Pages

Showing posts with label lesen. Show all posts
Showing posts with label lesen. Show all posts

Thursday, October 20, 2011

Lesen ikut tarikh lahir

Berita Harian Online | Lesen ikut tarikh lahir:
2011/10/2010

Kurangkan kes pemegang lesen tak aktif, rayuan perbaharui lesen

KUALA LUMPUR: Mulai pertengahan bulan depan, pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen bagi memudahkan mereka mengingati tarikh memperbaharui lesen masing-masing, sekali gus menyaksikan tarikh tamat tempoh lesen sama dengan tarikh lahir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Selain itu, katanya, kaedah baru itu juga alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan dilaksanakan jabatan terbabit.
Pelaksanaan pembaharuan lesen memandu melalui penyelarasan tarikh tamat CDL mengikut tarikh lahir ini akan membabitkan agensi seperti JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia dan e-Khidmat, katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Bagi tarikh lahirnya pada 29 Februari, tarikh tamat sah lesen memandu dicadangkan pada 28 Februari dan tarikh pembaharuan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, jika pemegang lesen tidak mahu menggunakan tarikh itu, mereka hendaklah memperbaharui lesen memandu bagi tempoh empat tahun berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Sejajar penyelarasan tarikh tamat lesen memandu, bayaran juga akan diselaraskan melalui dua kaedah iaitu bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan termasuk tempoh lanjutan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan itu.
Sebagai contoh, bagi tempoh sah lesen sedia ada iaitu 20 Februari 2011 hingga 19 Februari 2012 dan tarikh lahir pemegang lesen adalah 10 Oktober 1980, hanya bayaran RM30 dikenakan iaitu bagi tempoh 20 Februari 2012 hingga 19 Februari 2013.

Baki lanjutan selama lima bulan 20 hari (kurang daripada enam bulan) adalah percuma iaitu antara 20 Februari 2013 hingga 10 Oktober 2013.

Cho Ha berkata, bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan termasuk tempoh lanjutan, mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

Kadar bayaran lesen memandu masih RM30 setahun, katanya.


'via Blog this'

Friday, April 29, 2011

Warga emas 82 tahun dapat lesen memandu


ABDULLAH menunjukkan replika lesen memandu percubaan yang diperolehnya pada majlis penutup program SKSJ di SK Sri Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.


TUMPAT – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari Kampung Tujuh di sini merupakan antara 472 individu berusia lebih 50 tahun yang mendapat lesen memandu percubaan (P) motosikal B2 selepas mengikuti ujian memandu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama tiga bulan menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).
Abdullah Che Ibrahi yang mempunyai 20 cucu ketika berkongsi kegembiraannya berkata, dia tidak menyangka akan mendapat lesen P selain menjadi peserta tertua pada program berkenaan yang dilaksanakan bermula Februari lalu.
“Bagi saya, ini adalah lesen paling besar pernah saya dapat sejak menunggang motosikal hampir 32 tahun lalu.
“Bukan saya sengaja tidak mahu ambil lesen tetapi disebabkan tidak tahu membaca, ia membataskan saya untuk cuba mendapatkan lesen memandu,” katanya selepas menerima lesen pada majlis penutup program SKSJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Pengkalan Kubor di sini semalam.-kosmo

Monday, January 10, 2011

Lebih 215,000 mohon lesen kereta di Beijing




Gambar fail bertarikh 9 September, 2010 merakamkan keadaan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Lingkaran Dua di bandar raya Beijing. - AFP


BEIJING 9 Jan. - Lebih 215,000 orang memohon lesen kereta di Beijing pada bulan ini, tetapi hanya 20,000 yang akan diluluskan ekoran usaha ibu negara China ini untuk mengekang kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di bandar raya ini.
Menurut agensi berita Xinhua, 215,425 orang membuat permohonan untuk peruntukan bulan Januari.
Keputusan akan dikeluarkan pada 26 Januari ini untuk menentukan siapa yang mendapat lesen dan berhak membeli kereta baru.
Di bawah undang-undang baru itu, hanya 240,000 kereta baru akan didaftarkan di Beijing pada tahun ini, berbanding rekod sebanyak 800,000 kenderaan dilihat berada di jalan-jalan di sini pada tahun lalu, kata laporan itu.
Pihak berkuasa mengakui bahawa had pendaftaran serta langkah-langkah lain seperti mengenakan bayaran meletak kereta yang mahal di pusat bandar raya ini dan penguatkuasaan tegas ke atas undang-undang lalu lintas secara automatik tidak akan mengurangkan masalah kesesakan tersebut.
Jangkaan kerajaan akan mengehadkan jumlah nombor plat baru mencetuskan peningkatan jualan pada bulan lalu dengan 20,000 kereta berjaya dijual dalam minggu pertama bulan lalu, kata Xinhua.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding 9,000 kereta yang dijual bagi tempoh yang sama pada 2009.
Beijing merupakan antara bandar raya yang mengalami pencemaran paling teruk di dunia dan masalah itu menjadi semakin buruk disebabkan permintaan yang tinggi terhadap pemilikan kenderaan peribadi.
Jumlah pendaftaran kenderaan di Beijing mencecah 4.8 juta pada akhir Disember lalu dengan purata lebih 2,000 kereta memenuhi jalan-jalan di ibu negara ini setiap hari pada tahun lalu, kata pihak berkuasa. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara