kabel rahsia Jabatan Negara AS, November lalu. 

Sejak dibebaskan dari penjara minggu lalu, Assange, menumpang di rumah agam rakannya di timur England dengan jaminan ketat dia perlu melaporkan diri kepada polis setiap hari dan memakai alat pengesan elektronik. 

Mahkamah di London dijadualkan mengadakan perbicaraan penuh ekstradisinya ke Sweden mulai 7 Februari depan. 

Sementara itu, di DUBAI, Ketua Polis Dubai berkata WikiLeaks akan mengesahkan tuduhannya bahawa perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, bertanggungjawab atas pembunuhan seorang komander Hamas yang sedang melawat negara berkenaan 20 Januari lalu. 

“Dokumen yang dibocorkan itu membuktikan kebenaran mengenai pembabitan Mossad, tetapi akan ada orang yang akan menafikannya walaupun ada dokumen yang dibocorkan,” kata Dahi Khalfan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris di sini, Gulf News. – AFP

Monday, December 20, 2010

WikiLeaks sasar Bank of America





2010/12/20

SEORANG penyokong WikiLeaks di London membawa sepanduk menuntut pihak berkuasa tidak menghukum Assange.
SEORANG penyokong WikiLeaks di London membawa sepanduk menuntut pihak berkuasa tidak menghukum Assange.
Assange berang kena sekatan institusi kewangan 

NEW YORK: Pengasas WikiLekas, Jilian Assange semalam berikrar untuk membocorkan maklumat mengenai bank pula kerana pertubuhan pimpinannya sering menjadi sasaran serangan institusi kewangan tertentu.
“Kami sering diserang, bukan oleh kerajaan terutama, walaupun keadaan semakin panas sekarang tetapi bank termasuk dari Dubai, Switzerland, Amerika Syarikat, United Kingdom, jadi pastinya kami akan terus menyiarkan bahan mengenai bank,” katanya kepada televisyen CNBC.
Dalam satu temubual disiarkan bulan lalu oleh majalah Forbes, Assange mendakwa satu ‘kebocoran mega’ terbaru akan menyasarkan sebuah bank utama Amerika, awal tahun depan. 

Assange berkata, kebocoran maklumat bank terbabit akan memberikan gambaran sebenar mengenai bagaimana institusi itu bertindak di peringkat eksekutif dalam cara akan merangsang siasatan dan perbaharuan.’ 

Rakyat Australia itu berkata, beliau bersedia untuk mendedahkan berpuluh ribu dokumen yang mungkin akan menjatuhkan satu atau dua bank. Sasaran utama adalah Bank of America, berdasarkan komen tahun lalu daripada Assange. 

Selepas menyiarkan beribu-ribu kabel diplomatik rahsia, Assange ditahan kerana serangan seksual dan menyaksikan sekurang-kurangnya satu akaun bank Switzerland dibekukan. 
Bank of America pula menyertai langkah MasterCard, PayPal, Visa Europe dan agensi perbankan lain untuk tidak memproses transaksi WikiLeaks. 

Sementara itu, di STOCKHOLM, dua wanita Sweden yang menuduh Assange merogol, melakukan pencabulan seksual secara paksaan didedahkan sebagai aktivis wanita berusia 31 tahun dan seorang peminatnya berusia 27 tahun. 

Sejak kes itu didedahkan, mereka mula menjauhkan diri daripada menjadi tumpuan dengan seorang daripadanya ke wilayah Palestin untuk misi Kristian manakala seorang lagi memotong talian telefonnya. 

Identiti mereka dirahsiakan oleh pendakwa Sweden. Mereka dinamakan sebagai Miss A dan Miss W dalam perbicaraan di sebuah mahkamah British. 

Mereka masih menangguhkan tuntutan untuk mengesktradisi Assange ke Sweden untuk soal siasat mengenai dakwaan kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu. – AFP
bharian

WikiLeaks masih berfungsi




RUMAH yang didiami oleh Assange di Ellingham selepas dia dibebaskan dari penjara di London pada Khamis lalu.


ELLINGHAM, United Kingdom - Bekas penggodam yang kini menjadi amat terkenal, Julian Assange (gambar kecil) semalam menyatakan laman web WikiLeaks yang diasaskannya masih berfungsi dengan lancar walaupun Bank of America menghentikan transaksi kewangan ke laman itu.
Dia membuat kenyataan itu semasa tinggal di rumah rakannya yang juga seorang wartawan di sini setelah dibebaskan daripada tahanan dengan ikat jamin pada Khamis lepas.
Assange ditahan atas dakwaan dia mencabul dan merogol dua wanita di Sweden.
Penggodam yang juga wartawan itu ditahan pada 7 Disember lalu oleh polis Britain semasa dia berada di Britain.
Namun, dia perlu melaporkan diri di sebuah balai polis berhampiran dan memakai tag elektronik.
Menurut pihak Bank of America, pihaknya menghalang transaksi itu kerana percaya bahawa WikiLeaks mungkin terlibat dengan aktiviti yang tidak sesuai dengan dasar dalaman bank berkenaan.
Sebelum ini, MasterCard, PayPal dan Visa Europe turut menghalang transaksi ke laman berkenaan.
Laman web WikiLeaks telah mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik yang mengandungi maklumat sulit Amerika Syarikat (AS).
Maklumat itu turut mengandungi komen pemimpin AS terhadap ketua kerajaan negara lain.
"Kita merupakan pertubuhan yang kuat. Semasa saya berada di dalam kurungan, kami meneruskan penyiaran maklumat pada setiap hari dan ia tidak akan berubah," kata Assange.
Dalam perkembangan pendedahan WikiLeaks kelmarin, pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan siasatan sedang dilakukan berhubung dakwaan Presiden Sudan, Omar al-Bashir memasukkan AS$9 bilion (RM28.21 bilion) ke dalam akaun-akaun bank. - Agensi

Sunday, December 19, 2010

Bank Amerika hentikan semua transaksi WikiLeaks





2010/12/19

WASHINGTON: Bank of America, bank terbesar di Amerika Syarikat (AS) semalam menghentikan semua transaksi perbankan WikiLeaks, mengikuti langkah yang diambil institusi lain yang menolak proses pembayaran menerusi internet bagi laman web yang mendedahkan rahsia kerajaan Amerika itu. 

“Bank of America bersama dengan pihak lain, MasterCard, PayPal, Visa Europe dan sebagainya untuk tidak lagi memproses sebarang bentuk transaksi kepada WikiLeaks,” kata bank itu dalam satu kenyataan.
“Keputusan ini diambil berdasarkan sebab yang konkrit bahawa WikiLeaks membabitkan diri dalam aktiviti yang antaranya tidak sejajar dengan polisi dalaman kami," katanya.
Tindakan itu dibuat selepas pengasas WikiLeaks, Julian Assange mendakwa dalam satu temubual bersama Majalah Forbes bahawa satu kejutan paling hebat membocorkan maklumat membabitkan institusi bank di Amerika akan dilakukannya, awal tahun depan. 

Assange semalam juga memberitahu, beliau akan berusaha mendapatkan dana awam dan antarabangsa bagi memastikan laman webnya itu terus berfungsi.

Saturday, December 18, 2010

Assange janji dedah lebih banyak maklumat


LONDON 17 Dis. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange (gambar) berikrar untuk membersihkan namanya daripada segala tuduhan jenayah dan akan terus bekerja kuat untuk mendedahkan lebih banyak maklumat rahsia selepas dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.
Assange dan peguamnya berkata, usaha untuk mengekstradisinya dari Britain ke Sweden untuk disiasat atas kesalahan jenayah seksual, sebagai satu tindakan jahat dan bermotif politik.
"Saya mahu meneruskan kerja saya dan pada masa yang sama akan membuktikan bahawa saya tidak bersalah, selain terus membongkarkan semua rahsia sulit di seluruh dunia.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih menyokong saya dan pasukan saya, walaupun ketika saya berada di dalam tahanan pihak berkuasa," kata Assange.
Tambah Assange, beliau ada mendengar khabar angin yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mendakwanya atas kesalahan melakukan aktiviti perisikan.
Tindakan Assange mendedahkan beribu-ribu dokumen kabel diplomatik AS dalam laman webnya telah menimbulkan kemarahan Washington, malah, ramai pihak mendakwa beliau ditangkap kerana tindakannya tersebut.
"Kami menerima maklumat daripada seorang peguam AS yang mendakwa, saya akan didakwa oleh AS kerana melakukan risikan," katanya kepada Sky News, hari ini.
Pembebasan Assenge tertangguh selama beberapa jam sebelum wang ikat jamin berjumlah AS$374,000 (RM1.17 juta) berjaya dikumpulkan daripada penyokongnya termasuk pengarah filem terkenal, Michael Moore.
Seorang hakim kanan mahkamah Britain sebelum itu menolak rayuan peguam yang mewakili Sweden supaya Assenge terus ditahan dipenjara sementera menunggu untuk diekstradisi.
Assange turut diarahkan oleh mahkamah untuk melapor diri kepada polis, dikenakan perintah berkurung serta diwajibkan mengenakan penanda keselamatan. - AFP

Friday, December 17, 2010

Pengasas WikiLeaks bebas


17/12/2010 2:45am

LONDON 17 Dis. – Pengasas WikiLeaks, Julian Assange berjanji untuk membersihkan namanya dari tuduhan melakukan serangan seksual dan meneruskan usahanya dalam laman web pendedahan itu selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.
“Saya akan membuktikan yang saya tidak bersalah dan meneruskan kerja saya di WikiLeaks,” kata Assange ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi dengan dikerumuni oleh jurugambar dan jurukamera.
Beliau dan peguamnya bertegas bahawa tindakan untuk mengekstradisinya dari Britain ke Sweden untuk berhadapan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap dua wanita adalah bermotifkan politik.
Mahkamah Tinggi London semalam mengekalkan keputusan mahkamah rendah sebelum ini yang membenarkan pengasas Assange dibebaskan dengan diikat jamin. – AFP

Thursday, December 16, 2010

WikiLeaks: Lagi pendedahan


SINGAPURA 15 Dis. – Singapura mempertikaikan kesahihan kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) yang mengandungi kenyataan menghina terhadap pemimpin politik Malaysia yang dibuat oleh beberapa pegawai tingginya, selepas Kuala Lumpur menyuarakan bantahan keras berhubung kenyataan itu.
Akhbar Sydney Morning Herald pada Ahad lalu menyiarkan kabel diplomatik AS dalam WikiLeaks yang memetik diplomat Singapura sebagai menggambarkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘seorang oportunis’ dan mengecap para pemimpin Malaysia sebagai ‘tidak cekap’. – DPA

Monday, December 13, 2010

Penyokong WikiLeaks berarak seluruh dunia



LONDON - Penyokong WikiLeaks dijadualkan akan mengadakan satu perhimpunan di beberapa bandar seluruh dunia untuk memprotes penangkapan pengasas WikiLeaks, Julian Assange, di mana dia ditahan di sebuah penjara di London atas dakwaan jenayah seksual yang tidak berkaitan dengan laman sesawang kontroversialnya, kelmarin. 

Satu laman sesawang Sepanyol yang menyokong WikiLeaks menyeru penyokong untuk berhimpun di sekitar Peru, Mexico, Argentina, Netherlands dan Colombia untuk menuntut Assange dibebaskan dari tahanan. 

Laman sesawang itu turut menyeru penunjuk perasan untuk berhimpun di sekitar Madrid, Barcelona, Valencia dan di seluruh bandar di Sepanyol. 

Perhimpunan yang sama turut di adakan di negara kelahiran Assange di Australia pada Jumaat lalu, dan penunjuk perasaan juga dijadualkan akan meneruskan protes mereka di hadapan Mahkamah Westminster London, serta di Kedutaan Sweden yang berlangsung hari ini dan esok. 

Assange ditahan di penjara Wandsworth di selatan London, untuk diserah kepada kerajaan Sweden atas dakwaan jenayah seksual merogol dan mencabul dua wanita warganegara itu pada Ogos lalu.

WikiLeaks dedah kenyataan diplomat Singapura





2010/12/13

Nota sulit tuduh kepemimpinan Malaysia amal rasuah

SINGAPURA: Kabel WikiLeaks semalam mendedahkan beberapa kenyataan diplomat Singapura terhadap pemimpin negara Asia, termasuk Malaysia, yang dianggap mengamalkan rasuah, tidak cekap atau bodoh.
Nota sulit diplomatik disalurkan oleh laman itu kepada kumpulan media Fairfax Australia mengandungi penilaian tidak menyenangkan mengenai tokoh utama di Malaysia, Thailand, India dan Jepun.“Kepemimpinan tidak cekap adalah masalah besar kepada Malaysia,” Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Bilahari Kausikan dilaporkan menyatakan demikian kepada Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat bagi Asia Timur, David Sedney dalam kabelnya bertarikh September 2008.

Justeru, ‘keadaan di negara jiran, Malaysia adalah mengelirukan dan berbahaya,’ dan ‘kemungkinan jelas boleh berlaku konflik perkauman’ yang menyaksikan golongan etnik Cina ‘melarikan diri’ dari Malaysia dan ‘membanjiri’ Singapura, Bilahari dipetik sebagai berkata. 

Seorang lagi pegawai, Peter Ho, dilaporkan menyifatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘seorang oportunis’ yang ‘tidak teragak-agak’ mencari kesalahan Singapura jika beliau ‘perlu melakukannya’.

Bilahari juga bersikap kritikal terhadap kerajaan Thailand dengan melabel perdana menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra sebagai pemimpin yang ‘mengamalkan rasuah’, di samping ‘sesiapa saja, termasuk pembangkang’. 
Beliau berkata Thaksin ‘tidak tetap pendirian dan mudah terpengaruh’, dan memberi amaran mengenai ketidakstabilan di Thailand.

Dalam satu lagi memo pada 2009, duta bebas Singapura, Tommy Koh – yang selalunya bersopan dan berhemah di khalayak – membuat teguran tidak menyenangkan mengenai Jepun dan India.

“Koh menyifatkan Jepun sebagai ‘pihak yang sentiasa tewas’ dalam penambahbaikan hubungan di antara China dan ASEAN,” menurut kabel yang dibocorkan, memperincikan mesyuarat di antaranya dan pegawai AS.

“Beliau berkata kejatuhan Jepun di rantau berkenaan berpunca daripada kebodohan negara itu sendiri, kepemimpinan teruk dan kurang berwawasan,” katanya.

“Beliau juga tidak menunjukkan belas kasihan kepada India, apabila menyifatkan ‘kawasan bodoh India’ sebagai ‘separuh masuk ASEAN dan separuh lagi keluar.’

Tiada reaksi segera daripada kerajaan Singapura berikutan pembocoran itu, tetapi akhbar Straits Times yang prokerajaan memetik kenyataan kontroversi itu dan menyiarkannya dalam laman webnya. – AFP 

INFO


  • WikiLeaks adalah organisasi yang menggunakan laman web untuk membocorkan dokumen sulit, rahsia kerajaan dan syarikat korporat.

  • Laman web itu yang dilancarkan pada 2006 dan beroperasi dari Sweden, menerima maklumat sulit daripada pelbagai pihak yang dirahsiakan.

  • Pada Julai 2010, Wikileaks membocorkan lebih 76,9000 dokumen berkaitan Perang Afghanistan sebelum menyiarkan hampir 400,000 dokumen mengenai Perang Iraq, dua bulan lalu.

  • Pengasasnya, Julian Assange kini ditahan di Britain bagi kesalahan mencabul dua wanita Sweden.
  • Friday, December 10, 2010

    Perang penggodam WikiLeaks




    SKRIN laman MasterCard.com yang digodam oleh penggodam kelmarin.




    LONDON - Perang penggodam antara kumpulan pro-WikiLeaks dengan anti-WikiLeaks semakin meluas dengan mangsa terbaru melibatkan sebuah akhbar di Lebanon semalam.
    Sebelum ini, laman MasterCard dan Visa digodam oleh kumpulan pro-WikiLeaks.
    Kumpulan itu menyokong pengasas laman WikiLeaks yang membocorkan lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) di Internet. Julian Assange kini ditahan di Britain atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.
    "Kami berasa gembira untuk memberitahu anda bahawa http://www.mastercard.com/ kini tidak berfungsi dan ia disahkan," kata satu mesej di laman Twitter yang dihantar sebuh kumpulan dikenali sebagai AnonOps.
    Kumpulan itu menentang sekatan dan tapisan maklumat.
    Laman Visa tidak berfungsi pada Isnin lalu di AS dan kumpulan yang sama bertanggungjawan melakukan penggodaman itu.
    Bagaimanapun, urusan penggunaan kedua-dua kad itu tidak terjejas.
    Sumber-sumber memberitahu agensi berita Reuters bahawa WikiLeaks akan mendedahkan laporan mengenai suspek militan yang ditahan di penjara Teluk Guantanamo.
    Sementara itu, pihak berkuasa pendakwa raya Sweden yang mengeluarkan waran tangkap Assange menyatakan pihaknya telah membuat aduan kepada polis berhubung serangan siber.
    Sementara itu, laman web akhbar Al-Akhbar semalam turut digodam selepas ia menyiarkan maklumat rahsia kabel diplomatik AS yang dibocorkan WikiLeaks.
    Akhbar itu mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Hezbollah.
    Seorang editor akhbar itu, Omar Nashabe berkata, serangan itu adalah yang paling serius sejak akhbar tersebut diwujudkan pada 2006. - Agensi

    Bilik rahsia WikiLeaks seperti filem James Bond



    BEBERAPA orang bekerja di bilik bawah tanah WikiLeaks di Stockholm, Sweden.


    STOCKHOLM, Sweden – Bilik bawah tanah yang menempatkan pelayan-pelayan komputer milik pengasas laman web Wikileaks, Julian Assange (gambar) umpama set filem James Bond, lapor sebuah akhbar semalam.
    Bilik itu menempatkan pelayan komputer mengandungi ratusan ribu e-mel dan dokumen rahsia yang menggemparkan seluruh dunia.
    Sebelum ini, laman WikiLeaks mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik melibatkan Amerika Syarikat (AS) yang mengandungi maklumat sulit.
    Bilik bawah tanah itu merupakan bekas bilik bawah tanah nuklear sewaktu Perang Dingin.
    Ia yang dibuka semula pada tahun 2008 menampilkan rekaan futuristik oleh seorang arkitek Sweden, Albert France-Lanord yang mendapat ilham daripada set filem James Bond ciptaan Sir Kenneth Adams.
    PINTU masuk ke bilik bawah tanah laman WikiLeaks di Stockholm, Sweden.


    Ruang yang luas itu digali di bahagian bawah Taman Vita Berg di Stockholm.
    Bilik itu dilengkapi dengan sebuah bilik persidangan, koridor kaca dan perabot-perabot mahal.
    Pokok-pokok juga dapat hidup kerana terdapat cahaya matahari selain wujudnya air tejun buatan.
    Enjin kapal selam Jerman, U-Boat, digunakan sebagai janakuasa kecemasan.
    Assange memilih Sweden kerana undang-undang negara itu melindungi kumpulan yang memperjuangkan kebebasan bersuara.
    Di bawah undang-undang Sweden, WikiLeaks dan pihak yang membocorkan maklumat sulit tidak boleh didakwa.
    Laman WikLeaks dibiaya menerusi sumbangan orang awam.
    Assange kini ditahan di Britain selepas polis menangkapnya dengan menggunakan waran tangkap polis Sweden atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita. – Agensi