Pages

Showing posts with label indonsial. Show all posts
Showing posts with label indonsial. Show all posts

Sunday, June 12, 2011

Keluarga enam nelayan terkejut

PONTIAN 11 Jun - Ahli keluarga enam nelayan yang ditahan di Indonesia melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pekan Baru yang menolak rayuan mereka untuk membebaskan nelayan terlibat daripada tuduhan menceroboh perairan negara itu.
Menurut bapa kepada seorang nelayan yang ditahan, Ariss Baba, dia masih mengingati janji Koordinator Informasi Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia, Surayana Sastradiredjo, yang menyatakan kesemua mereka akan dibebaskan melalui saluran diplomatik.
"Kami sekeluarga berharap, rayuan terakhir ini akan memihak kepada mereka yang sudah hampir empat bulan terpisah daripada keluarga masing-masing sejak ditahan pada Mac lalu," ujarnya.
Sementara itu, abang kepada Ibrahim Mohd. Kassim, Tahir Mohd. Kassim berkata, mereka kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah di Pekan Baru itu.
Katanya, mereka sekeluarga telah mengeluarkan kos yang banyak bagi menampung segala perbelanjaan semasa adiknya mula ditahan di Bengkalis, seterusnya di Pekan Baru sejak tiga bulan yang lalu.
"Kami sekeluarga masih menaruh harapan supaya kesemua mereka dapat dibebaskan agar dapat menyambut puasa serta Hari Raya Aidilfitri bersama-sama," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Hukuman enam nelayan kekal




Dua orang anak Redzuan Ariss, nelayan yang ditahan di Indonesia iaitu Hasif Nur Firdaus (kiri) dan adiknya Haziq Fadilah melihat keratan akhbar mengenai kes penahanan bapa mereka di rumah mereka di Pontian Besar, semalam. – MINGGUAN/MUHD ZIKRI


PONTIAN 11 Jun – Mahkamah Tinggi Pekan Baru, Indonesia mengekalkan hukuman penjara 30 bulan ke atas enam nelayan tempatan dan seorang warga negara Indonesia yang menceroboh perairan negara tersebut pada 8 Mac lalu.
Ia sekali gus menolak rayuan yang dikemukakan setelah Mahkamah Bengkalis pada 5 Mei lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas mereka, selain denda RM350 (Rp 1 juta) atau berdepan tambahan hukuman penjara tiga bulan.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut oleh pegawai di Pejabat Konsul Malaysia di Pekan Baru semalam.
“Rayuan mereka seterusnya akan didengar di Mahkamah Agung di Jakarta Isnin ini yang merupakan jalan terakhir sama ada mereka dibebaskan, dikurangkan hukuman atau sebaliknya.
“Pihak pembelaan bersama pegawai-pegawai Wisma Putra dan Konsul di Pekan Baru telah mengemukakan bukti serta keterangan bagi menyokong rayuan, namun ditolak oleh pihak mahkamah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mereka yang dijatuhkan hukuman terdiri daripada tekong, Ibrahim Mohd. Kassim bersama awak-awak kapal, Redzuan Ariss, 35; Mohamad Zamri Hamzah, 26; dan Subani Samsudin, 40, yang juga warga Indonesia.
Tiga lagi nelayan adalah dari sebuah lagi bot yang diketuai tekong Zainudin Hamzah, 53, dan awak-awak Rosli Abd. Rashid, 34, dan Jamil Mat Top, 53.
Kesemua mereka berpangkalan di Pangkalan Nelayan Pontian Besar di sini ditahan oleh Polis Air (Pol-Air) Republik Indonesia di 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat pada 8 Mac lalu.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, pihaknya berharap Mahkamah Agung negara jiran dapat membuat keputusan yang sewajarnya dan membebaskan mereka supaya dapat pulang menemui ahli keluarga.
“Berdasarkan pada hubungan baik kedua-dua negara, pertimbangan hendaklah diberikan, walaupun mahkamah di Bengkalis telah menjatuhkan hukuman ke atas mereka sebelum ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri