Pages

Tuesday, December 3, 2013

Dron dicipta untuk hantar barang


GAMBAR tidak bertarikh yang disiarkan Amazon.com kelmarin menunjukkan sebuah dron membawa sebuah bekas yang dicipta untuk menghantar barang bergerak di udara.


WASHINGTON - Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos kelmarin mendedahkan bahawa syarikatnya merancang untuk menggunakan dron mini bagi menghantar barang kepada pelanggan dalam tempoh hanya 30 minit.
Amazon merupakan syarikat peruncitan gergasi di Amerika Syarikat (AS) yang menjual pelbagai jenis barang menerusi internet.
Namun, dron ciptaan syarikat itu masih perlu menjalani ujian keselamatan dan memperoleh kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS.
Satu rakaman video yang disiarkan di laman web syarikat tersebut menunjukkan dron itu menghantar barang kepada pelanggan dalam tempoh 30 minit selepas pembelian dibuat menerusi Amazon.com.
"Kami boleh menghantar barang dalam tempoh 30 minit. Ia (dron) boleh membawa barang sehingga 2.3 kilogram.
Barang itu diletakkan di dalam sebuah kotak kecil yang kemudian akan digugurkan di rumah pelanggan.
Dron kecil itu dijana dengan kuasa elektrik dan mampu menghantar barang dalam jarak lingkungan 16 kilometer dari pusat penghantaran," kata Bezos dalam program 60 Minutes terbitan stesen televisyen CBS.
Dron itu dilengkapi dengan sistem penentu kedudukan global.
Menurut Bezos, penggunaan dron itu adalah lebih baik berbanding trak kerana ia boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2mMX4TrsE 
Hakcipta terpelihara