Pages

Showing posts with label racun. Show all posts
Showing posts with label racun. Show all posts

Friday, July 13, 2012

Anak saudara dakwa Israel racun Arafat



GAMBAR fail menunjukkan Arafat dan isterinya, Suha.

RAMALLAH - Israel meracun bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dengan bahan radioaktif polonium, kata anak saudaranya, Nasser al-Qidwa semalam.
"Kami menuduh Israel membunuh Arafat dengan meracunnya dengan bahan pembawa maut," katanya kepada agensi berita AFP.
Beliau merujuk bahan pembawa maut itu sebagai polonium.
Bahan itu ditemui pada pakaian yang dipakai Arafat semasa beliau sakit.
"Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu sepatutnya dihukum," katanya.
Beliau merupakan Presiden Yayasan Yaser Arafat.
Dakwaan Arafat diracun muncul pada minggu lalu selepas stesen penyiaran Al-Jazeera melaporkan pakar-pakar menyatakan terdapat kadar kandungan polonium yang tinggi pada barang peribadi milik pemimpin terkenal Palestin itu.
Bahan itu pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang mati pada tahun 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun tersebut.
Namun, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Nasser.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004. - AFP

Thursday, July 5, 2012

Palestin gesa siasatan terhadap kematian Arafat

RAMALLAH: Rakyat Palestin mahukan siasatan antarabangsa terhadap kematian bekas Presiden Yasser Arafat dilakukan selepas siasatan menunjukkan beliau mungkin mati akibat diracun.

“Kami menggesa pembentukan jawatankuasa antarabangsa seperti jawatankuasa antarabangsa yang menyiasat pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri,” kata pegawai kanan Palestin, Saeb Erakat.


Gesaan itu dibuat sehari selepas rangkaian televisyen Al-Jazeera menyiarkan keputusan siasatan terhadap kematian Arafat yang meninggal dunia pada 2004.

Keputusan siasatan itu menunjukkan pemimpin Palestin itu mungkin diracun dengan logam radioaktif polonium.


Menurut al-Jazeera, analisis terhadap barangan milik Arafat yang diserahkan kepada isterinya oleh hospital di Paris, tempat beliau meninggal dunia menunjukkan kehadiran bahan radioaktif yang tinggi.


Bekas perisik Russia, Alexander Litvinenko yang kemudian menjadi pengkritik Kremlin, mati di London pada 2006 selepas meminum teh yang dicemar dengan polonium.



Ketua Institut Radiasi Fizik Universiti Lausanne, Francois Bochud, adalah antara saintis yang bekerjasama dengan Al-Jazeera untuk menganalisis kematian Arafat dan barangan miliknya.


“Rumusannya ialah kami menemui polonium pada barangan milik Arafat,” katanya kepada Al-Jazeera. - AP

Saturday, June 30, 2012

3 disyaki minum racun elak tindakan disiplin

PELAJAR disyaki cuba membunuh diri dengan meminum racun menerima rawatan di hospital, semalam.

PELAJAR disyaki cuba membunuh diri dengan meminum racun menerima rawatan di hospital, semalam.
Dua pelajar belum sedar, seorang stabil 

SEPANG: Tiga pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Sepang Putra di Sungai Pelek, dekat sini dimasukkan ke hospital selepas disyaki minum racun.
Semua mangsa yang belajar di Tingkatan Empat, dikatakan bertindak demikian selepas mengetahui pihak sekolah mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman, berkata ketiga-tiga mangsa berusia 16 tahun dan dipercayai cuba membunuh diri selepas pihak sekolah dikatakan mahu mengambil tindakan itu. 

Beliau berkata, polis dimaklumkan pihak hospital kira-kira jam 2 petang apabila ketiga-tiga mangsa dibawa untuk rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan. 

“Tiga pelajar itu didakwa minum racun kerana takut dikenakan tindakan disiplin. Mereka ditemui tidak sedarkan diri dalam kawasan sekolah sebelum dihantar ke hospital. Setakat ini, kita belum tahu jenis racun diminum dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus, ketika dihubungi, berkata pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kejadian itu, tetapi akan menyiasatnya secepat mungkin. 
Di SEREMBAN, dua daripada tiga pelajar terbabit masih belum sedarkan diri dengan seorang daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pelajar yang stabil bagaimanapun menafikan dakwaan dia minum racun rumpai. 

Ketika ditemui wartawan, pelajar itu mendakwa tidak tahu mengapa guru mengarahkannya mengikut dua lagi rakannya yang ketika itu tidak sedarkan diri ke hospital. 

“Saya akui dua lagi rakan mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mungkin mereka tidak dapat menerima hakikat dibuang sekolah hingga mengambil tindakan sedemikian,” katanya yang kesal dengan perbuatan dua rakan karibnya itu.

Wednesday, September 7, 2011

Racun semut disangka sirap pandan


Norhafizah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu semalam selepas terminum racun semut.

KOTA BHARU – Menyangka minuman dalam gelas plastik merupakan sirap pandan, seorang wanita pengsan selepas terminum minuman itu yang rupa-rupanya racun semut yang dibancuh suami mangsa di Kampung Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Norhafizah Badli Afendi, 27, menggelepar, berasa loya sebelum rebah lalu pengsan selepas terminum racun semut tersebut.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan stabil.
Suami Norhafizah, Mat Din Yusof, 27, berkata, kewujudan semut yang banyak di rumahnya sehingga anak kecilnya, Shafira Aishah yang berusia 11 bulan digigit semut pagi semalam menyebabkan dia membancuh racun tersebut.
“Sebelum membancuh racun itu, isteri saya masih tidur. Saya kemudian mengambil cawan gelas plastik dan membancuh racun tersebut dengan air sebelum meninggalkan gelas itu atas meja dapur bagi menunggu ia sebati,” katanya yang kemudian keluar ke halaman rumah.

Monday, June 20, 2011

Ibu racun dua anak, bunuh diri


ACAPULCO: Pihak berkuasa Mexico semalam berkata, seorang wanita berusia 30 tahun memberi racun serangga kepada anak perempuannya sebelum dia membunuh diri.
Seorang lagi anak wanita itu - berusia enam tahun - turut diracun tetapi sempat diselamatkan.

Pihak berkuasa negeri Guerrero berkata, wanita terbabit dikenali sebagai Leticia Chete Aguero, manakala anaknya yang dibunuh, Leslie Abigail Solis Chete, 11.

Cristian de Jesus Solis Chete sempat diselamatkan selepas paramedik Palang Merah mengejarkannya ke hospital di Acapulco.

Sumber berkata, Leticia meracun dirinya dan anak-anak dengan sejenis serbuk yang digunakan untuk membunuh serangga tanaman.


Walaupun menemui nota ditinggalkan Leticia, polis tidak mendedahkan kandungannya kepada media. - AP

myMetro | Ibu racun dua anak, bunuh diri

Wednesday, January 12, 2011

Siasatan baru sahkan Arafat mati diracun

BAITULMAQDIS: Siasatan baru terhadap kematian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat mendedahkan beliau mati akibat racun talium yang diletakkan di dalam makanan atau minumannya.
Bekas penasihat khas Arafat, Bassam Abu Shareef berkata, siasatan yang dilakukan pakar forensik Briain itu mengesahkan perkara itu.
Talium mempunyai kandungan toksik yang tinggi.

Kes keracunan bahan itu biasanya berlaku selepas makan.


Bassam berkata, beliau akan mengemukakan lebih banyak maklumat mengenai siasatan itu kepada jawatankuasa penyiasat pembunuhan Arafat sedikit masa lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pasukan penyiasat yang melakukan siasatan itu.

Bassam menuduh Israel meracun Arafat menerusi makanan atau minuman yang diterimanya ketika bekas pemimpin Palestin itu dikepung di ibu pejabatnya di Ramallah.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital di Perancis pada 11 November 2004, dikatakan akibat penyakit misteri. - Agensi

Friday, November 12, 2010

Keradangan akibat asap racun





ATURAN pernafasan terasa lebih sukar hinggakan adakalanya terpaksa tercungap-cungap. Setiap hela dirasakan tidak puas untuk meredakan rasa 'rimas' di dada. Ia disertai pula dengan keperitan di salur kerongkong akibat batuk-batuk yang berlarutan.
Itu belum lagi bercakap mengenai beberapa simptom lain seperti sakit tekak, demam, keletihan, sakit badan dan otot, hidung tersumbat dan berair, muntah dan cirit birit (disebabkan virus) serta sakit dada.
Jika anda mengalami simptom sedemikian, segeralah mendapatkan nasihat doktor kerana terdapat kemungkinan anda menghidap bronkitis.
"Bronkitis adalah radang pada saluran pernafasan yang berfungsi membawa udara ke tisu paru-paru. Maka, jika ia mengalami radang, ia akan membengkak dan terdapat penghasilan mukus atau lendir.
"Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas," kata Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim.
Beliau memberitahu, penghidap bronkitis selalunya akan batuk berkahak, mengalami pernafasan berdehit, sakit dada, dada berasa 'ketat', demam dan sesak nafas.
Semua itu adalah kesan akibat terdedah kepada sesuatu keadaan persekitaran berisiko yang mengganggu salur pernafasan seperti asap rokok, pencemaran udara, habuk dan asap.
Akut dan kronik
Bronkitis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik. Secara asasnya, bronkitis akut berlaku dalam masa singkat iaitu antara beberapa hari hingga beberapa minggu manakala bronkitis kronik berlaku dalam tempoh masa yang lama dan sering berulang.
"Kebiasaannya, kanak-kanak sering mendapat jangkitan bronkitis akut. Ia terjadi akibat jangkitan bakteria dan virus yang tersebar melalui udara apabila seseorang itu batuk. Ia juga boleh tersebar melalui sentuhan, contohnya, lendir yang melekat pada tangan.
TABIAT merokok bukan sahaja membahayakan diri perokok itu sendiri malah kepada orang di sekelilingnya.


Bronkitis jenis akut dialami penghidapnya selama beberapa hari dan kadang-kala sehingga beberapa minggu selepas jangkitan kuman sembuh. Namun, kesan radang masih kekal.
Zal menambah, masalah kesihatan itu ditanggung penghidapnya dari semasa ke semasa apabila seseorang itu mendapat jangkitan virus atau bakteria pada saluran pernafasan.
Walaupun begitu, tempoh batuk yang dialami tidak melebihi dua hingga tiga minggu.
Lanjutan daripada keadaan bersifat sementara itu, bronkitis kronik pula boleh terjadi selagi faktor penyebab radang berlaku secara berterusan hingga mengganggu salur pernafasan terutamanya pada lapisan tiub bronkiol.
"Mereka yang sentiasa terdedah kepada asap seperti asap rokok memburukkan lagi keadaan radang pada paru-paru," ujar beliau.
"Penghidap bronkitis kronik selalunya menderita batuk selama lebih daripada tiga bulan dan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya dua tahun," jelas Zal.
Walau bagaimanapun, penghidap bronkitis tidak perlu bimbang kerana penyakit ini boleh diubati. Bagi yang menghidap bronkitis akut, rutin pengambilan ubat adalah mengikut keperluan dan tidak sekerap dan selama pesakit bronkitis kronik.
Tempoh lebih lama
Penghidap bronkitis kronik memerlukan ubat untuk tempoh yang lama selagi ia terdedah kepada faktor yang menjadikan bronkitis itu kronik.

ZAL memberi penerangan mengenai simptom penyakit seperti bronkitis serta asma dan penyakit sekatan pulmonari kronik(COPD).


"Kadang-kala, ubat perlu diambil seumur hidup walaupun penyebab atau puncanya sudah tiada. Disiplin itu perlu diikuti kerana kerosakan yang terjadi pada salur pernafaan pesakit tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Ini selalunya berlaku dalam kalangan perokok.
"Tujuan utama pengubatan adalah mengurangkan simptom dan menjadikan pernafasan itu mudah," ujar Zal.
Bagi pengidap bronkitis akut pula, mereka disarankan berehat, mengambil air secukupnya dan makan ubat demam jika perlu. Nebuliser mungkin diperlukan jika saluran nafas terlalu sempit.
Pesakit bronkitis kronik boleh memanfaatkan penggunaan bronchodilator diperlukan bagi membuka saluran pernafasan selain ubat sedutan yang mengurangkan radang pada saluran nafas.
Golongan tersebut juga perlu berhenti merokok atau mengelakkan diri daripada terus terdedah pada pencemaran udara lain seperti habuk, asap dan jerebu. Jika keadaan pesakit semakin teruk, terapi oksigen perlu dijalankan.
"Pakai topeng mulut apabila terpaksa menggunakan bahan seperti cat, varnis dan lain-lain bahan kimia seperti serbuk pencuci.
PELBAGAI peralatan bantuan sistem pernafasan boleh digunakan penghidap bronkitis, asma atau penyakit lain yang mempunyai simptom seumpamanya.


"Selain itu, pesakit disyorkan untuk membasuh tangan dengan kerap, menjauhi mereka yang dijangkiti flu, mendapatkan vaksin dan mengamalkan diet sihat.
"Jika musykil tentang sesuatu simptom, eloklah dirujuk pada doktor seterusnya mengambil ubat yang disarankan. Pesakit juga digalakkan menyertai program senaman dan pemulihan pulmonari bagi membantu pernafasan seterusnya meningkatkan keupayaan pernafasan," ujar beliau.
Ketika ditanya apa yang membezakan penyakit bronkitis dan asma kerana kedua-duanya berkongsi simptom lebih kurang sama, Zal menjelaskan bahawa seseorang yang kerap kali mendapat bronkitis mungkin sebenarnya menghidap asma.
"Asma ialah sejenis penyakit kronik akibat keradangan pada saluran pernafasan. Dinding saluran pernafasan pesakit asma biasanya membengkak dan menghasilkan mukus atau lendir.
"Saluran pernafasan pesakit asma menjadi hiper aktif atau hiper responsif hingga menyebabkan penguncupan saluran pernafasan. Mereka akan mengalami simptom yang kronik dan berulang-ulang," katanya.
Lebih spesifik, pesakit asma boleh mengalami alahan pada variasi kemungkinan seperti habuk, lipas, kucing, anjing, burung, arnab, hamster, fungus dan kulapuk, debunga, asap rokok, kereta, pembakaran dan pencemaran udara.

Wednesday, June 30, 2010

Zionis beri racun arsenik

Rendam arsenik



PUTRAJAYA: Sajian timun dan lobak merah segar yang diberikan tentera Israel kepada tahanan terdiri anak kapal MV Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza pada 31 Mei lalu, disyaki direndam dalam bahan kimia beracun arsenik bertujuan membunuh semua sukarelawan terbabit secara perlahan-lahan.
Ketua Misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin ketika mendedahkan perkara itu berkata, selepas mengetahui darah tiga sukarelawan Indonesia yang turut ditawan rejim Zionis itu disahkan mengandungi arsenik yang tinggi, pihaknya mengesyaki ia berpunca makanan diberikan ketika dalam tahanan.

“Kami hanya diberi makan timun dan lobak merah segar selepas dibiar berlapar selama 20 jam dan ketika makanan itu diberikan, ia masih berair seperti baru dibasuh.

“Namun, disebabkan terlalu lapar semua aktivis memakan timun dan lobak yang disediakan tanpa berfikir panjang kerana hanya itu saja sumber makanan yang ada pada ketika itu.

“Oleh itu, apabila menyedari ada rakan yang mempunyai kandungan arsenik tinggi dalam tubuh, kami syak ia berpunca makanan direndam arsenik terlebih dulu sebelum diberikan kepada kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, malam tadi.

Noorazman berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada rakan seperjuangannya di Indonesia, empat daripada 11 sukarelawan yang menyertai misi terbabit sudah membuat pemeriksaan dan hasilnya, tiga daripada mereka disahkan mempunyai kandungan arsenik yang tinggi dalam tubuh. Katanya, dia turut mendapat maklumat beberapa rakan sukarelawan dari Turki juga mengandungi kadar arsenik yang tinggi dalam darah.

Beliau berkata, keracunan arsenik boleh membunuh secara ‘diam’ kerana ia tidak keluar daripada darah, malah ia boleh menyebabkan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang rosak.
Bagaimanapun, katanya, enam aktivis dari Malaysia yang sudah melakukan pemeriksaan perubatan disahkan bebas daripada keracunan arsenik, manakala enam lagi akan melakukan pemeriksaan sama dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, keenam-enam individu berkenaan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkan keputusannya negatif.

“Tiga sukarelawan dari Indonesia disahkan mengandungi kadar arsenik yang tinggi dalam tubuh, tetapi (aktivis) dari Malaysia setakat ini tidak mengalami sebarang aspek berbahaya pemeriksaan doktor dilakukan terhadap mereka.

“Jurukamera dan wartawan Astro Awani juga sudah menjalani pemeriksaan, tetapi setakat ini keputusan negatif dan tiada keganjilan yang dikesan,” katanya.

Noorazman berkata, doktor pakar turut mengesahkan arsenik boleh mendatangkan bahaya jika seseorang itu terdedah beberapa kali, tetapi ia tidak berbahaya jika hanya terdedah sekali saja.

“Oleh itu, selepas ini kita akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap semua sukarelawan yang menyertai misi berkenaan... saya sendiri pun tak buat pemeriksaan lagi,” katanya.