Pages

Friday, September 7, 2012

Wanita Turki tembak alat sulit, penggal kepala perogol




7 September 2012
Wanita Turki tembak alat sulit, penggal kepala perogol
Nevin (gambar kanan, atas) menembak dan memeggal Nurettin yang merogolnya selama lapan bulan. Foto utama menunjukkan kepala Nurettin (dibulatkan). – Foto ihsan crimelibrary
SEORANG wanita Turki sedang menunggu perbicaraannya selepas dia ditahan kerana memenggal kepala seorang lelaki yang dikatakan merogolnya berulang kali selama lapan bulan.

Wanita berkenaan membunuh lelaki itu demi maruah diri, kata peguamnya.

Nevin Yildirim, 26, ibu kepada dua cahaya mata, tinggal di sebuah kampung kecil di barat daya Turki.

Menurut sumber yang dekat dengan kes, lelaki durjana itu, Nurettin Gider dikatakan mula menyerang wanita itu beberapa hari selepas suaminya meninggalkannya pada Januari lalu untuk bekerja di bandar lain.

Tambah sumber itu, Nurettin telah mengancam Nevin dengan pistol dan mengugut akan membunuh anak-anaknya yang berumur dua dan enam tahun jika dia bising.

“Selepas itu, itu adalah pertama kali Nevin dirogol dan kemudiannya perbuatan itu terus berulang selama lapan bulan.

“Pada satu ketika, Nevin berkata, Nurettin menyelinap ke dalam rumahnya ketika dia sedang tidur dan mengambil gambar dia dan salah sekeping gambar itu menunjukkan badannya yang sedang berbadan dua.

“Lebih kejam, Nurettin mengugut untuk menyiarkan gambar jika dia tidak taat kepadanya,” kata sumber itu lagi.

Di kampung-kampung kecil di negara itu, harga diri seorang wanita adalah segala-galanya dan penghormatan itu menjadi beban kepada keluarga mereka.

Sementara itu, gambaran buruk yang berlaku ke atas Nevin, boleh mendatangkan bahaya kepada keluarganya.

Pada 28 Ogos lalu, ketika sedang sarat mengandung lima bulan, Nevin akhirnya memutuskan untuk menghentikan tindakan lelaki itu dari terus merogolnya.

Ketika Nurettin memanjat dinding belakang rumahnya, "saya tahu dia akan rogol saya lagi," katanya pada pendengaran awal pada 30 Ogos lalu.

Nevin berkata, ketika itu, dia mengambil senapang bapa mertuanya yang tergantung di dinding dan menembaknya.

Nurettin bagaimanapun cuba merampas senapang itu tetapi gagal dan Nevin ‘menghadiahkan’ sedas lagi tembakan.

"Saya mengejar dia," katanya. "Dia jatuh di atas tanah dan mula mengerang kesakitan. Saya kemudiannya menembak organ seksualnya dan lelaki itu terus diam.

“Saya tahu dia telah mati dan kemudian memotong kepalanya," katanya.

Saksi kejadian berkata, Nevin berjalan ke sekeliling kampung membawa kepala lelaki itu sambil menggenggam rambutnya.

"Jangan bercakap di belakang saya, jangan bermain dengan penghormatan saya.

"Ini ialah kepala manusia yang bermain dengan penghormatan saya," katanya kepada seorang lelaki yang duduk di sebuah kedai kopi.

Nevin kemudiannya melemparkan kepala Nurettin ke tanah, kata saksi.

Tidak lama kemudian, jurukamera dari agensi penyiar Turki, DHA yang tiba di tempat kejadian sebelum pihak berkuasa, berjaya merakamkan kepala Nurettin di atas tanah.

Selepas kejadian itu, pihak berkuasa memanggil saksi untuk membantu siasatan dan wanita itu ditangkap.

Nurettin, 35, merupakan bapa kepada dua anak yang berusia sembilan dan 15 tahun. Dia telah berkahwin dengan ibu saudara suami Nevin.

Menurut sumber, ketika diadili, Nevin memberitahu dia menyesali apa yang berlaku.

"Pada mulanya saya ada terfikir untuk melaporkan kejadian yang menimpanya kepada pihak polis ataupun peguam daerah, tetapi saya tidak mahu dikatakan sebagai perempuan murahan.

"Daripada saya mendapat reputasi yang buruk, saya telah membuat keputusan untuk membersihkan maruah diri saya dan membunuhnya.

“Saya juga terfikir untuk membunuh diri tetapi saya tidak tergamak melakukannya,” kata Nevin yang bimbang orang ramai akan menghakimi anak-anaknya atas apa yang berlaku.

"Sekarang tiada siapa yang boleh memanggil anak-anak saya haram.

"Saya telah membersihkan penghormatan saya. Semua orang akan memanggil anak-anak saya sebagai ‘anak-anak wanita yang dibersihkan maruahnya,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, Nevin telah pergi ke sebuah klinik kesihatan untuk melakukan pengguguran, tetapi jururawat memberitahunya adalah mustahil untuk meneruskan hasratnya itu kerana dia sudah 14 minggu hamil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, di Turki, pengguguran dibenarkan hanya semasa 10 minggu pertama kehamilan dan selain itu pengguguran hanya dibenarkan untuk kes-kes untuk menyelamatkan nyawa atau kesihatan ibu atau dalam kes-kes kerosakan janin sahaja.

Sewaktu kes Nevin dibicarakan, dia mengakui tidak mahu menjaga bayi itu dan lebih rela mati.

Pejabat pendakwa raya telah mengarahkan pemeriksaan perubatan dijalankan ke atasnya untuk mematikan sama ada Nevin pernah membuat pengguguran yang mungkin mengganggu kestabilan mentalnya, kata sumber itu.

Bapa Nevin, Zekeriya Yildiz berkata, DNA anak perempuannya menunjukkan tidak ada elemen sumbang muhrim di kalangan keluarganya.

"Jika dia ada memberitahu kami, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga lain," katanya.

Sementara itu, Nevin kini ditempatkan di penjara tempatan sementara menanti hari perbicaraan.

Dalam satu laporan tahun lepas, kumpulan pemerhati Hak Asasi Manusia menjelaskan bahawa terdapat jurang dalam undang-undang Turki di mana gadis dan wanita tidak dilindungi daripada penderaan domestik.

Mereka mendapati, kira-kira 42 peratus wanita yang berusia lebih 15 tahun tinggal di bandar dan 47 peratus wanita berada di luar bandar dilaporkan mengalami keganasan fizikal atau seksual sama ada oleh suami atau pasangan mereka.

“Dia telah hidup dalam trauma yang sangat dahsyat.

“Dia mesti didakwa kerana mempertahankan diri," kata ahli sosiologi di Universiti Akdeniz dan ahli Organisasi Sokongan Wanita Antalya, Gursel Oztunali Kayir.


*Diterjemah dari laporan CNN

Tahanan diseksa guna air



WASHINGTON 6 Sept. - Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran bekas Presiden George W. Bush, didakwa melaksanakan kaedah penyeksaan menggunakan air (waterboarding) terhadap penentang pemimpin Muammar Gaddafi sebelum menyerahkannya kepada kerajaan Libya untuk terus diseksa.
Satu laporan oleh Human Rights Watch hari ini berkata, seorang bekas tahanan mendakwa telah diseksa dengan kaedah 'waterboarding' dan seorang lagi menyifatkannya sebagai penyeksaan menggunakan air.
Dakwaan itu sekali gus menunjukkan penggunaan kaedah penyeksaan itu yang berleluasa ketika era pemerintahan Bush, berbeza dengan kenyataan rasmi sebelum ini.
"AS bukan sahaja membantu menangkap musuh Gaddafi, tetapi Agensi Perisikan Pusat (CIA) turut menyeksa mereka terlebih dahulu.
"Tindakan mereka itu juga dilihat lebih meluas berbanding yang diketahui sebelum ini, sekali gus menggariskan kepentingan pembukaan siasatan penuh untuk mengetahui apa yang berlaku," kata penulis laporan itu, Laura Pitter.
Kumpulan Penentang Islam Libya (LIFG), sebuah pergerakan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda tetapi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggulingkan Gaddafi, ditangkap tanpa dibicarakan dari beberapa negara selepas insiden serangan 11 September.
Pitter berkata, sekurang-kurangnya lima orang mengalami 'penyeksaan serius' di pusat tahanan AS di Afghanistan yang dipercayai dikendalikan oleh CIA, termasuk 'waterboarding' dan beberapa penyeksaan air lain.
Penyeksaan lain termasuklah dirantai di dinding selama seminggu atau sebulan, dipukul dan dihempas ke dinding serta dilarang tidur untuk tempoh masa yang lama dengan memasang muzik Barat secara kuat.
Menurut kumpulan yang beribu pejabat di New York itu, laporan tersebut dibuat berdasarkan penemuan dokumen di pejabat ketua perisikan Gaddafi, Musa Kusa selepas pemberontak menawan Tripoli tahun lalu, selain temu bual dengan bekas tahanan yang dibebaskan selepas kejatuhan bekas pemimpin Libya itu. - AFP

Penduduk Gaza harap kepimpinan baharu Mesir akhiri pengasingan




7 September 2012
Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
SEMENANJUNG GAZA - Penduduk Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza berharap kepimpinan baharu Mesir akan menamatkan pengasingan mereka daripada dunia luar yang dilakukan sejak era pemerintahan Hosni Mubarak.
Berasa optimistik dengan kebangkitan rakyat Mesir itu, penduduk Gaza membanjiri jalan raya untuk meraikan kejayaan Mohammed Morsi yang disokong Ikhwanul Muslimin, sebagai presiden baharu Mesir.
Mereka menunggu bantuan dan kemudahan yang akan ditawar Mesir termasuk pembukaan kekal sempadan Rafah, pembekalan bahan api dan air serta pengakhiran kepada perbalahan antara Hamas dan Fatah.
Ramai rakyat Palestin menuduh bekas presiden Mesir Hosni Mubarak yang digulingkan menerusi revolusi pada 2011, bekerjasama dengan Israel dalam memperhebatkan sekatannya ke atas Semenanjung Gaza.
Kebanyakan penduduk Gaza menggunakan sempadan Rafah untuk keluar-masuk wilayah itu, iaitu satu-satunya jendela Gaza untuk melihat dunia luar, namun ketika era Mubarak laluan tersebut ditutup hampir sepenuhnya.
Sekarang, laluan itu menyaksikan pergerakan kira-kira 1,500 pengguna dari Gaza setiap hari, satu langkah yang diharapkan penduduk Palestin akan ditambah baik sementara menunggu pihak berkuasa Mesir membuka laluan itu 24 jam sehari.
Semenanjung Gaza yang memiliki keluasan 365 kilometer persegi dikelilingi empat laluan utama di bawah kawalan Israel kecuali Rafah yang dikawal Mesir dan kerajaan Hamas.
Wilayah di pesisir laut itu juga pernah memiliki lapangan terbang namun dimusnahkan sepenuhnya oleh Israel selepas gerakan Intifada kedua pada tahun 2000.
Pada Julai lepas, Perdana Menteri Hamas di Gaza, Ismail Hanyieh bertemu Morsi di Kaherah yang berjanji untuk menarik balik sekatan dan melanjutkan waktu bekerja di sempadan Rafah serta menambah baik kualiti kehidupan di Semenanjung itu.
Israel mengenakan kawalan ketat menutup Semenanjung Gaza pada 2007 atas alasan menghalang penghantaran senjata api kepada Hamas, kumpulan bersenjata yang merampas Gaza daripada kumpulan Fatah yang disokong pihak Barat.
Pelajar perubatan Mohammed Safi yang sedang menuntut di Kaherah berharap penambahbaikan di sempadan Rafah akan memudahkan pergerakan beliau untuk keluar-masuk ke wilayah itu.
"Selepas bertahun-tahun menderita di bawah rejim Mubarak, Presiden Morsi perlu membuka lembaran baharu dengan penduduk Gaza," katanya kepada Bernama.
"Kami ada hak untuk bergerak tanpa sekatan," katanya.
Hamas cuba menggunakan perubahan di Mesir itu sebagai kuasa untuk mencegah keganasan Israel di Gaza. Dalam tempoh dua hari lepas, rejim zionis itu melakukan serangan yang menyebakan enam penduduk Palestin terkorban, dan Hamas menyifatkan keganasan itu sebagai tamparan kepada pendirian Morsi yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.
"Kebangkitan Israel berbahaya, tidak ada kewajaran dan hanya menambah kepada perbuatan jenayah Israel. Serangan juga menyasarkan pendirian presiden baharu Mesir yang mahu melindungi perjuangan Gaza dan Palestin," kata Fawzi Barhoom, jurucakap Hamas.
Menteri Ekonomi Hamas Ala Al-Rafati berkata mereka menyediakan pelan untuk mewujudkan zon bebas cukai di kawasan sempadan Gaza dan Mesir.

Kementerian itu juga berkata pihak berkuasa telah memperuntukkan tanah seluas 200 ekar (80 hektar) berhampiran Rafah bagi tujuan tersebut.

"Kewujudan zon bebas cukai akan memainkan peranan penting dalam menarik balik sekatan ke atas Gaza, menggalakkan aktiviti perdagangan dan mengukuhkan perpaduan politik dengan Mesir serta dunia Arab dan Muslim," kata Al-Rafati.

Beliau berkata sebuah delegasi khas akan ke Mesir untuk membincangan cadangan itu dengan pihak yang berkenaan.
Sementara itu, Hanyieh pada mesyuarat pertama jemaah menterinya menggesa pihak berkuasa Mesir melaksanakan cadangan mewujudkan kawasan perdagangan tersebut.
"Saya minta Menteri Dalam Negeri memperkukuhkan keselamatan kawasan sempadan Palestin-Mesir dan saya menggesa Presiden Mesir Mohammed Morsi agar mengarahkan pihak yang berkenaan dalam kerajaannya mempercepatkan prosedur mewujudkan zon bebas cukai," katanya.
Aktivis Palestin Youssef Al-Jamal berkata Mesir mempunyai peranan utama dalam menamatkan penderitaan dan pengasingan penduduk Gaza.
"Kepimpinan baharu di Mesir harus mengambil pendirian tegas untuk mengakhiri krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Kewujudan zon bebas cukai dan penghantaran bekalan bahan api serta simen akan membantu orang miskin di Gaza," katanya kepada Bernama.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan 40 peratus penduduk Gaza berada di bawah garis kemiskinan sementara 80 peratus pula bergantung kepada bantuan yang diagih badan amal.- Bernama

Presiden Mesir mungkir janji?



7 September 2012
Presiden Mesir mungkir janji
Mursi dikatakan menggunakan dasar luar untuk meraih populariti berbanding mengotakan janjinya kepada rakyat
KAHERAH - Mesir masih dilanda masalah gangguan bekalan air dan elektrik serta aktiviti jenayah dilaporkan masih berleluasa di negara itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh beberapa pihak selepas mereka mendakwa Presiden Mohammmed Mursi masih belum menetapkan sebarang jalan penyelesaian untuk menangani  masalah sukar dikawal itu.

Ini kerana Mursi dikatakan lebih memberi perhatian kepada Ikhwanul Muslimin memandangkan pilihan raya baru Parlimen bakal diadakan pada awal tahun hadapan.

Beliau juga cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin berkarisma di rantau Arab.      

Di bawah pakej janji Mursi, antara ikrar beliau adalah untuk memberi kebebasan bersuara, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan membanteras kegiatan jenayah di negara tersebut.

Bagaimanapun dalam tempoh dua bulan pertama, beliau lebih memberi fokus kepada perkara lain berbanding pakej janjinya.

Keadaan itu telah mencetuskan persoalan berhubung keutamaan beliau kerana banyak pihak kini mula menuntut janji dengan mengharapkan keadaan di Mesir yang sebelum ini dikuasai rejim bekas Presiden Hosni Mubarak akan berubah di bawah tampuk pemerintahan Mursi. 

Walaupun pemimpin tersebut didakwa gagal menepati janjinya, namun beliau ada mengambil beberapa inisiatif untuk menangani masalah domestik setakat ini.

Penganalisis politik di Universiti Kaherah, Mustafa Kamel berkata, beliau menggunakan dasar luar untuk meraih populariti berbanding mengotakan janjinya kepada rakyat.

"Bagaimanapun beliau tidak menggunakan isu mengenai hak penduduk Palestin atau keadaan di Syria untuk meningkatkan popularitinya di mata dunia," katanya. 

Sementara itu, tindakan Mursi mengarahkan persaraan dua jeneral kanan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) yang memerintah Mesir selama 17 bulan selepas Mubarak digulingkan menerima pujian banyak pihak terutamanya pihak liberal dan berhaluan kiri di negara tersebut.

Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai perubahan positif dalam proses peralihan kuasa di Mesir kerana ia tidak melibatkan pertumpahan darah.

Pelbagai perubahan yang dilakukan oleh Mursi termasuk membatalkan rombakan Perlembagaan dan melantik bekas hakim, Mahmoud Mekki sebagai timbalan presiden masih tidak dapat memuaskan hati penduduk Mesir.

Rakyat masih mengharapkan peningkatan dalam kehidupan seharian mereka kerana hampir keseluruhan kemudahan dan infrastruktur negara tersebut masih berada pada takuk lama.

"Masalah seperti bekalan elektrik terputus dan hak golongan miskin adalah antara perkara yang perlu diutamakan pada masa ini," kata aktivis terkenal, Gamal Eid.

Menurutnya, negara itu sering mengalami masalah bekalan kuasa sejak beberapa dekad lalu.

Penduduk kini semakin hilang  sabar kerana masalah tersebut masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Difahamkan, Mursi mengambil jalan penyelesaian secara sambil lewa dengan hanya meminta penduduk untuk mencatu penggunaan elektrik.

Pada masa ini, kebanyakan penduduk menyatakan mereka masih berasa selamat untuk bergerak ke mana-mana walaupun kegiatan jenayah seperti rompakan bersenjata, penculikan, curi kereta dan kecurian dilaporkan masih terus berleluasa.

Selain masalah perkhidmatan dan keselamatan, kemerosotan ekonomi juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada sektor pelancongan serta industri intensif buruh memandangkan nilai mata wang Mesir juga dilaporkan telah menyusut kepada lebih satu peratus sejak akhir Jun lalu.

Sementara itu, dalam ucapan pertama berkaitan dasar asing, kelmarin Mursi mempamerkan ketegasan beliau sebagai salah seorang pemimpin di Timur Tengah dengan menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad untuk berundur berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara itu.

Beliau turut memberi amaran kepada Iran supaya tidak campur tangan dengan masalah di negara Arab yang sedang dilanda konflik.

Kedudukan Mursi sebagai pucuk pimpinan di Mesir telah memberi banyak kelebihan kepada Ikhwanul Muslimin kerana mereka kini memegang portfolio penting termasuk Kementerian Komunikasi dan Maklumat.

Tindakan beliau lebih memfokuskan barisan Kabinet berbanding menyelesaikan isu dan masalah rakyat telah menyebabkan banyak pihak kini mula menagih pakej janji yang didakwa masih gagal ditunaikan sehingga kini.

Pemimpin tentera AS lawat Israel secara rahsia




         
BAITULMAQDIS: Naib Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Amerika Syarkat (AS) melakukan lawatan secara rahsia ke Israel ketika ketegangan semakin meningkat berhubung program nuklear Iran.

Radio Tentera Israel berkata, Laksamana James Winnefed berada di negara itu atas jemputan rakan sejawatannya, Mejar Jeneral Yair Naveh.


Tentera Israel bagaimanapun enggan mengesahkan laporan itu.

Setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh ketibaan Winnefed tetapi dia dikatakan berlepas pulang dari Israel, semalam.


Menurut laporan itu, lawatan berkenaan dirahsiakan kerana sensitiviti politik antara Israel dengan Washington mengenai cara menangani program nuklear Iran.


AS dan Israel percaya Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program berkenaan. Republik Islam itu bagaimanapun menafikannya.

Minggu depan, seorang lagi pegawai kanan AS dijangka melawat Israel, lapor laman web berita, Ynet.


Leftenan Jeneral Craig Franklin, Pemerintah Pasukan Tentera Udara Ketiga AS melakukan lawatan itu menjelang latihan bersama tentera kedua-dua pihak yang dijadual bulan depan. - AFP

Usah serang Iran: Russia




         
MOSCOW: Russia semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya tidak menyerang Iran.

Agensi berita Interfax memetik Timbalan Menteri Luar, Sergei Ryabkov sebagai berkata, Moscow tidak melihat sebarang bukti bahawa program nuklear Republik Islam itu bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear.
“Kami memberi amaran kepada mereka yang sudah biasa dengan penyelesaian secara ketenteraan bahawa tindakan seperti itu adalah berbahaya kepada kestabilan serantau.

“Serangan terhadap Iran akan memberi kesan amat buruk kepada keselamatan dan ekonomi.


“Kesannya juga akan mejangkau jauh dari sempadan Asia Barat,” kata Ryabkov.


Pegawai Russia sebelum ini memberi amaran serupa tetapi kenyataan Rybakov membayangkan kebimbangan Moscow mengenai kemungkinan Israel menyerang kemudahan nuklear Iran.

Retorik Israel yang semakin meningkat mengenai program nuklear Republik Islam itu yang didakwa bertujuan menghasilkan senjata atom mencetuskan spekulasi bahawa Israel mungkin menyerang Iran sebelum pilihan raya Presiden AS November ini.

“Kami seperti sebelum ini, tidak melihat sebarang tanda yang menunjukan program itu bertujuan untuk ketenteraan. Tiada tanda,” kata Ryabkov, pegawai Russia yang bertanggungjawab terhadap urusan diplomasi mengenai program nuklear Iran.

“Kami melihat sesuatu yang berbeza, wujud bahan nuklear di Iran yang di bawah kawalan pemeriksa dan pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Bahan nuklear ini tidak diubah untuk keperluan tentera. Ini disahkan oleh IAEA,” katanya. - Reuters

Daniel tidak lagi takut untuk makan, minum

SEBELUM ini, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambung ke perutnya.
SEBELUM ini, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambung ke perutnya.
LONDON: Seorang budak yang tidak pernah makan sepanjang hidupnya, mencipta keajaiban apabila mengambil makanan untuk kali pertama baru-baru ini, lapor media semalam.
Daniel Harrison, 5, mengalami alahan serius ketika menyusu semasa masih bayi, menyebabkan dia takut kepada makanan atau minuman.

Untuk meneruskan hidup, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub ke perutnya. Namun, hasil rawatan pakar di Austria, Daniel kini boleh menikmati makanan seperti orang lain. Bapanya, Kevin Harrison, 43, berkata tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaannya melihat Daniel mengambil makanan seperti budak normal.

“Ia seperti memenangi Piala Perdana, Piala Eropah dan Piala Dunia sekali gus,” katanya. Menurut Kevin, sesetengah makanan utama perlu dilenyekkan terlebih dulu kerana Daniel masih sukar mengunyah akibat otot di mulutnya tidak berkembang dengan baik.

“Daniel boleh makan apa yang kami makan, dan dia sukakan coklat serta biskut,” katanya. Menurut Kevin, dia amat bangga dengan perubahan berlaku pada Daniel.

“Saya berasa seperti akhirnya berjaya melakukan tanggungjawab sebagai bapa,” katanya. Sebelum ini, Kevin dan isterinya, Catherine, membawa Daniel ke Hospital Universiti di Graz, Austria, untuk membolehkan pakar di situ memberi rawatan sewajarnya.


Kaedah disediakan di hospital itu tidak diamalkan di Britain. Melalui kaedah itu, Daniel berjaya disedarkan bahawa dia memang perlu dan mahukan makanan. Pakar perubatan menggunakan pelbagai kaedah khusus bagi memujuk Daniel supaya lebih terdedah kepada makan dan mengurangkan ketakutan memasukkan makanan ke mulut. Kaedah itu turut dipraktikkan ke atas 12 pesakit dari seluruh dunia dan semuanya berjaya. - DM

AS mengaku mampu serang nuklear Iran




6 September 2012
AS mengaku mampu serang nuklear Iran
Hayden mendedahkan bahawa Israel tidak mampu menyerang kemudahan nuklear Iran disebabkan faktor-faktor geometri, fizik dan kekurangan senjata lengkap.
WASHINGTON - Bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa Amerika Syarikat (AS) adalah satu-satunya negara di dunia yang mampu melaksanakan serangan terhadap kemudahan kuasa nuklear Iran.

Michael Hayden yang berkhidmat di CIA sehingga 2009 lalu, mendedahkan pengakuannya menerusi satu temu bual bersama akhbar tempatan Israel dan berkata bahawa masalah melibatkan lokasi, senjata, simpanan stok penyerang dan koleksi perancangan lengkap bakal berlaku jika negara rejim yang menyerang dan bukannya AS.

"Saya tidak memperkecilkan kuasa Israel, tetapi keadaan geometri dan fizik menerangkan bahawa program nuklear Iran bakal mengundang satu cabaran yang sukar kepada mana-mana tentera," kata Hayden kepada wartawan akhbar Haaretz.

Jelas Hayden, Israel tidak memiliki sumber peperangan lengkap berbanding AS  yang mampu melakukan serangan lengkap secara berulang-ulang bagi memusnahkan kemudahan nuklear Iran.

Sejak berdekad, Israel dilihat tidak berpuas hati dan panas punggung dengan apa sahaja kemajuan diusahakan oleh negara Republik Islam itu khasnya melibatkan pembinaan senjata berteknologi tinggi.

Susulan itu, pelbagai tindakan dilakukan rejim bagi menggagalkan tindakan Iran sehingga menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan beberapa sekatan daripada meneruskan pembinaan senjata nuklear, selain Israel terus bimbang dan mengancam untuk menyerang negara Islam itu.

Walau bagaimanapun, Hayden dengan tegasnya menegah Israel berbuat demikian kerana yakin negara rejim tidak akan berjaya memusnahkan kemudahan nuklear Iran dalam sekelip mata.

Akhbar China beri amaran kepada AS




6 September 2012
Akhbar China beri amaran kepada AS
Jintao (kanan) sedang berbincang dengan Hillary Clinton selepas mengadakan mesyuarat.
BEIJING - Sebuah akhbar tempatan berpengaruh China mengeluarkan amaran terhadap Washington, agar tidak menimbulkan ketegangan di antara China dan jirannya susulan kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ke ibu negara, semalam.

Artikel dalam edisi antarabangsa akhbar People's Daily itu dipaparkan pada hari yang sama ketibaan Clinton, yang mewakili AS kononnya mencari jalan penyelesaian berhubung pertikaian pertindihan kawasan dengan Jepun.

"Menyemai perselisihan faham di kalangan jiran-jiran China tidak mendatangkan keuntungan buat AS," lapor akhbar penyebar maklumat Parti Komunis China yang menggelar strategi negara barat sebagai 'sisa tidak produktif'.

"China dan negara jiran sememangnya mendapat manfaat melalui sokongan perintah aman dalam rantau Asia Pasifik. Jelas sekali AS berasa cemburu kerana terpaksa menyesuaikan diri di Asia Pasifik

"Jika polisi yang dikeluarkan AS menggugat minat dasar China, percayalah ia akan mengundang padah kepada AS dan mereka tidak perlu terkejut jika ianya berlaku," lapor akhbar itu.

Pentadbiran Presiden Barack Obama dilaporkan sedang memperkuat hubungan ketenteraan dengan Asia Tenggara, sekali gus menambah syak kerajaan China bahawa AS cuba mengawal negara itu dan mengehadkan pengaruh Asia.

Bagaimanapun, dua kuasa global itu menerima sepucuk nota perdamaian melibatkan penekanan oleh Clinton yang membawa alasan kuat dan kukuh untuk dua negara itu semasa mengadakan mesyuarat bersama Presiden China, Hu Jintao.

Penyiasat OIC mula tugas di Myanmar



Yangon: Anggota misi mengumpul maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tiba di Myanmar semalam untuk memulakan siasatan mengenai keganasan antara pengikut Buddha dan penduduk Islam Rohingya berpunca daripada pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat minoriti Muslim di negara itu.

Pasukan penyiasat itu tiba lebih awal daripada Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu yang bakal memulakan lawatan 10 hari ke Myanmar. Pertubuhan yang dianggotai 57 negara Islam itu akan membentangkan laporan siasatan pasukan berkenaan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak lama lagi.
Myanmar sambut baik lawatan

Pertempuran antara penduduk Buddha dan minoriti Rohingya di negeri Rakhine pada June lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.

Pertubuhan hak asasi manusia menuduh tentera Myanmar turut melakukan jenayah dalam usaha memulihkan keadaan.

Jurucakap kerajaan Myanmar, Ko Ko Hlaing, menyambut baik lawatan itu bagi memperbetulkan pandangan serong dalam isu berkenaan.
Dunia Islam menyuarakan kebimbangan yang sebahagian besar berpunca daripada maklumat diberi salah, tambahnya.

Misi berkenaan dijangka menyediakan laporan mengenai isu berkenaan untuk diserahkan kepada Kumpulan Penghubung mengenai Myanmar yang akan bertemu di New York di luar sidang UNGA pada akhir September.

Keputusan menghantar misi mengumpul maklumat itu dan pembentukan Kumpulan Penghubung pada peringkat menteri dibuat ketika sidang tergempar Jawatankuasa Eksekutif pada 5 Ogos lalu di ibu pejabat OIC di Jeddah sebelum disokong persidangan pertubuhan berkenaan di Makkah pada 14 Ogos lalu.

Rusuhan mula meletus Jun lalu selepas penduduk Buddha di Rakhine membunuh penumpang bas etnik Rohingya selepas anggota masyarakat minoriti itu dituduh merogol wanita tempatan.

Selain berpuluh-puluh orang maut, beribu-ribu lagi diusir dari rumah mereka dan banyak perkampungan yang hangus dibakar.
Bernama/Agensi

Imej percikan api di matahari




IMEJ yang didedahkan Pentadbiran 
Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan percikan api di matahari pada 31 Ogos lalu.


MIAMI - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin mendedahkan imej nyalaan matahari yang dirakamkan pada 31 Ogos lalu.
Imej itu menunjukkan percikan api yang terkeluar daripada matahari.
Bagaimanapun, ia memberi kesan terhadap persekitaran magnetik Bumi yang menyebabkan cahaya aurora terbentuk di langit.
Cahaya tersebut boleh dilihat di bandar Whitehorse, Yukon, Kanada pada 3 September lalu.
Jaluran cahaya itu terbentuk apabila partikel-partikel yang dicas daripada matahari berlanggar dengan atom pada altitud yang tinggi di Bumi.
- Agensi

Kereta elektrik sudah ada pada tahun 1906




LLOYD menunjukkan bateri kereta elektrik miliknya.


SYDNEY, Australia - Seorang jurutera mekanikal yang telah bersara, Bill Lloyd memiliki sebuah kereta elektrik keluaran tahun 1915 buatan sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS).
Lloyd, 61, menganggap kereta tersebut sebagai koleksi antik yang paling terkenal pernah dimilikinya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 40,000 buah kereta elektrik itu dikeluarkan oleh Syarikat Kereta Elektrik Anderson di Detroit, AS dari tahun 1906 hingga 1940.
Bagaimanapun, hanya terdapat empat buah kereta tersebut yang masih boleh digunakan di Australia.
Kereta itu mempunyai kelajuan maksimum kira-kira 40 kilometer sejam.
Bateri kenderaan tersebut perlu dicas selepas bergerak sejauh 80 kilometer. - AFP

Ayah seorang penarik beca

Suatu hari, seorang ayah balik dari kerjanya. Hari yang ke-29 Ramadhan. Ayah seorang penarik beca. Cepat-cepat dia membuka sepatunya apabila melihat raut wajah anaknya di pintu. Senyuman terukir di bibir anaknya.

Anaknya yang berusia 8 tahun siap sedia menanti di pintu. Itulah rutin anak perempuannya yang seorang itu. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang.

Anak: "Assalamualaikum..mari adik tlg letakkan kasut ayah di rak.." ( sambil tangan kecilnya memaut lembut tangan ayahnya..)

Ayah: "Wa'alaikummussalam..terima kasih. Comel anak ayah ni. Mari duduk sebelah ayah. Ayah nak berikan sesuatu."

Anak kecil itu duduk bersimpuh sebelah ayahnya. Ternanti-nanti apakah yang hendak diberikan oleh ayahnya. Ditatap wajah ayahnya. Wajah tua yang berada di hujung usia - 60 an. Nampak garis-garis kedutan, dengan kesan peluh keringat membasahi tepi dahi ke leher ayahnya. Cengkung pipi ayahnya. Cepat-cepat si anak kecil itu lapkan peluh ayahnya dengan lengan baju yang dipakainya.
Ayah tersenyum selesa dengan reaksi anaknya.

Ayah: "Nah..ini untuk kamu. RM100. Hadiah kerana kamu berjaya khatam al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Ini ayah kumpul sepanjang bulan puasa ini. Ayah cuma mampu berikan sebanyak ini, namun ayah percaya Allah pasti berikan lebih banyak untuk kamu. Kenapa Allah bagi banyak? Satu, sebab kamu rajin. Dua, sebab kamu comel sangat. :) "

Anak kecil itu tidak menerima huluran wang ayahnya. Dia meminta izin masuk ke rumah sekejap untuk mengambil sesuatu. Kemudian datang tergesa-gesa menghadap ayahnya kembali dengan sesuatu di tangannya. Sepasang kasut.

Anak: "Ayah, ini untuk ayah. Selama 3 bulan saya kumpulkan sebahagian besar duit makan yang ayah berikan setiap hari. Ini je termampu saya belikan untuk ayah. Kasut ayah tadi dah berlubang dan koyak. Kaki ayah luka-luka. Tapak kaki ayah melecet-lecet. Terimalah ayah. Hadiah kecil dari saya."

Si ayah sebak. Menahan titisan air mata di kelopaknya.

Anak: "Ayah tak perlu berikan hadiah wang sebanyak itu. Wang itu simpanlah untuk kegunaan kita sekeluarga. Bagi saya, ayah adalah hadiah yang terbaik pernah saya ada. Ayah hadiah terbesar yang Allah bagi pada saya. Saya dah bersyukur. Adanya ayah."

Si kecil memeluk lembut tubuh ayahnya.

Si ayah tidak mampu lagi menahan air mata yg bertakung. Akhirnya menitis jua dari sepasang mata yang uzur.



Cerita asal - Syabab Musafir Kasih
 —