Pages

Showing posts with label tikam. Show all posts
Showing posts with label tikam. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Empat ditikam di kenduri kahwin




OSMAN menunjukkan tempat berlakunya pergaduhan sewaktu majlis perkahwinan anaknya di Taman Subang Mas, Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Majlis perkahwinan satu pasangan pengantin dicemari insiden berdarah apabila empat jemputan cedera selepas diserang seorang tetamu tidak diundang di Taman Subang Mas, Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 10.45 malam itu dikatakan berlaku apabila suspek yang merupakan warga Indonesia datang bersama dua lagi rakannya ke majlis tersebut selepas berlaku perselisihan faham dengan salah seorang ahli keluarga pasangan pengantin.
Difahamkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca selepas bahu suspek dilanggar oleh tetamu di situ.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, sebaik bahunya dilanggar, suspek terus bertengkar dan membuat kacau.
Katanya, beberapa jemputan kemudian cuba menenangkan suspek.
“Suspek kemudian terus mengeluarkan sebilah pisau. Dia yang semakin sukar dikawal kemudian telah menikam dada dan perut empat tetamu dengan dua daripadanya parah.
“Polis kemudian menahan suspek dan dua rakannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Tuesday, September 6, 2011

Lelaki tikam isteri, mentua

LONDON: Seorang lelaki menikam isteri yang baru dikahwini dan ibu mentuanya sebelum melarikan seorang kanak-kanak.
Mangsa ketiga, seorang gadis berusia 19 tahun dikatakan turut ditikam di lehernya. Dia dilaporkan tenat di hospital. Suspek dikatakan membawa kanak-kanak lelaki itu ke pusat bandar sambil memegang pisau berlumuran darah. Polis semalam menahan seorang lelaki berusia 21 tahun itu ketika dia merayau-rayau di Thame, Oxfordshire bersama seorang kanak-kanak kerana disyaki membunuh dua wanita terbabit.

Sebelum itu, beberapa jiran berkata, mereka dikejutkan oleh bunyi jeritan selepas mendengar pergaduhan antara suspek dan isterinya yang baru dikahwini dua bulan lalu. Lelaki terbabit didakwa menikam isterinya, Mihaela yang berusia 28 tahun dan ibu mentuanya, Julie Sahin, 49, di leher dan di dada.

Anggota paramedik yang dikejarkan ke kediaman mangsa cuba menyelamatkan kedua-dua wanita itu tetapi mereka mati di tempat kejadian. Kedua-dua mangsa adalah rakyat Britain walaupun mereka dikatakan berkahwin dengan lelaki Turki.

Pasangan itu baru berkahwin dua bulan lalu dan Julie dikatakan meminta izin tuan rumah supaya membenarkan menantunya berpindah ke kediaman teres dua tingkat berkenaan yang dikongsi bersama suami dan anak perempuannya.

Sementara itu, ketua detektif, Inspektor Joe Kidman dari balai polis Thames Valley berkata: “Kami masih di peringkat awal siasatan. Kami sudah menahan suspek yang disyaki terbabit dengan pembunuhan itu.


“Kami percaya tidak ada suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu.” - DM

Tuesday, August 23, 2011

Polis buru dua lelaki kes tikam



ARMAN masih dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam.


SEREMBAN – Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam seorang lelaki sebanyak lapan kali sebelum membuang mangsa di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus Kuala Pilah dekat sini.
Jurucakap polis berkata, identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
“Hasil siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek bekerja bersama mangsa di Ladang Gaddes, Jempol dekat sini.
“Kejadian pada petang Khamis lalu itu dipercayai akibat salah faham berkaitan kerja antara kedua-dua suspek dengan mangsa,” katanya di sini semalam.
Katanya, berdasar keterangan mangsa, dia diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit di ladang itu sebelum dia dibuang di dalam hutan berhampiran jalan Bukit Putus Kuala Pilah.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki, Arman Shah, 29, masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan.
Lebih mengejutkan lagi apabila lelaki terbabit yang tersedar daripada pengsan pada pagi Jumaat lalu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah, kelmarin.
Difahamkan penyerang lelaki itu kemungkinan beranggapan mangsa sudah meninggal dunia dan bertindak membuang ‘mayatnya’ di dalam hutan berkenaan untuk melupuskan bukti.
Lelaki itu yang ditikam empat kali di bahagian depan dan belakang badan dipercayai masih hidup kerana tikaman berkenaan tidak mengenai organ penting mangsa.
Sementara itu, usaha Kosmo! untuk menemu bual Arman tidak berjaya kerana dia masih lemah selepas menjalani pembedahan untuk menjahit luka tikaman pada badannya kelmarin.kosmo

Monday, August 22, 2011

Pantang maut sebelum ajal




KAWASAN Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah yang menjadi tempat Arman Shah dicampak dalam hutan selepas ditikam lapan kali Khamis lalu.


KUALA PILAH – Berpantang maut sebelum ajal! Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 29 tahun yang masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan di Jalan Bukit Putus di sini pada Khamis lalu.
Lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit yang tersedar dari pengsan pada pagi Jumaat lalu itu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.
Sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Arman Shah itu diselamatkan oleh orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar sebelum menghubungi ambulans.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dekat sini dan kakitangan di wad kecemasan terkejut selepas mendapati lelaki itu masih hidup walaupun terdapat lapan kesan tikaman pada badannya.
“Mangsa sempat menceritakan yang dia tidak sedarkan diri selepas diserang dua lelaki yang dikenalinya dengan menggunakan pisau pada petang Khamis lalu di Bahau, dekat sini,” katanya di sini semalam.-kosmo

Tuesday, June 21, 2011

Janda muda parah ditikam duda


DI tempat letak kereta pasar raya inilah Hazita parah akibat ditikam berkali-kali dengan gunting didakwa oleh bekas suaminya di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang janda muda cedera parah selepas dikelar dan ditikam berkali-kali di muka, kepala dan leher dengan gunting dipercayai oleh bekas suaminya dalam satu pergaduhan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini semalam. Kejadian pukul 4 petang itu berlaku apabila Hazita Mohamad (gambar), 27, enggan menuruti permintaan bekas suaminya, 29, supaya kembali semula kepadanya. Ekoran itu, pelajar dandanan rambut itu cedera parah dan keadaannya dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum itu, bekas suami mangsa dikatakan telah mengekori kereta yang dipandu wanita tersebut hingga ke pasar raya berkenaan.
Katanya, sebaik tiba di tempat letak kereta, suspek telah menerpa masuk ke dalam kereta mangsa lalu berlaku pergelutan. "Mangsa telah dikelar di muka dan ditikam di kiri dan kanan leher serta belakang kepala dengan gunting. "Suspek kemudian melarikan diri selepas orang ramai cuba meleraikan pergaduhan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati punca pergaduhan itu ialah kerana suspek naik berang selepas permintaannya untuk rujuk ditolak mentah-mentah oleh mangsa. Menurut Azham, pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang bekerja sebagai pembantu hospital itu dan yakin dia akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera. Sementara itu kakak mangsa, Hazlina, 30, yang ditemui di HRPZ II memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi pihak hospital 15 minit kemudian. Katanya, adiknya telah bercerai dengan bekas suaminya pada tahun lalu setelah berkahwin selama tujuh tahun. "Saya pun tidak pasti punca perceraian mereka, mungkin disebabkan cemburu," katanya.
Kosmo! Online - Negara

Sunday, December 19, 2010

Mangsa 19 tikaman sedar



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/12/19

NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.

NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.

NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa   tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.

Buang sel kulit mati Isnin

JOHOR BAHRU: Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa 19 tikaman dan disimbah asid akan menjalani rawatan membuang sel kulit mati Isnin ini selepas 70 peratus bahagian badan termasuk mukanya melecur teruk.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, berkata keadaan mangsa semakin stabil dan masih perlu menerima rawatan susulan berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.“Nur Ain sudah sedar dari komanya dan boleh membuka matanya. Malah, ketika menegurnya, dia memberi maklum balas yang positif dan faham apa yang sedang berlaku ke atasnya.

“Ini satu perkembangan yang baik dan saya berharap dia akan cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Katanya, Pergerakan Wanita UMNO negeri akan sedia membantu Nur Ain apabila sembuh kelak termasuk memberi bantuan kaunseling serta pertolongan lain yang sewajarnya bagi membantu mangsa meneruskan kehidupannya.

“Saya sedih perkara sebegini boleh berlaku. Saya dan ahli Wanita UMNO yang lain berdoa supaya Nur Ain cepat sembuh kerana usianya masih muda dan perjalanannya menuju alam dewasa juga masih jauh.
“Saya juga berharap keluarganya bersabar dalam menghadapi dugaan yang melanda dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya dapat mengharunginya dengan mudah,” katanya.

Sharifah Azizah sebelum itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa bertujuan meringankan beban yang ditanggung mereka.

Akhbar semalam melaporkan Nur Ain yang mengandung enam bulan koma, manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, dekat sini Khamis lalu.

Mangsa diserang seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai akibat menolak cinta lelaki terbabit. Suspek dikatakan mengenali mangsa sejak dia berusia 12 tahun lagi malah, suspek juga dipercayai adalah anak angkat kepada keluarga mangsa.

Mangsa dilaporkan parah selepas ditikam 19 kali kebanyakannya di bahagian perut selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.

Saturday, December 18, 2010

Wanita koma ditikam 19 kali, disimbah asid



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Othman

2010/12/18

NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa   tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.


Bayi dalam kandungan maut

ULU TIRAM: Seorang wanita yang mengandung enam bulan koma manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas dia ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, di sini pagi kelmarin.

Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Intensif Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru berikutan cedera di bahagian perut, selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Nurain Ashikin Jemedi, 17, didatangi seorang lelaki berusia 42 tahun yang kemudian secara tiba-tiba menikam mangsa sebelum menyimbah cuka getah ke seluruh badan mangsa.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada bersama adik perempuannya berusia 13 tahun dan anak saudaranya berusia 2 tahun, manakala ibunya keluar menoreh getah di kawasan berhampiran rumah mereka.

Suspek dikatakan menyerbu masuk rumah mangsa sebelum menendang pintu biliknya dan menyerang mangsa dengan menikamnya sebanyak 19 kali.

Mangsa cuba melarikan diri ke bilik air, namun suspek mengejar mangsa serta menyimbahnya dengan cuka getah menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan.

Adik mangsa yang berada di tempat kejadian menelefon kakak mereka bagi memaklumkan kejadian itu yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri sejurus kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca akibat cemburu selepas mangsa yang mengenali suspek sejak berusia 12 tahun, dikatakan keluar bersama lelaki lain.

“Anak dalam kandungan mangsa meninggal dunia akibat terkena tikaman suspek, malah mangsa juga kini koma dan hampir seluruh badannya termasuk bahagian muka melecur akibat disimbah asid.

“Suspek kini direman sehingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa, Zuraidah Jemedi, berkata dia dan keluarganya tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya.

“Kami dan tidak menyangka suspek boleh berkelakuan sebegitu. Suspek memang baik dengan keluarga kami, malah dia turut ada hati dengan Ain,” katanya.