Abd Rahman dan isterinya, Zainab (tengah) menunjukkan labu air gergasi di tepi rumah mereka di Felda Bukit Bading kepada seorang penduduk.
Abd Rahman dan isterinya, Zainab (tengah) menunjukkan labu air gergasi di tepi rumah mereka di Felda Bukit Bading kepada seorang penduduk.
HULU TERENGGANU - Labu air gergasi. Biarpun bukan perkara ganjil, namun ia jarang berlaku dan kerana itulah rumah imam masjid di Felda Bukit Bading, di sini menjadi tumpuan gara-gara labu air yang ditanam di tepi rumahnya bersaiz kira-kira 1.5 meter panjang.

Malah, pokok labu air atau nama saintifiknya lagenaria siceraria yang ditanam sekitar Februari lalu sudah pun mengeluarkan hampir 20 biji buah sehingga kini yang kebanyakannya mempunyai saiz besar berbanding biasa, selain rupanya kelihatan seperti belalai gajah.

Abd Rahman Diah, 67, berkata, benih labu berkenaan dibawa pulang isterinya, Zainab Abu Bakar, 63, setelah memperolehnya ketika menyertai lawatan berkaitan program Bumi Hijau ke Felda Cerul, Kemaman pada 2011 lalu.

Menurutnya, sewaktu lawatan itu, isterinya dibawa melihat hasil tanaman labu air yang diusahakan di sana.

"Tertarik melihat hasilnya yang begitu menjadi apatah lagi rupa buahnya agak cantik, dia tidak ketinggalan meminta benih untuk dibawa pulang.

"Benih tersebut ditanam di tepi rumah akhir 2011 dan hanya mengeluarkan dua biji buah yang saiznya antara 30 hingga 35 sentimeter panjang," katanya.

Menurutnya, sebiji buah itu digunakan untuk masakan dan sebiji lagi dijadikan benih serta ditanam Februari lalu.

"Pada Mei lalu, ia sudah mula membuahkan hasil dan apa yang mengejutkan kami apabila ada buah yang begitu besar saiznya,” katanya.

Datuk kepada 15 cucu yang juga seorang jurunikah itu menambah, dia membuat keputusan untuk tidak memetik labu air gergasi tersebut buat masa ini dan akan dijadikan benih.

"Sehingga kini, beberapa individu telah nyatakan keinginan untuk meminta benih labu air yang ditanam itu," katanya.