Pages

Showing posts with label sejadah. Show all posts
Showing posts with label sejadah. Show all posts

Tuesday, September 20, 2011

Lagi kisah sejadah berdiri



KAMPUNG GERAI - Belum pun reda kisah mengenai sejadah berdiri di surau Hospital Besut Sabtu lalu, kes sama berlaku di Surau Kampung Gerai dekat Jertih pada keesokannya.

Kejadian itu disedari oleh imam surau berkenaan, Ibrahim Latif, 39, ketika dia hendak menunaikan solat Zuhur di surau berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya di sini.

Menurutnya, ketika dia masuk ke dalam surau tersebut dia terperanjat apabila mendapati sehelai sejadah berwarna biru dalam kedudukan berdiri menghadap ke arah kanan masjid.

Katanya, pada waktu kejadian, dia ingin menunaikan solat seorang diri sebelum ternampak sejadah berkenaan yang seolah-olah berada dalam kedudukan berdiri.

“Mulanya saya agak terkejut kerana pada waktu itu tidak ada orang yang ke surau ini yang terletak hanya di sebelah rumah saya.

“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Ibrahim, dia hanya memberitahu seorang rakan mengenai hal itu dan tidak lama kemudian berita itu tersebar menyebabkan surau tersebut diserbu orang ramai yang mahu melihat sendiri.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu perkara itu diperbesarkan dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung.

Sunday, September 18, 2011

Gempar 7 sejadah sujud



JERTIH - Orang ramai dan kakitangan Hospital Daerah Besut gempar apabila sejadah di ruang solat surau hospital berkenaan berada dalam kedudukan ‘berdiri’ dan sujud, semalam. 

Kejadian tersebut mula disedari seorang pelawat ke hospital berkenaan yang ingin mengerjakan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada orang ramai. 

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pagi semalam mendapati terdapat sehelai sejadah berdiri paling hadapan seolah-olah bertindak sebagai ‘imam’ manakala enam lagi berada dalam kedudukan dua barisan belakang seperti berada dalam keadaan bersembahyang. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada sejadah berdiri dan sujud itu berlaku sendiri ataupun dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menarik perhatian orang ramai. 

Seorang wanita yang menjaga keluarga di hospital berkenaan berkata, dia mendirikan solat Subuh di ruang solat 

wanita bersebelahan dengan tempat kejadian iaitu di ruang solat lelaki. 

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terserempak dengan dua lelaki berperwatakan lembut di kawasan surau berkenaan pada waktu berkenaan dan mereka membawa pelbagai peralatan solekan,

Bagaimanapun, dia tidak nampak lelaki berkenaan masuk ke surau sebelum kejadian itu disedari. 

Sementara itu, orang ramai yang datang menyaksikan kejadian itu percaya ia perbuatan mereka tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menggemparkan orang ramai. 

Namun, mereka terpegun kerana usaha meniru mendirikan sejadah berkenaan seperti yang dilakukan gagal kerana ia sukar dilakukan. 

Sebelum itu, beberapa kejadian serupa telah berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kelantan namun banyak pihak meraguinya.

Monday, November 29, 2010

Bila dahi telah mencecah sejadah



http://www.alwatannews.net/image.aspx?ID=8DhDIiLb2Qg0pXynSEzK4yYfX8u4t1Ul1u65ksun21/ddMYNBbmglqPcggXsx/x2
Bersihkan dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan
Dan bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakan solat jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah , Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan ulat
Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’
Sucikanlan dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak di bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru , sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal-usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk , itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan “Hayya ‘alas Solaah”
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan “Hayya ‘alal Falaah”
Jalan kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera
Isteri , kad kredit dan kereta
Kondominium , saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia…