• Mohamad Akhiar menunjukkan basikal unik yang diciptanya.Mohamad Akhiar menunjukkan basikal unik yang diciptanya.

MANJUNG - Seorang peniaga nasi ayam, Mohamad Akhiar Radhli, 52, di sini, berjaya mencipta sebuah basikal unik yang mempunyai kelengkapan terkini termasuk aksesori canggih dengan modal hampir RM10,000.

Mohamad Akhiar berkata, basikal ciptaannya itu hasil idea dan inovasinya sendiri dan menamakan basikal itu ‘harmoni’ dan dicipta khas untuk beriadah bersama keluarga atau boleh digunakan oleh pelancong.

Menurutnya, kecanggihan basikal alaf baharu itu setanding dengan hasil cipta yang dihasilkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dan elektronik kerana basikal terbabit banyak menggunakan elektronik.

"Reka bentuknya yang unik seolah-olah mirip sebuah kereta, yang turut dilengkapi bumbung dan lampu isyarat membelok sebagaimana yang ada pada motosikal.

"Malah sistem gear yang canggih membolehkan basikal itu bergerak lebih laju serta sistem pemegang yang diubahsuai mirip handle kereta memantapkan haluan pergerakan basikal ketika beroperasi. Sistem gear basikal ini yang lebih besar membolehkan pusingan tayar lebih  pantas berbanding sistem gear yang digunakan secara normal," katanya.

Mohamad Akhiar berkata, basikal itu boleh membawa tujuh individu pada satu masa walaupun pada asalnya hanya menggunakan tiga basikal yang diubah suai menjadi sebuah basikal.
“Basikal ini juga menyediakan kemudahan lain seperti peranti sistem kedudukan global (GPS), tempat meletak komputer riba dan atap pelindung yang dikawal secara automatik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lekir, dekat sini.

Menurutnya, basikal itu pada awalnya untuk pertandingan Ideal Malaysian Inventor pada 2011, namun hasrat tersebut tidak tercapai kerana kosnya tinggi.

“Namun, saya tidak berputus asa untuk menyiapkan basikal ini menggunakan wang simpanan sendiri, dan akhirnya pada tahun 2012 basikal ini berjaya disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada mulanya dia ingin membina sebuah kenderaan futuristik yang boleh digunakan di darat, meluncur laju di kawasan berlumpur dan terbang di atas permukaan air.

“Namun disebabkan kekurangan wang, saya hanya mampu mencipta basikal.

“Saya telah mengayuh basikal ini bersama dua anak ke Lumut. Ada juga yang datang tanya sama ada mahu jual basikal ini tetapi ketika itu masih pada peringkat percubaan dan saya tidak boleh menjualnya. Kini, saya bersedia menjualnya dengan harga RM15,000,” katanya.